Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, January 26, 2009

Al-Fatihah untuk Sasterawan Negara Arena Wati


SAYA amat terkesan dengan pemergian almarhum pada pagi Ahad, 25 Januari 2009 di HUKM. Hal ini demikian kerana saya baru sahaja menyiarkan entri yang memaparkan almarhum tidak sampai 48 jam sebelumnya. Saya paparkan gambar kenangan itu atas sifatnya sebagai sejarah dan nostalgia bagi saya. Dipaparkan kali ini adalah sebahagian buku-buku almarhum yang ada dalam koleksi saya. 'Royan' adalah antara novel yang paling awal saya miliki dan membacanya, iaitu tanggal 8 Mei 1982. Sebuah lagi ialah 'Rontok'. Tiada dipaparkan kerana puas saya mencari di merata-rata tempat tetapi tidak menemu. 'Eno' pula adalah pemberian seoang rakan yang dititipkan ayat "Ikhlas buat seorang teman yang banyak berbakti kepadaku. Tidak pernah kemarau dengan pertolongan dan bantuan. Muga budi muliamu kekal untuk menjadi kenang-kenangan hari esok" diikuti tandatangan dan tarikh Jan 1985. Al-Fatihah.

Friday, January 23, 2009

Bengkel Penulisan Novel Sejarah Johor II 2009

Peserta bengkel penulisan novel sejarah Johor pada 21-23 Julai 2006
(Gambar ikhsan Zaid Akhtar)

Bergambar kenangan bersama Sasterawan Negara Arena Wati


HARI ini mereka berkumpul lagi di Melaka. Kali ini jumlahnya dua kali ganda. Mereka berbengkel dan sebahagian mereka akan menghasilkan novel sejarah Johor. Setidak-tidaknya mereka mendapat ilmu untuk menghasilkan novel lain. Sebabnya ialah mereka berada dalam majlis ilmu. Mereka masih dahagakan ilmu penulisan walaupun sudah mapan berdasarkan buku-buku yang telah mereka hasilkan. Mereka kini sedang mengikuti Bengkel Penulisan Novel Sejarah Johor II 2009 di Hotel Straits Meridian, Bukit Baru, Melaka dari 23-25 Januari 2009.
Saya pula dengan hibanya hanya mampu bernostalgia mengenang sejarah menyertai bengkel penulisan novel sejarah Johor yang diadakan di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka pada 21-23 Julai 2006. Sejak bengkel itulah saya amat menghargai ilmu sejarah - betapa pentingnya sejarah dalam kehidupan. Antara penulis yang ditemui ialah A Latip Talib, W.B. Rendra, Norzailina Nordin, Amaruszati Noor Rahim (sekadar menyebut beberapa nama). Dan kehibaan seorang saya apabila terpaksa melepaskan peluang menyertai bengkel kali kedua ini hanya kerana hambatan keluarga. Lalu saya mengubat rasa terkilan ini dengan berbentengkan tanggapan bahawa mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Tuesday, January 20, 2009

Senja di Lumut


Di sebalik rerumput ini

aku meninjau-ninjau

mentari senja

terlindung di sebalik bukit

semakin ditinjau

semakin hilang

tengelam

kelam

lam


PABILA ingin mencatat sesuatu yang besar, besarlah juga keperluannya. Sewaktu hambatan begitu banyak, ingin melaksanakannya sekaligus, akhirnya satu pun tak menjadi. Maka berlalulah hari-hari yang berharga itu menjadi minggu. Bermula fajar menyinsing akhirnya menjadi senja. Mulakanlah fajar sebaik-baiknya Man.... Tiada siapa pun yang terima alasan tak cukup masa. Kecuali mereka kata sebabnya malas. Walaupun mereka sendiri pernah mengalaminya.... Wallahu a'lam.

Tuesday, January 13, 2009

Terima kasih Dawama


APABILA mengisi borang cabutan bertuah atau yang seumpamanya, saya sering samakan dengan membubuh umpan pada mata kail lalu dicampakkan ke dalam air yang keruh. Jika ada rezeki adalah ikan yang menyambarnya lalu tersangkut pada mata pancing tersebut. Dalam artikel saya sebelum ini "Borong buku di Dawama" pada 29/12/2008 ada saya catatkan kisah beli buku di Dawama. Saya beli 27 buah buku termasuk senaskah majalah dengan harga RM104.45. Semasa memasukkan borang ke dalam peti, saya tak harap akan menang kerana dua tahun lepas (lihat artikel "Festival jualan buku DBP 2008" bth. 24/12/2008) lagi banyak saya borong tetapi tidak menang pun. Alhamdulillah, kelmarin saya dihubungi melalui telefon oleh pihak Dawama. Saya kira cabutan dibuat pada petang hari terakhir festival kerana waktu itu sudah jam 5.00 petang. Semalam saya berkunjung ke Dawama di Hulu Kelang untuk mengambil hadiah itu, iaitu hadiah utama sebuah TV 21". Terima kasih Dawama.

Sunday, January 11, 2009

Nostalgia Buku Catur Pertama


DARIPADA buku kita boleh menemui gadis jelita, daripada buku juga kita boleh mendapat rumah emas. Peribahasa ini dikatakan berasal dari China. Rasanya ada kebenarannya. Nabi SAW sendiri pernah berpesan "tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China". Buku yang menjadi nostalgia ini penting dalam lakaran sejarah saya sebagai pemain catur. Dalam tahun-tahun 1980-an saya sering menemui ruangan catur dalam surat khabar. Malangnya saya tidak tahu membacanya. Antara petikannya berupa seperti yang berikut:


P: Anatoly Karpov

H: Gary Kasparov

1. d4 Nf6 2. c4 g6 3. Nc3 d5 4. cd5 Nd5 5. e4 Nc3 6. bc3 Bg7 7. Be3 c5 8. Qd2 0-0 9. Rc1 Qa5 10. Nf3 e6 11. d5 ed5 12. ed5 Re8 13. Be2 Bf5 14. 0-0 Nd7 15. h3 Nb6 16. g4 Bg7 17. c4 Qd2 18. Nd2 Na4 19. Bf3 Nc3 20.Rc3 Bc3 21. Ne4 Re4 22. Be4 Re8 23. Bd3 b6 24. Kg2 f5 25. gf5 Bf5 26. Bf5 gf5 27. Rd1 Kf7 28. Rd3 Bf6 29. Ra3 a5 30. Rb3 Bd8 31. Rc3 Bc7 32. a4 Kf6 33. Kf1 f4 34. Bc1 Kf5 35. Rc2 Rg8 36. Re2 Be5 37. Bb2 Bd4 38. Bd4 cd4 39. Re7 d3 40. Ke1 Rc8 41. Kd2 Rc4 42. Kd3 1/2-1/2 .


Masa itu bagi saya tulisan di atas entah apa-apa. Saya cuba mentafsirkan sendiri tetapi gagal. Sehinggalah pada suatu hari saya bertemu dengan buku "Main Catur" yang ditulis oleh Esa bin Abdul Rahman dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978. Saya tak ingat beli di mana. Tetapi ada tercatat 31 Januari 1987. (Sebab itu sekarang setiap kali beli buku saya akan tandatangan, tulis nama dan alamat, serta beli di mana). Selepas membaca buku catur pertama ini, tahulah saya bahawa tulisan itu merupakan notasi permainan catur. Permainan yang telah berlalu satu abad lepas pun masih boleh dilihat pergerakannya melalui notasi tersebut. Sejak itu saya mula mengumpul ruangan catur yang tersiar setiap minggu dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, The Malay Mail dan The Star. Satu tahun, satu buku skrap catur.


Setelah memahami notasi catur inilah saya mula berminat main catur bersungguh-sungguh. Peringkat awal dalam bidang ini saya berjaya membantu pasukan menjadi juara antara jabatan. Kemudian menjadi juara antara fakulti. Paling menggembirakan apabila pernah menjadi juara antara universiti dalam sukan staf antara universiti. Pernah juga mewakili Selangor dalam sukan MAKSAK, tetapi kejohanan ini seperti dah tak wujud sekarang. Apa yang paling penting ialah seharusnya setiap kali ada kejohanan, wakil sesuatu pasukan itu mestilah berlawan sesama sendiri dahulu untuk memilih wakil terbaik, bukan memilih dalam kalangan rakan sendiri. Ruangan catur dalam akhbar pun dah lama tiada kecuali The Star yang menyiarkan dua minggu sekali, iaitu setiap selang Jumaat.


Bermula dengan buku catur pertama itu, saya mula membuat koleksi buku catur. Pantang jumpa buku catur di kedai-kedai yang dikunjungi, pasti saya beli walaupun kebanyakan mahal. Antara yang penting ialah yang saya beli terus secara on-line (England), yang dibeli di Sabah sebagai kenangan, dan Encyclopedia of Chess Wisdom berharga hampir seratus ringgit. Kesemuanya berjumlah 40 buah sekarang. Rasanya saya sudah berhenti beli buku catur sekarang. Namun rasanya saya akan terus bermain catur selagi boleh terpilih dalam pasukan.

Saturday, January 10, 2009

Nostalgia Sepasang Kasut Bola


APALAH maknanya sepasang kasut bola? Orang lain pun ada juga! Memang benarlah begitu. Tapi masing-masing tentu ada ceritanya sendiri. Kebanyakannya memang ada membeli kasut bola, digunakan untuk bermain bola sepak beberapa kali untuk beberapa tahun, kemudian lusuh dan dibuang. Kasut bola saya yang sebelah kiri itu adalah hadiah dari Radio Malaysia RTM. Kira-kira 20 tahun lalu, suatu malam saya memang sudah bersedia dengan kertas dan pen ketika mendengar siaran Dunia Sukan kira-kira jam 10.00 malam. Saya kemudiannya menjawab kuiz Dunia Sukan(Arena Sukan?) itu dalam sekeping poskad dan poskan. Alhamdulillah, saya antara pemenangnya dan saya ambil hadiah itu di Pejabat Pos. Saya cuba juga jengok-jengok di kedai untuk tahu berapa harganya tetapi tidak menemu. Bagaimanapun kerap juga saya gunakan kasut ini dan pernah menjaringkan gol dalam perlawanan penting. Awal tahun 2008 adalah kali terakhir saya gunakan sebab sudahlah saiz lapan, apabila dibaiki terasa semakin sempit. Lalu saya beli yang baru (gambar kanan) bersaiz sembilan. Malangnya saya sempat pakai dua perlawanan sahaja. Dalam perlawanan antara fakulti itu saya telah diterjah dan disiku dengan kuatnya pada rusuk kanan. Akibatnya saya menderita selama sebulan. Saya rasa macam tulang rusuk itu patah dan bahagian yang patah itu mencucuk-cucuk daging sewaktu bergerak. Pernah saya terbangun jam 4.00 pagi dan mengucap panjang apabila melihat gerak-gerak pada rusuk kanan itu. Gerakannya macam jantung sedang mengepam darah. Rasanya saya dah taubat dan tidak akan bermain bola sepak lagi selepas ini. Bercakap tentang bola sepak maka teringat pula sebuah novel yang ditulis oleh Alias Ismail bertajuk "Priiit!" Saya rasa beliau memang kaki bola apabila tersiar pula cerpennya "Delusi" dalam Mingguan Malaysia Disember lepas. Novel "Priiit!" itu saya gunakan untuk 'assignment' bagi kursus Kesusasteraan Bandingan. Kebetulan juga Alias Ismail adalah antara penulis yang saya sempat "temubual" (berinteraksi) sambil makan tengah hari semasa Perhimpunan Penulis Muda di Tanjung Piai suatu masa dulu. Noktah.

Friday, January 9, 2009

Nostalgia Sebuah Mesin Taip


MESIN taip ini sudah berusia kira-kira 25 tahun. Waktu itu pada hujung 1982 atau awal 1983 saya sudah pun berkhidmat sebagai pembantu makmal di Universiti Pertanian Malaysia. Waktu itu gaji lepasan SPM hanyalah empat ratus ringgit lebih. Suatu hari ibu-bapa saya datang dari kampung dengan membawa mesin taip ini yang dibeli di Batu Pahat, Johor. Harganya RM350.00. Oleh kerana gaji saya yang cukup makan, pakai, dan bayar sewa rumah, saya pun bayar kepada emak saya RM50.00 sebulan. Saya bayar dengan cara membuat 'money order' di Pejabat Pos, dan poskan ke kampung (sekarang orang guna cara pindahan wang di ATM sahaja). Selepas dua tahun saya dah dapat balik modal beli mesin taip itu apabila cerpen saya "Sisa-sisa Waktu" tersiar dalam Dewan Pelajar. Cerpen 'Langkah Pertama' tersiar dalam Prestasi. Aprisiasi Novel Pasir Salak tersiar dalam Dewan Siswa. Dan saya ambil upah menaip kertas kerja dan tesis pelajar UPM. Ada juga cerpen yang tanpa honorarium apabila saya hantar ke Varia Sari, keluarnya di Varia Filem. Dan saya hanya tahu apabila saya balik kampung, seorang rakan penjual akhbar memberitahu nama saya ada tercatat dan ceritanya persis apa yang saya tulis. Saya cari majalah itu tak jumpa sebab telah berlalu beberapa bulan maka tiada lagi di pasaran. Sampai sekarang kempunanlah untuk melihatnya.


Saya kerap menaip pada waktu malam. Suatu hari jiran saya bercerita bahawa dia selalu dengar ketukan mesin taip itu dan bunyinya macam muzik. Saya faham maksudnya kerana saya menaip dengan menggunakan sepuluh jari. Saya belajar menaip secara formal di Institiut Trengkas Malaysia, Batu Pahat. Yurannya RM10.00 sebulan. Dalam kalangan 20 orang pelajar, sayalah satu-satunya pelajar lelaki. Dalam kelas itu juga saya sempat belajar trengkas jenis Gregg. Pernah suatu tempoh, seawal 6.30pagi saya ke pasar berkerja sambilan jual tahu dan mee kuning, kemudian ke kelas menaip, dan pulang ke rumah bersiap-siap untuk ke kelas tingkatan enam (swasta) pula.


Antara yang menjadi nostalgia juga, sewaktu Bengkel Pembinaan Penulis 2/2000 yang diadakan di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur pada 19-22 Oktober 2000. Di bengkel yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Gapena ini, saya membawa mesin taip ini bersama. Sewaktu peserta lain menaip cerpen menggunakan mesin taip elektrik yang tipis dan senyap bunyinya, serta ada yang gunakan 'notebook', saya berketak-ketuk dengan bisingnya. Semua orang memandang dan saya malu dibuatnya. Untuk mengelakkan bunyi bising, saya pindahkan mesin taip dari atas meja ke atas lantai berkarpet. Mujur sewaktu catatan yang saya taip itu diulas oleh S. Othman Kelantan (Allahyarham) selaku fasilitator, beliau menyebut "baik dan teruskan!"


Selepas bengkel itu, saya beli sebuah mesin taip elektrik dengan harapan jika ada bengkel penulisan lagi bolehlah saya bawa yang baru itu. Namun saya sedar kalau ada bengkel lagi tentu saya kena bawa komputer riba. Mesin taip ini dan yang baru itu masih elok lagi dan kadang-kadang saya gunakan juga untuk menaip borang sasaran kerja tahunan dan sampul surat.

Thursday, January 8, 2009

Buku bertandatangan penulisnya


MASIH tentang buku. Satu daripada kegemaran saya ialah memperolehi buku yang ditandatangani oleh penulisnya. Tentu berbeza jika beli buku di kedai berbanding mendapatkan terus dari penulisnya. Lazimnya apabila sesebuah buku itu bertandatangan penulisnya, bermakna kita pernah bertemu dengan penulis tersebut. Selain tandatangan, penulis tersebut menulis kata-kata semangat supaya kita juga terus menulis dan menulis lagi hingga berjaya. Sekurang-kurangnya pun penulis tersebut mencatatkan terima kasih atas sokongan. Kita akan terasa dihargai dan buku itu semakin meningkat nilainya - orang kata, nilai sentimentalnya. Justeru, buku-buku itu saya letakkan di tempat khas agar keluar-masuknya (dipinjam orang) lebih terkawal. Tentu berbeza jika buku yang telah ditandatangani itu dipulangkan (digantikan) dengan buku lain yang baru dibeli di kedai. Saya lazimnya berkesempatan mendapatkan tandatangan penulisnya semasa diadakan bengkel-bengkel penulisan, majlis diskusi buku, seminar, dan berbagai cara lagi. Antara penulis yang saya dapatkan tandatangan mereka ialah Othman Puteh(Allahyarham), Khadijah Hashim, Lim Swee Tin, Aripin Said, Nisah Haron, Ariff Mohamad, Siti Hajar, W.B Rendra, Siti Jasmina, Arbak Othman, Faisal Tehrani, Nalida dan lain-lain. Setakat ini koleksi buku saya yang bertandatangan penulisnya tidak kurang 40 buah. Buku-buku tersebut meliputi novel, kumpulan cerpen, antologi cerpen, kumpulan puisi, dan kritikan sastera. Antara buku-buku koleksi khas itu dipaparkan di atas.

Saturday, January 3, 2009

Tidak tentu arah


HARI ini pada 4/6/2005 saya berada di tanah paling hujung di Selatan Benua Asia. Saya berada di Tanjung Piai, Pontian kerana menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional 3-6 Jun 2005. Kehadiran saya atas kapasiti ahli Kelab Sastera Dewan. Sdr Napie Mat selaku ketua, sewaktu mengarahkan saya menghadirinya melalui telefon berkata beliau juga telah mengarahkan seorang lagi ahli Kelab, iaitu Zurina Shafie hadir sama. Saya difahamkan pengangkutan disediakan dan bas menunggu di Rumah PENA. Bagaimanapun saya pergi dengan kereta sendiri dari Serdang, Selangor. Dipendekkan kata, sepanjang tiga hari dalam majlis seramai 300 orang itu, maka ramailah penulis yang saya temui. Ada yang sempat dibual sepatah dua, dan ada yang sempat dikongsi pengalaman dalam bidang penulisan. Apa yang saya pasti saya ingati mereka sebab wajah dan karya mereka sering mengisi dada akhbar. Bulan lepas (Disember '08) sahaja Mingguan Malaysia menyiarkan tulisan Zanazanzaly "Avule Aidiladha", Rozais Alanamy "Apabila Alam Berbicara" dan Alias Ismail "Delusi". Penulis lain yang sempat ditemui ialah Siti Hajar, Uthaya Sankar SB, Nasriah Abdul Salam, Nimoiz TY, dll. Mereka pula mungkin tidak ingat saya sebab wajah dan karya saya tidak muncul-muncul di dada akhbar. Justeru, pertemuan ini bagi saya mungkin yang pertama dan terakhir. WB Rendra dan Amaruszati saya temui lagi dalam Bengkel Penulisan Sastera Sejarah Johor di Melaka kemudiannya. Sementara beberapa penulis lagi memang kerap ditemui sebelum ini dan insyaAllah... saya selalu yakin tentang pertemuan, jodoh, ajalmaut di tangan Tuhan... Apa yang sempat saya rakam pada hari itu antaranya ialah tanda arah ke beberapa distinasi dan jaraknya. Antaranya seperti dalam gambar di atas, Seoul 4648 km, Beijing 4474 km, Bangkok 1417 km. Jaraknya saya yakin betul. Namun arahnya saya tak pasti. Pabila banyak arah... saya kerap tak tentu arah....

Thursday, January 1, 2009

Azam Tahun Baru

AZAM adalah sesuatu yang abstrak. Tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Tapi boleh dirasakan. Ada orang memandang remeh tentang azam. Apa perlunya azam?. Orang lain kata, buat apa azam baru kalau azam tahun lepas pun belum terlaksana!. Sesetengah orang pula kata kenapa mesti berazam pada satu Januari tidak satu Muharam? walaupun kali ini ia berselisih tiga hari sahaja. Walau apa pun isunya, senario pro dan kon dalam negara ini adalah perkara biasa. Sebab itu situasi dalam negara waktu ini dapat dililhat seperti adanya. Cuma saya ingin coretkan di sini bahawa Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dalam temu bual di TV3 pagi tadi menyatakan azam itu adalah suatu yang wajib. Sekurang-kurangnya berazam supaya esok lebih baik daripada hari ini. Justeru saya pun ada suatu atau beberapa azam yang ingin dilaksanakan. malangnya azam itu terpaksa disimpan dalam hati....