Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, January 9, 2009

Nostalgia Sebuah Mesin Taip


MESIN taip ini sudah berusia kira-kira 25 tahun. Waktu itu pada hujung 1982 atau awal 1983 saya sudah pun berkhidmat sebagai pembantu makmal di Universiti Pertanian Malaysia. Waktu itu gaji lepasan SPM hanyalah empat ratus ringgit lebih. Suatu hari ibu-bapa saya datang dari kampung dengan membawa mesin taip ini yang dibeli di Batu Pahat, Johor. Harganya RM350.00. Oleh kerana gaji saya yang cukup makan, pakai, dan bayar sewa rumah, saya pun bayar kepada emak saya RM50.00 sebulan. Saya bayar dengan cara membuat 'money order' di Pejabat Pos, dan poskan ke kampung (sekarang orang guna cara pindahan wang di ATM sahaja). Selepas dua tahun saya dah dapat balik modal beli mesin taip itu apabila cerpen saya "Sisa-sisa Waktu" tersiar dalam Dewan Pelajar. Cerpen 'Langkah Pertama' tersiar dalam Prestasi. Aprisiasi Novel Pasir Salak tersiar dalam Dewan Siswa. Dan saya ambil upah menaip kertas kerja dan tesis pelajar UPM. Ada juga cerpen yang tanpa honorarium apabila saya hantar ke Varia Sari, keluarnya di Varia Filem. Dan saya hanya tahu apabila saya balik kampung, seorang rakan penjual akhbar memberitahu nama saya ada tercatat dan ceritanya persis apa yang saya tulis. Saya cari majalah itu tak jumpa sebab telah berlalu beberapa bulan maka tiada lagi di pasaran. Sampai sekarang kempunanlah untuk melihatnya.


Saya kerap menaip pada waktu malam. Suatu hari jiran saya bercerita bahawa dia selalu dengar ketukan mesin taip itu dan bunyinya macam muzik. Saya faham maksudnya kerana saya menaip dengan menggunakan sepuluh jari. Saya belajar menaip secara formal di Institiut Trengkas Malaysia, Batu Pahat. Yurannya RM10.00 sebulan. Dalam kalangan 20 orang pelajar, sayalah satu-satunya pelajar lelaki. Dalam kelas itu juga saya sempat belajar trengkas jenis Gregg. Pernah suatu tempoh, seawal 6.30pagi saya ke pasar berkerja sambilan jual tahu dan mee kuning, kemudian ke kelas menaip, dan pulang ke rumah bersiap-siap untuk ke kelas tingkatan enam (swasta) pula.


Antara yang menjadi nostalgia juga, sewaktu Bengkel Pembinaan Penulis 2/2000 yang diadakan di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur pada 19-22 Oktober 2000. Di bengkel yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Gapena ini, saya membawa mesin taip ini bersama. Sewaktu peserta lain menaip cerpen menggunakan mesin taip elektrik yang tipis dan senyap bunyinya, serta ada yang gunakan 'notebook', saya berketak-ketuk dengan bisingnya. Semua orang memandang dan saya malu dibuatnya. Untuk mengelakkan bunyi bising, saya pindahkan mesin taip dari atas meja ke atas lantai berkarpet. Mujur sewaktu catatan yang saya taip itu diulas oleh S. Othman Kelantan (Allahyarham) selaku fasilitator, beliau menyebut "baik dan teruskan!"


Selepas bengkel itu, saya beli sebuah mesin taip elektrik dengan harapan jika ada bengkel penulisan lagi bolehlah saya bawa yang baru itu. Namun saya sedar kalau ada bengkel lagi tentu saya kena bawa komputer riba. Mesin taip ini dan yang baru itu masih elok lagi dan kadang-kadang saya gunakan juga untuk menaip borang sasaran kerja tahunan dan sampul surat.

No comments:

Post a Comment