Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, February 25, 2009

Bilik Idaman

AKHIRNYA! Saya baharu sahaja mendapat sebuah bilik sendiri setelah hampir 28 tahun berkhidmat. Sebagai penolong pegawai, saya tidak begitu layak dapat kemudahan ini. Tetapi mungkin kerana bangunan lama yang baru diduduki ini besar sangat, atau majikan prihatin, saya diberi sebuah bilik. Itu pun di bangunan no. tiga dari depan dan dalam bangunan itu di bilik paling belakang. Tiada siapa akan datang jenguk. Justeru inilah masanya untuk menghias!

Semua dalam satu - mungkin - tapi kurang tepat. Ini kerana hampir semua hobi saya terkumpul dalam bilik ini. Ada lukisan, joran, buku-buku, lencana sekolah, rantai kunci, tag nama, catur, dan hadiah-hadiah yang saya pernah menangi. Beberapa barang lain ada di belakang kamera.

Kalau nak berborak dengan kengkawan, satu jam pun tak cukup untuk setiap satu hobi itu. Memadailah jadi nostalgia peribadi dan pengubat lara kala kecewa. Harapan juga pabila bilangan pegawai sudah bertambah nanti tidaklah saya kena keluar dari bilik idaman ini....(hu hu)

Sunday, February 22, 2009

Berfikir Secara Proaktif

BERFIKIR secara proaktif ditandai oleh daya usaha untuk berfikir sebelum sesuatu perkara itu berlaku. Ainon & Abdullah dalam bukunya "Kepintaran Daya Cipta & Kemahiran Berfikir" (1995:180-183) menjelaskan antara matlamat berfikir secara proaktif ialah memikirkan perkara-perkara yang mungkin berlaku sebelum perkara-perkara itu benar-bennar terjadi. Kemahiran berfikir secara proaktif memerlukan daya imaginasi yang tajam di samping logik yang betul dan maklumat yang tepat. Fakta sejarah mungkin boleh dijadikan maklumat yang diperlukan. Contoh pemikiran yang tidak proaktif ialah sekiranya kita bina masjid yang muat 1000 orang kerana penduduk kampung kita 1000 orang pada masa ini, maka 15 tahun lagi jemaah terpaksa solat di tangga dan tempat letak kasut terutama pada hari raya Aidilfitri. Contoh berfikir secara proaktif pula ialah seperti A. Samad Said yang menyatakan 50 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu mungkin menjadi sisipan dalam NST sebagaimana Utusan Melayu menjadi akhbar sisipan dalam Utusan Malaysia pada masa ini. Justeru, saya tidak berhasrat menjadi pegawai tinggi kerana kelemahan saya ialah tidak mampu berfikir secara proaktif....

Wednesday, February 18, 2009

Ketutu Idaman

Cerpen Ketutu Idaman
CERPEN Ketutu Idaman ini saya karang pada tahun 2000 dan tersiar dalam Tribun Putra Bil 18 (15 Mac 2000). Ketika saya menulis cerpen ini saya memang belum pernah merasa keenakan ikan ketutu. Ikan yang juga dikenali sebagai ikan ubi, ikan hantu, dan haruan bodoh ini memang menjadi idaman saya dengan harapan suatu hari nanti ikan ini akan menyambar mata pancing saya. Malah kalau ada peluang, saya akan membelinya walaupun harganya mencecah RM40.00 sekilo. Kerana keinginan yang membuak-buak inilah maka saya mengapainya melalui sebuah cereka.
memegang ikan ketutu
di Tasik Kenyir
Akhirnya selepas enam tahun cerpen itu tersiar, baru cita-cita saya tercapai untuk merasai keenakan ikan ketutu, itu pun saya dapat daripada tekong bot yang kami sewa semasa program jalinan ukhwah siri II pada 9-11/12/2007 di Tasik Kenyir. Selesai sahaja program pada hari terakhir dan selepas semua orang keluar dari bot, saya tanya tekong bot itu, sama ada saya boleh mengambil satu daripada dua ekor ketutu dalam tong biru? dia kata boleh dan minta saya cari bekas. dan bekas plastik yang tebal dan besar itu memang sentiasa tersedia dalam beg pancing saya. Selepas mengisinya dengan air tasik, saya ambil yang besar (1.2kg) dan hulurkan wang kertas RM50.00. Seorang pensyarah yang melihatnya, minta yang kecil itu dan dia hulur RM60.00. Dalam bas perjalanan balik ke Serdang, dia pujuk saya supaya menjual kepadanya dengan harga RM100.00. Mengenangkan saya belum pernah merasanya, saya tolak rezeki itu.
Pabila saya cerita pada rakan-rakan pemancing, mereka kata Ketutu tasik sepatutnya RM80.00 sekilo. Maknanya saya beruntunglah. Untuk merasanya pula, saya buat tiga kali masak. Kali pertama hanya goreng. Rasanya... Ya-Salam. Lembut, gebu, manis - semua ada. Kali kedua, saya masak stim dan kali ketiga pun masak stim. Dan saya tidak menyesal belanja RM50.00 itu. (Perlu dimaklumkan bahawa beberapa bulan kemudian, rakan saya memancing dapat seekor ketutu seberat 2.1kg. Dan apabila dia hantar ke sebuah restoran Cina, dia dibayar RM150.00).

Wednesday, February 11, 2009

Nostalgia Tasik Kenyir

PROGRAM Jalinan Ukhwah Siri 2 berlangsung dari 9-11 Disember 2007. Bagaimanapun pada 8/12/07 kira-kira jam 9.00mlm, kami sudah menaiki bas panjang UPM bertolak dari Serdang ke Terengganu. Saya duduk di belakang sekali melayan perasaan sambil melihat-lihat kiri-kanan sehinggalah ke Hulu Kelang. Saya bermimpi sebaik sampai di Tasik Kenyir, penjaga pintu masuk mengarahkan kami semua balik ke UPM, ambil dokumen pengenalan, dan besok datang semula ke Tasik Kenyir. Tentulah kecewa apabila dah sampai Tasik Kenyir kena balik Serdang dan datang semula ke Tasik Kenyir. Mujurlah hanya mimpi. Apabila saya celik mata, sudah masuk waktu subuh. Kami berhenti di masjid untuk solat Subuh dan mencari gerai makan untuk sarapan. Dan perjalanan tidak berapa jauh lagi.
Pemandangan pertama sebaik
bot bergerak

Jam 9.00pg 9/12/07 kami sudah sampai di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir. Jam 10.00pg baru bot rumah bergerak. Kami sewa dua buah bot. Bot itu lengkap dengan bilik tidur, bilik air, dan dapur untuk memasak. Setelah menaiki bot selama hampir dua jam, kami berhenti di sebuah teluk yang ada kuala sungai. Sebaik sampai juga, peserta perempuan mula sibuk memasak nasi sementara peserta lelaki mula sibuk melabuhkan mata pancing. Maklumlah semua nak jadi juara siapa dapat ikan dulu. Malangnya hampir sepanjang masa di Tasik Kenyir hujan sentiasa turun. Kadang-kadang hujan lebat. Selalunya gerimis. Aktiviti memancing memang terganggu. Air tasik pula keruh di kebanyakan tempat.
Inilah Tasik Kenyir pada jam 12.41 tengah hari
Gambar yang cantik ini dirakam oleh
rakan saya Mat Zamani

Sewaktu saya sudah hampa kerana terlalu sukar mendapat ikan, saya pun mencampak beberapa butir dedak ke tepi bot. Saya lihat ia disambar ikan. Saya campak lagi dan disambar ikan lagi. Lalu saya dapat ilham. Saya cangkuk sebutir dan hulur di permukaan air. Belum cecah air ikan sudah meloncat dan menyambarnya. Maka itulah ikan pertama saya. Pekerja bot itu kata ikan luang baung. Saya kata pada seorang pensyarah yang juga memancing di sebelah "saya boleh dapat tiga ekor dalam masa lima minit!" Dia tergelak dan kata "buktikan!" Lalu saya buktikan kemudiannya. Ikan itu cuma sejengkal dan pipih macam ikan selat. Belakangnya kekuningan macam ikan kembung.

Satu daripada bot rumah yang kami sewa

Petang itu saya dah malas memancing ketika terdengar seorang peserta perempuan bersuara "Orang lelaki seronoklah, boleh memancing. Kita orang nak buat apa?" Maka saya hulurkan sebatang joran dan cucukkan sebiji dedak pada mata pancing. "Hulurkan sampai kena permukaan air!" kata saya. Ternyata apabila cecah sahaja ke permukaan air, disambar oleh sang ikan. Maka menjerit-jeritlah orang perempuan ingin mencuba. Mereka semua dapat ikan dan cahaya kamera pun berkelip-kelip.
Besok paginya kami bergerak ke sebuah pulau yang terletak dua jam perjalanan dari situ. Ada air terjun yang sangat jernih airnya. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya dan air di situ menjadi keruh dan laju. Maka berpindahlah lagi ke tempat lain. Maka tahulah saya bahawa kali ini saya tewas. Ikan yang besar-besar hanya dapat kami nikmati daripada hasil menahan jala oleh tuan punya bot itu. Itu pun entah di mana-mana mereka menahannya kerana mereka mengutipnya dengan bot laju yang mereka bawa sama.
Akar Tongkat Ali yang memerlukan
enam hari untuk mengoreknya dalam tanah

Pada 11/12/07 kira-kira jam 11.00pg, kami pun bertolak balik dari tempat berlabuh. Dalam perjalanan kami sempat singgah di pulau yang terdapat Taman Herba. Kami sempat melihat pelbagai herba yang ditanam di situ. Di "Pondok Harmoni" sempat juga menjamah air Tongkat Ali dan Kacip Fatimah yang dimasak untuk pengunjung.
Bergambar ramai setelah naik ke Pengkalan Gawi
untuk pulang ke Serdang, Selangor.

Dalam perjalanan balik, kami ke Kampung Geliga Besar, Kuala Kemaman, Terengganu untuk membeli keropok likur dan satah untuk dibawa pulang.

Tuesday, February 3, 2009

Nostalgia Tasik Banding

PROGRAM Jalinan Ukhwah ini mulanya dirancang dalam bentuk XPDC 4 x 4 ke Taman Negara Endau-Rompin - Selai, Johor pada 23-25 Disember 2006. Beberapa kali mesyuarat dan perbincangan diadakan. Baju T berwarna biru-hitam dengan warna oren di bahagian bahu dan lengan telah pun siap ditempah. Lengkap dengan logo UPM dan perkataan serta tarikh program tersebut. Malangnya dua minggu menjelang tarikh itu, Selatan tanah air sering hujan dan banjir di beberapa tempat. Dua hari menjelang tarikh program, banjir semakin buruk. Dikhabarkan bahawa jalan ke Selai telah terputus.
Air tasik yang jernih berhampiran Kem Alam Semulajadi,
Jabatan Perhilitan Perak
Akhirnya keputusan saat akhir dibuat dengan memindahkan destinasi ke Tasik Banding, Grik, Perak. Kira-kira jam 10.00 pagi 23/12/2006, selepas dibaca doa selamat, kami pun bergerak dari Serdang, Selangor dalam lapan buah kenderaan yang kebanyakannya pacuan empat roda. Kami sampai di Grik jam 6.00ptg. Dengan menaiki bot Jabatan Perhilitan 150 kuasa kuda, kami ke Pulau Banding. Kami menginap di Kem Alam Semulajadi kepunyaan Jabatan Perhilitan Perak. Pulau itu sebenarnya puncak bukit yang bersambung dengan puncak-puncak bukit yang lain apabila bahagian bawahnya ditengelami air empangan. Air untuk mandi kadang-kadang menjadi masalah kerana sumber air adalah dipam dari tasik itu sendiri.

Antara peserta Program Jalinan Ukhwah
di Tasik Banding, Grik, Perak.
Malam itu kami cuba memancing di jeti yang diperbuat daripada rakit gajah. Tetapi sunyi sepi. Besok paginya seawal jam 6.00 saya sudah bangun mandi dan solat Subuh. Seawal 7.00pg pula saya orang pertama memegang batang pancing dan melontar gewang sesudu. Daripada jeti rakit gajah itu saya baling ke air dekat dengan tebing. Orang kata pagi-pagi ikan lebih suka bermain dekat tebing sebab banyak serangga. Balingan kali ketiga, gewang itu seperti tersangkut kayu. Rupa-rupanya seekor Sebarau seberat 600gram telah menyambarnya.

Ikan Sebarau seberat 600 gram
menyambar gewang seawal jam 7.00 pagi.
Petang itu sewaktu peserta perempuan melawat sekitar dengan sebuah bot, kami peserta lelaki dengan bot yang lain mencari lubuk ikan untuk memancing. Banyak Lampam dan Sebarau dapat dinaikkan. Namun pada malamnya diumumkan pancingan saya yang terberat dan dihadiahi sehelai lagi baju T. Selepas dua malam bermalam di bangsal kayu tiada berdinding di situ, besok paginya (25/12/2006) kami pun bertolak balik dengan suatu pengalaman baru yang dapat dirakam sebagai sejarah dan nostalgia.