Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, February 11, 2009

Nostalgia Tasik Kenyir

PROGRAM Jalinan Ukhwah Siri 2 berlangsung dari 9-11 Disember 2007. Bagaimanapun pada 8/12/07 kira-kira jam 9.00mlm, kami sudah menaiki bas panjang UPM bertolak dari Serdang ke Terengganu. Saya duduk di belakang sekali melayan perasaan sambil melihat-lihat kiri-kanan sehinggalah ke Hulu Kelang. Saya bermimpi sebaik sampai di Tasik Kenyir, penjaga pintu masuk mengarahkan kami semua balik ke UPM, ambil dokumen pengenalan, dan besok datang semula ke Tasik Kenyir. Tentulah kecewa apabila dah sampai Tasik Kenyir kena balik Serdang dan datang semula ke Tasik Kenyir. Mujurlah hanya mimpi. Apabila saya celik mata, sudah masuk waktu subuh. Kami berhenti di masjid untuk solat Subuh dan mencari gerai makan untuk sarapan. Dan perjalanan tidak berapa jauh lagi.
Pemandangan pertama sebaik
bot bergerak

Jam 9.00pg 9/12/07 kami sudah sampai di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir. Jam 10.00pg baru bot rumah bergerak. Kami sewa dua buah bot. Bot itu lengkap dengan bilik tidur, bilik air, dan dapur untuk memasak. Setelah menaiki bot selama hampir dua jam, kami berhenti di sebuah teluk yang ada kuala sungai. Sebaik sampai juga, peserta perempuan mula sibuk memasak nasi sementara peserta lelaki mula sibuk melabuhkan mata pancing. Maklumlah semua nak jadi juara siapa dapat ikan dulu. Malangnya hampir sepanjang masa di Tasik Kenyir hujan sentiasa turun. Kadang-kadang hujan lebat. Selalunya gerimis. Aktiviti memancing memang terganggu. Air tasik pula keruh di kebanyakan tempat.
Inilah Tasik Kenyir pada jam 12.41 tengah hari
Gambar yang cantik ini dirakam oleh
rakan saya Mat Zamani

Sewaktu saya sudah hampa kerana terlalu sukar mendapat ikan, saya pun mencampak beberapa butir dedak ke tepi bot. Saya lihat ia disambar ikan. Saya campak lagi dan disambar ikan lagi. Lalu saya dapat ilham. Saya cangkuk sebutir dan hulur di permukaan air. Belum cecah air ikan sudah meloncat dan menyambarnya. Maka itulah ikan pertama saya. Pekerja bot itu kata ikan luang baung. Saya kata pada seorang pensyarah yang juga memancing di sebelah "saya boleh dapat tiga ekor dalam masa lima minit!" Dia tergelak dan kata "buktikan!" Lalu saya buktikan kemudiannya. Ikan itu cuma sejengkal dan pipih macam ikan selat. Belakangnya kekuningan macam ikan kembung.

Satu daripada bot rumah yang kami sewa

Petang itu saya dah malas memancing ketika terdengar seorang peserta perempuan bersuara "Orang lelaki seronoklah, boleh memancing. Kita orang nak buat apa?" Maka saya hulurkan sebatang joran dan cucukkan sebiji dedak pada mata pancing. "Hulurkan sampai kena permukaan air!" kata saya. Ternyata apabila cecah sahaja ke permukaan air, disambar oleh sang ikan. Maka menjerit-jeritlah orang perempuan ingin mencuba. Mereka semua dapat ikan dan cahaya kamera pun berkelip-kelip.
Besok paginya kami bergerak ke sebuah pulau yang terletak dua jam perjalanan dari situ. Ada air terjun yang sangat jernih airnya. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya dan air di situ menjadi keruh dan laju. Maka berpindahlah lagi ke tempat lain. Maka tahulah saya bahawa kali ini saya tewas. Ikan yang besar-besar hanya dapat kami nikmati daripada hasil menahan jala oleh tuan punya bot itu. Itu pun entah di mana-mana mereka menahannya kerana mereka mengutipnya dengan bot laju yang mereka bawa sama.
Akar Tongkat Ali yang memerlukan
enam hari untuk mengoreknya dalam tanah

Pada 11/12/07 kira-kira jam 11.00pg, kami pun bertolak balik dari tempat berlabuh. Dalam perjalanan kami sempat singgah di pulau yang terdapat Taman Herba. Kami sempat melihat pelbagai herba yang ditanam di situ. Di "Pondok Harmoni" sempat juga menjamah air Tongkat Ali dan Kacip Fatimah yang dimasak untuk pengunjung.
Bergambar ramai setelah naik ke Pengkalan Gawi
untuk pulang ke Serdang, Selangor.

Dalam perjalanan balik, kami ke Kampung Geliga Besar, Kuala Kemaman, Terengganu untuk membeli keropok likur dan satah untuk dibawa pulang.

2 comments: