Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Tuesday, October 30, 2012

Alahai Katak

HARI Jumaat lepas adalah Hari Raya Haji. Sehari sebelum itu saya telah balik ke kampung di Batu Pahat yang jauhnya kira-kira 250km dari Kuala Lumpur.  Selepas solat Jumaat, petang itu saya singgah di sebuah kedai akuarium/pancing.  Taukeh kedai itu syorkan saya beli gewang ini yang berharga RM10.00.  Menurut beliau ramai orang dah beli dan kegunaannya berkesan.  Saya beli satu.

HARI Sabtu besoknya saya akan pulang semula tempat kerja.  Paginya saya ambil kesempatan 'casting' di parit berdekatan rumah mertua.  Kali kedua mencuba, gewang itu sudah ditelan seekor Haruan besar.  Malangnya gewang itu dilepaskan kembali.  Selepas mencuba lagi beberapa kali, gewang berupa katak itu disambar lagi.  Masih tidak lekat.   Lepas itu baharu saya sedar bahawa tiub plastik yang membalut mata pancing itu masih belum dibuka!  Wah, patutlah tidak lekat! Rugi! Rugi!.  Selepas membuang tiub plastik itu, gewang disambar lagi.  Tapi kali ini tali pula putus!?

Dalam perjalanan balik ke Utara, saya singgah rumah orang tua saya sendiri.  Singgah sekejap sahaja, tapi sempatlah saya cuba 'casting' di parit depan rumah.  Kali kedua baling, gewang disambar sang Haruan.  Agaknya kerana sudah lama saya tidak memancing, Haruan yang agak besar itu terlepas juga....

Dan saya terpaksa pulang dengan tangan kosong.  Harap-harap pengalaman ini menjadi pengajaran kepada saya apabila 'casting' lagi lain kali.

Tuesday, October 23, 2012

Melihat Kelip-kelip di Kampung Kuantan

AWAL bulan Oktober ini saya berkesempatan merayau-rayau di sekitar Kuala Selangor yang jaraknya kira-kira 100Km dari tempat saya tinggal.  Antara tempat yang disinggahi ialah Kampung Kuantan yang terkenal dengan kelip-kelipnya.  Waktu siang dapatlah melihat jeti dan perahu-perahu yang tertambat di tebing Sungai Selangor itu.  Juga pokok-pokok Berembang di sepanjang tebing sungai yang menjadi habitat kelip-kelip.  Air sungai mengalir sederhana laju berwarna teh susu yang pastinya mengujakan kaki pancing jika melihatnya.  Menjelang jam 9.00 malam saya datang lagi untuk melihat sendiri kelip-kelip.  Dengan bayaran RM50.00, saya bersama tiga orang lagi menaiki sebuah perahu dan menyusur berhampiran pokok-pokok berembang melihat begitu banyak cahaya yang berkelip-kelip.  Cuma keindahan itu tidak dapat dirakam melalui lensa kamera. (...Kebelakangan ini begitu susah untuk saya 'upload' gambar... Kenapa eh!?)