Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Tuesday, July 27, 2010

Caramel Cinnamon Anise di Cordova

MINGGU lepas, beberapa hari lalu, tiba-tiba terdetik dalam hati: dah lama tidak lihat cerpen Ranofla Dianti Irwan dalam akhbar mingguan arus perdana. Kalau tak terlepas pandang, sejak Januari 2010, memang tak menemu. Dan minggu ini karya terbaharu beliau tersiar dalam Mingguan Malaysia 25 Julai 2010! Ah, ada ESPkah saya? (kalau tak silap, dalam drama "Ilusi" yang sedang ditayangkan oleh TV3 setiap Isnin-Khamis jam 6.30-7.30ptg., ESP bermaksud 'extra sense personaliti') cheewah!. Lalu terimbaulah kembali Bengkel Pembinaan Penulis II/2000 (Cerpen) yang dihadiri pada 19-22 Oktober 2000 di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur. Kerana di situlah penulis cerpen yang saya anggap hebat ini ditemui. Bergambar ramai bersama Sasterawan Negara; Allahyarham S Othman Kelantan di pinggir Tasik Permaisuri, Cheras. Antara penulis dalam foto ini ialah Azimin Daud, Norazah Ibrahim(Shah Alam), Norazah Ibrahim (Sungai Buluh), Shahrun Nizal Mohd. Nor, Zainal Abdul Kadir, Nordin Zainal Abidin, dan Ariff Mohamad. Tiada dalam gambar ini Zurina Shafie, Thock Ker Fong, Abdullah Shuib dll.
Selain Allahyarham S. Othman Kelantan, Pn. Khadijah Hashim bertindak sebagai pembimbing. Allahyarham Dr. Othman Puteh dan En. Azmi Ibrahim turut hadir sebagai penceramah. Dan seperti biasa, tidak semua pahit manis dapat diluahkan....

Thursday, July 22, 2010

Aku Bukan 'Fotographer' (Gua Musang 'Part 2')

KERJA LAPANGAN DI GUA MUSANG, KELANTAN (PART 2)

SATU daripada hobi aku memanglah fotografi. Malah kamera yang pernah dimiliki sejak 1983 bertukar ganti daripada SLR Nikon FM, kemudian Canon FX8, kemudian digital Canon Powershot Axxx, sebelum dipertanggungjawabkan ke atas kamera jabatan; Canon Ixus75 dan terakhir SLR Nikon D300 sebagai peralatan/kelengkapan makmal pengurusan alam sekitar. Selain merakam gambar sendiri untuk kenang-kenangan, juga ambil gambar pemandangan dan gambar eksperimen kononnya bernilai seni. Berbanding gambar seorang diri, bergambar ramai lebih memberi erti. Antaranya memperlihatkan majlis dihadiri, lokasi, dan mereka yang turut hadir. Untungnya memikul kamera kerana kita memang amat diperlukan sebagai perakam dokumentasi. Ruginya pula ialah imej kita tiada bersekali sedangkan jawatan kita bukan 'fotographer'. Kita cuma minat fotografi. Keadaan ini amat dideritai dan gambar-gambar aktiviti di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini menjadi bukti.
Bergambar ramai di hadapan Pejabat Majlis Daerah

Bergambar ramai di hadapan Pejabat KESEDAR

Bergambar ramai di Gunung Stong

Bergambar ramai di Kilang Papan yang dilawati

Bergambar ramai di kilang kelapa sawit FELDA

Bergambar ramai selepas pertandingan persembahan

Bergambar ramai sebelum menaiki rakit di Sungai Ketil

Bergambar ramai setelah selesai berakit di Sungai ketil.



Bergambar ramai di Sekolah kebangsaan Pos Brooke

Thursday, July 8, 2010

Kerja Lapangan di Gua Musang, Kelantan

GUA MUSANG, Kelantan dan sekitarnya adalah lokasi catatan perjalanan kali ini. Bermula 10.00 mlm. 29/6/10 hingga 10.00 mlm. 5/7/10 adalah tempohnya. Bagaimanapun sedikit cuma yang dapat dikongsi bersama. Dipendekkan cerita, jam 2.00 pagi kami yang menaiki van sudah sampai di pekan Merapoh. Selepas singgah minum, kami tunggu bas yang membawa pelajar di stesen minyak Shell, Gua Musang. Jam 5.30pagi kami semua sudah 'check-in' di penginapan Etnobotani milik KESEDAR bersebelahan Kem Latihan PLKN. Siangnya kami dengar taklimat perancangan bandar di Majlis Daerah Gua Musang. Petangnya kami buat kajian sosial di bandar lama dan baru Gua Musang.
HARI KEDUA (1/7/10), kami dengar taklimat perancangan pembangunan wilayah KESEDAR di Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang. Petangnya membuat kajian etnobotani. En. Majid, seorang staf Kesedar menerangkan semua tanaman herba yang terdapat di Etnobotani tersebut selain melihat burung kasawari yang besar dan rusa yang jinak. Selepas itu kami semua ke Kg. Pulai melihat warisan sejarah yang berupa tokong Cina dan gua batu kapur di seberang tasik. Malam itu buat kajian sisa pepejal di pasar malam Gua Musang, tapi hujan turun dengan lebatnya.

HARI KETIGA (2/7/10) kami meneruskan dengan mendaki Gunung Stong, Dabong. Kiranya kami diiring oleh 'guide' dengan melalui jalan sukar. Mungkin supaya pandangan lebih luas dan dapat bergambar di air terjun. Namun kesukaran itu meletihkan dan mencabar daya tahan. 'Jungle tracking' di Tanjung Tuan, Port Dickson dulu pun tidak seteruk ini. Rasa letih dan sesal hilang setelah sampai di puncak maka ramailah rakan-rakan bermandi manda dan ada yang mengelonsor di batu air terjun yang tinggi dan licin itu. Pabila turun kemudiannya di laluan lain, ternyata ada jalan lain yang lebih mudah untuk orang ramai ke puncak Gunung Stong!
HARI KEEMPAT (3/7/10) melawat tapak kilang pemprosesan kayu balak. Pelajar-pelajar mendapat ilmu antaranya tentang simbol atau tanda yang terdapat pada kayu balak. Antaranya panjang dan ukur lilit serta tag untuk sebatang pokok yang dikerat dua atau tiga tuas. Kami dilayan dengan baik dan saya sendiri secara peribadi dijamu nasi dagang dalam pejabat tokeh balak tersebut.

Petangnya kami melawat pula tapak kilang kelapa sawit Felda yang terletak 82km dari Gua Musang. Selepas itu melawat pula tapak kolam ikan air tawar. Malangnya tempat terakhir ini dilawati menjelang maghrib menyebabkan saya tidak nampak ikan Kelah dan tidak dapat masuk gua batu kapur berhampiran yang dikatakan indah di dalamnya. Walaupun penat, malamnya diadakan persembahan oleh tiga kumpulan pelajar. Setiap kumpulan buat dua persembahan dan hadiah berupa hamper disediakan.


HARI KELIMA (4/7/10), kami berakit di Sungai Ketil menggantikan lokasi asal, iaitu Sungai Nenggiri. Hal ini demikian kerana berakit di Sg. Nenggiri memerlukan kos yang tinggi walaupun sungainya lebih mencabar dan menerima sijil.

HARI KEENAM (5/7/10) adalah hari terakhir. Setelah 'check-out' (dengan izin), kami bergerak. pertama singgah di Tasik Gua Musang mengukur kualiti air di situ. Seterusnya bergerak ke Lojing. Di Lojing kami singgah di Sek. Keb. Pos Brooke. Sekumpulan pelajar anak orang asli dimesrai dan dirai sambil diberi taklimat oleh Guru Besar dan wakil rombongan kami. Seterusnya berjalan di belakang sekolah itu menuruni bukit, melintasi sungai yang merah airnya melalui jambatan gantung dan terus ke perkampungan orang asli.
Dalam perjalan pulang ke Serdang, Selangor seterusnya kami singgah membeli strawberi dan jagung manis ke Cameron Highland. Saya turut beli sejambak bunga ros dan beberapa pasu kaktus. Kemudian singgah pula di R&R Tapah sebelum singgah lagi di R&R Ulu Bernam.