Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, December 19, 2013

Kreativiti Ala-ala MacGyver

MINGGU lepas saya pegang sekeping diskette yang saya ambil dari bilik di tingkat 2 ke bilik saya di blok lain.  Sepanjang perjalanan itu ada tiga orang menegur dengan nada yang sama: "hoi, zaman sekarang orang dah tak guna diskette lagilah!". Saya cuma tersenyum.  Itu memang benar kerana untuk copy sekeping gambar digital pun tak muat dalam sekeping diskette yang berkapasiti 1.44MB.  Sekeping gambar pun kurang-kurang bersaiz 2MB.
 Tujuan saya ke atas diskette itu ialah untuk digunakan bagi menampal galah yang patah.  Galah itu patah kerana terhempap sebatang dahan pokok sukun.  Kreatif ala-ala MacGyver ini, ialah gunakan apa sahaja yang ada di sekeliling.  Kebetulan saya ada gam 'Vevcon 2 Ton Epoxy-Clear' baki repair kereta.  Ada tali benang berkekuatan 84kg yang saya guna untuk memancing.
Mula-mula ambil kepingan logam tipis pada diskette.  Kemudian bancuh gam dan sapu pada bahagian yang patah.  Lepas itu tampal dengan kepingan logam daripada diskette tadi.  Besoknya ikat tampalan tadi dengan menggunakan tali benang dengan cara ikatan permati (boleh tengok Youtube bagaimana cara ikatan ini). Kemudian gam sekali lagi supaya lebih kuat.  Hasilnya telah diuji.  Galah boleh digunakan lagi.

Wednesday, December 18, 2013

Kreativiti Batang Pancing Menjadi Galah

DI SEKELILING rumah kita, atau rumah jiran, malah di kawasan tempat kerja, kadang-kadang ada pokok buah-buahan.  Malangnya apabila tiada galah, kita boleh tengok sahaja buah yang masak ranum di dahannya.  Justeru, inovasi berikut boleh dicuba:

 Dapatkan joran saudara kita yang dah tak guna lagi tu, atau beli saja yang baru dengan harga sekitar RM45.00 di kedai pancing.  Pastikan ia adalah joran jenis teleskopik atau antena yang boleh ditarik keluar menjadi panjang atau ditolak ke dalam menjadi pendek.
Buang 'section' paling hujung kerana ia lembut/mudah melentur.  Dapatkan sabit kecil di kedai 'hardware' dengan harga sekitar RM6.00.  Ikat sabit pada hujung batang joran dengan menggunakan getah belada atau getah tayar motor.


Akhirnya siaplah galah untuk kait buah sukun.  Bukan sahaja sukun, boleh juga kait buah manggis, rambutan, ciku, mangga dll.  Galah ini boleh disimpan dalam boot kereta.  Kalau balik kampung, boleh pula guna di sana. Kalau nak galah yang lebih panjang, belilah batang pancing yang lebih panjang, tapi harganya pun lebihlah sikit.  Selamat mencuba!

Tuesday, December 17, 2013

Kreativiti Buku Menjadi Catur

DAYA kreatif tidak terhad kepada keupayaan seseorang menulis cerpen, novel dan sebagainya.  Kali ini saya ingin kongsikan kreativiti saya menjadikan buku terpakai kepada papan catur yang tersembunyi.  Pertama sebuah buku lelong dengan harga RM5.00.  Buku ini saya potong bahagian dalam, kemudian masukkan papan catur kecil yang boleh muat.  Tiada siapa sangka ianya adalah papan catur sehingga membukanya.  Buku(dam catur) ini saya buat pada 25/3/2005.


Kedua, buku dam catur ini saya buat lebih awal dari yang di atas, iaitu pada 12 Julai 1990. Apa yang diperlukan ialah sebuah buku nota kulit tebal, dam catur kecil yang ada banyak dijual di kedai, beberapa keping besi tipis, dan magnet.  Tebuk buku mengikut ukuran dam catur dan tampal papan catur dengan gam.  Bahagian tepi boleh diletakkan magnet supaya buku ini sentiasa tertutup rapat atau tidak mudah terbuka.