Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, February 20, 2019

Musim Kekabu Datang Lagi


HUJUNG bulan lepas pejabat saya mengadakan gotong-royong sehari membersihkan kawasan sekitar bagi membendung pembiakan nyamuk Aedes punca wabak Denggi. Antara aktiviti ialah bersihkan longkang dan menebang menebas tumbuhan yang tidak diperlukan. Suatu ketika saya ternampak dua pokok kekabu lagi di pinggiran kawasan.  Sebelum ini saya tidak perasan pun ada pokok kekabu di situ mungkin kerana terlindung bangunan jika saya berada di pokok kekabu yang selalu saya kunjungi. Kali ini saya nampak, mungkin berada berdekatan selain buahnya yang masih hijau bergayut lebat.

Minggu lepas saya tinjau lagi dan didapati buahnya telah matang untuk dituai.  Oleh itu mulai petang Isnin, selepas waktu kerja, saya kait kekabu menggunakan galah bersabit di hujungnya. Setiap petang saya peruntukkan antara 30-40 minit untuk mengutip hasil seberat 2kg selepas dibuang kulitnya yang sudah kering.  Dalam masa lima hari saya dapat 10kg.
Kekabu ini perlu dijemur di tengah panas supaya benar-benar kering sebelum disimpan.  Oleh kerana kekabu kali ini memang sudah cukup matang dan kering semasa dituai, selepas dijemur pun beratnya tidak banyak perbezaan.  Berat sebenarnya nanti akan berkurang selepas dibuang biji dan empulurnya.