Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, December 19, 2014

Baca Buku-buku Klasik


BUKU-BUKU dalam pelbagai kategori memang banyak dalam simpanan hinggakan bengong untuk memilih yang mana satu untuk dibaca.  Motivasi untuk membaca buku-buku lama ini timbul apabila seseorang 'berhajat' akan buku-buku klasik yang dalam simpanan itu.  Sebelum 'melepaskannya' rasa terpanggil untuk membacanya atau menghayatinya untuk kali pertama atau terakhir.  Pertama kerana selama ini hanya 'disimpan' sahaja di rak buku tanpa membacanya.  Kalau pernah membacanya pun, dah lupa akan isi kandungannya.  Sebanyak 11 buah buku saya 'lepaskan' hak milik. Membaca buku "Chepu Kenchana", Antologi Cherita2 Pendek Dunia terbitan Oxford University Press, Kuala Lumpur chetakan kedua (di-perbaiki) 1961, iaitu buku dalam Seri Sastera Timur dan Barat ini, ia memuatkan tulisan/cerita2 bertajuk "Pertanda" oleh Honore De Balzac (1799-1850; Peranchis); 'Jantong Yang Membuka Rahsia"oleh Edgar Allen Poe (1809-1849; Amerika), "Dua Orang Tua" oleh Leo Tolstoy (1828-1910; Rusia), "Kalong" oleh Guy De Maupassant (1850-1893) dan beberapa cerita lagi.  Membaca "Kisah Pelayaran Abdullah" (1960), pula terasa seperti baca berita.  Bagaimanapun beberapa perkataan seperti "hatta, shahdan, kalakian, dan arakian" bolehlah diketahui maknanya dalam buku ini.

Monday, December 15, 2014

Kolam Pancing Danau Pinggiran, Putrajaya.

Ikan Patin 6kg yang berjaya didaratkan.

KOLAM ini adalah tempat biasa saya memancing.  Selalunya sebulan sekali akan ke sini dengan rakan-rakan sepejabat. Pernah juga bawa isteri dan anak sebagai riadah dan jalan-jalan luaskan pandangan. Pada 11/12/14, cuti am sempena Hari Keputraan Sultan Selangor, mungkin paling meriah kerana saya ke sana bersama tiga orang lagi rakan sepejabat dan seorang jiran sebelah rumah, menjadikan trip kali ini lima orang.  Awalnya seperti biasa gunakan umpan untuk ikan Rohu, tetapi seperti tidak laku, lalu saya gunakan pula roti kentang + pati strawberi.  Alhamdulillah, sekejap sahaja dimakan Patin.  Ikan Patin seberat 6kg berjaya didaratkan.  Disebabkan saya nak ikan yg beratnya kurang 3kg supaya boleh dibawa balik, saya tumpukan pada umpan Rohu sahaja.  Malangnya Rohu tak makan-makan.  Menjelang tamat masa, saya pun berkemas-kemas.  Seorang lelaki yang berkongsi bangsal/gazebo yang sama, minta saya berikan sahaja umpan lebihan kepadanya.  Saya beri palet 6363 + minyak pisang dan roti kentang + strawberi,  Dia kata 6363 itu kalau dibiar masam boleh pancing ikan Pacu.  Umpan roti kentang itu pula terus dibalut pada mata kailnya dan dilontar ke tengah kolam, tiga minit sebelum saya pulang.  Saya kata pada jiran saya, kalau dia nak dapat pun biarlah kita dah balik.  Besok paginya saya tanya pada rakan sepejabat kerana mereka balik lambat, samada 'brother' itu dapat ikan setelah saya pulang?  Mereka kata ya.  Berumpankan roti berwarna merah, lelaki itu dapat Patin yang jauh lebih besar hinggakan mereka semua terpaksa angkat joran masing-masing untuk elakkan tali terbelit.  Wah, macam keterbalikan cerita 'ayam menang kampung tergadai' versi umpan saya yang 'power' orang lain yang dapat ikan.  Ah, tak apa, tak apa, nak bagi kenalah ikhlas kan.

Wednesday, December 10, 2014

Baca Novel Ramlee Awang Murshid


PADA  bulan Oktober lepas, setelah agak lama tidak membaca novel, tergerakdi hati nak baca novel.  Kebetulan anak saya ada membeli novel "Sunan Nanggroe Sang Kembara".  Teruja juga dengan tajuknya kerana saya pernah membaca semua enam buah novel Ramlee Awang Murshid berkaitan Sunan dengan keris Nanggroenya yang bermula dengan Bagaikan Puteri diikuti oleh Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, Sutera Bidadari dan Sunan Musafir.. Banyak hari juga diperlukan untuk 'khatam'.  sedang seronok membaca hingga halaman terakhir, rupanyanya di penghujungnya tertulis perkataan "Bersambung..."  Wah, novel prolog daripada siri tersebut pun ada sambungannya...!?

PADA 4/11/14, semasa Pesta Konvokesyen UPM Ke-38, saya sempat ke sebuah booth buku dan bertanyakan buku sambungan novel Sunan Nanggroe Sang Kembara.  Penjual itu kata dia bawa lima buah sahaja dan dah habis dijual.  Kemudian pada 15/11/14, semasa Putra Canselor Festival dimana saya terlibat dengan pertandingan catur, saya sempat ke booth penjual yang sama dan dapat beli novel Ramlee Awang Murshid; "Raudhah".  Saya beli juga sebuah lagi novel RAM "Aku Bercerita"

MEMANGLAH "Sunan Nanggroe Sang Kembara" novel ke-23 Ramlee Awang Murshid dan "Raudhah" novel ke-24, tetapi ia bukannya sambungan seperti yang saya sangka. Ia adalah cerita yang lain sama sekali.  Bagaimanapun dah beli, kenalah baca juga sampai tamat.  Dan sekarang saya sedang membaca novel "Aku Bercerita".

Thursday, December 4, 2014

Kolam Pancing Seksyen 24

Ikan Patin Mekong yang berjaya didaratkan

DALAM kalangan kaki pancing, kolam ini sering menjadi sebutan.  Justeru, tidak hairanlah kalau hati teruja untuk menjejakinya waima sekali pun memadailah.  Maka perancangan pun dibuat tiga minggu sebelum 27 November 2014 itu. Persiapan yang dibuat antaranya memohon cuti rehat kerana hari Khamis, menyediakan perambut dan joran yang sesuai kerana khabarnya ikan di situ bersaiz bagak, dan semestinya umpan yang 'power' agar sudi jadi santapan Patin Mekong.

PERSIAPAN kali ini ialah menggunakan joran Silstar 17lbs, kekili ABU Cardinal 702LX, tali benang Sufix Performance 20lbs, mata Gamakatsu Chinu, dan snap swivel Owner kecil tetapi berkekuatan 17lbs/8kg. Manalah tahu kalau-kalau terkena ikan besar!?.  Bukan tak pernah jorang patah sewaktu menaikkan Patin. Umpan pula agak pelbagai. Trip kali ini pergi bertiga dengan rakan sepejabat. Dipendekkan cerita, maka sampailah ke kolam Seksyen 24 Shah Alam itu setelah tersasar juga ke tempat lain. Dipendekkan cerita juga, maka syukurlah saya berjaya menaikkan ikan pertama.  Sepuluh minit pertama melayannya, ikan masih jauh di tengah.  Terlalu penat dan lengoh tangan, saya serahkan joran pada rakan. Sepuluh minit lagi dia layan barulah dapat didaratkan  Oleh kerana mata pancing sangkut pada ekor, maka tidak sah untuk dipertimbangkan ikan terberat. Kami anggarkan beratnya sekitar 14kg. Maka pecahlah rekod peribadi yang selama ini paling berat pun pernah dinaikkan ialah 4kg sahaja.

SETERUSNYA dengan menggunakan umpan yang biasa untuk Rohu, saya dapat seekor lagi Patin Mekong. Kali ini lebih kecil. Ditimbang di kaunter, beratnya 6.7kg.  Ikan dilepaskan semula ke kolam.  Seterusnya dengan menggunakan dedak 6363 campur minyak pisang, dapat seekor lagi, lebih kecil daripada yang kedua. Dengan anggaran 3.5kg, ikan dilepaskan semula ke dalam air kerana di kolam ini hanya ikan di bawah 2kg sahaja boleh dibawa balik.  Selepas enam jam memancing kami pun bersiap untuk pulang ke Serdang.

Monday, November 24, 2014

"What Did U Do Last Saturday?"

 Pagi: ke pertandingan catur

Malam: ke Majlis Makan Malam Homecoming VIII (Alumni UPM)

DENGAN izin ya.  Mengguna kan satu ayat Bahasa Inggeris dalam satu wacana Bahasa Melayu. Apa yang saya buat Sabtu lepas?  Bukan Sabtu kelmarin.  Sabtu kelmarin (22/11/14) saya mengunjungi MAHA 2014 di MAEPS, Mardi, Serdang.  Bukan mudah melawat pelbagai pameran dan jualan dalam kawasan yang begitu luas dengan masa yang begitu sedikit.  Saya sempat beli buah-buahan, iaitu rambai, tampoi, limau manis Serawak, dan limau bali.  Di dewan makanan pula, saya sempat beli mi bandung Muar, Laksa Perlis, nasi Arab Maqlubah, dan kacang pool haji.

SABTU lepas (15/11/14) saya menyertai kejohana catur sempena Putra Canselor Karnival (14-16/11/14).  Saya korbankan pusingan ke-4 kerana menghadiri majlis perkahwinan anak seorang sahabat.  Selepas solat Zohor bergegas ke Kolej Canselor semula.  Rupanya saya juga kalah W/O pusingan ke-5 kerana lambat 10 minit. Seterusnya saya menang 'game' ke-6 dan seri 'game' ke-7.  Malamnya pula menghadiri Majlis Makan Malam Homecoming VIII - Sirih Pulang ke Gagang 2014 di Dewan Besar UPM anjuran Alumni.

Thursday, November 20, 2014

RON 97 Turun Harga 20 Sen


SEMALAM (19/11/14) harga minyak Petrol RON 97 turun 20 Sen.  Turun daripada RM2.75 kepada RM2.55.  Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penurunan harga ini kerana saya adalah antara pengguna RON 97.  Ramai orang kata, orang kaya sahaja guna RON 97.  Sebenarnya tidak begitu.  Saya bukan orang kaya, malah kereta saya cuma sebuah itulah, iaitu Proton Saga Iswara yang saya beli pada tahun 1997.  Makna kata saya telah menggunakan RON 97 sejak 17 tahun lalu.  Hal ini demikian kerana sebagai seorang Pembantu Makmal, kemudian Penolong Pegawai Sains, saya memang terdidik melakukan sesuatu mengikut spesifikasi yang ditetapkan.  Mesti akurasi dalam istilah sains.  Ini jelas jika dilihat pada penutup tangki minyak kereta yang tertera 97 + OKTANA (OCTANE).  Saya tidak rasa rugi waima pada harga RM2.75 sebelum ini kerana merasakan hitungan batu lebih jauh, enjin kereta lebih tahan, dan kuasa pecutan lebih bertenaga.

Thursday, November 13, 2014

Hari Kitar Semula Kebangsaan



SEMPENA "National Recycling Day" atau Hari Kita Semula Kebangsaan yang berlangsung pada 11 Nov. 2014, saya berbasikal sebagai satu daripada acara kempen kesedaran yang diadakan selain pameran poster-poster, pengumpulan bahan-bahan kitar semula, kraftangan daripada bahan terpakai dan lain-lain lagi.

Wednesday, November 12, 2014

Hari Penghargaan dengan Kuntuman Mawar


SEMALAM saya dikejutkan dengan pemberian tiga kuntum Mawar. Sekuntum daripada sekumpulan pelajar dan dua lagi daripada individu. Satu daripadanya tercatat "Happy Appreciation Day" dan "Terima kasih banyak membantu kami".  Turut diterima sebungkus coklat.  Sesungguhnya saya hanya menjalankan tugas dengan sedikit tolak ansur apabila diperlukan serta tidak pernah mengharapkan penghargaan sedemikian rupa. Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada mereka yang bersusah-susah menghadiahkan kuntuman mawar tersebut.

Tuesday, November 4, 2014

Pokok Puding Hitam

 Pokok Puding Hitam
Nasi putih berlauk rendang ayam puding hitam

TIDAK semua tempat di negara ini, atau dengan kata lain, bukan semua masakan rendang ayam atau rendang daging dicampur pucuk puding hitam dalam resepi mereka.  Di tempat saya di Selatan tanah air memang tidak ditemui puding hitam dalam rendang.  Hanya empat-lima tahun ini baru disedari bahawa puding hitam banyak diguna oleh orang Negeri Sembilan dalam masakan rendang mereka.  Sejak itulah saya menanam banyak pokok puding hitam samada dalam pasu di rumah atau di tanah lapang berdekatan tempat kerja.

Monday, October 13, 2014

Tulisan Jawi



HARI Raya Kurban minggu lalu ramai orang berkunjung ke masjid dan surau atau tempat-tempat khas untuk penyembelihan kurban.  Biasanya saya hanya ke surau berdekatan dan terlibat sebagai orang awam yang datang dengan sebilah parang yang telah diasah tajam, membantu melapah atau memotong, kemudian dapat sebahagian daging kurban.  Kali ini, pada 5 Oktober 2014 lalu, saya di kampung, ditugaskan oleh ayah saya menguruskan kurban seekor lembu.  Penyembelihan dilakukan di kandang lembu yang jaraknya lebih 25km dari kampung.  Ayah saya menyerahkan senarai nama-nama arwah dengan niat kurban-imarah, mudah-mudahan pahalanya sampai kepada mereka.  Apa yang menarik ialah dia menulis senarai itu dalam tulisan jawi. Kita pun sedia maklum bahawa tulisan jawi semakin terpinggir sekarang. Lembu pilihan ini hanya dapat disembelih pada jam 12.30 tengah hari kerana giliran ke 15 daripada 20 ekor.  Dan saya yakin senarai inilah satu-satunya senarai dalam tulisan jawi.

Thursday, October 9, 2014

Kem Anak Alam 2014

Bergambar ramai sebelum pulang. Kredit gambar untuk En. Zamani.

BARU-BARU ini saya berpeluang menyertai Kem Anak Alam yang berlangsung pada 19-21 September 2014 di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor.  Antara aktiviti yang dijalankan ialah 'jungle tracking, water confidence, tresure hunt' dan aktiviti tali.  Semasa 'jungle tracking' kami diperkenalkan dengan pelbagai jenis pokok dan kraftangan menggunakan buluh.  Semasa aktiviti 'water confidence', kami diajar bagaimana mengapungkan diri dan mengenal-pasti samada seseorang itu jenis timbul atau tengelam dalam air.  Antara aktiviti 'tresure hunt' ialah mengenal pasti bawang, kentang, karot dll berdasarkan bau dan mata ditutup.  Sementara aktiviti tali, setiap peserta setelah memakai alat keselamatan, meniti atas satu tali, meniti atas tali sarang lelabah, dan 'flying-fox' atau 'abseiling'.

Sunday, September 21, 2014

Serupa Tapi Tidak Sama II

 Kamera A
Kamera B

PERSAMAAN dua kamera di atas ialah kedua-duanya kamera Canon, digital dan jenis kompak.  Imej kamera A diambil daripada kamaera B dan begitulah sebaliknya.  Kamera B, iaitu Canon SX600HS baru sahaja dibeli awal bulan ini bagi menggantikan kamera A, iaitu Canon IXUS115HS.  Kenapa SX600 tidak yang lain?  Memang ada model lain yang lebih berfungsi dan berharga, tetapi pilihan ini kerana bajed sekitar RM700, peningkatan MP drp 12 kepada 16; zoom drp 4X15 kepada 18X15, dan saiz lens yang besar sedikit.  Cukuplah sekadar yang ini.  Persoalan lain ialah kenapa tidak DSLR?  jawapannya selain soal bajet, kamera ini mudah dibawa muat poket seluar.  Juga bukan jurugambar profesional yang buat duit dengan kamera.  Sekadar memenuhi hobi mengambil gambar terutamanya yang perlu dijadikan kenangan/nostalgia dan membantu mereka yang juga perlukan gambar-gambar kenangan.

Tuesday, September 16, 2014

Serupa Tapi Tidak Sama


DUA bilah gunting di atas kelihatan serupa.  Bezanya ialah yang di atas berharga RM3.00 sementara yang bawah berharga RM13.00 sebelum tawar-menawar.  Yang sebelah atas memang cukup tajam untuk memotong kertas, tapi tidak lut untuk memotong tali pancing yang diperbuat daripada benang (braided line).  Kekadang kena belanja lebih sedikit untuk memenuhi spesifikasi....

Tuesday, August 26, 2014

Catur Penyumbang Pingat Kontigen

 Bergambar ramai sebelum pertandingan.  Dr. Adrian tukang ambil gambar

 Ketika menerima hadiah pingat Gangsa

 Bergambar ramai selepas menerima pingat

Pingat dimenangi sebagai kenangan

HARI ini 30 Syawal 1435H.  Harap belum terlambat untuk memohon maaf zahir dan batin sempena bulan mulia ini.  Begitu lama tidak menulis dan memancing rasanya.  Hanya sempat memancing satu jam pada suatu petang Ramadan lalu.  Hal ini demikian, antaranya kerana sibuk dengan pemilihan, latihan, dan pertandingan catur.  Dipendekkan cerita saya terpilih mewakili UPM ke Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti di UTM Skudai, Johor (13-23 Ogos 2014).  Misi kali ini ialah mendapat pingat (sebarang warna) kerana tahun lepas hanya tempat keempat.  Alhamdulillah selepas menempoh pertandingan yang kadang-kala penuh dramatik, akhirnya pasukan catur lelaki mendapat tempat ketiga (pingat gangsa).  Kami tumpang gembiran dengan kejayaan pasukan catur wanita yang mengungguli kejohanan ini (pingat emas) buat kali ketiga berturut-turut.
 Buah Sentul

SEPANJANG kejohanan ini kami ditempatkan di Blok M25 Kolej Tun Dr. Ismail.  Betul-betul di sebelah tempat penginapan kami terdapat sepohon Sentul yang sangat tinggi, rendang, dan lebat buahnya.  Banyak buah sentul bertaburan di atas rumput.  Sayangnya tiada galah untuk menjolok.  Daripada segi makan tengah hari dan malam, boleh dikatakan makanan di sini sedap-sedap belaka.  Samada dalam kampus mahupun di restoran sekitar Taman Universiti berhampiran.  Beberapa kali kami menjamu selera di Restoran Mak Jah dalam kawasan Universiti, dan Restoran Agus di Taman Universiti. Sesungguhnya perjalanan kali ini memang memuaskan.

Tuesday, July 22, 2014

Kurma dan Ramadan


KURMA dan Ramadan memang tidak dapat dipisahkan. Walaupun kurma boleh didapati sepanjang tahun, tetapi ketika Ramadanlah kurma berada di mana-mana.  Suatu waktu dulu saya pernah berhabis hampir RM100 dalam bulan Ramadan kerana membeli kurma.  Berlainan kali ini, pagi tadi adalah kali keempat menerima sedekah kurma.  Sebelum ini terima daripada Kelab Sosial dan Kebajikan FPAS, Persatuan Penolong Pegawai Sains, dan Alumni UPM.  Pagi tadi terima daripada Kedai Buku Koperasi UPM.  Maknanya kali ini satu sen pun belum dibelanja untuk membeli kurma bagi Ramadan kali ini.
Dan ketika hendak menulis catatan kali ini, tiba-tiba pintu bilik saya diketuk.  Seseorang datang membawakan sedekah dalam bentuk sebalang biskut tat nanas.  Allhamdulillah, syukur nikmat, rezeki begitu murah hari ini.

Thursday, July 10, 2014

Kembali ke Sukan Catur


KETIKA melibatkan diri dalam sukan ping pong sebelum ini, pasukan saya berjaya menjadi naib juara kumpulan dalam pusingan pertama.  Bagaimanapun tersekat ke suku akhir pada pusingan kedua.  Kini saya kembali kepada Catur.  Dalam perlawanan pemilihan pemain pasukan untuk ke sukan SUKUM2014 di UTM pada bulan Ogos nanti saya seri dengan semua lawan dan Alhamdulillah akhirnya terpilih.  Semoga kali ini semua ahli pasukan dapat bermain dengan cemerlang bagi mengulangi sejarah menjadi juara atau sekurang-kurangnya naib juara yang pernah diraih sebelum ini...

Friday, June 13, 2014

Beralih Arah ke Sukan Ping Pong

SATU daripada permainan yang saya suka ialah Ping-Pong atau 'table tenis'.  Sekarang adalah musim sukan antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan ping-pong berlangsung mulai 9 Jun 2014.  Dalam kejohanan ini setiap PTJ perlu hantar pemain perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu veteran lelaki, dan beregu campuran.  Saya mewakili beregu lelaki veteran dan perlu menentang tiga pasukan untuk penentuan johan dan naib johan kumpulan.  Setakat hari ini saya dah bermain dua kali.  Alhamdulillah kali pertama menang 3-1 (kumpulan menang 4-1) dan kali kedua menang 3-0 (pasukan menang 3-2).  Hari Isnin depan akan bermain sekali lagi.  Dan perjalanan masih jauh.  Ada pusingan kedua untuk naib johan kumpulan, suku akhir, separuh akhir, dan akhir.

Wednesday, June 11, 2014

Pabila Tidak Lagi Jadi Jurugambar

a
PROGRAM Seminar Projek Pelajar Tahun Akhir berlangsung setiap tahun.  Sebelum ini sayalah yang selalu mengambil gambar mereka.  Jurugambar memang selalunya tidak berada dalam gambar.  Tetapi dalam seminar yang berlangsung pada 9 dan 10 Jun 2014 ini tugas saya menyediakan buku program dan menjaga masa/menekan loceng satu daripada sembilan sesi.  justeru, pabila saya tidak lagi menjadi 'fotographer' saya dapat berdiri bersama pelajar di barisan paling belakang dalam sesi bergambar ramai kali ini.

Thursday, May 15, 2014

Penemuan Visual


SEKADAR mengacu kamera ke arah objek kemudian Klik!  Objek pula akan menarik jika kebetulan ada 'penemuan visual' dan kamera ada di tangan.  Kerapnya 'penemuan visual' akan lenyap sekelip mata.  Hal ini kerap berlaku sewaktu terlihat mentari merah bulat di ufuk Barat.  Cantik bukan main, tetapi selepas mengambil kamera di rumah, mentari tadi sudah pun tengelam atau terlindung awan.  Balik kepada fotografi di atas, mereka yang pandai menulis mungkin terilham untuk menulis puisi tentang seorang gadis yang merenung kejauhan merentasi tasik dan perbukitan.  Atau ada tafsiran yang lebih seni dan dalam.
GAMBAR ini saya rakam menggunakan kamera Nikon D300 milik pejabat ketika membawa pelajar-pelajar kursus Studio Perancangan Alam Sekitar di lapangan pada 5/3/2012.

Thursday, May 8, 2014

Antara Menulis dengan Melukis 2

Sembilan daripada 19 buah lukisan yang telah disiapkan

JIKA sebelum ini saya ada menyiarkan lukisan yang diadaptasi daripada nukilan puisi/sajak, kali ini dipaparkan pula lukisan yang diadaptasi daripada cerpen.  Pelajar diberi satu salinan tajuk cerpen daripada cerpen-cerpen tulisan saya sendiri yang pernah tersiar dalam majalah.  Mereka dikehendaki memahami jalan cerita kemudian memindahkan ke dalam bentuk lukisan.  Cuma kali ini setiap lukisan dilukis oleh sekumpulan dua orang bagi menekankan kerjasama.  Lukisan dibuat atas satu keping 'Ilustratioan Board' bersaiz 508mm X 762mm.

Thursday, April 10, 2014

Suatu Penghijrahan


TERINGAT semasa saya menyertai kursus perkahwinan suatu masa dulu (kalau tak silap), seorang Ustaz pernah menyarankan jika kita naik bas ke tempat kerja jam 7.30pg setiap hari, kemudian masih juga tidak menemu jodoh, cuba naik bas jam 7.00pg pula.  Mungkin jodoh dan pertemuan ada di situ. Wah, apa pula kaitannya dengan gambar di atas? Sesekali saya pergi memancing di kolam bertuan. Biasanya dapatlah dalam dua-tiga ekor di tempat biasa dan umpan yang biasa.  Kali ini saya harus berterima kasih kepada En. Zulkefley yang menyarankan satu 'port' lain waima di kolam yang sama.  Juga terima kasih kepada En. Zainordin yang menyarankan resepi umpan terbaik  Sebelum ini saya tidak pernah mencuba dedak 923 itu.  Macam suatu penghijrahanlah kiranya.  Hari Selasa 8 April itu saya ambil cuti rehat sewaktu pejabat saya kosong sekosong-kosongnya. Ramai yang kerja luar ke Pulau Pinang, ada yang berkursus, ada yang bercuti juga. Sebab itu saya membawa diri ke Danau Pinggiran, Putrajaya.  Alhamdulillah pencapaiannya agak luar biasa,  Jangankan nak baca buku, nak makan dan minum menghilang dahaga pun tak sempat. Mudah-mudahan kalau saya sesekali pergi "melapangkan fikiran" lagi, dapatlah seperti ini lagi. Amin.

Monday, March 31, 2014

Antara Menulis dengan Melukis


BUKAN saja-saja memilih tajuk ini. Menulis dan melukis memang genre yang berlainan, tetapi kita tentu pernah mendengar tentang sebuah drama atau 'movie' yang diadaptasi dari sebuah novel.  Mungkin ini agak baharu apabila lukisan di atas diadaptasi dari puisi atau sajak.  Itulah hakikatnya.  Daripada sembilan buah lukisan di atas, tiga daripadanya adalah adaptasi daripada sajak-sajak "Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya" oleh Usman Awang, "The World is too Much With Us" oleh William Wordsworth, dan "Bila Langit Tak Lagi Biru" oleh Lim Swee Tin.  Bagaimanapun lukisan di atas hanya dilukis oleh pelajar-pelajar jurusan Bacelor Pengurusan Alam Sekitar yang mungkin itu kali pertama mereka melukis. Kredit untuk Dr. Ruzaimi Mat Rani yang telah memberi tip dan sedikt tunjuk-ajar semasa 'persinggahannya' di Studio 1, tempat saya bertugas, suatu masa dahulu.  Lukisan tersebut dibuat atas Ilustration board bersaiz 508mm X 762mm yang dipotong dua.

Thursday, March 27, 2014

Antara Memancing dengan Menulis

Peralatan memancing dan ikan Patin di kolam Danau Pinggiran pada Dis. 2013

APA sahaja yang berlaku di dunia ini boleh dijadikan bahan untuk menulis.  Bahkan benda yang belum berlaku pun boleh diimaginasikan dan ditulis, contohnya fiksyen sains.  Justeru, memancing dan menulis memang tidak terkecuali.  Cerpen "Tapah" oleh Lim Swee Tin yang memenangi Sayembara Cerpen Esso-Gapena III dan "Kelah Sisik Merah" oleh Baharuddin Kahar adalah antara cerpen yang berkisar tentang memancing dan ikan.  Malah cerpen tersebut telah menjadi klasik dan malasegar.  Di peringkat sarwajagat pula novel "Orang Tua dengan Laut" oleh Hemingway yang mengisahkan seorang tua dengan perahu kecilnya berjaya memancing atau menangkap seekor ikan yang besar, sering diperkatakan. 

Tuesday, March 11, 2014

Antara Catur dengan Memancing



 Sewaktu menyertai Pertandingan Catur Persahabatan UPM lawan Pejabat Kastam 8/11/2013

PAGI semalam seorang rakan bernama Zul tanya saya samada nak sertai pertandingan memancing di Danau Pinggiran anjuran sebuah masjid berhampiran.  Dengan seret-meret saya setuju dan hulur yuran penyertaan RM10.00.  Sangat murah kerana bayaran memancing biasa pun RM20.00.

Hanya selang beberapa minit seorang rakan bernama Sul pula datang dan tanya samada saya nak sertai pertandingan catur.  Dengan serta-merta juga saya setuju, waima yuran penyertaannya RM25.00.

Jika anda kaki pancing, masih ada masa untuk sertai.  Hubungi En. Rahmat 019-2559912 kerana tarikh riadah tersebut pada 15 Mac 2014.

Jika anda kaki catur juga masih ada masa kerana tarikh kejohanan pada 29 Mac 2014.  Hubungi Cik Rosni 013-9677270 atau lawat Http//mtm1314.wix.com/pcc2014.

Friday, March 7, 2014

Antara Boling dengan Catur


SELAMA ini saya beri tumpuan pada sukan catur selain sesekali berpeluang melibatkan diri dalam sukan lain.  Dalam bidang catur, pencapaian tertinggi saya ialah menyertai kejohanan MAKSAK dengan mewakili Selangor. Itu lama sangat dah dulu.  Sekarang untuk mewakili universiti tempat bertugas pun dah sukar kerana ramai bakat-bakat baru yang tinggi komitmen mereka. Boling pula memang tidak pernah saya sentuh.  Hanya selepas usia mencecah setengah abad, iaitu  pada 8 Februari 2014 baharulah saya dapat merasa bermain boling. Pada tarikh itu berlangsunglah kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan oleh Kelab Sosial dan Kebajikan tempat bertugas.  Kejohanan tersebut dijalankan di Kelab Golf Bukit Jalil.  Ternyata main boling lebih mudah dan menyeronokkan.  Bermain catur memaksa otak diperah semacam untuk bermain satu 'game' dalam tempoh dua jam.  Oleh yang demikian, catur bolehlah diletakkan pada kelas yang agak tinggi.  Ramai orang boleh bermain boling berbanding catur.  Malam kelmarin saya bermain boling lagi dengan rakan-rakan.

Friday, February 21, 2014

Antara Ikan Patin dengan Ikan Rohu


Ikan Rohu 4.00kg.
"MISI membalas budi".  Itulah antara matlamat saya kali ini apabila turun memancing setelah hampir dua bulan tidak turun.  Entri saya sebelum ini ada penjelasan tentang seorang rakan sepejabat telah membelikan saya seekor ikan Patin sangkar dari Temerloh, Pahang.  Dia tunaikan permintaan saya tanpa mahu menerima wangnya.  Saya berhasrat membalasnya dengan Rohu tanpa mahu menilai harganya juga.  Alhamdulillah, pada 19 Februari 2014 di kolam Danau Pinggiran, Putrajaya, bukan sahaja tiga ekor Rohu dapat didaratkan, malah ikan Rohu terberat kali ini ialah 4.00kg sedangkan selalunya sekitar 1.8kg sahaja seekor..  Joran Lion Stick yang digunakan juga terbukti kuat. Tidak patah.

Tuesday, February 4, 2014

Ikan Patin Gulai Tempoyak: Masa Untuk Memasak!

 Gulai tempoyak ikan Patin yang saya masak

LAMA dah nak ke dapur sesekali untuk mencuba bakat.  Entri saya sebelum ini pada 24/9/13 bertajuk soalan retorik "Masa Untuk Memasak?"  Saya kata "tentu tidak".  Tetapi, kebetulan seorang rakan sepejabat balik kampung di Temerloh, Pahang sempena cuti raya Cina, saya pun kirim minta belikan ikan Patin sangkar barang seekor.  Semalam saya menerimanya, petang semalam juga saya terus memasaknya.  Masak apa?  Tentulah gulai tempoyak ikan Patin!  Resepi pilihan ialah Gulai Tempoyak Ikan Patin Kak Wan D'like yang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita keluaran Januari 2014.  Alhamdulillah, nampaknya menjadi!

Monday, January 6, 2014

Kreativiti Pantulan

SELAMAT tahun baharu 2014.  Sebagai pembuka tirai, kali ini masih tentang kreativiti.  Dalam Mingguan Malaysia semalam (5/1/2014) ada artikel bertajuk Kreativiti Pantulan SINI.  Ruangan ini adalah tentang dunia fotografi kendalian Abd Halim Hadi.  "Pantulan atau refleksi merupakan salah satuu teknik fotografi popular dan sering diguna untuk menghasilkan gambar menarik dan kreatif".  Sebagai peminat kamera, saya sendiri ada satu koleksi, dan antaranya seperti berikut:
Ini bukanlah koleksi terbaik.  Ada satu lagi yang bayang-bayangnya di air tenang dan nampak wajah-wajah sebahagian mereka.  Cuma sewaktu menulis ini, saya tak pasti di mana saya sorok gambar itu.  Gambar ini diambil di Taman Negara Pahang.  Kamera yang saya gunakan pula ialah Nikon D300.