Ikan Patin Mekong yang berjaya didaratkan
DALAM kalangan kaki pancing, kolam ini sering menjadi sebutan. Justeru, tidak hairanlah kalau hati teruja untuk menjejakinya waima sekali pun memadailah. Maka perancangan pun dibuat tiga minggu sebelum 27 November 2014 itu. Persiapan yang dibuat antaranya memohon cuti rehat kerana hari Khamis, menyediakan perambut dan joran yang sesuai kerana khabarnya ikan di situ bersaiz bagak, dan semestinya umpan yang 'power' agar sudi jadi santapan Patin Mekong.
PERSIAPAN kali ini ialah menggunakan joran Silstar 17lbs, kekili ABU Cardinal 702LX, tali benang Sufix Performance 20lbs, mata Gamakatsu Chinu, dan snap swivel Owner kecil tetapi berkekuatan 17lbs/8kg. Manalah tahu kalau-kalau terkena ikan besar!?. Bukan tak pernah jorang patah sewaktu menaikkan Patin. Umpan pula agak pelbagai. Trip kali ini pergi bertiga dengan rakan sepejabat. Dipendekkan cerita, maka sampailah ke kolam Seksyen 24 Shah Alam itu setelah tersasar juga ke tempat lain. Dipendekkan cerita juga, maka syukurlah saya berjaya menaikkan ikan pertama. Sepuluh minit pertama melayannya, ikan masih jauh di tengah. Terlalu penat dan lengoh tangan, saya serahkan joran pada rakan. Sepuluh minit lagi dia layan barulah dapat didaratkan Oleh kerana mata pancing sangkut pada ekor, maka tidak sah untuk dipertimbangkan ikan terberat. Kami anggarkan beratnya sekitar 14kg. Maka pecahlah rekod peribadi yang selama ini paling berat pun pernah dinaikkan ialah 4kg sahaja.
SETERUSNYA dengan menggunakan umpan yang biasa untuk Rohu, saya dapat seekor lagi Patin Mekong. Kali ini lebih kecil. Ditimbang di kaunter, beratnya 6.7kg. Ikan dilepaskan semula ke kolam. Seterusnya dengan menggunakan dedak 6363 campur minyak pisang, dapat seekor lagi, lebih kecil daripada yang kedua. Dengan anggaran 3.5kg, ikan dilepaskan semula ke dalam air kerana di kolam ini hanya ikan di bawah 2kg sahaja boleh dibawa balik. Selepas enam jam memancing kami pun bersiap untuk pulang ke Serdang.
No comments:
Post a Comment