Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, July 30, 2015

Keladi Pertama Saya


BERBAGAI jenis pokok sudah ditanam dan banyak kali menuai hasilnya. Hanya beberapa bulan lepas saya menanam Keladi.  Sesekali beli Keladi di pasar lambak dengan harga yang agak  tinggi, terfikir pula kenapa tidak ditanam! Justeru, setiap kali beli Keladi, bahagian atasnya saya tanam.  Keladi (gambar) di atas merupakan hasil tanaman Keladi pertama saya.  Beratnya 1.2 kg.  Lepas ini, kalau nak makan Keladi tak payah beli dah.
Pokok Keladi yang ditanam di luar pagar.

Monday, July 27, 2015

Buah Binjai


SEMPENA Aidil-Fitri 1436H baru-baru ini, seperti biasa pulang ke kampung di Batu Pahat, Johor.  Di rumah mertua, hanya pokok Binjai (kemang?) yang berbuah.  Pokok ini sangat tinggi, lebih kurang 60-70 kaki (saya tak sempat ambil gambar pokok).  Batang pokok ini lurus dan besar, lebih kurang dua pemeluk orang dewasa.  Setiap pagi, apabila meronda sekitar pangkal pokok, dapatlah dalam tiga hingga empat biji.  Yang hairannya walaupun gugur dari dahan tinggi, ia tidak bonyok atau pecah. Cara memakannya kupas dan hiris isinya sama seperti buah mempelam (buah mangga) dan dimakan begitu sahaja.  Rasanya tersendiri dan manis.  Manis dan sedap.

Friday, July 3, 2015

Buat Bantal Kekabu Sambil Memancing



PELIK bunyinya kan.  Tapi itulah yang berlaku.  Semalam isteri saya minta tolong isikan kekabu untuk dibuat bantal pada hari minggu ini.  Saya kata "hari ini pun boleh".  Maka pagi itu juga sebelum jam 7.00pagi (biasanya saya ke pejabat jam 7.00 pagi) dia jahit dua helai sarung berbentuk empat segi tepat dengan sebahagiannya masih belum berjahit.  Maka saya bawalah satu bungkusan kekabu, dua helai kain baru jahit itu, dan sehelai lagi stok lama.  Jam 9.00pg, dari pejabat (saya ambil cuti rehat) saya bertolak ke Kolam Pancing Danau Pinggiran Putrajaya.  Hampir tiada siapa yang memancing, maklumlah bulan puasa.  Maka mulalah saya baling umpan dan letakkan lonceng pada joran agar ketika leka menyumbat kekabu nanti bolehlah dengar kalau ada ikan tersangkut pada mata pancing.  Menyumbat kekabu bukan kerja senang.  Kekabu perlu dilerai-leraikan supaya pengisian jadi sekata.  Itu yang menyebabkan kekabu mudah berterbangan.   Oleh itu perlu tutup hidung dengan sapu tangan bagi mengelakkan habuk masuk ke lubang hidung.  Namun ada juga yang singgah ke mata.  Seluar berwarna hitam jadi bercapuk putih.  Begitulah susahnya kalau nak tidur selesa.  Bantal diperbuat daripada span atau 'foam' memang kurang selesa.  Akhirnya dapatlah saya siapkan tiga buah bantal, siap berjahit bahagian lubangnya dan tujuh ekor ikan Lekoh.  Tiga daripadanya ada telor. Apa pun, mungkin lebih tepat lagi kalau tajuk wacana ini "Memancing Sambil Membuat Bantal". Betul tak!?  Apabila saya kata pada sang isteri bahawa saya isi kekabu sambil memancing, dia tidak terkata apa!  Bantal kekabu dapat, ikan pun dapat.