siapalah saya...
Friday, July 3, 2015
Buat Bantal Kekabu Sambil Memancing
PELIK bunyinya kan. Tapi itulah yang berlaku. Semalam isteri saya minta tolong isikan kekabu untuk dibuat bantal pada hari minggu ini. Saya kata "hari ini pun boleh". Maka pagi itu juga sebelum jam 7.00pagi (biasanya saya ke pejabat jam 7.00 pagi) dia jahit dua helai sarung berbentuk empat segi tepat dengan sebahagiannya masih belum berjahit. Maka saya bawalah satu bungkusan kekabu, dua helai kain baru jahit itu, dan sehelai lagi stok lama. Jam 9.00pg, dari pejabat (saya ambil cuti rehat) saya bertolak ke Kolam Pancing Danau Pinggiran Putrajaya. Hampir tiada siapa yang memancing, maklumlah bulan puasa. Maka mulalah saya baling umpan dan letakkan lonceng pada joran agar ketika leka menyumbat kekabu nanti bolehlah dengar kalau ada ikan tersangkut pada mata pancing. Menyumbat kekabu bukan kerja senang. Kekabu perlu dilerai-leraikan supaya pengisian jadi sekata. Itu yang menyebabkan kekabu mudah berterbangan. Oleh itu perlu tutup hidung dengan sapu tangan bagi mengelakkan habuk masuk ke lubang hidung. Namun ada juga yang singgah ke mata. Seluar berwarna hitam jadi bercapuk putih. Begitulah susahnya kalau nak tidur selesa. Bantal diperbuat daripada span atau 'foam' memang kurang selesa. Akhirnya dapatlah saya siapkan tiga buah bantal, siap berjahit bahagian lubangnya dan tujuh ekor ikan Lekoh. Tiga daripadanya ada telor. Apa pun, mungkin lebih tepat lagi kalau tajuk wacana ini "Memancing Sambil Membuat Bantal". Betul tak!? Apabila saya kata pada sang isteri bahawa saya isi kekabu sambil memancing, dia tidak terkata apa! Bantal kekabu dapat, ikan pun dapat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment