Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, May 28, 2009

Sabar dan Syukur

NOSTALGIA ini menggamit memori minggu lepas ketika terdengar ceramah Ustazah Nur Bahyah di televesyen.
Masa itu saya berumur kira-kira 15 tahun. Tinggal di sebuah kampung sejak kecil. Suatu hari saya sedang menaiki basikal dari rumah menuju ke arah simpang tiga di jalan besar. Suatu ketika saya berselisih dengan seorang budak perempuan. Saya tak ingat sama ada dia naik basikal atau jalan kaki. Tiba-tiba dia berkata "SS". Saya terkejut dan amat tersentuh. Anak siapakah budak perempuan yang saya tidak kenali itu tergamak berkata begitu? Saya tak kata apa-apa pun, hanya berpapasan!. Adakah "SS" itu bermakna syok sendiri? Sejak hari itu saya bertekad tidak akan menegur atau "mengacau" bebudak perempuan. Saya takut dikata "SS". Akibatnya saya tidak akan ada rakan perempuan kalau tidak budak perempuan itu tegur saya dulu. Malah isteri saya sekarang pun dulu dialah yang "kacau" saya dulu. Itu pun saya respons selepas tiga tahun kemudian. Minggu lepas Ustazah Nur Bahyah kata "SS" itu adalah sabar dan syukur. Baharulah saya seronok mendengarnya. Kita harus bersabar dalam menempuh ujian daripada Allah Azzawajalla. Kita patut bersyukur dengan apa yang ada. Sekiranya jika... kita melihat orang tak lulus SRP pun boleh pakai Mesedes sedangkan kita ada ijazah kelas pertama pun tidak punya apa-apa lalu mengeluh, maka bermakna kita tidak bersyukurlah tu. Untuk rasa bersyukur janganlah tengok ke atas. Tengoklah pula ke bawah. Tengok kesusahan orang yang membongkar tong sampah untuk mencari rezeki. Tengok orang yang menderita terperangkap dalam kancah peperangan. Tengok orang yang sedang sakit tenat di hospital. Akhirnya selepas 30 tahun barulah saya tahu makna "SS", ialah "Sabar" dan "Syukur"!

No comments:

Post a Comment