Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, July 17, 2009

Buku Catur

SEBELUM ini saya ada menyiarkan entri tentang buku catur pertama. Buku itu menjadi sumber pengetahuan tentang notasi pergerakan catur. Bermula dengan buku pertama, maka bertambah-tambahlah koleksi buku catur hinggakan akhirnya berjumlah 40 buah termasuk yang diphotostat kerana buku tersebut tiada lagi di pasaran. Daripada 40 buah itu terdapat beberapa buah yang agak penting untuk dinostalgiakan.

Pertama, buku yang bertajuk “Logical Chess, Move by Move” oleh Irving Chernev. Buku tahun 1957 terbitan Simon and Schuster, New York ini saya beli di Kompleks PKNS Shah Alam kira-kira pada tahun 1990 dengan harga RM27.00. Mungkin pada masa itu buku ini antara buku yang paling mahal saya beli. Oleh sebab buku ini dalam bahasa Inggeris, maka keraplah saya merujuk kamus pada peringkat awalnya. Buku ini bagus kerana memperlihatkan tujuan setiap pergerakan buah catur sama ada putih atau hitam dari awal hinggalah tamat permainan. Permainan yang dijadikan contoh pula sebanyak 33 permainan yang kebanyakannya berlaku pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Kedua, buku yang bertajuk “The Gruenfeld Defense” oleh Grandmaster Leonid Shamkovich dan Jan R. Cartier. Buku ini diterbitkan oleh Hays Publishing, Dalas pada tahun 1997. Buku ini saya beli terus melalui on-line di alamat http:www.chess.co.uk pada 19/5/2004 dan sampai ke tangan saya pada 2/6/2004. Bagaimanapun saya ditolong oleh pensyarah saya dengan menggunakan kad Visanya. Saya pernah terserempak seorang veteran catur di Kuala Lumpur menjualnya dengan harga RM65.00. Dan saya tersenyum kerana saya cuma belanja RM50.00 untuk buku itu.

Ketiga, buku yang bertajuk “The Tao of Chess” oleh Chess Master Peter Kurzdorfer. Buku terbitan Adams Media, an F+W Publications Company, U.S.A tahun 2004 ini saya beli di Times The Bookshop, di Warisan Square, Sabah pada 24 April 2007. Saya beli buku ini sebagai kenang-kenangan ke Sabah kerana menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 yang berlangsung pada 25-26 April 2007. Bagaimanapun saya di Sabah selama enam hari kerana pergi awal balik lewat. Buku ini antara yang seronok dibaca kerana berunsur falsafah.
Dan keempat, buku yang bertajuk “ Encyclopedia of Chess Wisdom” oleh Eric Schiller. Buku ini saya beli di Popular Book Co, di Batu Pahat Mall. Seperti buku ketiga di atas, untuk membeli buku ini saya berpusing-pusing dan berfikir banyak kali. Banyak kali saya fikir kerana harga yang tertera ialah RM97.70! Saya kena ada sepuluh sebab untuk membeli buku ini. Saya tekadkan dalam hati bahawa inilah buku catur yang terakhir saya beli dan akhirnya saya 'tutup mata' dan menghantarnya di kaunter. Selepas tolak diskaun, saya bayar RM87.93 untuk memilikinya dengan harapan saya akan menjadi pemain catur terbaik dalam kalangan pemain catur UPM!

No comments:

Post a Comment