Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, April 25, 2013

Menang Satu Saat

'PUNCH CARD' adalah mekanisme yang digunakan untuk memastikan pekerja hadir dan balik pada waktu yang ditetapkan.  Dalam tahun 80-an mesin yang digunakan berbentuk jam dan sekeping kad berwarna kuning dimasukkan untuk cetak waktu kehadiran.  Di sesetengah pejabat kerajaan, apabila tiga kali lewat, kad akan ditukarkan ke warna hijau, kemudian jika masih melakukan kesalahan, kad akan ditukar ke warna merah.

Dalam abad ke-21 ini kehadiran dibuat melalui sistem komputer on-line.  Lebih canggih lagi pekerja hanya perlu 'cap jari', iaitu meletakkan ibu jari pada peranti elektronik yang disediakan berhampiran pintu pejabat.  Di pejabat saya masih menggunakan sistem komputer secara on-line, iaitu hidupkan komputer, buka perisian 'punch', masukkan ID dan password.  Kehadiran semua staf akan terpapar, maka bolehlah lihat siapa yang datang dulu, siapa lewat datang, dan nama siapa tiada dalam skrin menunjukkan dia cuti atau kerja lapangan.

Kelmarin anak saya minta dihantar ke kolej seawal 6.15 pagi.  Saya fikir inilah masanya untuk menjadi orang pertama hadir ke pejabat.  Sebelum ini hampir setiap hari seorang pensyarah menjadi orang pertama hadir, iaitu sekitar jam 6.40 pagi.  Saya tidak pernah menang waima selalu ke pejabat seawal 7.00 pagi.  Selepas saya 'punch-in' di paparan komputer saya lihat waktu kehadiran saya 06:40:19 dan waktu kehadiran pensyarah tersebut 06:40:20 di bawah nama saya.  Wah, saya menang cuma satu saat!

No comments:

Post a Comment