Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, March 19, 2009

Kisah Tiga Abdul

SEBERMULA maka tersebutlah sebuah negeri bernama Antah Berantah. Di negeri ini terdapat pantai yang jernih airnya dan putih bersih pasirnya. Kedudukannya tidak jauh dari sebuah teluk bernama Kemang. Tak jauh juga dengan sebuah tanjung bernama Tuan. Diceritakan orang ada seorang tuan puteri yang terlalu baik parasnya. Ada pun tuan puteri selalu ditemani seorang dayang Asmaratul Aini namanya.
Kata sahibul hikayat, tersebutlah ceritera tiga orang pemuda di negeri itu. Seorang bernama Abdul Rah. Orangnya pendiam dan pemalu namun apa sahaja yang diperintah istana pasti dilakukannya. Seorang bernama Abdul Man. Orangnya Agam dan cerah kulitnya. Ramai juga dayang-dayang terpikat akan dia tetapi lari juga kemudiannya. Seorang lagi bergelar Abdul Rus. Orangnya gelap sedikit dan berambut ikal. Hanya raja sahaja yang boleh beri perintah, tidak boleh melalui bendahara mahupun laksamana. Abdul Rah sering rasa rendah diri kerana tidak pandai berenang. Sedang Abdul Man dan Abdul Rus sangat pandai mengalahkan ikan duyung. Abdul Man dan Abdul Rus sering menyakat Abdul Rah.
"Tuan hamba ni tak pandai berenang, siapalah yang suka, ha ha!" kata Abdul Man.
"Jangankan tuan puteri, gadis pingitan pun tak pandang tuan hamba! hu hu!" kata Abdul Rus.
Akan tuan puteri, teringinlah hendak belayar ke pulau sana. Dikhabarkan orang terdapat sebuah ujana impian di pulau itu. Maka sebuah bahtera yang indah siap dibina. Berwarna kuning emas dan merah saga pabila disepuh cahaya. Berpesawat dari hadapan pula. Lalu bertitahlah tuan puteri kepada dayang Asmaratul Aini "Panggillah ketiga-tiga abdul itu guna temankan beta ke sana - tengok siapa yang setia!"
Akan dayang Asmaratul Aini lalu dihantarnyalah es-em-es kepada Abdul Rah. "Datanglah segera tuan hamba ke pantai!". Abdul Rah yang sedang sibuk menyusun daun pandan berbagai motif dan warna - biru dan merah - segera bangkit dan ingin memberi maklum balas. Namun dek terkhilaf tekan butang, pesanan itu tidak dapat dibalasnya. Abdul Rah segera solat Zohor agar dapat segera turun ke pantai. Entah ada sesuatu perintah raja perlu dilaksana.
Dayang Asmaratul Aini segera hantar es-em-es kepada Abdul Rus. Dijawab oleh Abdul Rus "Hamba tak naklah dayang, hamba takut kulit hamba jadi hitam. Nanti orang tak kenal pula."
Dayang Asmaratul Aini hantar pula es-em-es kepada Abdul Man. Dijawab oleh Abdul Man "Hamba tak naklah dayang, hamba takut tumbuh pula teritip kat badan hamba."
Adapun Abdul Rah telah siaplah solat Zohor dan berpakaian basahan lalu segera menuju ke pantai. Abdul Man menegurnya "Rajinnya tuan hamba ini... nanti jangan lupa belajar berenang anjing ya! he he."
Ditegur pula oleh Abdul Rus, "Hai tuan hamba, panas ni! nanti hitam pula kulit tuan hamba! ha ha!"
Akan Abdul Rah, tidak diendahkannya ejekan sahabat-sahabatnya itu. Niatnya ikhlas untuk berbakti kepada raja dan negara. Di gigi air, Abdul Rah lihat laut begitu indah. Mentari yang condong sedikit atas kepada menebarkan cahaya ke permukaan laut yang berombak kecil membuat laut kelihatan seperti ditabur manik-manik bak mutiara layaknya.
"Tuan hamba!" Abdul Rah menoleh ke arah bahtera. "Naiklah bahtera ini, tuan puteri telah lama menanti!" laung dayang Asmaratul Aini seraya melambai-lambaikan tangannya.
Dipendekkan ceritera, maka naiklah Abdul Rah ke atas bahtera. Bersama dayang-dayang pengiring, bergeraklah bahtera berwarna kuning emas merah saga itu menuju ke pulau yang ada ujana impian itu. Sekoyong-koyong bahtera bergerak laju, tak lama terlihatlah Abdul Rah akan sahabat-sahabatnya Abdul Man dan Abdul Rus sedang menghempas-hempas diri dan berguling-gulingan di pantai!
Abdul Rah belayar dengan tuan puteri
bersama dayang-dayang pengiring
menuju ke Ujana Impian di pulau sana....
Wallahu a'lam bissawab wa illahil marji'u wal mahab.

2 comments:

  1. adoiyaii!!!
    haha..
    lawak la cik man!
    terbaik ni!

    ReplyDelete
  2. hahahaha

    Sara saya setuju...

    Konon habis best arr tu... dapat naik dengan dayang dan tuan puteri...

    ekekekekeke

    kalau joint sepah ni best gak ni

    hahahahaha

    ReplyDelete