siapalah saya...
Tuesday, June 30, 2015
Perkongsian Ramadan III
SETELAH beberapa kali tazkirah dibuat pada pertengahan tarawih, malam tadi telah diumumkan bahawa atas nasihat penceramah tazkirah malam semalam, tazkirah akan dibuat setelah solat sunat tarawih selesai. Itulah yang berlaku di surau berdekatan rumah saya.
DI SINI saya cuma nak berkongsi, khususnya kepada generasi baru yang mengerjakan solat sunat tarawih dengan cara yang mereka jumpa sekarang. Sekarang ada surau tertentu mengupah 'al-hafiz' menjadi imam solat sunat tarawih supaya membaca satu juz surah setiap malam sesudah al-Fatihah. Buku yang menjadi rujukan ialah Asas-asas Fardu Ain tulisan Ustaz Sulaiman Endut seperti dalam gambar di atas. Diterbitkan kali pertama 1993 oleh Pustaka Haji Abdul Majid. Ustaz Sulaiman Endut pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga (JAKIM). Antara cara mengerjakan solat sunat tarawih seperti tertera dalam halaman 150 buku ini ialah: "Surah yang dibaca sesudah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat boleh mana sahaja yang kita kehendaki. Umpamanya mulai dari at-Takathur (al-Hakumut takathur) sampai surah Lahab (Tabbat yada Abi Laha-bin). Pada rakaat kedua setelah dibaca al-Fatihah boleh dibaca mana-mana surah, tetapi diutamakan surah al-Ikhlas (Qul Huawallahu ahad)."
MAKNA kata boleh sahaja baca surah panjang-panjang, tetapi baca surah pendek inilah yang biasa saya jumpa sebelum tahun 1980-an dulu. Sekadar berkongsi pengalaman....
Friday, June 26, 2015
Perkongsian Ramadan II
WALAUPUN berita bertajuk "JAIS syor laksana solat tarawih 20 rakaat" ini tersiar dalam Berita Harian bertarikh 23 Jun 2015, saya hanya menemuinya pada 25 Jun, iaitu sehari selepas saya menulis tentang tazkirah di bawah entri Perkongsian Ramadan. Makna kata tulisan saya sebelum ini berasas. Tambahan pula surau dan rumah saya di negeri Selangor. Namun saya tidak fikir surau di tempat saya itu akan mematuhi syor yang dikeluarkan oleh JAIS....
Wednesday, June 24, 2015
Perkongsian Ramadan
RASANYA masih belum terlalu terlambat untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Antara pengisian ibadah di bulan Ramadan ini selain bersolat sunat tarawih ialah bertadarus al-Quran dan berqiamullail. Bagaimana pula dengan tazkirah?. Masjid yang paling dekat dengan rumah saya mengadakan tazkirah selepas solat Zohor. Surau yang paling dekat dengan rumah saya mengadakan tazkirah (dinyatakan 30-40 minit) selepas empat rakaat solat tarawih. Di sini saya cuma nak berkongsi soal jawab agama yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 12 Ogos 2012. Antara petikannya ialah "...Waktu yang tidak dibenarkan adalah selepas solat Isyak dan di antara solat-solat tarawih, seperti selepas dua rakaat, empat rakaat, enam rakaat dan seterusnya." Walau pun hujah ini dibuat oleh seorang berkelulusan PhD dan disokong dengan dua hadis sahih, diyakini tetap ada orang yang tidak setuju. Kalau tak, masakan surau terdekat mengadakan tazkirah dalam waktu tarawih... Malah diyakini menjadi juara apabila di papan kenyataan tertera jadual tazkirah, iaitu pada 19, 20, 21, 22, 23, 25, 26, 27, 28, 29 Jun, 1, 2, 3, 4, 5, 8, 9, 11, dan 12 Julai 2015 lengkap dengan nama penceramahnya. Mujur tahun ini solat sunat tarawih dibuat lapan rakaat sama ada dibuat tazkirah atau tidak. Tahun-tahun sebelum ini kalau ada tazkirah, buat lapan rakaat, kalau tiada tazkirah buat 20 rakaat. Saya cuma nak berkongsi sahaja. Saya tidak berani berpendapat. Siapalah saya kalau dibandingkan dengan ahli jawatankuasa surau... Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa ilaihi 'l-marji'u wa 'l-ma'ab.
Friday, June 12, 2015
Alahai Harum Manis II
MASIH tentang Harum Manis. Untuk ke Perlis saya tidak menggunakan GPS atau Waze sebagai petunjuk jalan. Mereka kata senang guna Waze. Tekan sahaja butang sampailah ke tempat di tuju. Sebagai Otai saya tidak biasa. Namun saya rujuk juga peta topografi, Google Map, dan Buku Peta Warisan Semenanjung Malaysia Petronas. Mana-mana yang perlu, diphotostat dan ditanda. Ada juga yang dilukis semula bagi jemputan kahwin dalam Whatsapp. Syukurlah nampaknya mudah sahaja untuk sampai ke semua tempat, iaitu Simpang Empat, Perlis, Kuala Perlis, Kangar, Beseri, Padang Besar, dan Felda Rimba Mas. Di Kedah pula, sampai Kg. Pida Siam, Pekan Rabu, dan Jalan Kangkung Simpang Empat. Sebagai orang Selatan Semenanjung tentulah teruja apabila sesekali sampai ke negeri paling Utara. Berbalik kepada si Harum Manis, sebiji boleh penuh sepinggan. Namun sewaktu nak menjamahnya teringat juga tentang harganya. Sepinggan Harum Manis harganya sama dengan sepinggan chicken chop. Bagaimanapun, apabila merasa isi Harum Manis yang halus, manis dan beraroma, memang berbaloi. Nak rasa kena tutup mata, tapi buka minda. Jangan peduli apa orang lain nak kata.
Friday, June 5, 2015
Alahai Harum Manis
SEBULAN lepas, iaitu pada 1 Mei 2015 saya memandu dari Serdang, Selangor ke Perlis. Masa itu ada cuti bersambung selama empat hari. Oleh hal yang demikian, Lebuhraya PLUS penuh kereta dan sering tersangkut dengan kesesakan. Sampai Perlis tiga jam lewat daripada sepatutnya. Singgah di Simpang Empat, Perlis ambil anak dan terus ke homestay di Beseri, Perlis. Besoknya ke Pekan Rabu, Alor Setar. Kemudian ke Jalan Kangkung di Simpang Empat, Alor Setar menghadiri majlis kahwin rakan anak. Kemudian ronda ke Kuala Perlis. Kemudian balik ke homestay di Beseri untuk rehat dan solat. Petang itu ronda di Padang Besar. Kemudian ke rumah kenalan di Felda Rimba Mas tidak jauh dari Padang Besar itu. Dipendekkan cerita masa itu adalah musim mangga Harum Manis bermula. Bagaimanapun banyak gerai ada menjualnya terutama di jalan antara Simpang Empat ke Kangar. Cadangan dibuat untuk membelinya barang sebiji. Lagipun boleh pilih sendiri untuk pilih yang terbaik. Bagaimanapun pemikiran negatif menghalangnya. Dikhuatiri harganya mahal, ada yang busuk, ada penipuan bukan Harum Manis yang asli dan sebagainya. Maka singgah pun tidak.
Kononnya nak bercuti hingga Isnin (cuti umum), tetapi mengenangkan jalan sesak masa datang, dikhuatiri pula jalan sesak pada hari Isnin, maka baliklah ke Serdang pada Ahad 3 Mei. Tiadalah Harum Manisnya, namun banyak juga bawa balik buah Kuini yang dikait di homestay atas pelawaan tuannya dan buah mangga Sala pemberian kenalan di Felda Rimba Mas. Di Serdang seseorang kata "apalah, pergi Perlis tak makan Harum Manis, dia tak pergi pun dah dapat rasa!.". Cerita Harum Manis belum berakhir. Akhirnya saya dapat juga Harum Manis pemberian orang Felda Rimba Mas melalui anaknya yang bekerja dan menetap di Serdang. Masa pergi dulu belum masak. Dan rakan sekerja juga tawarkan samada saya berhajat dengan harga RM24.00/kg....
Wednesday, May 20, 2015
Baca Novel Ramli Awang Murshid
NOVEL 9 Nyawa tulisan Ramlee Awang Murshid telah pun habis dibaca dua bulan lepas. Sekarang sedang baca Ungu Karmila. Novel Ungu Karmila ini mungkin dah lima tahun berada di rak buku, tetapi baru sekarang tergerak nak baca. Tombiruo Terakhir pula tidak boleh dibaca sehingga saya boleh dapatkan novel Semangat Hutan, iaitu siri kedua dalam trilogi Tombiruo ini. Semua novel ini bukan saya yang beli, tetapi anak saya yang beli.
Wednesday, May 13, 2015
Buku Untuk Koleksi
HARI Ahad, tiga hari lepas, kebetulan semasa di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi untuk ke pusat beli belah Billion, terdapat pamiran/jualan buku anjuran Galeri Buku Syabab di foyer bangunan itu. Kebanyakannya buku agama. Bagaimanapun terdapat satu meja bagi buku-buku popular dan satu meja lagi khas untuk buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan juga ada tawaran potoangan harga yang sangat menarik, maka saya sambar lima buah buku, iaitu Jendelaku Kekasihku (Zahari Affandi), Bunga-Bunga Pulau (Fatimah Busu), Bagin Sungai Merah (Rahimah Muda), Tinta Elipsis (Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, dan Tebing Budi (Antologi peraduan menulis cerita kanak-kanak sempena Hari Guru 2008). Lupa pula nak tanya jualan itu sehingga bila. Rasanya perlu pergi semula untuk mendapatkan buku-buku bermutu buah tangan penulis berwibawa dengan harga yang sangat menguntungkan...
Friday, April 24, 2015
Ulam Raja
ULAM Raja ini tumbuh di belakang pejabat saya. Sebenarnya kawasan ini telah diterangkan supaya lapang dan tiada nyamuk. Bagaimanapun kerana tumbuhan asal di sini antaranya adalah pokok Ulam Raja yang banyak biji benihnya yang telah tua berwarna hitam maka tidak hairanlah pokok Ulam Raja tumbuh dan mendominasi kawasan ini. Makna kata macam dia tumbuh sendirilah....
Tuesday, March 31, 2015
Pabila Terpaksa Memilih
PAGI tadi terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman MS ISO 9001:2008 di Fakulti Pertanian atau hadir mesyuarat Agung Persatuan PPS. Saya diwajibkan menjalankan tugas Audit. Oleh itu terpaksa melepaskan mesyuarat Agung yang menawarkan cenderamata eksklusif, cabutan bertuah, dan makan nasi Arab yang enak.
PETANG ini pula terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman ISO atau mesyuarat AJK Kelab Sosial dan Kebajikan atau menjalankan tugas melaksanakan kelas amali pelajar EMG3204 (Studio Perancangan Alam Sekitar 1). Perlu memilih tugas hakiki, iaitu melaksanakan kelas amali pelajar.
PETANG ini pula terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman ISO atau mesyuarat AJK Kelab Sosial dan Kebajikan atau menjalankan tugas melaksanakan kelas amali pelajar EMG3204 (Studio Perancangan Alam Sekitar 1). Perlu memilih tugas hakiki, iaitu melaksanakan kelas amali pelajar.
Tuesday, March 3, 2015
Beratnya Kasut
BIASANYA jika ke pasaraya tertentu, saya akan ke penimbang berat badan yang berfungsi selepas memasukkan syling 20sen ke dalam slotnya. Baru-baru ini, selepas menghadiri jemputan majlis perkahwinan, saya singgah ke sebuah pasaraya dan menimbang berat badan. Alangkah terkejutnya apabila jarum meter memperlihatkan berat bertambah satu kilogram?! Tak kan baru makan nasi beriani sepinggan terus bertambah satu kilo? Bagi mencari jawapannya, saya timbang kasut yang digunakan. Ternyata berat kasut itu satu kilogram! Selalunya saya menimbang berat badan dengan berselipar atau bercapal....
Tuesday, February 17, 2015
Penggunaan RON97
ARTIKEL ini tersiar dalam BH 5 Februari 2015. Tajuk artikel ini selari dengan persepsi saya selama ini, iaitu RON97 lebih jimat terutamanya daripada segi jangka panjang apabila enjin kereta lebih tahan lama. Selain daripada itu, daya pecutan enjin juga lebih baik.
Thursday, February 5, 2015
Besarnya Kelapa
DARIPADA segi saiznya, memangnya yang paling besar saya pernah jumpa, justeru ditimbang untuk mengetahui beratnya. Ternyata beratnya mencecah 5.5kg. "Kelapa asli," kata penjual di Pasar Tani itu... Harganya pun lebih mahal. Namun apa yang kerap saya alami ialah buah yang besar tidak semestinya elok. Lebih baik beli yang sederhana atau kecil. Ia akan memberi lebih nilai untuk wang anda. .selain kelapa ini saya ada pengalaman ke atas buah durian, betik, tembikai dll. Beli sebiji yang besar, kalau busuk, busuk semuanya. Beli dua biji yang kecil, kalau busuk sebiji, yang sebiji lagi mungkin molek.
Tuesday, January 20, 2015
Tahun Baru Kereta Baru
HANYA beberapa minit selepas 'publish' artikel atau entri yang lepas, pihak Proton telefon minta datang ke pusat jualannya di Bandar Baru Bangi untuk mengambil kereta Proton baru....
Friday, January 9, 2015
Tahun Baru Kereta Lama
MASIH belum terlambatnya rasanya untuk mengucapkan selamat tahun baru 2015. Selain azam baru daripada segi semangat dan iltizam keperibadian, antara kita mungkin ada yang telah pun tukar beberapa barang baru seperti rumah baru, kereta baru, motor baru, TV baru atau telefon bimbit baru. Setakat menulis ini, saya masih lagi guna kereta lama. Ramai kawan-kawan dah tukar Honda baru, Proton baru, Perodua baru,Nissan baru atau Toyota baru, saya masih lagi menggunakan Saga Iswara tahun 1997. Sudah hampir 18 tahun menggunakan kereta ini. Makna kata kereta lamalah ini....
Friday, December 19, 2014
Baca Buku-buku Klasik
BUKU-BUKU dalam pelbagai kategori memang banyak dalam simpanan hinggakan bengong untuk memilih yang mana satu untuk dibaca. Motivasi untuk membaca buku-buku lama ini timbul apabila seseorang 'berhajat' akan buku-buku klasik yang dalam simpanan itu. Sebelum 'melepaskannya' rasa terpanggil untuk membacanya atau menghayatinya untuk kali pertama atau terakhir. Pertama kerana selama ini hanya 'disimpan' sahaja di rak buku tanpa membacanya. Kalau pernah membacanya pun, dah lupa akan isi kandungannya. Sebanyak 11 buah buku saya 'lepaskan' hak milik. Membaca buku "Chepu Kenchana", Antologi Cherita2 Pendek Dunia terbitan Oxford University Press, Kuala Lumpur chetakan kedua (di-perbaiki) 1961, iaitu buku dalam Seri Sastera Timur dan Barat ini, ia memuatkan tulisan/cerita2 bertajuk "Pertanda" oleh Honore De Balzac (1799-1850; Peranchis); 'Jantong Yang Membuka Rahsia"oleh Edgar Allen Poe (1809-1849; Amerika), "Dua Orang Tua" oleh Leo Tolstoy (1828-1910; Rusia), "Kalong" oleh Guy De Maupassant (1850-1893) dan beberapa cerita lagi. Membaca "Kisah Pelayaran Abdullah" (1960), pula terasa seperti baca berita. Bagaimanapun beberapa perkataan seperti "hatta, shahdan, kalakian, dan arakian" bolehlah diketahui maknanya dalam buku ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)















