Peserta ekspedisi Tasik Kenyir
Maka pada hari Khamis itu (11/6/09) jam 10.30 malam, bas yang saya naiki bertolaklah dari Serdang. Dipendekkan cerita, seawal jam 5.15pagi besoknya saya sampai di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang. Selepas solat Subuh bersama jemaah di situ, kami mencari tempat sarapan tak jauh dari situ. Selepas itu kami terus ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir. Tenaga Nasional Berhad. Di situ kami menunggu dari jam 8.00pg hingga 9.45pg sebelum dapat menaiki ‘boat house’. Empat setengah jam kamudian baru bot sampai ke distinasi, iaitu berhampiran Sg. Terenggan.
Menaikkan Lampam dua ekor sekaligus dengan umpan rahsia!
Dipendekkan cerita juga, selepas Mahgrib saya rasa macam nak demam. Badan rasa seram sejuk. Makan nasi satu sudu pun payah nak habis. Namun menjelang 10.00malam saya rasa dah pulih, malah dapat naikkan beberapa ekor ikan Lampam. Besok paginya saya masih tidak ada selera makan. Namun masih ada selera memancing. Saya cipta sejarah ekspedisi ini apabila dapat naikkan dua ekor Lampam yang agak besar sekaligus. Kiranya mujarab juga umpan rahsia yang saya sediakan.
Satu-satunya Jelawat yang dapat dinaikkan di Sg. Terenggan
Tidak lama lepas itu, kami semua menaiki bot kecil ke Sg. Terenggan. Kiranya sampailah juga saya ke sungai yang selalu diwar-warkan sebagai syurga pemancing dalam majalah dan rencana akhbar. Kami menyusur jeram untuk sampai agak ke hulu. Peserta perempuan mengutip pucuk paku. Ramai juga pemancing lain yang saya temui. Ikan yang dapat dinaikkan ialah ikan susur batang. Namun saya cipta sejarah ekspedisi sekali lagi apabila menjadi sesatunya berjaya naikkan ikan Jelawat dari lubuk Sg. Terenggan itu. Ikannya tak besar tapi tentangan yang diberikan memang hebat.
Pemandangan Bukit Bewah dan Gua Bewah dari jauh
Petang itu bot rumah bergerak ke Bukit Bewah. Kebanyakan kami ambil kesempatan melawat ke dalam gua. Ternyata guanya amat luas. Menyusur jauh ke dalam, lelangitnya memang tinggi. Sejuknya menyamankan. Malam itu kami akan bermalam berdekatan Gua Bewah itu. Sebelum itu, abang bot ajak saya pergi ‘casting’ toman. Menuruti kami seorang kawan saya lengkap dengan ‘safety jacket’. Saya baru perasan sewaktu bot laju dah bergerak beberapa meter. “Tak apa ke bang?” Tanya saya pada abang bot itu. “Tak apa.” Jawab abang bot itu. Tetapi saya mula risau. Kalau berlaku kemalangan, tentu saya akan lemas dalam tasik Kenyir. Kebimbangan itu menjadi kenyataan sewaktu balik semula ke bot besar. Bot laju terlanggar tunggul kayu dalam air. Kami bertiga tercampak ke hadapan. Tangan saya melecet dan agak bengkak juga. Mujur bot tak pecah dan engine dapat dihidupkan semula. Kalau tidak, tidak dapat saya nak bayangkan kerana saya tidaklah pandai berenang. Malam itu saya masih tak lalu makan sebab perut rasa kembung.
Pemandangan di Air Terjun S. Lasir. Teruja melihatnya.
Besok paginya seawal 7.15pagi bot rumah bergerak ke air terjun Lasir. Saya mengikuti rakan-rakan ‘track’ laluan ke air terjun tanpa persiapan. Cuma ingin ambil gambar dan tengok-tengok. Rupanya tempat itu cantik bukan main. Rakan-rakan semua masuk ke dalam air. Dengan segera saya ambil keputusan balik semula ke bot walaupun jauh dan memenatkan. Selepas bersalin, saya ke air terjun semula untuk mandi, menyelam atau berenang – berenang anjing - kata kawan-kawan. Paling tak sangka rakan saya yang pakai ‘life-jacket’ semalam telah lemas kali ini. Mujur terselamat. Saya sendiri pun, menyelam sambil berenang, tahu-tahu sudah di lubuk dalam. Bila berdiri dalam air paras dagu!. Mulalah kena gelak dengan kekawan.
Barangkali inilah penghujung Tasik Kenyir
kerana ada janaelektrik TNB dihujungnya
Ternyata pengalaman kali ini berbeza kerana sebelum ini kami mulakan dengan Pangkalan Gawi. Dan sebelum ini tidak memasuki kawasan Taman Negara. Akhir sekali, dalam perjalan balik, singgah di Kemaman. Di Kg. Geliga Besar beli sata dan keropok lekor untuk dibawa pulang. Dalam perjalan pulang singgah Mahgrib di masjid Kg. Ular, Kuantan. Jam 12.30pagi juga baru sampai ke Serdang. Itulah nostalgia yang mengilhamkan dua buah cerpen. Kejayaan cerpen itu bergantung kepada komitmen saya sendiri. Yang penting ideanya sudah ada.
Kalau ikan-ikan lampam tu besar, kenapa ambil gambar dari jauh? He he he
ReplyDeleteWau menarik gk saya bce....
ReplyDeletesaya tgh wat asigment kls ni
psl plncongan...
tu yang cari artikel psl
tasik kenyir.