Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, July 31, 2009

Perasaan dan Perasan

Perasaan:

YANG paling sukar digambarkan dengan kata-kata ialah perasaan. Tetapi...

Petikan: Keris Mas. Perbincangan Gaya Bahasa Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1990:71

Perasan:

yang paling senang diucapkan dengan kata-kata ialah perasan. Tak ada tapi-tapi dah.

Petikan: (tiada).

Friday, July 17, 2009

Buku Catur

SEBELUM ini saya ada menyiarkan entri tentang buku catur pertama. Buku itu menjadi sumber pengetahuan tentang notasi pergerakan catur. Bermula dengan buku pertama, maka bertambah-tambahlah koleksi buku catur hinggakan akhirnya berjumlah 40 buah termasuk yang diphotostat kerana buku tersebut tiada lagi di pasaran. Daripada 40 buah itu terdapat beberapa buah yang agak penting untuk dinostalgiakan.

Pertama, buku yang bertajuk “Logical Chess, Move by Move” oleh Irving Chernev. Buku tahun 1957 terbitan Simon and Schuster, New York ini saya beli di Kompleks PKNS Shah Alam kira-kira pada tahun 1990 dengan harga RM27.00. Mungkin pada masa itu buku ini antara buku yang paling mahal saya beli. Oleh sebab buku ini dalam bahasa Inggeris, maka keraplah saya merujuk kamus pada peringkat awalnya. Buku ini bagus kerana memperlihatkan tujuan setiap pergerakan buah catur sama ada putih atau hitam dari awal hinggalah tamat permainan. Permainan yang dijadikan contoh pula sebanyak 33 permainan yang kebanyakannya berlaku pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Kedua, buku yang bertajuk “The Gruenfeld Defense” oleh Grandmaster Leonid Shamkovich dan Jan R. Cartier. Buku ini diterbitkan oleh Hays Publishing, Dalas pada tahun 1997. Buku ini saya beli terus melalui on-line di alamat http:www.chess.co.uk pada 19/5/2004 dan sampai ke tangan saya pada 2/6/2004. Bagaimanapun saya ditolong oleh pensyarah saya dengan menggunakan kad Visanya. Saya pernah terserempak seorang veteran catur di Kuala Lumpur menjualnya dengan harga RM65.00. Dan saya tersenyum kerana saya cuma belanja RM50.00 untuk buku itu.

Ketiga, buku yang bertajuk “The Tao of Chess” oleh Chess Master Peter Kurzdorfer. Buku terbitan Adams Media, an F+W Publications Company, U.S.A tahun 2004 ini saya beli di Times The Bookshop, di Warisan Square, Sabah pada 24 April 2007. Saya beli buku ini sebagai kenang-kenangan ke Sabah kerana menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 yang berlangsung pada 25-26 April 2007. Bagaimanapun saya di Sabah selama enam hari kerana pergi awal balik lewat. Buku ini antara yang seronok dibaca kerana berunsur falsafah.
Dan keempat, buku yang bertajuk “ Encyclopedia of Chess Wisdom” oleh Eric Schiller. Buku ini saya beli di Popular Book Co, di Batu Pahat Mall. Seperti buku ketiga di atas, untuk membeli buku ini saya berpusing-pusing dan berfikir banyak kali. Banyak kali saya fikir kerana harga yang tertera ialah RM97.70! Saya kena ada sepuluh sebab untuk membeli buku ini. Saya tekadkan dalam hati bahawa inilah buku catur yang terakhir saya beli dan akhirnya saya 'tutup mata' dan menghantarnya di kaunter. Selepas tolak diskaun, saya bayar RM87.93 untuk memilikinya dengan harapan saya akan menjadi pemain catur terbaik dalam kalangan pemain catur UPM!

Sunday, July 5, 2009

Kelah oh Kelah

Walaupun saya mempunyai peralatan memancing yang agak lengkap dan selalu keluar memancing dalam tahun 1990-an, saya bukanlah kaki pancing tegar. Sejak memasuki alaf baru, dalam setahun saya memancing dua tiga kali itu pun kalau ada peluang di hadapan mata. Walaupun saya pernah memancing ikan haruan, puyu, keli, tilapia, sebarau, lampam, jelawat, rohu, pacu, patin dan lekoh, saya anggap diri ini sebagai pemancing, tidak lengkap jika tidak dapat menaikkan kelah dan merasa keenakannya.

Dua hari lepas, saya berbual dengan seorang rakan yang turut sama ke Tasik Kenyir pada 12-14 Jun 2009 lalu. Saya mengimbau nostalgia naikkan ikan susur batang dan jelawat berumpankan sawit peram di sungai Terenggan, Tasik Kenyir. Dia kata, ikan yang saya naikkan itu sebenarnya bukan jelawat tetapi kelah. Saya terkejut yang amat sangat. Kenapalah saya mudah sangat percaya dengan seorang lagi rakan saya ketika itu yang mengklasifikasikan ikan itu sebagai ikan jelawat! Katanya lagi, masa saya naikkan ikan itu, dia ada cakap kelah, tetapi mungkin saya tidak mendengarnya. Dia meyakinkan saya lagi dengan ceritanya. Dia kata sewaktu menyiang ikan, semua ikan dibuang sisiknya kecuali ikan kelah itulah. Malangnya sewaktu bebudak perempuan mengorengnya, sisik ikan kelah itu turut dibuang. Akhirnya dia sendiri tidak tahu ikan kelah goreng itu yang mana satu. Aduh! Kelah menjadi idaman saya selama ini. Itulah satu-satunya kelah yang diperolehi oleh kumpulan kami. Tangan saya sendiri yang memancingnya tetapi saya terlepas peluang merasa keenakannya. Dan saya pasti peluang seperti ini tidak akan berulang lagi.

Ikan Kelah yang saya sangkakan Jelawat!


Berikut ialah foto-foto lain yang menjadi nostalgia saya ke Tasik Kenyir pada 12-14 Jun 2009.