Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, November 18, 2010

Kisah Seram II

Kisah benar ini berlaku dua hari sebelum Aidil Adha lalu...

HUJAN gerimis baharu sahaja teduh ketika aku melalui bangunan Fakulti. Aku membelok ke kiri menelusuri lorong antara Blok B di sebelah kiri dan Blok A di sebelah kanan. Jalan yang sempit, muat sebuah kenderaan itu menuntut aku berhati-hati. Terdapat jalan udara atau jejantas di aras satu, antara dua blok bangunan itu. Melepasi bawah jejantas itu aku membelok ke kanan melalui jalan antara Blok A dan Blok C2. Aku segera melingas ke arah bangunan Blok C2 di sebelah kiri. Bangunan yang agak panjang itu mempunyai tiga buah pintu di bahagian hadapan. Pintu dua daun yang tinggi itu dilengkapi grill dan bermangga 'pedlock'. Semua pintu itu bertutup rapat dan sebenarnya memang jarang dibuka. Buka satu pintu pun memadai untuk memasuki sebuah bilik dalam sebuah bangunan yang panjang melebihi 60 kaki itu.
Sambil memandu kereta dengan perlahan aku teringat beberapa perkara tentang bilik atau bangunan itu. Bangunan itu dahulunya adalah bilik mayat kemudahan infrastruktur bagi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang kini telah berpindah ke bangunan baharu yang lebih canggih berdekatan Hospital Serdang. Bangunan yang terdiri daripada Blok A, Blok B, Blok C2, dan C3 ini kemudiannya menjadi "bangunan baru" bagi Fakulti tempat aku berkhidmat. Sesuai tarafnya sebagai bangunan tinggal, pihak pengurusan fakulti telah mengadakan majlis doa selamat. dalam majlis itu dua mangkuk besar garam dan lada hitam telah disediakan. Pihak 'ustaz' yang mengetuai majlis itu kemudian mengarahkan supaya garam dan lada hitam itu ditabur di sekitar bangunan. Masing-masing pegawai diminta melakukannya di bilik dan makmal yang di bawah tanggungjawab mereka. Aku berasa tidak selesa. Aku hanya ingin bertawakal kepada Allah swt. Puas aku diasak rakan-rakan kerana Blok C2 yang dibawah kawalan aku itu adalah yang paling kritikal. Semasa di bawah FPSK dulu, dalam bilik itu ada tujuh hingga lapan mayat yang disimpan dalam tangki yang dipenuhi larutan pengawet. Mayat-mayat itu digunakan untuk tujuan pembelajaran pelajar-pelajar FPSK.
Kini bilik itu dipenuhi komputer, kerusi, dan meja lukis sesuai dengan fungsinya dan nama makmal itu - Studio 2. Kursus yang diadakan dalam bilik makmal ini ialah "Studio Perancangan Alam Sekitar 2". Bagaimanapun kebanyakan amali untuk kursus ini dijalankan di Studio 1 yang terletak di aras 3 Blok A. Pensyarah tidak begitu semenggah untuk menggunakan Studio 2 bukan kerana seram, tetapi kerana kemudahan kurang mencukupi, iaitu belum ada skrin lebar dan LCD Projector. Tambahan pula kedudukannya yang jauh di belakang bangunan utama. Pintu belakang yang paling dekat dari Blok A untuk ke Blok C2 ini pula sentiasa dikunci oleh pihak pengurusan dengan alasan keselamatan daripada pencuri. Hal ini demikian kerana sebuah kompressor alat penghawa dingin telah dicuri dari bumbung bangunan. Dipercayai dilakukan pada siang hari dan pintu belakang itulah tempat meloloskan diri tanpa syak wasangka.
Di hujung antara dua blok bangunan ini, aku membelok lagi ke kanan. Tak lama kemudian aku memulas stering kereta ke kiri masuk ke petak parkir di tepi parit dan terdapat pokok-pokok besar dan rimbun di sebelahnya. Selepas mematikan enjin, aku pun menolak daun pintu kereta untuk keluar. Tetapi pintu tidak boleh dibuka!. Hai... desisku dalam hati. Tak kan pula pintu rosak kali ini? Aku perhatikan punat berdekatan cermin bahagian bawah, memang dah naik tinggi. Maknanya pintu tidak berkunci. Aku cuba buka lagi dan menolaknya kuat sikit, tapi masih enggan terbuka?! Dan aku rasa kurang selesa. Aku pandang keliling ke sekitar belakang kereta. Aku rasa memang tidak ada sesiapa di sekitar sebelum aku masuk parkir tadi. Dari sudut kanan mata, aku nampak kelibat sesuatu di sebelah kanan belakang. Sebaik aku nampak tapak tangan pada pintu, seorang rakan aku menyergah di cermin pintu kereta sambil tergelak-gelak. "Aaa... takut...!" usiknya. Dan aku cuma menyahutnya sambil tergelak juga "Kau rupanya... ingatkan hantu tadi!," kataku pada Zainordin, seorang staf fakulti.

No comments:

Post a Comment