Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya
Showing posts with label viva. Show all posts
Showing posts with label viva. Show all posts

Saturday, February 27, 2010

Sebelum Februari Berakhir

KISAHNYA bermula pada 13 Januari 2010 apabila saya menduduki viva tesis master sastera. Seorang rakan calon PhD pun dah nasihatkan saya beberapa kali, jangan tangguh buat pembetulan walaupun diberi tempoh 60 hari. Dia dah ada pengalaman dalam hal ini. Tapi saya cuba luangkan masa untuk menulis novel kanak-kanak untuk menghantarnya ke DBP sebelum 31 Januari. Malangnya saya seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. Selepas sepuluh hari, saya mula merasakan novel kanak-kanak itu tidak boleh siap. Saya mula buat pembetulan tesis. Saya mula berlumba dengan masa. Garisan penamatnya 13 Mac 2010. Masa kulihat terus berlari lurus dengan lajunya. Sedangkan saya tersangkut-sangkut. Apabila ada urusan pejabat di Tg. Rambutan, Perak selama tiga hari, terpaksa pergi. Apabila adik ipar nak bertunang di kampung, di Batu Pahat, Johor, terpaksa balik kampung tiga hari. Apabila pejabat buat hari keluarga anjuran Kelab Sosial dan Kebajikan yang saya setiausahanya, terpaksa sertainya di Impian Rimba Resort, Pangsoon, Hulu Langat, Selangor. Lalu saya seperti semakin jauh ditinggal dek masa. Nak menulis dalam blog pun tak sempat. Apa yang tinggal sekarang hanyalah sisa-sisa masa. Aduh!

Monday, January 25, 2010

Januari 2010

PAGI ini sebelum azan Subuh berkumandang aku sudah berada di hadapan komputer hanya untuk menulis sepatah dua kata agar... (berhenti sekejap apabila kedengaran azan dari surau berhampiran) ...kalian tidak tertanya-tanya hidupkah lagi insan seorang ini. Sebenarnya banyak benda, perkara, peristiwa atau kejadian yang ingin aku kongsikan. Bagaimanapun jika ada sepuluh, sembilan daripadanya adalah sesuatu yang menyedihkan, mengharukan, dan menjengkelkan. Itulah konfliknya. Namun semua itu bisa dikaburkan oleh iman dan kesabaran. Satu-satunya berita gembira sepanjang Januari ini yang dapat dikongsikan ialah pada 13 Januari 2010 aku telah pun melepasi peperiksaan akhir (viva) tesis master kesusasteraan setelah bertungkus-lumus sejak empat tahun ini. Alhamdulillah tesis itu diterima dengan pindaan kecil. Makna kata sebelah kaki telah melangkah ke alam sarjana. Namun tidak bermakna akan diikuti sebelah kaki lagi. Kita pun maklum tentang ungkapan berusaha seperti akan hidup seribu tahun lagi dan beramal seperti akan mati besok hari. Justeru, aku ambil kesempatan ini memohon kemaafan seandainya ada salah silap sama ada disedari atau tidak disedari. Segala konflik yang melanda diri biarlah kutanggung sendiri. Semoga Februari dan bulan-bulan seterusnya menjanjikan ceriabahagia buat kita semua. Wassalam.