Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Tuesday, September 21, 2010

Isu Tertangguh

SYUKURLAH kerana selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri di Batu Pahat, Johor dan muncul semula di pejabat sejak pagi semalam (Isnin) waima sambutan kali ini dirasakan agak kurang ceria atau meriah. Sebaik 'punch-in' kehadiran pagi semalam, saya dikejutkan dengan pesanan ringkas daripada abang saya yang berada di Kuala Lumpur; "Abah masuk wad 7 tkt. 2 bilik 15c HKL". Dengan 'seret meret' saya tak lalu nak tengok blog, facebook, dan e-mail Yahoo yang telah dua minggu tidak dijengok. Di kampung kiranya amat sukar melihat komputer lebih-lebih lagi yang ada sambungan internet. Kiranya ada juga 'broadband' yang tidak tercapai liputan internet sewaktu 'brand' lain mampu mencapainya di kawasan yang sama. Pada hari raya ke-enam saya sudah berada semula di taman perumahan tempat saya tinggal di Serdang, Selangor. Dan pada hari Sabtu lepas (Hari Raya ke-sembilan) saya juga dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa seorang jiran. Pagi itu sewaktu saya sedang mengemas rumah, seorang jiran muncul di pintu memberitahu tentang jiran saya itu jatuh dari pokok mangga dan meninggal dunia. Amat sukar untuk menerima hakikat jiran saya yang berumur 40-an itu pergi dengan asbab jatuh dari pokok mangga yang tidak begitu tinggi. Kewajarannya ialah dia jatuh kepala dahulu menyebabkan kecederaan parah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan kita yang tinggal semoga diberi petunjuk dan hidayah bagi menyediakan bekalan untuk menyusuli mereka yang telah pergi itu.

No comments:

Post a Comment