Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, June 24, 2015

Perkongsian Ramadan


RASANYA masih belum terlalu terlambat untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Antara pengisian ibadah di bulan Ramadan ini selain bersolat sunat tarawih ialah bertadarus al-Quran dan berqiamullail.  Bagaimana pula dengan tazkirah?. Masjid yang paling dekat dengan rumah saya mengadakan tazkirah selepas solat Zohor. Surau yang paling dekat dengan rumah saya mengadakan tazkirah (dinyatakan 30-40 minit) selepas empat rakaat solat tarawih. Di sini saya cuma nak berkongsi soal jawab agama yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 12 Ogos 2012.  Antara petikannya ialah "...Waktu yang tidak dibenarkan adalah selepas solat Isyak dan di antara solat-solat tarawih, seperti selepas dua rakaat, empat rakaat, enam rakaat dan seterusnya." Walau pun hujah ini dibuat oleh seorang berkelulusan PhD dan disokong dengan dua hadis sahih, diyakini tetap ada orang yang tidak setuju.  Kalau tak, masakan surau terdekat mengadakan tazkirah dalam waktu tarawih... Malah diyakini menjadi juara apabila di papan kenyataan tertera jadual tazkirah, iaitu pada 19, 20, 21, 22, 23, 25, 26, 27, 28, 29 Jun, 1, 2, 3, 4, 5, 8, 9, 11, dan 12 Julai 2015 lengkap dengan nama  penceramahnya.  Mujur tahun ini solat sunat tarawih dibuat lapan rakaat sama ada dibuat tazkirah atau tidak.  Tahun-tahun sebelum ini kalau ada tazkirah, buat lapan rakaat, kalau tiada tazkirah buat 20 rakaat.  Saya cuma nak berkongsi sahaja.  Saya tidak berani berpendapat.  Siapalah saya kalau dibandingkan dengan ahli jawatankuasa surau... Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa ilaihi 'l-marji'u wa 'l-ma'ab.

Friday, June 12, 2015

Alahai Harum Manis II


MASIH tentang Harum Manis.  Untuk ke Perlis saya tidak menggunakan GPS atau Waze sebagai petunjuk jalan.  Mereka kata senang guna Waze.  Tekan sahaja butang sampailah ke tempat di tuju.  Sebagai Otai saya tidak biasa.  Namun saya rujuk juga peta topografi, Google Map, dan Buku Peta Warisan Semenanjung Malaysia Petronas.  Mana-mana yang perlu, diphotostat dan ditanda. Ada juga yang dilukis semula bagi jemputan kahwin dalam Whatsapp.  Syukurlah nampaknya mudah sahaja untuk sampai ke semua tempat, iaitu Simpang Empat, Perlis, Kuala Perlis, Kangar, Beseri, Padang Besar, dan Felda Rimba Mas.  Di Kedah pula, sampai Kg. Pida Siam, Pekan Rabu, dan Jalan Kangkung Simpang Empat.  Sebagai orang Selatan Semenanjung tentulah teruja apabila sesekali sampai ke negeri paling Utara.  Berbalik kepada si Harum Manis, sebiji boleh penuh sepinggan.  Namun sewaktu nak menjamahnya teringat juga tentang harganya.  Sepinggan Harum Manis harganya sama dengan sepinggan chicken chop.  Bagaimanapun, apabila merasa isi Harum Manis yang halus, manis dan beraroma, memang berbaloi.  Nak rasa kena tutup mata, tapi buka minda.  Jangan peduli apa orang lain nak kata.

Friday, June 5, 2015

Alahai Harum Manis


SEBULAN lepas, iaitu pada 1 Mei 2015 saya memandu dari Serdang, Selangor ke Perlis.  Masa itu ada cuti bersambung selama empat hari.  Oleh hal yang demikian, Lebuhraya PLUS penuh kereta dan sering tersangkut dengan kesesakan.  Sampai Perlis tiga jam lewat daripada sepatutnya. Singgah di Simpang Empat, Perlis ambil anak dan terus ke homestay di Beseri, Perlis.  Besoknya ke Pekan Rabu, Alor Setar.  Kemudian ke Jalan Kangkung di Simpang Empat, Alor Setar menghadiri majlis kahwin rakan anak.  Kemudian ronda ke Kuala Perlis.  Kemudian balik ke homestay di Beseri untuk rehat dan solat.  Petang itu ronda di Padang Besar.  Kemudian ke rumah kenalan di Felda Rimba Mas tidak jauh dari Padang Besar itu.  Dipendekkan cerita masa itu adalah musim mangga Harum Manis bermula.  Bagaimanapun banyak gerai ada menjualnya terutama di jalan antara Simpang Empat ke Kangar. Cadangan dibuat untuk membelinya barang sebiji.  Lagipun boleh pilih sendiri untuk pilih yang terbaik.  Bagaimanapun pemikiran negatif menghalangnya.  Dikhuatiri harganya mahal, ada yang busuk, ada penipuan bukan Harum Manis yang asli dan sebagainya.  Maka singgah pun tidak.

Kononnya nak bercuti hingga Isnin (cuti umum), tetapi mengenangkan jalan sesak masa datang, dikhuatiri pula jalan sesak pada hari Isnin, maka baliklah ke Serdang pada Ahad 3 Mei. Tiadalah Harum Manisnya, namun banyak juga bawa balik buah Kuini yang dikait di homestay atas pelawaan tuannya dan buah mangga Sala pemberian kenalan di Felda Rimba Mas. Di Serdang seseorang kata "apalah, pergi Perlis tak makan Harum Manis, dia tak pergi pun dah dapat rasa!.". Cerita Harum Manis belum berakhir.  Akhirnya saya dapat juga Harum Manis pemberian orang Felda Rimba Mas melalui anaknya yang bekerja dan menetap di Serdang.  Masa pergi dulu belum masak.  Dan rakan sekerja juga tawarkan samada saya berhajat dengan harga RM24.00/kg....

Wednesday, May 20, 2015

Baca Novel Ramli Awang Murshid


NOVEL 9 Nyawa tulisan Ramlee Awang Murshid telah pun habis dibaca dua bulan lepas.  Sekarang sedang baca Ungu Karmila.  Novel Ungu Karmila ini mungkin dah lima tahun berada di rak buku, tetapi baru sekarang tergerak nak baca.  Tombiruo Terakhir pula tidak boleh dibaca sehingga saya boleh dapatkan novel Semangat Hutan, iaitu siri kedua dalam trilogi Tombiruo ini.  Semua novel ini bukan saya yang beli, tetapi anak saya yang beli.

Wednesday, May 13, 2015

Buku Untuk Koleksi


HARI Ahad, tiga hari lepas, kebetulan semasa di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi untuk ke pusat beli belah Billion, terdapat pamiran/jualan buku anjuran Galeri Buku Syabab di foyer bangunan itu. Kebanyakannya buku agama.  Bagaimanapun terdapat satu meja bagi buku-buku popular dan satu meja lagi khas untuk buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan juga ada tawaran potoangan harga yang sangat menarik, maka saya sambar lima buah buku, iaitu Jendelaku Kekasihku (Zahari Affandi), Bunga-Bunga Pulau (Fatimah Busu), Bagin Sungai Merah (Rahimah Muda), Tinta Elipsis (Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, dan Tebing Budi (Antologi peraduan menulis cerita kanak-kanak sempena Hari Guru 2008). Lupa pula nak tanya jualan itu sehingga bila. Rasanya perlu pergi semula untuk mendapatkan buku-buku bermutu buah tangan penulis berwibawa dengan harga yang sangat menguntungkan...

Friday, April 24, 2015

Ulam Raja


ULAM Raja ini tumbuh di belakang pejabat saya. Sebenarnya kawasan ini telah diterangkan supaya lapang dan tiada nyamuk.  Bagaimanapun kerana tumbuhan asal di sini antaranya adalah pokok Ulam Raja yang banyak biji benihnya yang telah tua berwarna hitam maka tidak hairanlah pokok Ulam Raja tumbuh dan mendominasi kawasan ini.  Makna kata macam dia tumbuh sendirilah....

Tuesday, March 31, 2015

Pabila Terpaksa Memilih

PAGI tadi terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman MS ISO 9001:2008 di Fakulti Pertanian atau hadir mesyuarat Agung Persatuan PPS.  Saya diwajibkan menjalankan tugas Audit.  Oleh itu terpaksa melepaskan mesyuarat Agung yang menawarkan cenderamata eksklusif, cabutan bertuah, dan makan nasi Arab yang enak. 

PETANG ini pula terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman ISO atau mesyuarat AJK Kelab Sosial dan Kebajikan atau menjalankan tugas melaksanakan kelas amali pelajar EMG3204 (Studio Perancangan Alam Sekitar 1). Perlu memilih tugas hakiki, iaitu melaksanakan kelas amali pelajar.

Tuesday, March 3, 2015

Beratnya Kasut


BIASANYA jika ke pasaraya tertentu, saya akan ke penimbang berat badan yang berfungsi selepas memasukkan syling 20sen ke dalam slotnya.  Baru-baru ini, selepas menghadiri jemputan majlis perkahwinan, saya singgah ke sebuah pasaraya dan menimbang berat badan.  Alangkah terkejutnya apabila jarum meter memperlihatkan berat bertambah satu kilogram?! Tak kan baru makan nasi beriani sepinggan terus bertambah satu kilo? Bagi mencari jawapannya, saya timbang kasut yang digunakan.  Ternyata berat kasut itu satu kilogram!  Selalunya saya menimbang berat badan dengan berselipar atau bercapal....

Tuesday, February 17, 2015

Penggunaan RON97


ARTIKEL ini tersiar dalam BH 5 Februari 2015.  Tajuk artikel ini selari dengan persepsi saya selama ini, iaitu RON97 lebih jimat terutamanya daripada segi jangka panjang apabila enjin kereta lebih tahan lama.  Selain daripada itu, daya pecutan enjin juga lebih baik.

Thursday, February 5, 2015

Besarnya Kelapa


DARIPADA segi saiznya, memangnya yang paling besar saya pernah jumpa, justeru ditimbang untuk mengetahui beratnya.  Ternyata beratnya mencecah 5.5kg. "Kelapa asli," kata penjual di Pasar Tani itu... Harganya pun lebih mahal.  Namun apa yang kerap saya alami ialah buah yang besar tidak semestinya elok. Lebih baik beli yang sederhana atau kecil.  Ia akan memberi lebih nilai untuk wang anda. .selain kelapa ini saya ada pengalaman ke atas buah durian, betik, tembikai dll. Beli sebiji yang besar, kalau busuk, busuk semuanya.  Beli dua biji yang kecil, kalau busuk sebiji, yang sebiji lagi mungkin molek.

Tuesday, January 20, 2015

Tahun Baru Kereta Baru


HANYA beberapa minit selepas 'publish' artikel atau entri yang lepas, pihak Proton telefon minta datang ke pusat jualannya di Bandar Baru Bangi untuk mengambil kereta Proton baru....

Friday, January 9, 2015

Tahun Baru Kereta Lama


MASIH belum terlambatnya rasanya untuk mengucapkan selamat tahun baru 2015. Selain azam baru daripada segi semangat dan iltizam keperibadian, antara kita mungkin ada yang telah pun tukar beberapa barang baru seperti rumah baru, kereta baru, motor baru, TV baru atau telefon bimbit baru. Setakat menulis ini, saya masih lagi guna kereta lama. Ramai kawan-kawan dah tukar Honda baru, Proton baru, Perodua baru,Nissan baru atau Toyota baru, saya masih lagi menggunakan Saga Iswara tahun 1997.  Sudah hampir 18 tahun menggunakan kereta ini.  Makna kata kereta lamalah ini....

Friday, December 19, 2014

Baca Buku-buku Klasik


BUKU-BUKU dalam pelbagai kategori memang banyak dalam simpanan hinggakan bengong untuk memilih yang mana satu untuk dibaca.  Motivasi untuk membaca buku-buku lama ini timbul apabila seseorang 'berhajat' akan buku-buku klasik yang dalam simpanan itu.  Sebelum 'melepaskannya' rasa terpanggil untuk membacanya atau menghayatinya untuk kali pertama atau terakhir.  Pertama kerana selama ini hanya 'disimpan' sahaja di rak buku tanpa membacanya.  Kalau pernah membacanya pun, dah lupa akan isi kandungannya.  Sebanyak 11 buah buku saya 'lepaskan' hak milik. Membaca buku "Chepu Kenchana", Antologi Cherita2 Pendek Dunia terbitan Oxford University Press, Kuala Lumpur chetakan kedua (di-perbaiki) 1961, iaitu buku dalam Seri Sastera Timur dan Barat ini, ia memuatkan tulisan/cerita2 bertajuk "Pertanda" oleh Honore De Balzac (1799-1850; Peranchis); 'Jantong Yang Membuka Rahsia"oleh Edgar Allen Poe (1809-1849; Amerika), "Dua Orang Tua" oleh Leo Tolstoy (1828-1910; Rusia), "Kalong" oleh Guy De Maupassant (1850-1893) dan beberapa cerita lagi.  Membaca "Kisah Pelayaran Abdullah" (1960), pula terasa seperti baca berita.  Bagaimanapun beberapa perkataan seperti "hatta, shahdan, kalakian, dan arakian" bolehlah diketahui maknanya dalam buku ini.

Monday, December 15, 2014

Kolam Pancing Danau Pinggiran, Putrajaya.

Ikan Patin 6kg yang berjaya didaratkan.

KOLAM ini adalah tempat biasa saya memancing.  Selalunya sebulan sekali akan ke sini dengan rakan-rakan sepejabat. Pernah juga bawa isteri dan anak sebagai riadah dan jalan-jalan luaskan pandangan. Pada 11/12/14, cuti am sempena Hari Keputraan Sultan Selangor, mungkin paling meriah kerana saya ke sana bersama tiga orang lagi rakan sepejabat dan seorang jiran sebelah rumah, menjadikan trip kali ini lima orang.  Awalnya seperti biasa gunakan umpan untuk ikan Rohu, tetapi seperti tidak laku, lalu saya gunakan pula roti kentang + pati strawberi.  Alhamdulillah, sekejap sahaja dimakan Patin.  Ikan Patin seberat 6kg berjaya didaratkan.  Disebabkan saya nak ikan yg beratnya kurang 3kg supaya boleh dibawa balik, saya tumpukan pada umpan Rohu sahaja.  Malangnya Rohu tak makan-makan.  Menjelang tamat masa, saya pun berkemas-kemas.  Seorang lelaki yang berkongsi bangsal/gazebo yang sama, minta saya berikan sahaja umpan lebihan kepadanya.  Saya beri palet 6363 + minyak pisang dan roti kentang + strawberi,  Dia kata 6363 itu kalau dibiar masam boleh pancing ikan Pacu.  Umpan roti kentang itu pula terus dibalut pada mata kailnya dan dilontar ke tengah kolam, tiga minit sebelum saya pulang.  Saya kata pada jiran saya, kalau dia nak dapat pun biarlah kita dah balik.  Besok paginya saya tanya pada rakan sepejabat kerana mereka balik lambat, samada 'brother' itu dapat ikan setelah saya pulang?  Mereka kata ya.  Berumpankan roti berwarna merah, lelaki itu dapat Patin yang jauh lebih besar hinggakan mereka semua terpaksa angkat joran masing-masing untuk elakkan tali terbelit.  Wah, macam keterbalikan cerita 'ayam menang kampung tergadai' versi umpan saya yang 'power' orang lain yang dapat ikan.  Ah, tak apa, tak apa, nak bagi kenalah ikhlas kan.

Wednesday, December 10, 2014

Baca Novel Ramlee Awang Murshid


PADA  bulan Oktober lepas, setelah agak lama tidak membaca novel, tergerakdi hati nak baca novel.  Kebetulan anak saya ada membeli novel "Sunan Nanggroe Sang Kembara".  Teruja juga dengan tajuknya kerana saya pernah membaca semua enam buah novel Ramlee Awang Murshid berkaitan Sunan dengan keris Nanggroenya yang bermula dengan Bagaikan Puteri diikuti oleh Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, Sutera Bidadari dan Sunan Musafir.. Banyak hari juga diperlukan untuk 'khatam'.  sedang seronok membaca hingga halaman terakhir, rupanyanya di penghujungnya tertulis perkataan "Bersambung..."  Wah, novel prolog daripada siri tersebut pun ada sambungannya...!?

PADA 4/11/14, semasa Pesta Konvokesyen UPM Ke-38, saya sempat ke sebuah booth buku dan bertanyakan buku sambungan novel Sunan Nanggroe Sang Kembara.  Penjual itu kata dia bawa lima buah sahaja dan dah habis dijual.  Kemudian pada 15/11/14, semasa Putra Canselor Festival dimana saya terlibat dengan pertandingan catur, saya sempat ke booth penjual yang sama dan dapat beli novel Ramlee Awang Murshid; "Raudhah".  Saya beli juga sebuah lagi novel RAM "Aku Bercerita"

MEMANGLAH "Sunan Nanggroe Sang Kembara" novel ke-23 Ramlee Awang Murshid dan "Raudhah" novel ke-24, tetapi ia bukannya sambungan seperti yang saya sangka. Ia adalah cerita yang lain sama sekali.  Bagaimanapun dah beli, kenalah baca juga sampai tamat.  Dan sekarang saya sedang membaca novel "Aku Bercerita".