Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, September 12, 2012

Nostalgia Rambai

RAMBAI adalah satu daripada jenis buah-buahan yang boleh digolongkan sebagai nadir, iaitu buah yang sukar untuk didapati. Tidak menghairankan jika ramai golongan muda yang tidak pernah merasa keenakan buah rambai.  Rambai sedap dimakan dengan bijinya sekali. Jika dimakan dengan membuang bijinya, rambai akan terasa masam waima sebenarnya ia manis.  Pokok rambai pula, apa yang saya pernah nampak terdapat dua jenis, iaitu pertama, jenis pokok yang rendang, banyak cabang berbentuk horizontal dan kanopinya lebar seperti pokok duku.  Kedua, jenis pokok yang tinggi dan cabangnya berbentuk vertikal seperti pokok langsat.

Semasa zaman kanak-kanak, di sebelah rumah saya ada sepohon pokok rambai jenis yang kedua itu.  Setiap kali musim berbuah, maka lebatlah buahnya dan menarik perhatian untuk memanjatnya.  Pokok setinggi 40 - 50 kaki itu sukar dipanjat kerana terpaksa letak kaki di celah pangkal dahan dengan batang pokok yang sempit kerana dahan yang berbentuk vertikal itu.  Pabila diingat-ingat semula, rasa bersyukur kerana tidak jatuh.  Sekarang, selepas lebih tiga puluh tahun, jika diupah seribu pun, rasanya tidak akan panjat pokok serupa itu.  Sebab itulah jika terjumpa orang menjual rambai di mana-mana pasar malam, pasti saya akan membelinya.


Wednesday, August 29, 2012

Antara Ketupat dan Rendang

ADA orang, setiap malam sebelum tidur akan membaca doa-doa tertentu dan akan memaafkan kesalahan orang lain terhadapnya.  Justeru saya mengambil kesempatan hari raya aidilfitri yang mulia ini memaafkan semua kesalahan semua orang terhadap diri saya.  Saya juga memohon maaf kepada semua jika ada apa-apa kesalahan yang telah saya lakukan sama ada disedari atau tidak.

Ada orang juga menganggap ketupat sebagai penanda hari raya menjelang tiba, waima sebahagian orang lagi mengatakan bukan hari raya pun ketupat banyak dijual terutama digerai menjual sate.

Antara ketupat dan rendang pula, mana yang lebih mustahak?  Bagi orang yang memasak lemang, rendang memang lauk yang wajib ada.  Bagi orang yang memasak ketupat, lauk yang wajib ada ialah sambal kacang dan lodeh atau kari ayam.  Namun kalau ada rendang daging, memang sodap. Rendang dicampur daun puding hitam lagi. Jadi, antara ketupat dan rendang, di mana konfliknya?!

Tuesday, July 31, 2012

Antara Dedaunan untuk Botok-botok

 Pucuk Beruas
 Pucuk Betik
 Daun Kesum
 Daun Kunyit
 Daun Kaduk
 Pucuk Ubi
 Puding 1
 Puding 2
 Puding 3
 Puding 4
 Puding 5
 Puding 6
Serai

SEMUA tumbuhan di atas adalah apa yang saya tanam sendiri.  Semua di atas adalah antara yang diperlukan untuk membuat atau memasak botok-botok.  Botok-botok enak dimakan bersama nasi. Bagaimana membuat botok-botok? Bentangkan sehelai daun pisang, susun sedikit pucuk ubi diikuti serba sedikit daun beruas, pucuk betik, daun kaduk, puding 1, puding 2, puding 3, puding 4, puding 5, dan puding 6. Curah kan sesenduk bahan B, iaitu campuran kerisek kelapa, halia, lengkuas, kunyit, serai, bawang putih, bawang merah yang ditumbuk halus, ditambah lagi daun kunyit, daun kesum dan daun selasih yang diracik halus, tambah sekeping ikan tenggiri dan rempah kari ikan, serta tambah sedikit garam gula.  Tangkup di atasnya serba sedikit dedaunan di atas tadi, kemudian daun pisang dilipat seperti bungkus nasi lemak seterusnya dikukus sehingga masak.  Dah siap masak, makanlah dengan nasi, Ya Salam! tak ada lauk lain pun tak apa.

Daun puding tu sebenarnya ada namanya tersendiri, tetapi saya tak tahu.  Puding 3, orang panggil puding mangkuk.  Botok-botok banyak dijual di pasar pagi, pasar malam, atau pasar tani di Johor.  Pernah dijual di Bazar Ramadan di Bangi, Selangor. Kesedapannya bergantung kepada lengkap atau tidak bahan-bahan yang diperlukan. Akhirul-kalam, selamat berpuasa dan selamat mencuba!

Thursday, July 5, 2012

Harga petrol RON97 turun 20 sen

TURUNnya harga petrol RON97 sebanyak 20 sen menyebabkan dua perasaan timbul.  Pertama gembira, kedua terkilan. Gembira kerana harga minyak petrol turun dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan saya.  Terkilan kerana saya hanya tahu harga diturunkan melalui Buliten Utama TV3 jam 8.15 malam tadi, sedangkan saya telah penuhkan tangki minyak kereta saya dengan petrol RON97, iaitu sebanyak RM60.00 pada jam 7.15 petang semalam!  Hanya satu jam perbezaan masa.  Apa pun, syukurlah....

Friday, June 29, 2012

Maka Jun Pun Berakhir...

SEKADAR memenuhi kuota satu bulan sekurang-kurangnya satu entri, maka saya titipkan sebaris dua diari dalam ruangan ini...

21-22 Jun 2012
Dua hari seperti terperangkap dalam bilik operasi kerana bertugas sebagai pengiring juruaudit MS ISO 9001:2008 dari pihak SIRIM.

26 Jun 2012
Seharian berada dalam kawasan FRIM Kepong kerana suatu urusan peribadi yang amat mustahak yang tidak dapat dielakkan.  Antara pengisian peribadi yang dipenuhi dari jam 8.00pagi hingga 4.00petang ialah membaca novel Kusebut Namamu Selalu karya Muhd Mansur Abdullah yang dah lama beli tapi belum sempat mula baca.  Itu pun dapat baca lima bab sahaja.  Selain itu berjalan di sekeliling sebuah kolam melihat dua ekor ikan Arapaima Gigas yang besarnya mungkin 50kg atau 60kg seekor.  Sisik ikan itu memang cantik, satu bersisik kuning, satu lagi bersisik merah.

Lain-lain
Sepanjang Jun ini, tiga kali bertugas sebagai pembantu pengawas peperiksaan akhir.  Semuanya di luar waktu pejabat, iaitu sama ada petang, malam, atau hari Ahad.  Tapi tak apa, dapat juga buat tuntutan bayaran kerja lebih masa.  Siapa nak bagi!

Wednesday, May 23, 2012

Buat Dahulu Baru Cakap

HARI Isnin kelmarin saya berpeluang menonton Taichi2 di TV3 jam 10.00malam.  Ini kali kedua saya menontonnya di kaca TV.  Kali ini saya tertarik dengan suatu falsafah dalam dialog oleh watak utama, iaitu seorang anak muda yang minat Taichi tetapi dikongkong oleh ayahnya.

Dialog ini berlaku selepas pemuda itu ingin menggunakan kepala naga, tapi dihalang oleh sepupunya kerana bimbang.  Dialog itu berbunyi "ada tiga jenis orang dalam dunia ini.  Pertama dia cakap tapi tak buat; kedua, dia cakap dan dia buat...(masa ini saya fikir sambungannya tentulah "dia tak cakap tapi dia buat") ketiga, dia buat dahulu baru cakap."

Moralnya ialah kalau anda nak beli telefon bimbit baru atau kamera atau batang pancing atau buku atau apa sajalah, anda buatlah dahulu.  Kalau sekiranya jika anda cakap dulu pada sidia nak buat itu ini, maka tak jadilah jawabnya kerana sidia akan sentiasa ada berjuta ide lain yang lebih bagus, ha ha.

Thursday, May 3, 2012

Ke Pesta Buku Antarabangsa2 Kuala Lumpur



SEMALAM saya berpeluang berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa 2 Kuala Lumpur yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.  Pesta Buku Antarabangsa2 berlangsung pada 27 April - 6 Mei 2012. Ucapan jutaan terima kasih tentunya kepada seorang sahabat saya yang sudi mengajak dan menumpangkan saya menaiki keretanya ke pesta buku tersebut. Tidak banyak buku yang saya beli berikutan masa yang terhad dan orang begitu ramai membataskan keinginan melihat semua gerai pameran.  Begitu pun, dapatlah juga saya membayar untuk buku-buku yang tersebut di atas, iaitu Kusebut Namamu Selalu, Catan Akrililk, dan Lukisan Cat Air.  Novel itu saya beli di gerai DBP dan dua yang akhir itu saya beli di Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Wednesday, April 18, 2012

Buat Apa Balik...

AYAT "Buat apa balik..." mengundang NOSTALGIA buat saya. Hal ini demikian kerana ada SEJARAHnya sebagai bukti objektif.



Tulisan yang tersiar dalam Mingguan Malaysia 15 April 2012






Tulisan yang tersiar dalam majalah al-Muslimah April 2011



Sedikit persamaan ini membuat saya gembira kerana ia memperlihatkan bahawa ayat yang saya gunakan dalam cerpen "Beriani Gam" adalah betul waima terasa ada keganjilan pada awalnya. Bezanya cuma sedikit, iaitu Bro Tompok dalam kolum Kucing Jantan menggunakan ayat "Buat apa balik rumah kalau asyik dibebel saja" sedangkan saya menggunakan ayat "Buat apa balik kalau balik buat sakit hati saja". Apa yang penting ialah dalam kedua-dua ayat ini terdapat unsur konflik.

Thursday, April 5, 2012

TIGA

TIGA Abdul adalah sebuah filem arahan P. Ramlee yang 'ever-green' hingga sekarang. Baru-baru ini kata 'tiga' didapati kerap digunakan sebagai sebahagian tajuk karya kreatif. Antaranya ialah 3Janji, 3 Temujanji, Tiga Pelarian, dan Potret Tiga Agus.

3Janji sedang ditayangkan melalui TV3 dalam slot Lestary setiap hari Selasa, jam 9 malam.

3 Temujanji pula adalah sebauh filem arahan Hashim Rejab yang mengandingkan dua pelakon utama, iaitu Pierre Andre dan Yana Samsudin. Filem ini akan menjengah panggung pada 5 April 2012 ini.

Tiga Pelarian adalah sebuah cerpen tulisan Tie Camar yang tersiar dalam majalah al-Muslimah Bil. 234 isu Ogos 2011.

Sementara Potret Tiga Agus adalah sebuah cerpen tulisan Abdul Rahman Sokran yang tersiar dalam al-Muslimah Bil. 235 isu September 2011.

Tiba-tiba kata tiga menjadi begitu bererti justeru saya juga adalah anak ketiga daripada tujuh beradik. Ada sesiapa yang ingin guna kata tiga sebagai tajuk karya mereka selepas ini...?

Tuesday, March 13, 2012

Tempat Jatuh Lagi Dikenang





DALAM entri sebelum ini telah diceritakan tentang pengalaman memancing di Kg. Nelayan Telok Gong, Kelang. Dalam akhbar Utusan Malaysia semalam terpapar berita tentang warung-warung di sekitar Jeti Kg. Nelayan Telok Gong itu telah hanyut dibawa arus. Tentulah berita buruk itu mengundang nostalgia kerana baru bulan lepas saya menjejakkan kaki di jeti itu....

Wednesday, February 22, 2012

Antara Pengalaman Pemancing

Papan tanda berdekatan jeti Kampung Nelayan Telok Gong



Sebuah daripada kira-kira 20 buah rumah rakit





Ikan Duri. Spesis ikan inilah yang saya terkena durinya. Bisa!



Ikan Sembilang yang dipancing oleh rakan saya. Besar!



MULANYA saya menolak pelawaan seorang rakan untuk menyertai program ini. Hal ini demikian kerana saya merasakan tersangatlah sibuknya. Antaranya akan menghadiri tiga hari kursus. Kemudian akan terlibat dengan penganjuran majlis perkongsian ilmu. Ditambah urusan keluarga lagi. Lepas itu apabila terserempak seorang pensyarah, beliau turut mengajak malah mewajibkan saya turut pergi. Saya anggap ini sebagai peluang.




MAKA pada petang Sabtu 18/2/12 kami seramai enam orang pun bertolaklah ke tempat yang dituju, iaitu Kampung Nelayan Telok Gong di Kelang, Selangor. Sampai di jeti kampung tersebut, kami menaiki bot menuju ke rumah rakit di tengah sungai. Pelbagai aktiviti boleh dibuat. Mula-mula kami masak nasi dengan menggunakan dapur yang memang lengkap disediakan. Sambil memancing, kami juga buat barbeku ayam, udang, dan sotong.




MALAM itu pancing saya mengena seekor ikan duri. Mungkin sudah lama tidak memancing, saya lupa prosedur menangani ikan berduri/bersengat. Mungkin juga saya malas nak ambil peralatan memancing. Sepatutnya saya gunakan 'player' untuk lepaskan mata pancing daripada mulut ikan. Ketika memegang dengan tangan itulah, tiba-tiba ikan meronta dan satu daripada tiga sengatnya terkena jari hantu tangan kanan saya. Darah meleleh dengan lajunya. Seorang rakan suruh saya sedut untuk buang bisa. seorang rakan mencapai beg 'first aid'nya. seorang rakan lagi mengambil otak ikan Duri itu untuk disapukan ke tempat luka. Pendek kata sepanjang malam itu jari saya bisa berdenyut-denyut. Pengalaman ini memang tidak dirasai oleh rakan-rakan yang lain dalam program ini!


KAMI akan bertolak balik pada jam 3.00 hari Ahad. Menjelang nak balik itulah ikan mula makan umpan dengan galaknya! Pancing saya sendiri ditarik ikan duri paling besar sewaktu menunaikan solat Zohor. Orang lainlah yang menikmati garauannya. Pengalaman memancing kali ini pasti antara yang saya tidak akan dapat lupakan. Bak kata pepatah tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat kena sengat ikan Duri. Betul tak!?

Friday, January 20, 2012

Buku Lagi...

BUKU adalah benda pertama yang kerap terlintas dalam minda saya untuk dijadikan hadiah perkahwinan. Buku agama adalah kategori utama menjadi pilihan, antaranya Terjemahan al-Quran ar-Rahman dan bimbingan lengkap fardu-ain selain novel. Minggu depan giliran adik ipar (adik isteri) akan naik pelamin. Saya dalam tercari-cari buku apakah yang sesuai untuk dijadikan hadiah, telah mengalami penemuan visual ke atas buku Masakan Tradisi Melayu Johor. Buku terbitan pertama 2009 oleh Utusan Publications ini saya rasakan antara buku yang paling lengkap, sempurna, dan cantik. Penulisnya pula, Noraini Margono seorang yang berpengalaman luas dalam dunia masakan. Waima sesuai untuk semua satu Malaysia, tentu lebih serasi pabila penerimanya sendiri orang Johor.






ANTARA resepi yang terkandung dalam buku ini ialah Ikan Botok-botok.




ANTARA bahan yang digunakan untuk memasaknya ialah dedaunan seperti yang telah dijelaskan dalam entri sebelum ini, iaitu pucuk ubi, daun beruas, daun kaduk, pucuk betik, dan pelbagai jenis daun puding.

Wednesday, January 18, 2012

Pokok Lagi...

SELAIN Ubi, saya juga menanam pokok puding dan lain-lain betul-betul di sebelah bilik pejabat saya. Maklumlah ada tanah di sebelah bangunan. Daripada terbiar baik diusahakan. Pokok Puding


Pokok Puding


Pokok Buas/Bebuas/Beruas.

Tiga jenis pokok di atas adalah bahan untuk memasak Ikan Botok-Botok. Bahan lain untuk buat botok-botok ialah puding senduk, pucuk ubi, pucuk betik, daun kaduk, dll. Semua daun ini dibentang atas daun pisang, kemudian diletak ikan tenggiri yang sudah digaul dengan kerisik, serai, bawang putih merah, dll. Kemudian dikukus. Makan dengan nasi panas. Ya Salam, pasti nak lagi!



Pokok Puding Hitam


Daun pokok ini biasa dicampur dalam rendang daging



Thursday, January 12, 2012

Diam-diam Ubi III

DIAM-DIAM ubi berisi. Diam tak diam sudah beberapa kali tapak penanaman ubi kayu saya bersilih ganti. Sudah dicabut, tanam semula, dicabut lagi, dan tanam semula. Dimulai dengan satu variety ubu kayu, iaitu Ubi Medan, kini saya sudah menanam empat variety ubi kayu. Variety tersebut seperti dalam gambar di bawah mengikut susunan ialah Ubi Medan, Ubi Putih, Ubi Indon, dan Ubi Pulut. Ubi Medan. Paling biasa ditanam orang. Batangnya berwarna kemerahan semasa kecil. Batang tua berwarna gelap. Dahannya kemerahan. Kulit ubinya agak berkakah. Sedap dimakan apabila direbus dan cecah dengan sambal tumis bilis. Benih asal saya dapat dari Batu Pahat, Johor.


Ubi Putih. Batangnya berwarna hijau cerah. Apabila tua pun masih cerah berbanding ubi medan. Saya belum pernah makan ubinya, tetapi sahabat saya yang mendapatkan benih ubi ini dari kampungnya di Kapar, Kelang berkata, ubi inilah yang paling sedap.



Ubi Indon. Batangnya lebih gelap berbanding Ubi Medan dan Ubi Putih. Dahannya lebih merah daripada ubi medan. Kulit ubi ini agak licin atau rata. Tekstur ubinya mungkin antara ubi medan dan ubi pulut. Masih dalam peringkat kajian.



Ubi Pulut. Daunnya ketara berbeza, iaitu panjang. Ada orang mengelarnya ubi jurai sebab daunnya yang berjurai itu. Isi ubinya mungkin tidak dimakan orang kerana tidak empuk. Kalau hendak dimakan pun kena diparut dahulu dan dibuat kueh. Pucuk ubi inilah yang selalu dimakan dan banyak dijual di pasar malam. Benih asal saya perolehi dari seorang rakan sekerja yang tinggal di Sungai Buluh.

Wednesday, December 28, 2011

Suatu Ketika di Morib

ADAKAH entri kali ini sekadar memenuhi quota Disember!? Mungkin. Sedang menerangkan falsafah di sebalik objek yang pasukan Biru siapkan

Hampir 100% staf yang terlibat membawa keluarga dalam program ini. Satu keluarga staf menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-22 dan ulang tahun kelahiran anaknya.


Sekeping gambar sama dengan 1000 perkatan kan?


Mencari ilham di pantai Morib, Selangor.


Antara aktiviti 'Explore Race' di pantai Morib. Sukarnya menghurai makna!


Antara gambar yang perlu ditunjukkan kepada fasilitator untuk mendapat 'chek point' seterusnya!


Pasukan saya (Biru) berjaya mendapat dua daripada hamper ini..., iaitu yang kedua besar dan yang satu lagi....


Bergambar ramai setelah tamat program 'Team Building'