Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Tuesday, August 26, 2014

Catur Penyumbang Pingat Kontigen

 Bergambar ramai sebelum pertandingan.  Dr. Adrian tukang ambil gambar

 Ketika menerima hadiah pingat Gangsa

 Bergambar ramai selepas menerima pingat

Pingat dimenangi sebagai kenangan

HARI ini 30 Syawal 1435H.  Harap belum terlambat untuk memohon maaf zahir dan batin sempena bulan mulia ini.  Begitu lama tidak menulis dan memancing rasanya.  Hanya sempat memancing satu jam pada suatu petang Ramadan lalu.  Hal ini demikian, antaranya kerana sibuk dengan pemilihan, latihan, dan pertandingan catur.  Dipendekkan cerita saya terpilih mewakili UPM ke Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti di UTM Skudai, Johor (13-23 Ogos 2014).  Misi kali ini ialah mendapat pingat (sebarang warna) kerana tahun lepas hanya tempat keempat.  Alhamdulillah selepas menempoh pertandingan yang kadang-kala penuh dramatik, akhirnya pasukan catur lelaki mendapat tempat ketiga (pingat gangsa).  Kami tumpang gembiran dengan kejayaan pasukan catur wanita yang mengungguli kejohanan ini (pingat emas) buat kali ketiga berturut-turut.
 Buah Sentul

SEPANJANG kejohanan ini kami ditempatkan di Blok M25 Kolej Tun Dr. Ismail.  Betul-betul di sebelah tempat penginapan kami terdapat sepohon Sentul yang sangat tinggi, rendang, dan lebat buahnya.  Banyak buah sentul bertaburan di atas rumput.  Sayangnya tiada galah untuk menjolok.  Daripada segi makan tengah hari dan malam, boleh dikatakan makanan di sini sedap-sedap belaka.  Samada dalam kampus mahupun di restoran sekitar Taman Universiti berhampiran.  Beberapa kali kami menjamu selera di Restoran Mak Jah dalam kawasan Universiti, dan Restoran Agus di Taman Universiti. Sesungguhnya perjalanan kali ini memang memuaskan.

Tuesday, July 22, 2014

Kurma dan Ramadan


KURMA dan Ramadan memang tidak dapat dipisahkan. Walaupun kurma boleh didapati sepanjang tahun, tetapi ketika Ramadanlah kurma berada di mana-mana.  Suatu waktu dulu saya pernah berhabis hampir RM100 dalam bulan Ramadan kerana membeli kurma.  Berlainan kali ini, pagi tadi adalah kali keempat menerima sedekah kurma.  Sebelum ini terima daripada Kelab Sosial dan Kebajikan FPAS, Persatuan Penolong Pegawai Sains, dan Alumni UPM.  Pagi tadi terima daripada Kedai Buku Koperasi UPM.  Maknanya kali ini satu sen pun belum dibelanja untuk membeli kurma bagi Ramadan kali ini.
Dan ketika hendak menulis catatan kali ini, tiba-tiba pintu bilik saya diketuk.  Seseorang datang membawakan sedekah dalam bentuk sebalang biskut tat nanas.  Allhamdulillah, syukur nikmat, rezeki begitu murah hari ini.

Thursday, July 10, 2014

Kembali ke Sukan Catur


KETIKA melibatkan diri dalam sukan ping pong sebelum ini, pasukan saya berjaya menjadi naib juara kumpulan dalam pusingan pertama.  Bagaimanapun tersekat ke suku akhir pada pusingan kedua.  Kini saya kembali kepada Catur.  Dalam perlawanan pemilihan pemain pasukan untuk ke sukan SUKUM2014 di UTM pada bulan Ogos nanti saya seri dengan semua lawan dan Alhamdulillah akhirnya terpilih.  Semoga kali ini semua ahli pasukan dapat bermain dengan cemerlang bagi mengulangi sejarah menjadi juara atau sekurang-kurangnya naib juara yang pernah diraih sebelum ini...

Friday, June 13, 2014

Beralih Arah ke Sukan Ping Pong

SATU daripada permainan yang saya suka ialah Ping-Pong atau 'table tenis'.  Sekarang adalah musim sukan antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan ping-pong berlangsung mulai 9 Jun 2014.  Dalam kejohanan ini setiap PTJ perlu hantar pemain perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu veteran lelaki, dan beregu campuran.  Saya mewakili beregu lelaki veteran dan perlu menentang tiga pasukan untuk penentuan johan dan naib johan kumpulan.  Setakat hari ini saya dah bermain dua kali.  Alhamdulillah kali pertama menang 3-1 (kumpulan menang 4-1) dan kali kedua menang 3-0 (pasukan menang 3-2).  Hari Isnin depan akan bermain sekali lagi.  Dan perjalanan masih jauh.  Ada pusingan kedua untuk naib johan kumpulan, suku akhir, separuh akhir, dan akhir.

Wednesday, June 11, 2014

Pabila Tidak Lagi Jadi Jurugambar

a
PROGRAM Seminar Projek Pelajar Tahun Akhir berlangsung setiap tahun.  Sebelum ini sayalah yang selalu mengambil gambar mereka.  Jurugambar memang selalunya tidak berada dalam gambar.  Tetapi dalam seminar yang berlangsung pada 9 dan 10 Jun 2014 ini tugas saya menyediakan buku program dan menjaga masa/menekan loceng satu daripada sembilan sesi.  justeru, pabila saya tidak lagi menjadi 'fotographer' saya dapat berdiri bersama pelajar di barisan paling belakang dalam sesi bergambar ramai kali ini.

Thursday, May 15, 2014

Penemuan Visual


SEKADAR mengacu kamera ke arah objek kemudian Klik!  Objek pula akan menarik jika kebetulan ada 'penemuan visual' dan kamera ada di tangan.  Kerapnya 'penemuan visual' akan lenyap sekelip mata.  Hal ini kerap berlaku sewaktu terlihat mentari merah bulat di ufuk Barat.  Cantik bukan main, tetapi selepas mengambil kamera di rumah, mentari tadi sudah pun tengelam atau terlindung awan.  Balik kepada fotografi di atas, mereka yang pandai menulis mungkin terilham untuk menulis puisi tentang seorang gadis yang merenung kejauhan merentasi tasik dan perbukitan.  Atau ada tafsiran yang lebih seni dan dalam.
GAMBAR ini saya rakam menggunakan kamera Nikon D300 milik pejabat ketika membawa pelajar-pelajar kursus Studio Perancangan Alam Sekitar di lapangan pada 5/3/2012.

Thursday, May 8, 2014

Antara Menulis dengan Melukis 2

Sembilan daripada 19 buah lukisan yang telah disiapkan

JIKA sebelum ini saya ada menyiarkan lukisan yang diadaptasi daripada nukilan puisi/sajak, kali ini dipaparkan pula lukisan yang diadaptasi daripada cerpen.  Pelajar diberi satu salinan tajuk cerpen daripada cerpen-cerpen tulisan saya sendiri yang pernah tersiar dalam majalah.  Mereka dikehendaki memahami jalan cerita kemudian memindahkan ke dalam bentuk lukisan.  Cuma kali ini setiap lukisan dilukis oleh sekumpulan dua orang bagi menekankan kerjasama.  Lukisan dibuat atas satu keping 'Ilustratioan Board' bersaiz 508mm X 762mm.

Thursday, April 10, 2014

Suatu Penghijrahan


TERINGAT semasa saya menyertai kursus perkahwinan suatu masa dulu (kalau tak silap), seorang Ustaz pernah menyarankan jika kita naik bas ke tempat kerja jam 7.30pg setiap hari, kemudian masih juga tidak menemu jodoh, cuba naik bas jam 7.00pg pula.  Mungkin jodoh dan pertemuan ada di situ. Wah, apa pula kaitannya dengan gambar di atas? Sesekali saya pergi memancing di kolam bertuan. Biasanya dapatlah dalam dua-tiga ekor di tempat biasa dan umpan yang biasa.  Kali ini saya harus berterima kasih kepada En. Zulkefley yang menyarankan satu 'port' lain waima di kolam yang sama.  Juga terima kasih kepada En. Zainordin yang menyarankan resepi umpan terbaik  Sebelum ini saya tidak pernah mencuba dedak 923 itu.  Macam suatu penghijrahanlah kiranya.  Hari Selasa 8 April itu saya ambil cuti rehat sewaktu pejabat saya kosong sekosong-kosongnya. Ramai yang kerja luar ke Pulau Pinang, ada yang berkursus, ada yang bercuti juga. Sebab itu saya membawa diri ke Danau Pinggiran, Putrajaya.  Alhamdulillah pencapaiannya agak luar biasa,  Jangankan nak baca buku, nak makan dan minum menghilang dahaga pun tak sempat. Mudah-mudahan kalau saya sesekali pergi "melapangkan fikiran" lagi, dapatlah seperti ini lagi. Amin.

Monday, March 31, 2014

Antara Menulis dengan Melukis


BUKAN saja-saja memilih tajuk ini. Menulis dan melukis memang genre yang berlainan, tetapi kita tentu pernah mendengar tentang sebuah drama atau 'movie' yang diadaptasi dari sebuah novel.  Mungkin ini agak baharu apabila lukisan di atas diadaptasi dari puisi atau sajak.  Itulah hakikatnya.  Daripada sembilan buah lukisan di atas, tiga daripadanya adalah adaptasi daripada sajak-sajak "Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya" oleh Usman Awang, "The World is too Much With Us" oleh William Wordsworth, dan "Bila Langit Tak Lagi Biru" oleh Lim Swee Tin.  Bagaimanapun lukisan di atas hanya dilukis oleh pelajar-pelajar jurusan Bacelor Pengurusan Alam Sekitar yang mungkin itu kali pertama mereka melukis. Kredit untuk Dr. Ruzaimi Mat Rani yang telah memberi tip dan sedikt tunjuk-ajar semasa 'persinggahannya' di Studio 1, tempat saya bertugas, suatu masa dahulu.  Lukisan tersebut dibuat atas Ilustration board bersaiz 508mm X 762mm yang dipotong dua.

Thursday, March 27, 2014

Antara Memancing dengan Menulis

Peralatan memancing dan ikan Patin di kolam Danau Pinggiran pada Dis. 2013

APA sahaja yang berlaku di dunia ini boleh dijadikan bahan untuk menulis.  Bahkan benda yang belum berlaku pun boleh diimaginasikan dan ditulis, contohnya fiksyen sains.  Justeru, memancing dan menulis memang tidak terkecuali.  Cerpen "Tapah" oleh Lim Swee Tin yang memenangi Sayembara Cerpen Esso-Gapena III dan "Kelah Sisik Merah" oleh Baharuddin Kahar adalah antara cerpen yang berkisar tentang memancing dan ikan.  Malah cerpen tersebut telah menjadi klasik dan malasegar.  Di peringkat sarwajagat pula novel "Orang Tua dengan Laut" oleh Hemingway yang mengisahkan seorang tua dengan perahu kecilnya berjaya memancing atau menangkap seekor ikan yang besar, sering diperkatakan. 

Tuesday, March 11, 2014

Antara Catur dengan Memancing



 Sewaktu menyertai Pertandingan Catur Persahabatan UPM lawan Pejabat Kastam 8/11/2013

PAGI semalam seorang rakan bernama Zul tanya saya samada nak sertai pertandingan memancing di Danau Pinggiran anjuran sebuah masjid berhampiran.  Dengan seret-meret saya setuju dan hulur yuran penyertaan RM10.00.  Sangat murah kerana bayaran memancing biasa pun RM20.00.

Hanya selang beberapa minit seorang rakan bernama Sul pula datang dan tanya samada saya nak sertai pertandingan catur.  Dengan serta-merta juga saya setuju, waima yuran penyertaannya RM25.00.

Jika anda kaki pancing, masih ada masa untuk sertai.  Hubungi En. Rahmat 019-2559912 kerana tarikh riadah tersebut pada 15 Mac 2014.

Jika anda kaki catur juga masih ada masa kerana tarikh kejohanan pada 29 Mac 2014.  Hubungi Cik Rosni 013-9677270 atau lawat Http//mtm1314.wix.com/pcc2014.

Friday, March 7, 2014

Antara Boling dengan Catur


SELAMA ini saya beri tumpuan pada sukan catur selain sesekali berpeluang melibatkan diri dalam sukan lain.  Dalam bidang catur, pencapaian tertinggi saya ialah menyertai kejohanan MAKSAK dengan mewakili Selangor. Itu lama sangat dah dulu.  Sekarang untuk mewakili universiti tempat bertugas pun dah sukar kerana ramai bakat-bakat baru yang tinggi komitmen mereka. Boling pula memang tidak pernah saya sentuh.  Hanya selepas usia mencecah setengah abad, iaitu  pada 8 Februari 2014 baharulah saya dapat merasa bermain boling. Pada tarikh itu berlangsunglah kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan oleh Kelab Sosial dan Kebajikan tempat bertugas.  Kejohanan tersebut dijalankan di Kelab Golf Bukit Jalil.  Ternyata main boling lebih mudah dan menyeronokkan.  Bermain catur memaksa otak diperah semacam untuk bermain satu 'game' dalam tempoh dua jam.  Oleh yang demikian, catur bolehlah diletakkan pada kelas yang agak tinggi.  Ramai orang boleh bermain boling berbanding catur.  Malam kelmarin saya bermain boling lagi dengan rakan-rakan.

Friday, February 21, 2014

Antara Ikan Patin dengan Ikan Rohu


Ikan Rohu 4.00kg.
"MISI membalas budi".  Itulah antara matlamat saya kali ini apabila turun memancing setelah hampir dua bulan tidak turun.  Entri saya sebelum ini ada penjelasan tentang seorang rakan sepejabat telah membelikan saya seekor ikan Patin sangkar dari Temerloh, Pahang.  Dia tunaikan permintaan saya tanpa mahu menerima wangnya.  Saya berhasrat membalasnya dengan Rohu tanpa mahu menilai harganya juga.  Alhamdulillah, pada 19 Februari 2014 di kolam Danau Pinggiran, Putrajaya, bukan sahaja tiga ekor Rohu dapat didaratkan, malah ikan Rohu terberat kali ini ialah 4.00kg sedangkan selalunya sekitar 1.8kg sahaja seekor..  Joran Lion Stick yang digunakan juga terbukti kuat. Tidak patah.

Tuesday, February 4, 2014

Ikan Patin Gulai Tempoyak: Masa Untuk Memasak!

 Gulai tempoyak ikan Patin yang saya masak

LAMA dah nak ke dapur sesekali untuk mencuba bakat.  Entri saya sebelum ini pada 24/9/13 bertajuk soalan retorik "Masa Untuk Memasak?"  Saya kata "tentu tidak".  Tetapi, kebetulan seorang rakan sepejabat balik kampung di Temerloh, Pahang sempena cuti raya Cina, saya pun kirim minta belikan ikan Patin sangkar barang seekor.  Semalam saya menerimanya, petang semalam juga saya terus memasaknya.  Masak apa?  Tentulah gulai tempoyak ikan Patin!  Resepi pilihan ialah Gulai Tempoyak Ikan Patin Kak Wan D'like yang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita keluaran Januari 2014.  Alhamdulillah, nampaknya menjadi!

Monday, January 6, 2014

Kreativiti Pantulan

SELAMAT tahun baharu 2014.  Sebagai pembuka tirai, kali ini masih tentang kreativiti.  Dalam Mingguan Malaysia semalam (5/1/2014) ada artikel bertajuk Kreativiti Pantulan SINI.  Ruangan ini adalah tentang dunia fotografi kendalian Abd Halim Hadi.  "Pantulan atau refleksi merupakan salah satuu teknik fotografi popular dan sering diguna untuk menghasilkan gambar menarik dan kreatif".  Sebagai peminat kamera, saya sendiri ada satu koleksi, dan antaranya seperti berikut:
Ini bukanlah koleksi terbaik.  Ada satu lagi yang bayang-bayangnya di air tenang dan nampak wajah-wajah sebahagian mereka.  Cuma sewaktu menulis ini, saya tak pasti di mana saya sorok gambar itu.  Gambar ini diambil di Taman Negara Pahang.  Kamera yang saya gunakan pula ialah Nikon D300.