POKOK Kekabu ini terletak di tepi tasik di belakang pejabat tempat saya berkerja
Apabila tiba musimnya pokok Kekabu akan berbuah. Ini buah Kekabu yang masih hijau
Ini pula buah kekabu yang sudah matang dan pecah. Inilah masa yang paling sesuai untuk mengutip Kekabu untuk dijadikan bantal.
Jika sekali kait dapat Kekabu begini banyak, beberapa kali kait sahaja sudah penuh satu beg plastik besar.
Walaupun cuma sepokok, kalau rajin mengutipnya boleh dapat berkotak-kotak. Kotak yang digunakankan ini bersaiz besar muatan air minuman 1.5L. Setiap kotak boleh muat 2kg Kekabu yang telah dibuang kulit. Harus dijemur di bawah terik matahari beberapa jam supaya benar-benar kering dan mengembang. Bagaimanapun setelah dijemur dan kemudian dibuang biji serta empulurnya, beratnya hanya tinggal 1kg. Kekabu yang kering dan bersih seberat 1kg akan menghasilkan sebiji bantal besar yang sangat-sangat mampat dan tidak akan penyek apabila digunakan. Untuk tidur yang selesa, gunakan bantal kekabu adalah yang terbaik.
siapalah saya...
Tuesday, May 22, 2018
Monday, April 16, 2018
Alahai Sang Ular
PAGI ini saya berkerja seperti biasa di pejabat. Tetiba alat pendingin hawa meragam. Bunyi kompressor agak kuat seperti nak rosak. Saya Off sekejap kemudian On semula. Mula-mula 'okey', tapi kemudian berbunyi semula. Tak lama kemudian terhenti terus. Saya keluar dan periksa kompressor. Kompressor itu terletak atas rak besi dan kedudukannya di dinding atas daripada tingkap nako. Kelihatan hujung pokok durian belanda yang berserabut dengan rumpai, iaitu sekentut telah menyentuh kompressor. Menyangka daun-daun dan rumpai itu penyebabnya, saya pun cantas ranting-ranting dan rumpai yang menjalar itu dengan gunting pemangkas (pruning shears). Setelah siap baru saya perasan ekor ular terjuntai dari kompressor. Ular itu baru sahaja masuk berdasarkan kesan darah. Ini kali ke-12 saya jumpa ular di sekitar tempat kerja.
Wednesday, March 14, 2018
Apabila Pejabat Berhampiran Hutan
Pernah nampak ayam hutan, Bangau, burung Puchong setinggi budak, biawak, malah kira-kira sepuluh ekor memerang sedang berpesta menangkap ikan di sini.
Di sinilah saya berjalan "beriringan" dengan seekor ular Tedung Sela
berwarna hitam sepanjang empat kaki.
BILIK saya di pejabat terletak dalam sebuah bangunan setingkat seluas 60' x 30'. Ruang dalam bangunan dibahagikan kepada dua, iaitu ruang Makmal Penyelidikan Akuatik dan ruang menempatkan tiga bilik staf. Bilik saya yang paling hujung ke arah "hutan" berhampiran. Ada sebuah tasik seluas padang bola sepak. Justeru terdapat pelbagai jenis haiwan hidup di sekitar. Selain ikan kerap kali saya terserempak biawak, memerang, ayam hutan, bangau, burung puchong dan pelbagai jenis lagi. Namun yang paling mengerunkan ialah terdapat banyak ular di sekitar. Dalam tempoh dua tahun ini lebih sepuluh kali saya terserempak ular. Dua kali pihak Bomba (Bantu Mula) datang. Sekali sebab ular Batam Tebu yang muncul betul-betul depan pintu bangunan, dan sekali lagi sebab ular Sawa sepanjang 12 kaki yang muncul sekitar15 meter dari bangunan.
Kerap juga haiwan masuk dalam bangunan yang memaksa kami berusaha menghalaunya keluar seperti burung, tupai, katak dan lain-lain. Cicak memang tempat dialah. Pernah sekali di luar pengetahuan saya, seekor biawak kecil telah masuk ke dalam bilik apabila pintu bangunan terbuka dan pintu bilik saya juga terbuka. Rakan staf yang nampak cuba cari, tak jumpa, juga tidak maklumkan. Saya hanya sedar apabila bau bangkai sudah meruap di belakang susunan buku. 20 buah buku terpaksa dibuang kerana baunya melekat.
Pada 9/2/18 ketika saya solat Asar dalam bilik tiba-tiba seekor lipan bara panjang sejengkal menyusur di tebing sejadah sebelah kanan dari arah belakang. Mujur dia tidak naik atas sejadah ketika masih rakaat ketiga itu. Ular Tedung Sela pula pernah saya terlangkah. Hanya sedar selepas terdengar bunyi "sssss", dan ketika saya jengok dalam parit konkrit yang kering sedalam tiga kaki itu, kepalanya dah kembang. Rupa-rupaya saya akan berhadapan situasi lebih berbahaya apabila kelmarin (12/3/18) ketika saya berjalan di belakang bangunan tiba-tiba ular tedung sela yang berwarna hitam panjang empat kaki dengan ukur lilit sebesar ibu jari kaki itu menyusur hanya sejengkal di sebelah kaki kiri saya dan menyusup ke celah rerumput dekat pokok pandan di hadapan. Allahuakbar. Saya terdiam dan trauma sekejap. Ada kamera di tangan pun tak sempat klik. Alhamdulillah kerana saya merasakan masih bernasib baik setakat ini...
Thursday, February 1, 2018
Legasi Tombiruo
BARU terima hari ini. Beli melalui on-line. Plastik pembalutnya pun masih belum dibuka. Saya sudah memiliki Tombiruo, Semangat Hutan, dan Tombiruo Terakhir, oleh itu sewajarnya saya memiliki novel ke-28 Ramlee Awang Murshid ini, iaitu Legasi Tombiruo.
"EJIM atau nama barunya Amaruddin telah lama meninggalkan dunia TOMBIRUO setelah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya. Kini dia hidup bahagia bersama isteri tersayang Siti Nurhaliz dan anak tunggalnya Suriani. Bagaimanapun kebahagiaan yang dikecapi tercalar tatkala Semangat Hutan muncul semula dalam jelmaan bapanya, Pondulou. Bahkan menerusi mata fikirannya, Amaruddin sedang melihat pembunuhan kejam. Amaruddin pun memutuskan untuk memburu pembunuh itu yang bermaharajalela di ibu kota Kuala Lumpur."
Begitulah antara tulisan di luar kulit belakang novel ini. Dengan pelbagai komitment, tentu saya memerlukan masa yang agak panjang untuk selesai menghayatinya.
Tuesday, January 30, 2018
Berkayak di Tasik Darulaman Perdana
DARI Serdang ke Sg. Petani,
Singgah sebentar di Permatang Pauh;
Alang-alang sampai di sini
Dengan kayak kami berkayuh.
Tanggal 29/12/17 (Jumaat) seawal 5.20 pagi saya dan keluarga bertolak dari Serdang, Selangor ke Sg. Petani, Kedah. Melalui Saujana Putra, solat Subuh di hentian/stesen Petronas 10km sebelum sampai Hospital Sg. Buluh. Hujan sepanjang perjalanan hingga melepasi Terowong Menora. Sesekali hujan lebat hingga tak nampak jalan. Singgah di UiTM Permatang Pauh untuk menjemput seorang lagi ahli keluarga. Solat Jumaat di situ. Makan malam di Restoran Marina 4 Sg. Petani. Semasa balik ke Darulaman Perdana terlihat papan tanda "Laguna Merbok" tempat rakan sepejabat bercuti dua-tiga hari lepas. Hari Ahad baru saya berkesempatan berkayak di Tasik Darulaman Perdana dengan bayaran RM10.00 seorang. Hari Isnin bertolak balik ke Serdang seawal 7.15 pagi. Singgah sebentar di Permatang Pauh. Alhamdulillah sampai Serdang dengan selamatnya jam 1.45 petang.
Thursday, December 28, 2017
Haruan: Pabila Musim Hujan Tiba
APA yang kelihatan dalam gambar ini ialah air. Sebenarnya kawasan ini adalah sebuah tanjung yang kering dan menganjur ke tengah tasik. Banjaran rumput di kiri dan kanan adalah tebing berumput. Ketika musim hujan ini ia dinaiki air hingga paras lutut. Keadaannya seperti banjir termenung. Ketika inilah Haruan mula bermain di kawasan ini malah kelihatan seperti lubuk ikan. Musim kali ini membolehkan saya pecahkan beberapa rekod peribadi, iaitu pertama, dapat Haruan terberat (600gm); kedua, balingan pertama terus dapat Haruan; ketiga, dapat Haruan tiga hari berturut-turut; keempat, dapat Haruan dua ekor dalam masa sepuluh minit atau sekali berpergian. Biasanya saya 'casting' antara 7.00-7.30 pagi sebelum masuk kerja jam 8.00pg.
Tuesday, November 21, 2017
Kacang Panjang 2
MUSIM menuai kembali lagi. Kali ini saya tanam dalam pasu konkrit. Gambar memperlihat tuaian kali kedua, iaitu semalam. Kira-kira 12 batang dapat dipetik seberat 200gram. Kalau nak beli, harganya sekitar RM10.00/kg. Hari ini dapat sembilan batang sahaja. Yang penting dalam dua minggu ini setiap hari perlu petik hasil yang sudah matang.
Tuesday, October 31, 2017
Menaiki Bot di Sungai Sepang Besar
Pada 4 Okt 2017
Pada 25 Okt 2017
HARI ini hari terakhir bulan Oktober. Bagi memenuhi quota sekurang-kurangnya satu catatan sebulan, maka ini sahaja yang sempat saya capai untuk dititipkan dalam keadaan terkejar-kejar waktu kerana banyak tugasan yang perlu dibereskan. Gambar pertama di atas memperlihat saya berada dalam bot di atas sungai Sepang Besar dekat Bagan Lalang pada 4 Oktober 2017. Masa itu saya sedang meninjau lokasi untuk satu slot daripada bengkel yang akan dilaksanakan kemudian. Pada 25 Okt saya datang lagi bersama hampir 20 orang peserta bengkel "Forensics Investigation Techniques for Water Quality in Agriculture" yang berlangsung drp 24-27 Okt 2017. Bagaimanapun selama empat hari bengkel saya cuma snap gambar sana snap gambar sini, tetapi gambar saya satu pun tiada. Justeru, saya paparkan gambar bot di belakang bot yang saya naiki.
Friday, September 29, 2017
Harum Manis yang Hilang
POKOK mangga Harum Manis ini saya tanam berdekatan pejabat antara empat hingga lima tahun lepas. Alhamdulillah walaupun di Selangor, pokok ini dapat hidup dan berbuah. Buah pertama agak besar, tapi hilang dirembat walaupun bersampul kertas. Dalam gambar ini ialah buah musim kedua. Sempat snap gambar beberapa hari sebelum hilang juga. Rasanya dirembat orang kerana bersampul kertas surat khabar, tetapi apabila dibuka balutannya didapati telah kosong. Ketika didapati hilang, ada beberapa putik di dahan lain. Selepas itu baru dapat merasa setelah dipetik sebelum ranum kerana kalau lambat lagi dikhuatiri hilang juga. Selepas diperam lima enam hari baru dikupas dan walaupun keras sedikit masih terasa harum dan manisnya. Jika dapat ditunggu hingga betul-betul masak tentu persis Harum Manis di Perlis sana.
Thursday, August 10, 2017
Dua Pingat Gangsa
ALHAMDULILLAH, penglibatan dalam sukan catur membolehkan saya bawa pulang dua pingat gangsa dalam tempoh dua minggu lepas. Pertama pada 25/7/2017 selepas terlibat dengan Sukan Badan Berkanun 2017 di UiTM Bandaraya Melaka. Kedua, pada 4/8/2017 selepas terlibat dengan Kejohanan Sukan Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-42, 2017 di UPSI Tg. Malim, Perak. Sukan Badan Berkanun (Sukanun) berlangsung pada 21-27/6/17 di UTeM, Melaka, sementara SUKUM berlangsung pada 29/7/17-6/8/18 di UPSI, Tg. Malim, Perak.
Friday, July 28, 2017
Antara Pagi dengan Petang
7.00 pagi dapat ini
7.00 petang dapat ini
HAL ini berlaku pada 18/7/17 yang lalu. Seperti biasa saya sampai pejabat sebelum jam 7.00 pagi. Hari masih gelap. Selepas hantar beg sandang ke pejabat, saya keluar lagi untuk ambil barang lain di kereta. Saya terdengar sesuatu dan terlihat sehelai dua rumput bergerak hanya dua meter di hadapan pintu pejabat. Mujur saya tidak terpijak kerana dekat dengan laluan saya setiap pagi. Dengan bantuan seorang Polis bantuan (dulu pengawal keselamatan) saya berjaya kerjakan ular itu. Petangnya menjelang 7.00 ptg di tasik belakang pejabat saya dapat seekor Haruan pula...
Kacang Panjang
TANAM 10 pokok kacang panjang di belakang bangunan pejabat (rumah di taman perumahan tiada tanah untuk bercucuk tanam), jika setiap hari dapat petik sebanyak ini, dapat petik selama dua minggu pun cukuplah. Memang berbaloi.
Wednesday, June 21, 2017
Menjadi Penulis Cerpen
SUDAH lama sebenarnya jadi penulis cerpen ni, iaitu sejak 1983. Cuma kurang produktif. Shawal 1438H ini mungkin paling bermakna kerana setelah memenangi pertandingan menulis sajak bulan lepas, bulan ini cerpen pula tersiar dalam majalah.era Muslimah terbitan terbaharu, iaitu Bil 36/2017. Jika sajak anti dadah itu bertajuk "Kehadirannya Membawa Petaka", cerpen ini pula bertajuk "Apabila Kesedaran itu Datang..."
Tuesday, May 30, 2017
Menjadi Penulis Sajak
PERKARA yang menjadi sejarah dalam hidup saya kali ini ialah apabila menjadi pemenang tempat pertama Pertandingan Menulis Sajak UPM 2017 Sempena Bulan Kesejahteraan Diri: Perangi Dadah Habis-habisan. Saya mendapat galakan untuk menyertai pertandingan penulisan sajak daripada ketua jabatan setelah beliau menyaksikan penyampaian hadiah penulisan sajak di dewan yang sama beberapa bulan sebelum ini. Seorang rakan penulis juga beberapa kali mengingatkan supaya menulis dan menyertai pertandingan ini. Justeru, pada 16 Mei 2017 saya berjaya menyiapkan sebuah sajak dan jangan sampai tidak hantar, kata orang, tugas saya pun selesai. Bagaimanapun pada 26 Mei 2017 dalam Majlis Perasmian Penutupan Bulan Kesejahteraan Diri: Perangi Dadah Habis-habisan di Dewan Besar UPM, pertama saya tidak sangka diumum pemenang tempat pertama; kedua, saya tidak sangka diminta membaca sajak itu di atas pentas. Antara audien ketika itu selain Prof. Dr. M. Iqbal Saripan, TNC(Akademik & Antarabangsa) UPM ialah Dato' Fazley Yaakob yang diundang untuk slot penampilan khas. Selain RM300.00 saya turut menerima hadiah buku "Terima Kasih Yaa Rabbi" kumpulan puisi Anismas ar dan "Discovering 100 Bird of Universiti Putra Malaysia" oleh Muhammad Syafiq Yahya dan rakan-rakan. "Kemenangan ini membuktikan saya masih wujud dalam persada penulisan kesusasteraan tanah air.
Tuesday, May 16, 2017
Berbakti Kepada Tanah
BARU-BARU ini berlaku kejadian ribut di kawasan pejabat saya. Akibat daripada kejadian itu banyak pokok tumbang selain bangunan banyak yang rosak. Antara yang tumbang ialah sepohon pokok Sukun betul-betul sebelah pejabat saya. Mujur tidak hempap bangunan. Pokok Sukun itu tingginya kira-kira 40 kaki. besar pangkal pokok itu sepemeluk orang dewasa. Hikmahnya kejadian itu ialah saya dapat petik sebiji buah Sukun yang amat besar. Setelah ditimbang, beratnya 3.5kg! Buah yang sudah cukup tua itu rasannya sedap dan lemak apabila digoreng. Pokok ubi kayu juga condong akibat angin kencang. Setelah dicabut didapati beratnya 3.3kg. Amat sedap apabila direbus. Teksturnya halus dan lembut tidak berakar.
Subscribe to:
Posts (Atom)




















