Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Tuesday, September 10, 2019

Mendaki Gunung Stong

 Artikel bertajuk "Stong Cabar Pendaki" dalam BH

 Di kaki Gunung Stong

 di pertengahan Gunung Stong

Di puncak Gunung Stong

BULAN lepas dalam BH disiarkan sebuah artikel bertajuk "Stong Cabar Pendaki" oleh Nor Amalina Alias. Sudah tentu dengan segera menggamit nostalgia saya ketika mendaki Gunung Stong tersebut pada 2 Julai 2010 dulu. Malahan gambar yang saya letak di atas sekali blog ini dengan tajuk "Mendaki" dan caption "Usaha tangga jaya" adalah satu daripada gambar yang saya klik sepanjang aktiviti itu.  Saya setuju sangat dengan kata "cabar" oleh Nor Amalina itu kerana pernah merasa sendiri cabaran yang dihadapi ketika mendaki Gunung Stong. Ditambah lagi dengan iringan lagu"Ingat Mati" Waliband daripada telefon bimbit seseorang. Paling mengembirakan apabila kita berjaya sampai ke puncak Gunung Stong.

Peluang mendaki Gunung Stong timbul apabila saya terlibat mengiringi sekumpulan pelajar UPM menjalankan kerja lapangan selama enam hari daripada 30 Jun 2010 hingga 5 Julai 2010 di sekitar Gua Musang, Kelantan. Sepanjang tempoh itu kami tinggal di Kem/Taman Etnobotani KESEDAR.  Selain Gunung Stong, kami berpeluang melawat Stesen Keretapi Gua Musang dan berakit di Sungai ketil. Berakit menggunakan bot dengi melintasi Taman Wangi dan terus hingga belakang bangunan KESEDAR. Pada hari terakhir selain singgah beli strawbery di Cameron Highlands, kami singgah Sekolah Kebangsaan Pos Broke, Gua Musang berinteraksi dengan guru-guru dan pelajar-pelajarnya.

Wednesday, August 21, 2019

Musang



BIASANYA saya sampai pejabat sekitar 6.50 pagi.  Suatu hari beberapa minggu lalu, sebaik sampai pejabat dengan bantuan cahaya lampu motosikal saya nampak kelibat pergerakan seperti tupai yang memanjat grill tingkap dekat pintu belakang.  Saya memang selalu mengawasi kawasan itu kerana khuatir ada ular sebab sudah dua kali terserempak ular batam tebu depan pintu itu. Saya terus ke pintu kerana apa sangatlah kalau tupai.  Namun ketika hendak buka kunci mangga, saya seperti disergah oleh binatang itu.  Bentuk badan dan ekornya seperti tupai, tapi kepalanya seperti kucing.  Bimbang ia menerkam, saya ambil keputusan masuk pejabat (bangunan makmal sebenarnya) melalui pintu sebelah hadapan.  Sempatlah saya ambil gambar guna kamera. Flash menyala pun dia tak lari.  Malah kekal tidur di situ hingga jam 6.00 petang.  Besok paginya dah tak kelihatan lagi. Kemudiannya baru saya tahu bahawa binatang itu adalah musang.  Mungkin kerana kawasan itu banyak pokok-pokok dan habitat asalnya terganggu oleh projek MRT menyebabkan ia sampai ke kawasan pejabat saya. Sekian.

Wednesday, August 14, 2019

Menuai Hasil Kebun di Pejabat


Kelapa Mawar, daun pisang, daun pandan, serai, dan lengkuas yang dituai pada 11/08/19

Cili Api Kampung yang dituai pada 13/08/19 semalam. Di belakang sana dapat dilihat  pokok Lengkuas, pokok Durian Monthong, pokok Labu dan sedikit Ulam Raja.

HARI Raya Qurban pada 11/8/19, paginya terlibat dengan program Qurban di Surau al-Hidayah berdekatan rumah. Sebagai ketua untuk lembu nombor dua daripada tujuh ekor, telah memantau kerja-kerja melapah dan memastikan semua bahagian terutama kepala dan ekor selamat sampai ke ruang kerja-kerja memotong dan pengagihan. Petang, selepas Asar, ke pejabat bersama sang isteri.  Sementara dia mengerjakan kekabu, iaitu membuang biji dan empulurnya, saya mengutip "hasil ladang", iaitu kelapa Mawar, daun pisang, daun pandan, serai, dan lengkuas. Besoknya empat biji diparut di kedai dengan upah 40sen sebiji. Semalam selepas waktu kerja kutip pula cili api kampung. Inilah antara sebab saya datang ke pejabat sebelum 7.00 pagi dan pulang ke rumah 7.00 malam.

Friday, August 2, 2019

Memancing Rohu

Dedak No. 923 yang dibungkus pada 23.11.17

Ikan Rohu seberat 1.3kg yang berjaya dinaikkan

DUA Minggu lepas, iaitu tanggal 23/7/19 selepas lebih setahun saya tidak memancing Rohu, saya teringin melakukannya.  Oleh itu saya selongkar semula peralatan memancing dan umpan-umpan yang ada. Ternyata dedak yang saya simpan sudah  lama, iaitu bertarikh 23/11/2017 maknanya umpan dedak itu sudah setahun setengah dalam beg pancing.  Namun sudah niat di hati nak memancing Rohu, saya turun juga ke Danau Pinggiran di Putrajaya.  Selain joran dan mata pancing jenis bom, iaitu sebentuk spring dengan juraian lima mata pancing bersaiz kecil.  Umpan yang disediakan ialah dedak 929 dan 923, serbuk pandan Power, minyak tebu, dan roti Gardenier. Hanya roti sahaja yang dibeli baharu.
 Rezeki pertama, iaitu Lampam 
Joran yang dipacak. Kelihatan kad pendaftaran bernombor 1, dan masa masuk 9.45pagi

Saya bercadang untuk memancing selama dua jam sahaja. Bermula jam 9.45 pagi,ikan pertama berjaya dinaikkan ialah ikan Lampan sebesar tapak tangan. Kebetulan ada lima ekor kucing sedang setia menunggu di sekeliling. Hanya seekor kucing yang kenyang. Yang lain mengiau-ngiau.  Selepas itulah baru dapat Rohu seberat 1.3kg. Padahal kolam ini telah lebih sebulan tidak dimasukkan ikan oleh tuannya. Kali ketiga joran mengena seekor Lampam yang lebih besar.  Kali ini saya mula berfikir samada nak beri kepada kucing atau bawa balik. Kalau dapat dibakar atau goreng pun sedap.  Ketika itulah Lampam terlucut dari mata pancing dan tergolek masuk ke kolam semula. Kucing melepas saya pun melepas.  Kali keempat mengena dan dapat seekor Lampam yang sama besar dengan yang ketiga tadi, saya terus beri kepada kucing tanpa berfikir panjang lagi. Genap dua jam 'release tension', saya pun daftar keluar.

Thursday, July 4, 2019

Kerabu Mangga

JAMUAN Hari Raya yang diadakan pada 27 Jun 2019 berkonsepkan 'potluck'.  Oleh itu sekumpulan kecil saya dan rakan-rakan sepejabat berbincang untuk menentukan siapa bawa apa.  Seorang rakan cadangkan saya buat kerabu mangga kerana di belakang blok pejabat saya yang terpencil di bahagian paling belakang terdapat beberapa pokok mangga Cokanan yang sedang berbuah.  Saya segera bersetuju kerana buat kerabu mangga senang bagi saya dan ia jarang sekali dipilih sebagai juadah sumbangan.  Tambahan pula saya tak perlu keluar modal untuk membeli bahan-bahan diperlukan.
 Mangga Cokanan yang baru dipetik dari pokok
 Mangga yang sudah dikupas
 Mangga yang sudah disagat
Kerabu mangga siap!

Saturday, June 29, 2019

Salam Aidilfitri 1440H


BERGAMBAR ramai adalah posting saya pada Mei lepas, Kali ini saya ditugaskan mengambil gambar dalam majlis jamuan Raya berkonsep potluck anjuran gabungan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar dan Jabatan Sains Alam Sekitar pada 27 Jun 2019 bersamaan 23 Shawal 1440H. Seperti biasa apabila bertugas sebagai jurugambar, memang kurang kesempatan untuk menjamah juadah, sebaliknya harus mengambil gambar mereka beratur menyeduk makanan dan mereka sedang makan beramai-ramai. "Jurugambar mana boleh berada dalam gambar." itulah ungkapan biasa dari mulut rakan-rakan.  Walau bagaimanapun ketika mengambil gambar ramai, saya tidak harus melepaskan peluang untuk turut sama merakam kenangan. Justeru, seseorang diminta untuk snap menggunakan kamera saya. Terima kasih kepada En. Azrul yang sudi menolong. Sebanyak 80 imej yang saya rakam telah pun dimuatnaik dalam facebook Faculty of Environmental Studies. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucap Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada pembaca semua.

Thursday, June 20, 2019

Cara Mengingat Sesuatu Aktiviti


ANTARA yang  paling popular untuk merancang dan mengingat sesuatu aktiviti yang kita akan terlibat ialah menulis dalam 'planner' atau 'Year Planner'. Planner selalunya dalam bentuk buku seperti diari atau buku yang tipis tapi lebar.  Juga boleh didapati dalam bentuk kad bersaiz A3 malah A2 yang boleh diletak atas meja. Hal ini agak kurang berkesan kerana kadang-kadang terlupa semak planner dalam bentuk buku. Sementara planner yang terletak di atas meja kekadang tertindih oleh dokumen lain. Malah tulisannya agak kecil.  Bagi saya semua aktiviti boleh ditulis dalam diari, tetapi supaya tidak lupa atau terlepas pandang tarikh-tarikh penting, saya guna 'sticker' kuning, tulis tarikh besar-besar dengan dakwat hitam, dan tampal atas softboard di pintu. Setiap kali nak keluar pasti akan terpandang.  Tengok dari jauh, iaitu dari meja kerja pun boleh nampak.

Tuesday, May 28, 2019

Bergambar Ramai

DALAM sesuatu aktiviti, samada melibatkan pejabat tempat kerja, keluarga, kumpulan sukan, dan sebagainya, bergambar ramai menjadi antara yang terpenting selain bergambar seorang atau kumpulan kecil terutama berlatarbelakangkan lokasi aktiviti tersebut dilaksanakan.  Hal ini penting dalam konsep sejarah dan nostalgia. Berikut beberapa gambar ramai yang telah diambil.  Jika guna kamera sendiri, seseorang mungkin tolong snap atau pun gunakan jika gunakan tripod, fungsi self-timer yang terdapat pada kamera dapat membantu.
 Lawatan 5S di Putra International Centre 10/5/2019

 Majlis jamuan meraikan staf berpencen, staf baru masuk, dll 30/4/2019

 Kerja lapangan kursus "Pengenalan Kepada Kerja Lapangan" pada 1-3/4/2019 
di Cameron Highlands

 Lawatan ke Jabatan Kimia Makanan, Jabatan Kimia Malaysia 
anjuran Persatuan Penolong Pegawai Sains. 15/1/2019

Jamuan Raya Aidilfitri di Jabatan, 4/7/2018

Tuesday, April 23, 2019

Cameron Highlands


CAMERON Highlands telah saya jejaki beberapa kali sebelum ini.  Kali pertama semasa remaja ketika mengikut rombongan orang kampung dari Batu Pahat, Johor.  Kemudian atas urusan kerja dari UPM, Serdang.  Terbaru pada 1-3 April 2019 saya berpeluang mengiringi sekumpulan 50 orang pelajar UPM memenuhi amali lapangan yang bertajuk "Pengenalan Kepada Kerja Lapangan".  Kali ini lokasi penempatan pelajar ialah di kawasan Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands di Tanah Rata, sementara saya dan staf lain menginap di Ros Homestay. Kira-kira 50 meter dari situ ada surau Al-Hidayah.  Antara aktiviti yang penting kali ini ialah membuat kerja-kerja pengukuran parameter tertentu di Mossy Forest Cameron Highlands.  Untuk memasuki kawasan ini perlu mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Jabatan Perhutanan.  Pokok-pokok di hutan ini unik kerana saya tidak pernah jumpa di hutan-hutan lain.  Menarik juga kerana hutan ini sempadan Perak dan Pahang.  Kaki sebelah boleh berada di Perak dan sebelah lagi di Pahang.

Thursday, March 28, 2019

Pokok Rambai Istana


POKOK Rambai Istana atau nama saintifiknya Lepisanthes ala(a) ini boleh dilihat di Dusun Contoh UPM.

Wednesday, February 20, 2019

Musim Kekabu Datang Lagi


HUJUNG bulan lepas pejabat saya mengadakan gotong-royong sehari membersihkan kawasan sekitar bagi membendung pembiakan nyamuk Aedes punca wabak Denggi. Antara aktiviti ialah bersihkan longkang dan menebang menebas tumbuhan yang tidak diperlukan. Suatu ketika saya ternampak dua pokok kekabu lagi di pinggiran kawasan.  Sebelum ini saya tidak perasan pun ada pokok kekabu di situ mungkin kerana terlindung bangunan jika saya berada di pokok kekabu yang selalu saya kunjungi. Kali ini saya nampak, mungkin berada berdekatan selain buahnya yang masih hijau bergayut lebat.

Minggu lepas saya tinjau lagi dan didapati buahnya telah matang untuk dituai.  Oleh itu mulai petang Isnin, selepas waktu kerja, saya kait kekabu menggunakan galah bersabit di hujungnya. Setiap petang saya peruntukkan antara 30-40 minit untuk mengutip hasil seberat 2kg selepas dibuang kulitnya yang sudah kering.  Dalam masa lima hari saya dapat 10kg.
Kekabu ini perlu dijemur di tengah panas supaya benar-benar kering sebelum disimpan.  Oleh kerana kekabu kali ini memang sudah cukup matang dan kering semasa dituai, selepas dijemur pun beratnya tidak banyak perbezaan.  Berat sebenarnya nanti akan berkurang selepas dibuang biji dan empulurnya.

Thursday, January 10, 2019

Herschel


BARU-baru ini timbul isu beg berjenama Herchel.  Saya teringat tentang beg sandang atau 'backpack' saya yang terkini.  Lalu saya pun mendapatkan beg itu daripada dalam laci. Setelah meneliti jenama pada beg itu didapati memang Herchel.  Tidak sangka pula 'backpack' yang saya beli di Shah Alam awal tahun 2018 itu termasuk dalam kategori 'branded".  Semasa nak beli beg itu saya cuma berkira-kira tentang harganya yang sederhana, saiznya yang kecil, nampak cantik dan kukuh yang saya rasa sesuai untuk muatkan sebiji kamera Canon Mirrorless dan beberapa peralatan kecil serta sebotol air 250ml. Brandnya langsung tidak diambil kira.

Monday, December 24, 2018

Ikan Ketutu

KETUTU adalah nama sejenis ikan air tawar sebagaimana keterangan daripada gambar poster di atas.  Ketutu banyak meninggalkan kenangan, sejarah, atau nostalgia dalam hidup saya.  Antara cerpen awal saya bertajuk "Ketutu Idaman" yang tersiar dalam Buletin Putra terbitan Universiti Putra Malaysia.  Ketika itu saya belum pernah merasa ikan Ketutu.  Sebab itu kata "idaman" terpancar dalam tajuk cerpen saya.
Ketutu di atas adalah yang saya bela dalam akuarium. Kali  pertama saya merasa isi ikan Ketutu ialah selepas saya mengikuti trip ke Tasik Kenyir bersama rakan-rakan sepejabat. Saya memperolehinya daripada tekong rumah bot.  Berat seekor ikan Ketutu itu 1.2kg. Saya bawa balik hidup-hidup dan ketika sampai di Serdang, Selangor, Ketutu itu masih hidup.  Disebabkan besarnya ikan itu saya masak tiga kali. Antaranya masak stim dan goreng.  Rasanya... Ya Salam, memang sedap. Isinya lebih lembut daripada ketam yang berulas.
Ketutu ini saya bela dalam akuarium dengan harapan senanglah apabila nak makan.  Jika nak beli pun sukar nak dapat dan kalau ada pun harganya mahal.  Paling murah RM80.00 sekilo untuk Ketutu yang berat 1kg ke atas. Untuk membela Ketutu dalam akuarium pula bukannya senang kerana ia makan ikan kecil, cacing atau yang seangkatan dengannya.  Ketutu tidak makan palet seperti ikan-ikan akuarium lain.  Mujur saya mudah mendapatkan ikan Gapi di longkang simen(gambar) yang hanya 50meter dari pejabat.
Cara menangkapnya mudah sahaja. Tahan tangguk kecil yang diikat dihujung sebatang kayu di satu titik.  Kemudian menggunakan sebatang kayu lagi kocak air longkang yang jernih itu kira-kira dua atau tiga depa. Kocak ke arah tangguk dan sebaik sahaja sampai terus angkat tangguk.  Hasilnya dengan sekali tangguk boleh dapat hampir 100 ekor Gapi seperti dalam gambar di atas.  Jika dicurah ke dalam akuarium sekejap sahaja Ketutu yang berjumlah enam ekor itu habiskan.  Begitulah sukarnya membela Ketutu.

Monday, November 19, 2018

Limau Purut: Habis Limau Purutku

 PAGI ini sebaik sampai di pejabat, didapati pokok limau purutku ini telah togel daunnya sebelah atas atau sebelah pucuk. Terkilan juga kerana beli anak pokok ini bukannya murah.  Baru nak hidup telah diserang oleh perosak tanaman.  Tercari-cari juga di sekitar luar polybag ini kalau-kalau ada siput babi bersembunyi di celah-celah rumput...
Namun tidak menemu.  melihat-lihat semula di bahagian dalam polybag.  Baru perasan rupanya ada seekor ulat hijau yang agak besar di atas daun limau purut yang paling bawah...

Friday, October 26, 2018

Bertemu Ramlee Awang Murshid

 Bergambar dengan Ramlee Awang Murshid

Bergambar dengan RAM dan seorang ahli RAMFC

TANGGAL 22 Okt. 2018, empat hari lepas, Ramlee Awang Murshid (RAM) datang ke UPM, Serdang untuk program "Bicara Personaliti Bersama Novelis Ramlee Awang Murshid".  Program ini dilaksanakan di Aras 1, Perpustakaan Sultan Abdul Samad jam 9.00-10.30pagi.  Saya yang telah memiliki 20 buah novel RAM tentulah mengambil peluang ini untuk berjumpa dan mendengar bicara beliau.  Di penghujung program ini saya sempat beli tiga buah novel beliau lagi, iaitu Mandatori, Banja Manggala, dan Fiksyen 302, seterusnya buku itu dichop RAM Fan Club dan ditandatangani serta bergambar kenangan.