Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, June 20, 2019

Cara Mengingat Sesuatu Aktiviti


ANTARA yang  paling popular untuk merancang dan mengingat sesuatu aktiviti yang kita akan terlibat ialah menulis dalam 'planner' atau 'Year Planner'. Planner selalunya dalam bentuk buku seperti diari atau buku yang tipis tapi lebar.  Juga boleh didapati dalam bentuk kad bersaiz A3 malah A2 yang boleh diletak atas meja. Hal ini agak kurang berkesan kerana kadang-kadang terlupa semak planner dalam bentuk buku. Sementara planner yang terletak di atas meja kekadang tertindih oleh dokumen lain. Malah tulisannya agak kecil.  Bagi saya semua aktiviti boleh ditulis dalam diari, tetapi supaya tidak lupa atau terlepas pandang tarikh-tarikh penting, saya guna 'sticker' kuning, tulis tarikh besar-besar dengan dakwat hitam, dan tampal atas softboard di pintu. Setiap kali nak keluar pasti akan terpandang.  Tengok dari jauh, iaitu dari meja kerja pun boleh nampak.

Tuesday, May 28, 2019

Bergambar Ramai

DALAM sesuatu aktiviti, samada melibatkan pejabat tempat kerja, keluarga, kumpulan sukan, dan sebagainya, bergambar ramai menjadi antara yang terpenting selain bergambar seorang atau kumpulan kecil terutama berlatarbelakangkan lokasi aktiviti tersebut dilaksanakan.  Hal ini penting dalam konsep sejarah dan nostalgia. Berikut beberapa gambar ramai yang telah diambil.  Jika guna kamera sendiri, seseorang mungkin tolong snap atau pun gunakan jika gunakan tripod, fungsi self-timer yang terdapat pada kamera dapat membantu.
 Lawatan 5S di Putra International Centre 10/5/2019

 Majlis jamuan meraikan staf berpencen, staf baru masuk, dll 30/4/2019

 Kerja lapangan kursus "Pengenalan Kepada Kerja Lapangan" pada 1-3/4/2019 
di Cameron Highlands

 Lawatan ke Jabatan Kimia Makanan, Jabatan Kimia Malaysia 
anjuran Persatuan Penolong Pegawai Sains. 15/1/2019

Jamuan Raya Aidilfitri di Jabatan, 4/7/2018

Tuesday, April 23, 2019

Cameron Highlands


CAMERON Highlands telah saya jejaki beberapa kali sebelum ini.  Kali pertama semasa remaja ketika mengikut rombongan orang kampung dari Batu Pahat, Johor.  Kemudian atas urusan kerja dari UPM, Serdang.  Terbaru pada 1-3 April 2019 saya berpeluang mengiringi sekumpulan 50 orang pelajar UPM memenuhi amali lapangan yang bertajuk "Pengenalan Kepada Kerja Lapangan".  Kali ini lokasi penempatan pelajar ialah di kawasan Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands di Tanah Rata, sementara saya dan staf lain menginap di Ros Homestay. Kira-kira 50 meter dari situ ada surau Al-Hidayah.  Antara aktiviti yang penting kali ini ialah membuat kerja-kerja pengukuran parameter tertentu di Mossy Forest Cameron Highlands.  Untuk memasuki kawasan ini perlu mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Jabatan Perhutanan.  Pokok-pokok di hutan ini unik kerana saya tidak pernah jumpa di hutan-hutan lain.  Menarik juga kerana hutan ini sempadan Perak dan Pahang.  Kaki sebelah boleh berada di Perak dan sebelah lagi di Pahang.

Thursday, March 28, 2019

Pokok Rambai Istana


POKOK Rambai Istana atau nama saintifiknya Lepisanthes ala(a) ini boleh dilihat di Dusun Contoh UPM.

Wednesday, February 20, 2019

Musim Kekabu Datang Lagi


HUJUNG bulan lepas pejabat saya mengadakan gotong-royong sehari membersihkan kawasan sekitar bagi membendung pembiakan nyamuk Aedes punca wabak Denggi. Antara aktiviti ialah bersihkan longkang dan menebang menebas tumbuhan yang tidak diperlukan. Suatu ketika saya ternampak dua pokok kekabu lagi di pinggiran kawasan.  Sebelum ini saya tidak perasan pun ada pokok kekabu di situ mungkin kerana terlindung bangunan jika saya berada di pokok kekabu yang selalu saya kunjungi. Kali ini saya nampak, mungkin berada berdekatan selain buahnya yang masih hijau bergayut lebat.

Minggu lepas saya tinjau lagi dan didapati buahnya telah matang untuk dituai.  Oleh itu mulai petang Isnin, selepas waktu kerja, saya kait kekabu menggunakan galah bersabit di hujungnya. Setiap petang saya peruntukkan antara 30-40 minit untuk mengutip hasil seberat 2kg selepas dibuang kulitnya yang sudah kering.  Dalam masa lima hari saya dapat 10kg.
Kekabu ini perlu dijemur di tengah panas supaya benar-benar kering sebelum disimpan.  Oleh kerana kekabu kali ini memang sudah cukup matang dan kering semasa dituai, selepas dijemur pun beratnya tidak banyak perbezaan.  Berat sebenarnya nanti akan berkurang selepas dibuang biji dan empulurnya.

Thursday, January 10, 2019

Herschel


BARU-baru ini timbul isu beg berjenama Herchel.  Saya teringat tentang beg sandang atau 'backpack' saya yang terkini.  Lalu saya pun mendapatkan beg itu daripada dalam laci. Setelah meneliti jenama pada beg itu didapati memang Herchel.  Tidak sangka pula 'backpack' yang saya beli di Shah Alam awal tahun 2018 itu termasuk dalam kategori 'branded".  Semasa nak beli beg itu saya cuma berkira-kira tentang harganya yang sederhana, saiznya yang kecil, nampak cantik dan kukuh yang saya rasa sesuai untuk muatkan sebiji kamera Canon Mirrorless dan beberapa peralatan kecil serta sebotol air 250ml. Brandnya langsung tidak diambil kira.

Monday, December 24, 2018

Ikan Ketutu

KETUTU adalah nama sejenis ikan air tawar sebagaimana keterangan daripada gambar poster di atas.  Ketutu banyak meninggalkan kenangan, sejarah, atau nostalgia dalam hidup saya.  Antara cerpen awal saya bertajuk "Ketutu Idaman" yang tersiar dalam Buletin Putra terbitan Universiti Putra Malaysia.  Ketika itu saya belum pernah merasa ikan Ketutu.  Sebab itu kata "idaman" terpancar dalam tajuk cerpen saya.
Ketutu di atas adalah yang saya bela dalam akuarium. Kali  pertama saya merasa isi ikan Ketutu ialah selepas saya mengikuti trip ke Tasik Kenyir bersama rakan-rakan sepejabat. Saya memperolehinya daripada tekong rumah bot.  Berat seekor ikan Ketutu itu 1.2kg. Saya bawa balik hidup-hidup dan ketika sampai di Serdang, Selangor, Ketutu itu masih hidup.  Disebabkan besarnya ikan itu saya masak tiga kali. Antaranya masak stim dan goreng.  Rasanya... Ya Salam, memang sedap. Isinya lebih lembut daripada ketam yang berulas.
Ketutu ini saya bela dalam akuarium dengan harapan senanglah apabila nak makan.  Jika nak beli pun sukar nak dapat dan kalau ada pun harganya mahal.  Paling murah RM80.00 sekilo untuk Ketutu yang berat 1kg ke atas. Untuk membela Ketutu dalam akuarium pula bukannya senang kerana ia makan ikan kecil, cacing atau yang seangkatan dengannya.  Ketutu tidak makan palet seperti ikan-ikan akuarium lain.  Mujur saya mudah mendapatkan ikan Gapi di longkang simen(gambar) yang hanya 50meter dari pejabat.
Cara menangkapnya mudah sahaja. Tahan tangguk kecil yang diikat dihujung sebatang kayu di satu titik.  Kemudian menggunakan sebatang kayu lagi kocak air longkang yang jernih itu kira-kira dua atau tiga depa. Kocak ke arah tangguk dan sebaik sahaja sampai terus angkat tangguk.  Hasilnya dengan sekali tangguk boleh dapat hampir 100 ekor Gapi seperti dalam gambar di atas.  Jika dicurah ke dalam akuarium sekejap sahaja Ketutu yang berjumlah enam ekor itu habiskan.  Begitulah sukarnya membela Ketutu.

Monday, November 19, 2018

Limau Purut: Habis Limau Purutku

 PAGI ini sebaik sampai di pejabat, didapati pokok limau purutku ini telah togel daunnya sebelah atas atau sebelah pucuk. Terkilan juga kerana beli anak pokok ini bukannya murah.  Baru nak hidup telah diserang oleh perosak tanaman.  Tercari-cari juga di sekitar luar polybag ini kalau-kalau ada siput babi bersembunyi di celah-celah rumput...
Namun tidak menemu.  melihat-lihat semula di bahagian dalam polybag.  Baru perasan rupanya ada seekor ulat hijau yang agak besar di atas daun limau purut yang paling bawah...

Friday, October 26, 2018

Bertemu Ramlee Awang Murshid

 Bergambar dengan Ramlee Awang Murshid

Bergambar dengan RAM dan seorang ahli RAMFC

TANGGAL 22 Okt. 2018, empat hari lepas, Ramlee Awang Murshid (RAM) datang ke UPM, Serdang untuk program "Bicara Personaliti Bersama Novelis Ramlee Awang Murshid".  Program ini dilaksanakan di Aras 1, Perpustakaan Sultan Abdul Samad jam 9.00-10.30pagi.  Saya yang telah memiliki 20 buah novel RAM tentulah mengambil peluang ini untuk berjumpa dan mendengar bicara beliau.  Di penghujung program ini saya sempat beli tiga buah novel beliau lagi, iaitu Mandatori, Banja Manggala, dan Fiksyen 302, seterusnya buku itu dichop RAM Fan Club dan ditandatangani serta bergambar kenangan.

Wednesday, October 3, 2018

Semut Charlie


DALAM akhbar Utusan Malaysia bth 29/9/2018 tersiar berita dua kanak-kanak 'diserang' semut Charlie.  Berita ini mengingatkan saya kepada beberapa peristiwa dan persoalan.  Pertama, kanak-kanak ini menjadi mangsa Charlie di Pekan, Pahang.  Saya sendiri kena serangan kayap untuk pertama kali ketika berada di Pekan, Pahang.  Ketika itu saya menyertai Kejohanan SUKUM UMP 2018.  Saya menginap di asrama sejak hari Ahad.  Empat hari kemudian, iaitu hari Khamis ketika bangun tidur saya dapati ada kesan merah selebar dua jari di bahagian kiri dada.  Hari Jumaat setelah kembali ke Serdang, Selangor, kemerahan itu telah merebak hingga ke bahagian belakang badan. Segera saya berjumpa doktor di Pusat Kesihatan Universiti.  Doktor sahkan saya terkena virus kayap dan mengarahkan saya makan pil Acyclovir 400mg untuk lima kali sehari selama seminggu, iaitu ubat merawat Herpes Simplex Virus.  Juga ubat sapu Vicide Cream 5%/Acyclovir 10g.  Kayap ini bukan saja merah malah mengerutu seperti jerawat batu, rasa gatal dan sakit apabila tersentuh.  Ketika itu saya tidak tahu puncanya ialah Charlie.  Saya hanya tahu kemudian apabila anak menantu saya kata saya digigit Charlie dan bertanya "ada sawah ke di Pekan, Pahang?" Saya semakin yakin dengan kenyataan itu selepas tular di internet bahawa semut Charlie boleh dijumpai di sawah padi, padang, dan hutan.  Semut Charlie juga dikenali sebagai Rove Beetle atau semut Semai atau Semut Kayap.  Dalam badannya ada toksin atau racun yang dipanggil 'pederin' yang racunnya berkali ganda racun ular Tedung. Persoalannya bolehkah dinamakan semut kerana Charlie boleh terbang.  Kedua, anak saya sendiri pernah digigit Charlie di asramanya di Permatang Pauh awal tahun ini.  Mungkin ada bezanya antara digigit dengan terkena cecair badan Charlie.  Apapun awaslah serangan Charlie @ Rove Beetle.  Ini pesanan dari Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Pekan.  Antara caranya ialah tutup semua pintu dan tingkap pada waktu malam, pasang jaring halus jika perlu, dan tutup lampu kerana Charlie suka cahaya lampu.

Tuesday, September 25, 2018

Tenpin Boling

Antara  peserta yang sempat bergambar setelah menerima hadiah masing-masing

PADA  19 Ogos 2018 yang lepas, hanya beberapa hari selepas balik dari Kejohan Catur SUKUM di UMP, Pekan, Pahang, saya telah menyertai pertandingan Terbuka Bowling Warga FPAS.  Kejohanan ini terbuka kepada semua staf fakulti dan ahli keluarga.  Kejohanan yang dilaksanakan di South City Plaza, Seri Kembangan, Selangor ini bersifat santai kerana apa yang lebih penting ialah kerlibatan dalam aktiviti atau program ini dapat menjalin ukhwah sesama ahli fakulti.  Kesempatan ini juga adalah peluang mengenali boling bagi yang baharu dan peluang memperlihat skill bagi yang lama atau serius dalam bidang ini.  Saya sendiri pernah menjadi juara longkang, kali ini berjaya melonjak ke tempat ke-5 daripada 13 peserta lelaki selepas menonton youtube dan berlatih beberapa kali sebelum ini.

Friday, September 7, 2018

Catur


APA kaitan gambar ini dengan catur?  Gambar ini dipancarkan melalui LCD Projector ke dinding bagi memperlihat pergerakan buah catur yang sedang dimainkan di meja-meja utama.  Papan catur di meja utama agak istemewa kerana set caturnya disambungkan ke komputer dan seterusnya dipancar di screen besar untuk tontonan di luar kawasan pertandingan.  Dapat bertanding di meja utama adalah impian setiap pemain.  Hal ini demikian kerana biasanya pemain yang punya mata tertinggi dapat duduk di sini terutama pada pusingan terakhir, biasanya pusingan ketujuh.  Jika ditempatkan di sini pada pusingan pertama, mungkin kerana nama bermula dengan abjad A atau ranking paling tinggi.  Oleh itu saya rasa sangat teruja apabila julung kalinya dapat merasa duduk di meja ini pada pusingan ke-4 setelah saya menang semua tiga pusingan sebelumnya.  Teruja juga apabila pusingan ke-4 ini saya berhadapan dengan pemain handalan dari UTM, iaitu Dr. Nasrul Humaimi.  Peristiwa ini berlaku pada 15/8/18 dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) di Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Bagaimanapun sebagai atlet saya bawa pulang pingat gangsa daripada acara Rapid Chess Berpasukan Lelaki.  Secara keseluruhan, pasukan UPM yang saya wakili bawa balik empat pingat, iaitu satu Emas daripada Rapid Chess Individu Wanita dan tiga gangsa daripada Blitz Chess Individu Wanita, Rapid Chess Berpasukan Wanita, dan Rapid Chess Berpasukan Lelaki.  Gambar di atas adalah ahli pasukan Catur UPM. Tahniah.

Thursday, August 9, 2018

Jagung


HARI ini 9/8/18 tercatat dalam 'planner' saya "Tarikh tuai jagung".  Saya buat catatan itu pada 4/6/18 dulu, iaitu tarikh saya tanam benih jagung.  Hal ini demikian berdasarkan tulisan pada bungkusan benih jagung manis Green World 301 "Harvest: 65 days after sowing".  Terbukti ketepatannya berdasarkan jagung tersebut (lihat gambar) memang telah matang untuk dituai hari ini.

Monday, July 16, 2018

Cicak



MASALAH cicak berkeliaran dalam rumah atau bilik memang dialami semua orang.  Paling menyakitkan hati jika najisnya bersepah di sepanjang sesiku lantai dan dinding.  Risau juga jika ia bermain di sekitar makanan waima bertudung-saji dan pinggan-mangkuk kita.  Bilik saya di pejabat tidak terkecuali.  Bermacam-macam  cara dan petua telah dicuba.  Banyak petua boleh ditemui dalam majalah atau google.  Namun semuanya seperti tidak menjadi.  Terbaharu saya gunakan "sticky mouse trap paper'.  Lihatlah hasilnya.

Wednesday, June 6, 2018

Kobis


SAYA telah menanam tiga pokok kobis dalam bekas polybag bersebelahan pejabat. Oleh kerana hidup subur, saya bawa balik ke rumah satu. Beberapa hari kemudian kobis yg di pejabat mula dimakan serangga atau ulat.  Begitulah telahan kawan-kawan.  Bagaimanapun saya tak boleh nampak serangga atau ulat. Seterusnya saya spray dengan Insect Repellent. Besoknya masih ada tanda dimakan.  Saya sembur dengan Malathion. Besoknya lagi masih ada tanda dimakan, saya sembur lagi dengan Malathion yg lebih pekat. Namun besoknya lagi begitu juga, lalu saya sembur dengan Ridsect. Tidak berkesan juga.  Akhirnya baru saya terfikir bahawa kita tidak boleh terima bulat-bulat apa orang lain kata. Justeru, saya menyiasat sekitar polybag tersebut.  Ternyata ada dua ekor siputbabi yg agak besar. Satu melekap di tepi polybag satu lagi di celah rumput.  Patutlah racun serangga tidak berkesan.

 Kobis yang telah rosak dimakan siputbabi


Kobis yang dibawa balik ke rumah masih selamat