Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, February 21, 2014

Antara Ikan Patin dengan Ikan Rohu


Ikan Rohu 4.00kg.
"MISI membalas budi".  Itulah antara matlamat saya kali ini apabila turun memancing setelah hampir dua bulan tidak turun.  Entri saya sebelum ini ada penjelasan tentang seorang rakan sepejabat telah membelikan saya seekor ikan Patin sangkar dari Temerloh, Pahang.  Dia tunaikan permintaan saya tanpa mahu menerima wangnya.  Saya berhasrat membalasnya dengan Rohu tanpa mahu menilai harganya juga.  Alhamdulillah, pada 19 Februari 2014 di kolam Danau Pinggiran, Putrajaya, bukan sahaja tiga ekor Rohu dapat didaratkan, malah ikan Rohu terberat kali ini ialah 4.00kg sedangkan selalunya sekitar 1.8kg sahaja seekor..  Joran Lion Stick yang digunakan juga terbukti kuat. Tidak patah.

Tuesday, February 4, 2014

Ikan Patin Gulai Tempoyak: Masa Untuk Memasak!

 Gulai tempoyak ikan Patin yang saya masak

LAMA dah nak ke dapur sesekali untuk mencuba bakat.  Entri saya sebelum ini pada 24/9/13 bertajuk soalan retorik "Masa Untuk Memasak?"  Saya kata "tentu tidak".  Tetapi, kebetulan seorang rakan sepejabat balik kampung di Temerloh, Pahang sempena cuti raya Cina, saya pun kirim minta belikan ikan Patin sangkar barang seekor.  Semalam saya menerimanya, petang semalam juga saya terus memasaknya.  Masak apa?  Tentulah gulai tempoyak ikan Patin!  Resepi pilihan ialah Gulai Tempoyak Ikan Patin Kak Wan D'like yang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita keluaran Januari 2014.  Alhamdulillah, nampaknya menjadi!

Monday, January 6, 2014

Kreativiti Pantulan

SELAMAT tahun baharu 2014.  Sebagai pembuka tirai, kali ini masih tentang kreativiti.  Dalam Mingguan Malaysia semalam (5/1/2014) ada artikel bertajuk Kreativiti Pantulan SINI.  Ruangan ini adalah tentang dunia fotografi kendalian Abd Halim Hadi.  "Pantulan atau refleksi merupakan salah satuu teknik fotografi popular dan sering diguna untuk menghasilkan gambar menarik dan kreatif".  Sebagai peminat kamera, saya sendiri ada satu koleksi, dan antaranya seperti berikut:
Ini bukanlah koleksi terbaik.  Ada satu lagi yang bayang-bayangnya di air tenang dan nampak wajah-wajah sebahagian mereka.  Cuma sewaktu menulis ini, saya tak pasti di mana saya sorok gambar itu.  Gambar ini diambil di Taman Negara Pahang.  Kamera yang saya gunakan pula ialah Nikon D300.

Thursday, December 19, 2013

Kreativiti Ala-ala MacGyver

MINGGU lepas saya pegang sekeping diskette yang saya ambil dari bilik di tingkat 2 ke bilik saya di blok lain.  Sepanjang perjalanan itu ada tiga orang menegur dengan nada yang sama: "hoi, zaman sekarang orang dah tak guna diskette lagilah!". Saya cuma tersenyum.  Itu memang benar kerana untuk copy sekeping gambar digital pun tak muat dalam sekeping diskette yang berkapasiti 1.44MB.  Sekeping gambar pun kurang-kurang bersaiz 2MB.
 Tujuan saya ke atas diskette itu ialah untuk digunakan bagi menampal galah yang patah.  Galah itu patah kerana terhempap sebatang dahan pokok sukun.  Kreatif ala-ala MacGyver ini, ialah gunakan apa sahaja yang ada di sekeliling.  Kebetulan saya ada gam 'Vevcon 2 Ton Epoxy-Clear' baki repair kereta.  Ada tali benang berkekuatan 84kg yang saya guna untuk memancing.
Mula-mula ambil kepingan logam tipis pada diskette.  Kemudian bancuh gam dan sapu pada bahagian yang patah.  Lepas itu tampal dengan kepingan logam daripada diskette tadi.  Besoknya ikat tampalan tadi dengan menggunakan tali benang dengan cara ikatan permati (boleh tengok Youtube bagaimana cara ikatan ini). Kemudian gam sekali lagi supaya lebih kuat.  Hasilnya telah diuji.  Galah boleh digunakan lagi.

Wednesday, December 18, 2013

Kreativiti Batang Pancing Menjadi Galah

DI SEKELILING rumah kita, atau rumah jiran, malah di kawasan tempat kerja, kadang-kadang ada pokok buah-buahan.  Malangnya apabila tiada galah, kita boleh tengok sahaja buah yang masak ranum di dahannya.  Justeru, inovasi berikut boleh dicuba:

 Dapatkan joran saudara kita yang dah tak guna lagi tu, atau beli saja yang baru dengan harga sekitar RM45.00 di kedai pancing.  Pastikan ia adalah joran jenis teleskopik atau antena yang boleh ditarik keluar menjadi panjang atau ditolak ke dalam menjadi pendek.
Buang 'section' paling hujung kerana ia lembut/mudah melentur.  Dapatkan sabit kecil di kedai 'hardware' dengan harga sekitar RM6.00.  Ikat sabit pada hujung batang joran dengan menggunakan getah belada atau getah tayar motor.


Akhirnya siaplah galah untuk kait buah sukun.  Bukan sahaja sukun, boleh juga kait buah manggis, rambutan, ciku, mangga dll.  Galah ini boleh disimpan dalam boot kereta.  Kalau balik kampung, boleh pula guna di sana. Kalau nak galah yang lebih panjang, belilah batang pancing yang lebih panjang, tapi harganya pun lebihlah sikit.  Selamat mencuba!

Tuesday, December 17, 2013

Kreativiti Buku Menjadi Catur

DAYA kreatif tidak terhad kepada keupayaan seseorang menulis cerpen, novel dan sebagainya.  Kali ini saya ingin kongsikan kreativiti saya menjadikan buku terpakai kepada papan catur yang tersembunyi.  Pertama sebuah buku lelong dengan harga RM5.00.  Buku ini saya potong bahagian dalam, kemudian masukkan papan catur kecil yang boleh muat.  Tiada siapa sangka ianya adalah papan catur sehingga membukanya.  Buku(dam catur) ini saya buat pada 25/3/2005.


Kedua, buku dam catur ini saya buat lebih awal dari yang di atas, iaitu pada 12 Julai 1990. Apa yang diperlukan ialah sebuah buku nota kulit tebal, dam catur kecil yang ada banyak dijual di kedai, beberapa keping besi tipis, dan magnet.  Tebuk buku mengikut ukuran dam catur dan tampal papan catur dengan gam.  Bahagian tepi boleh diletakkan magnet supaya buku ini sentiasa tertutup rapat atau tidak mudah terbuka.


Friday, November 8, 2013

Joranku Terjun Kolam dibuatnya

JIKA pada entri bth 4/9/2013 saya tulis tentang joran saya patah dibuatnya, kali ini saya nak cerita tentang joran saya terjun ke dalam kolam.  Hal ini terjadi pada hari Khamis 31 Okt. 2013.  Hari itu saya ambil cuti rehat untuk berehatlah, tapi berehat di tepian kolam Danau Pinggiran Putrajaya.  Saya cuma nak pinjam kolam tu dalam dua jam sahaja dengan kos RM10.  Namun baru satu jam duduk dah dapat tiga ekor Pacu dan seekor Patin.  Kali ini saya gunakan umpan baru, iaitu dedak Dindings.  Perambutnya juga baru, iaitu bentuk"V" dengan dua mata.  Ketika joran melentur dan saya menyambutnya, terasa begitu berat.  Tali pula asyik keluar dari kekili.  Lama juga mengepamnya hingga suatu ketika terasa ada dua kali getuan mengejut.  Hairan! Adakah mengena dua ekor ikan kerana ada dua mata kail!?  Tangan saya lengoh melayan.  Sesekali pangkal joran diampu pada lengan.  Sesekali disangga bawah ketiak.  Akhirnya muncul Patin, dan mata pancing tersangkut pada ekor!  "Patutlah bertenaga ikan tu," kata seseorang.  Setelah berjaya dinaikkan, saya dapati ada mata kail tanpa perambut di mulutnya, dan ternyata perambut saya putus satu. Apa yang saya rasa dua kali getuan tadi mungkin sekali masa perambut putus, dan sekali lagi masa ekornya pula tersangkut mata satu lagi. Setelah ditimbang, berat ikan Patin kali ini 3.6kg!
 Ikan Patin 3.6kg



Joran berlumpur setelah dinaikkan dari dalam kolam

Sewaktu saya berasa lega kerana trip kali ini begitu berjaya, tiba-tiba joran saya ditarik dengan lajunya.  Saya dapat lihat joran itu bergerak mengelongsor terus masuk dalam kolam dan hilang dari pandangan mata! Saya panik seketika.  Beberapa orang yang perasan menegur.  Mereka minta saya gunakan joran satu lagi menggarau dengan mata tiga.  Kebetulan memang saya sentiasa bersedia dengan mata tiga itu.  Seorang pakcik mengambil joran saya dan mengikatkan mata tiga tersebut. Setelah itu beliau melontarnya ke tengah kolam dan menggarau.  Kali ketiga menggarau dah dapat tarik tali dan terus bertarung kerana ikan masih tercangkuk pada mata kail.  Tiba-tiba tusss! tali jadi ringan.  Dia kata tali dah reput ke? Dalam hati saya kata mungkin dia ikat tidak ketat tadi... Kemudian saya hulur mata tiga bersekali gewang sesudu.  Dia yang ikat lagi.  Kali ini tersangkut pula dengan entah apa di tengah kolam. Tarik lagi dan putus.  Kali ketiga baru dapat tarik tali pancing yang terjun itu, tetapi dah ringan.  Maknanya ikan (entah ikan apa) dah terlepas.  Walaupun dapat tali, pancing masih terbenam dalam kolam.  Dia kata kalau berani masuk sahajalah, dalamnya paras dada.  Wah, tidak sanggup rasanya!  Seorang pemancing menawarkan diri menggarau dengan mata spring kepunyannya sendiri.  Setelah sepuluh kali lontaran baru dapat ditarik joran saya yang terjun itu.  Itu pun dengan agak bersusah-payah.

Thursday, November 7, 2013

Sembilan Budak Hitam

Di Pejabat saya ada sembilan budak hitam.  Enam pergi Tasik Kenyir, tinggal lagi tiga.  Satu pergi UKM, tinggal lagi dua.  Satu EL, tinggal lagi satu.  Satu budak "hitam" yang tinggal itu akulah....

Pencerahan:
budak hitam = Staf makmal
Tasik Kenyir = Kerja lapangan di sekitar Tasik Kenyir
UKM = Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia
EL = Cuti kecemasan
"hitam" = gelap

Wednesday, October 30, 2013

Catatan Oktober

TETIBA Oktober ini saya tiada selera untuk menulis dalam blog.  Pelbagai konflik melanda kehidupan.  Besok (Khamis,31 Oktober) saya akan bercuti rehat untuk tenangkan fikiran.  Namun jika tiada sebarang entri untuk bulan ini, maknanya saya telah melanggar prinsip, iaitu sekurang-kurangnya satu entri sebulan.  Justeru saya paparkan beberapa keping gambar Oktober daripada kamera Canon IXUS 115 HS, kamera murah yang saya ada itu... Bukankah sekeping gambar menyamai seribu kata!?
 Majalah yang saya beli dan baca Oktober ini

 Pokok Kunyit yang saya tanam dalam pasu sudah berbunga


 Melihat Teratai Indah di kolam Dusun Contoh


Mendayung kanu di kolam Bukit Ekspo

Thursday, September 26, 2013

Masa Untuk Catur?

YA! Inilah masanya.
Inilah sesuatu yang lain yang saya fikirkan itu.  Nampaknya terpaksalah buka buku catur dalam sisa-sisa waktu ini sebab saya perlu berentap sesama sendiri pada hari Sabtu dan Ahad ini untuk menempah tiket ke Sukan Staf Antara Universiti Awam pada 2-10 November 2013.  Tengok gayanya laluan saya sukar kerana mereka sentiasa bermain dan berlatih sejak lama dulu.  Hal ini demikian (ewah, guna bahasa akademik pulak) mungkin kerana mereka banyak masa lapang dan dapat fokus kepada catur sahaja.  Saya ada kira-kira 40 buah buku catur.  Bagaimanapun ada buku sahaja pun tak guna jika tidak dibaca, difahami, dihayati dan dihafali.  Hal ini mengingatkan tentang kisah seorang ulamak di tanah Arab zaman dulu.  Beliau punya banyak buku berisi ilmu.  Apabila pada suatu hari beliau dirompak, maka habislah buku-buku tersebut dibawa lari termasuk segala ilmu yang ada dalam buku tersebut sedangkan ilmu itu tidak ada dalam kepala. Kenapa kita tidak mengambil pengajaran daripada kisah ini....!?

Wednesday, September 25, 2013

Masa Untuk Memancing?

TAK NAK! TAK NAK! TAK NAK! (tiru suara Prof. Izi, penceramah motivasi tu...)
Ikan Rohu dan Lee Koh yang saya pancing empat hari lepas (Ahad)

Sudah kerap sangat 'release tension' sambil menguji joran baru serta pelbagai jenis umpan.  Rasanya dah puas hati dah.  Semua joran sudah pun dikemas, simpan dalam sarungnya, dan simpan dalam almari/gerobok.  Malah apabila diajak turun hari Sabtu ini, saya telah pun menolaknya.  Saya fikir perlu buat sesuatu yang lain....

Tuesday, September 24, 2013

Masa Untuk Memasak?


TENTU tidak!

Walaupun saya memiliki dua buah buku resipi tersebut, iaitu "Koleksi Resipi busy mummy" dan "Masakan Tradisi MELAYU JOHOR", buku itu saya letak di pejabat untuk rujukan sesiapa yang sudi membacanya.  Setiap kali balik ke rumah, makanan sudah tersedia atas meja.  Di pejabat pula sesekali ada program masak bubur lambuk, sup tulang untuk sesuatu majlis, dan beberapa jenis lagi, saya hanya terlibat sebagai tukang potong bawang atau tukang kacau.  Saya cuma pernah rebus ubi kayu dan buat sambal tumis untuk jamu kawan-kawan sepejabat. Bagaimanapun tidak mustahil jika suatu masa nanti saya masakkan sesuatu yang lebih istemewa untuk rakan-rakan.

Monday, September 23, 2013

Masa Untuk Melukis?

TIDAK juga!

Saya hanya boleh buktikan bahawa saya sangat berminat dengan lukisan.  Pernah menang beberapa peraduan yang melibatkan lukisan, antaranya hadiah saguhati peraduan Shell Bangi, hadiah saguhati mewarna di majalah Puspasari, hadiah pertama mencipata logo Kelab Alam Sekitar fakulti.  Pernah juga melukis guna cat minyak atas kanvas di rumah rakan yang cuba mengajar saya.  Itu terlalu lama dulu, dan masa terus berlalu...  Untuk berketrampilan melukis kononnya, saya mengumpul beberapa buah buku panduan melukis, antaranya seperti berikut:
1. Asas Seni Lukis 1.
2. Asas Seni Lukis 2.
3. Figura dalam Seni Halus Edisi Kedua oleh Abu Sareb Haron.
4. Learn Pencil Shading - Sketching
5. How To Do Pencil Shading - in BIRDS.
6. Catan Akrilik - oleh Wendy Jelbart dll.
7. Lukisan Cat Air - Langkah Demi Langkah - oleh Jackie Barrass dll.
8. Jom Melukis - Mengapakah anak anda perlu pandai melukis - oleh Ruzaimi Mat Rani.

Tidak cukup dengan buku, saya juga dah beli keperluan melukis seperti Buncho Poster Color, Artist's Alpha Water Colors, kertas D'arte illustration Board  dan berus Dolphin Nylon.  Pendek kata saya dah buat seperti kata pepatah Cina 'perjalanan 1000 batu bermula dengan langkah pertama'.  Malangnya saya berhenti selepas beberapa langkah.  Pepatah Melayu "Jika tidak dipecah ruyong mana kan dapat sagunya" mungkin lebih tepat untuk situasi saya.  Minggu lepas ketika hadir ke Festival PC dan Buku di tempat saya (jualan kain, tudung pun ada) saya singgah di gerai melukis potret.  Saya lihat artis yang bernama En. Mokhtar itu melukis potret seorang pelanggan.  Di bawah ialah lukisannya berdasarkan sekeping gambar lama yang saya hulukan kepadanya.  Kesimpulannya BAKAT semula jadi menjadi tonggak kejayaan seseorang dalam bidang seni diikut dengan USAHA.  Saya ada?!

Friday, September 20, 2013

Masa Untuk Menulis?

BELUM!
Namun pada masa ini saya masih menjadi pelanggan tetap Dewan Sastera, Dewan Siswa, dan Pelita Bahasa.  Sebelum ini saya tempah juga Dewan Budaya dan Dewan Pelajar.  Pada seorang rakan penulis, pernah saya kata dah bersara sebagaimana dia juga pernah kata pada saya begitu waima dia dah menulis semula.  Keinginan untuk menulis itu ada tapi bukan minggu inilah.

HARI ISNIN: Jam 9.00 mlm. hantar anak ke stesen bas Kajang untuk menaiki bas jam 10.15 ke Perlis. Bagaimanapun jam 12.30 dinihari baru bas sampai, seterusnya jam 1.00pg baru sampai rumah. SELASA-JUMAAT terlibat dengan program audit dalaman ISO.  terpaksa bawa dokumen segala bagai ke rumah untuk 'study' segala klausa dan panduan mengaudit.  SABTU ini ada jemputan kahwin dan bla bla bla....

Thursday, September 19, 2013

Ikan Pertama untuk 'Rod' Baharu: Rohu


SEMUA pemancing apabila beli 'rod' baharu atau kekili baharu atau tali baharu malah mata kail baharu akan berharap eksesori baharu ini akan membuahkan hasil.
Justeru saya ambil kesempatan cuti Hari Malaysia pada hari Isnin lepas turun ke gelanggang pancing.  Seperti biasa di Danau Pinggiran, Putrajaya.  Objektif utama kali ialah mencuba joran baharu.  Untuk menghayati lenturan ditarik ikan, perlu juga pastikan ada ikan yang sudi menjamah hidangan yang kita sediakan.  Beberapa tip terbaharu daripada rakan pemancing dimanfaatkan.  Syukurlah dapat merasa tarikan Rohu seberat 1.8kg - ikan pertama untuk 'rod' baharu yang baru dibeli....