siapalah saya...
Friday, April 24, 2015
Ulam Raja
ULAM Raja ini tumbuh di belakang pejabat saya. Sebenarnya kawasan ini telah diterangkan supaya lapang dan tiada nyamuk. Bagaimanapun kerana tumbuhan asal di sini antaranya adalah pokok Ulam Raja yang banyak biji benihnya yang telah tua berwarna hitam maka tidak hairanlah pokok Ulam Raja tumbuh dan mendominasi kawasan ini. Makna kata macam dia tumbuh sendirilah....
Tuesday, March 31, 2015
Pabila Terpaksa Memilih
PAGI tadi terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman MS ISO 9001:2008 di Fakulti Pertanian atau hadir mesyuarat Agung Persatuan PPS. Saya diwajibkan menjalankan tugas Audit. Oleh itu terpaksa melepaskan mesyuarat Agung yang menawarkan cenderamata eksklusif, cabutan bertuah, dan makan nasi Arab yang enak.
PETANG ini pula terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman ISO atau mesyuarat AJK Kelab Sosial dan Kebajikan atau menjalankan tugas melaksanakan kelas amali pelajar EMG3204 (Studio Perancangan Alam Sekitar 1). Perlu memilih tugas hakiki, iaitu melaksanakan kelas amali pelajar.
PETANG ini pula terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman ISO atau mesyuarat AJK Kelab Sosial dan Kebajikan atau menjalankan tugas melaksanakan kelas amali pelajar EMG3204 (Studio Perancangan Alam Sekitar 1). Perlu memilih tugas hakiki, iaitu melaksanakan kelas amali pelajar.
Tuesday, March 3, 2015
Beratnya Kasut
BIASANYA jika ke pasaraya tertentu, saya akan ke penimbang berat badan yang berfungsi selepas memasukkan syling 20sen ke dalam slotnya. Baru-baru ini, selepas menghadiri jemputan majlis perkahwinan, saya singgah ke sebuah pasaraya dan menimbang berat badan. Alangkah terkejutnya apabila jarum meter memperlihatkan berat bertambah satu kilogram?! Tak kan baru makan nasi beriani sepinggan terus bertambah satu kilo? Bagi mencari jawapannya, saya timbang kasut yang digunakan. Ternyata berat kasut itu satu kilogram! Selalunya saya menimbang berat badan dengan berselipar atau bercapal....
Tuesday, February 17, 2015
Penggunaan RON97
ARTIKEL ini tersiar dalam BH 5 Februari 2015. Tajuk artikel ini selari dengan persepsi saya selama ini, iaitu RON97 lebih jimat terutamanya daripada segi jangka panjang apabila enjin kereta lebih tahan lama. Selain daripada itu, daya pecutan enjin juga lebih baik.
Thursday, February 5, 2015
Besarnya Kelapa
DARIPADA segi saiznya, memangnya yang paling besar saya pernah jumpa, justeru ditimbang untuk mengetahui beratnya. Ternyata beratnya mencecah 5.5kg. "Kelapa asli," kata penjual di Pasar Tani itu... Harganya pun lebih mahal. Namun apa yang kerap saya alami ialah buah yang besar tidak semestinya elok. Lebih baik beli yang sederhana atau kecil. Ia akan memberi lebih nilai untuk wang anda. .selain kelapa ini saya ada pengalaman ke atas buah durian, betik, tembikai dll. Beli sebiji yang besar, kalau busuk, busuk semuanya. Beli dua biji yang kecil, kalau busuk sebiji, yang sebiji lagi mungkin molek.
Tuesday, January 20, 2015
Tahun Baru Kereta Baru
HANYA beberapa minit selepas 'publish' artikel atau entri yang lepas, pihak Proton telefon minta datang ke pusat jualannya di Bandar Baru Bangi untuk mengambil kereta Proton baru....
Friday, January 9, 2015
Tahun Baru Kereta Lama
MASIH belum terlambatnya rasanya untuk mengucapkan selamat tahun baru 2015. Selain azam baru daripada segi semangat dan iltizam keperibadian, antara kita mungkin ada yang telah pun tukar beberapa barang baru seperti rumah baru, kereta baru, motor baru, TV baru atau telefon bimbit baru. Setakat menulis ini, saya masih lagi guna kereta lama. Ramai kawan-kawan dah tukar Honda baru, Proton baru, Perodua baru,Nissan baru atau Toyota baru, saya masih lagi menggunakan Saga Iswara tahun 1997. Sudah hampir 18 tahun menggunakan kereta ini. Makna kata kereta lamalah ini....
Friday, December 19, 2014
Baca Buku-buku Klasik
BUKU-BUKU dalam pelbagai kategori memang banyak dalam simpanan hinggakan bengong untuk memilih yang mana satu untuk dibaca. Motivasi untuk membaca buku-buku lama ini timbul apabila seseorang 'berhajat' akan buku-buku klasik yang dalam simpanan itu. Sebelum 'melepaskannya' rasa terpanggil untuk membacanya atau menghayatinya untuk kali pertama atau terakhir. Pertama kerana selama ini hanya 'disimpan' sahaja di rak buku tanpa membacanya. Kalau pernah membacanya pun, dah lupa akan isi kandungannya. Sebanyak 11 buah buku saya 'lepaskan' hak milik. Membaca buku "Chepu Kenchana", Antologi Cherita2 Pendek Dunia terbitan Oxford University Press, Kuala Lumpur chetakan kedua (di-perbaiki) 1961, iaitu buku dalam Seri Sastera Timur dan Barat ini, ia memuatkan tulisan/cerita2 bertajuk "Pertanda" oleh Honore De Balzac (1799-1850; Peranchis); 'Jantong Yang Membuka Rahsia"oleh Edgar Allen Poe (1809-1849; Amerika), "Dua Orang Tua" oleh Leo Tolstoy (1828-1910; Rusia), "Kalong" oleh Guy De Maupassant (1850-1893) dan beberapa cerita lagi. Membaca "Kisah Pelayaran Abdullah" (1960), pula terasa seperti baca berita. Bagaimanapun beberapa perkataan seperti "hatta, shahdan, kalakian, dan arakian" bolehlah diketahui maknanya dalam buku ini.
Monday, December 15, 2014
Kolam Pancing Danau Pinggiran, Putrajaya.
Ikan Patin 6kg yang berjaya didaratkan.
KOLAM ini adalah tempat biasa saya memancing. Selalunya sebulan sekali akan ke sini dengan rakan-rakan sepejabat. Pernah juga bawa isteri dan anak sebagai riadah dan jalan-jalan luaskan pandangan. Pada 11/12/14, cuti am sempena Hari Keputraan Sultan Selangor, mungkin paling meriah kerana saya ke sana bersama tiga orang lagi rakan sepejabat dan seorang jiran sebelah rumah, menjadikan trip kali ini lima orang. Awalnya seperti biasa gunakan umpan untuk ikan Rohu, tetapi seperti tidak laku, lalu saya gunakan pula roti kentang + pati strawberi. Alhamdulillah, sekejap sahaja dimakan Patin. Ikan Patin seberat 6kg berjaya didaratkan. Disebabkan saya nak ikan yg beratnya kurang 3kg supaya boleh dibawa balik, saya tumpukan pada umpan Rohu sahaja. Malangnya Rohu tak makan-makan. Menjelang tamat masa, saya pun berkemas-kemas. Seorang lelaki yang berkongsi bangsal/gazebo yang sama, minta saya berikan sahaja umpan lebihan kepadanya. Saya beri palet 6363 + minyak pisang dan roti kentang + strawberi, Dia kata 6363 itu kalau dibiar masam boleh pancing ikan Pacu. Umpan roti kentang itu pula terus dibalut pada mata kailnya dan dilontar ke tengah kolam, tiga minit sebelum saya pulang. Saya kata pada jiran saya, kalau dia nak dapat pun biarlah kita dah balik. Besok paginya saya tanya pada rakan sepejabat kerana mereka balik lambat, samada 'brother' itu dapat ikan setelah saya pulang? Mereka kata ya. Berumpankan roti berwarna merah, lelaki itu dapat Patin yang jauh lebih besar hinggakan mereka semua terpaksa angkat joran masing-masing untuk elakkan tali terbelit. Wah, macam keterbalikan cerita 'ayam menang kampung tergadai' versi umpan saya yang 'power' orang lain yang dapat ikan. Ah, tak apa, tak apa, nak bagi kenalah ikhlas kan.
Wednesday, December 10, 2014
Baca Novel Ramlee Awang Murshid
PADA bulan Oktober lepas, setelah agak lama tidak membaca novel, tergerakdi hati nak baca novel. Kebetulan anak saya ada membeli novel "Sunan Nanggroe Sang Kembara". Teruja juga dengan tajuknya kerana saya pernah membaca semua enam buah novel Ramlee Awang Murshid berkaitan Sunan dengan keris Nanggroenya yang bermula dengan Bagaikan Puteri diikuti oleh Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, Sutera Bidadari dan Sunan Musafir.. Banyak hari juga diperlukan untuk 'khatam'. sedang seronok membaca hingga halaman terakhir, rupanyanya di penghujungnya tertulis perkataan "Bersambung..." Wah, novel prolog daripada siri tersebut pun ada sambungannya...!?
PADA 4/11/14, semasa Pesta Konvokesyen UPM Ke-38, saya sempat ke sebuah booth buku dan bertanyakan buku sambungan novel Sunan Nanggroe Sang Kembara. Penjual itu kata dia bawa lima buah sahaja dan dah habis dijual. Kemudian pada 15/11/14, semasa Putra Canselor Festival dimana saya terlibat dengan pertandingan catur, saya sempat ke booth penjual yang sama dan dapat beli novel Ramlee Awang Murshid; "Raudhah". Saya beli juga sebuah lagi novel RAM "Aku Bercerita"
MEMANGLAH "Sunan Nanggroe Sang Kembara" novel ke-23 Ramlee Awang Murshid dan "Raudhah" novel ke-24, tetapi ia bukannya sambungan seperti yang saya sangka. Ia adalah cerita yang lain sama sekali. Bagaimanapun dah beli, kenalah baca juga sampai tamat. Dan sekarang saya sedang membaca novel "Aku Bercerita".
Thursday, December 4, 2014
Kolam Pancing Seksyen 24
Ikan Patin Mekong yang berjaya didaratkan
DALAM kalangan kaki pancing, kolam ini sering menjadi sebutan. Justeru, tidak hairanlah kalau hati teruja untuk menjejakinya waima sekali pun memadailah. Maka perancangan pun dibuat tiga minggu sebelum 27 November 2014 itu. Persiapan yang dibuat antaranya memohon cuti rehat kerana hari Khamis, menyediakan perambut dan joran yang sesuai kerana khabarnya ikan di situ bersaiz bagak, dan semestinya umpan yang 'power' agar sudi jadi santapan Patin Mekong.
PERSIAPAN kali ini ialah menggunakan joran Silstar 17lbs, kekili ABU Cardinal 702LX, tali benang Sufix Performance 20lbs, mata Gamakatsu Chinu, dan snap swivel Owner kecil tetapi berkekuatan 17lbs/8kg. Manalah tahu kalau-kalau terkena ikan besar!?. Bukan tak pernah jorang patah sewaktu menaikkan Patin. Umpan pula agak pelbagai. Trip kali ini pergi bertiga dengan rakan sepejabat. Dipendekkan cerita, maka sampailah ke kolam Seksyen 24 Shah Alam itu setelah tersasar juga ke tempat lain. Dipendekkan cerita juga, maka syukurlah saya berjaya menaikkan ikan pertama. Sepuluh minit pertama melayannya, ikan masih jauh di tengah. Terlalu penat dan lengoh tangan, saya serahkan joran pada rakan. Sepuluh minit lagi dia layan barulah dapat didaratkan Oleh kerana mata pancing sangkut pada ekor, maka tidak sah untuk dipertimbangkan ikan terberat. Kami anggarkan beratnya sekitar 14kg. Maka pecahlah rekod peribadi yang selama ini paling berat pun pernah dinaikkan ialah 4kg sahaja.
SETERUSNYA dengan menggunakan umpan yang biasa untuk Rohu, saya dapat seekor lagi Patin Mekong. Kali ini lebih kecil. Ditimbang di kaunter, beratnya 6.7kg. Ikan dilepaskan semula ke kolam. Seterusnya dengan menggunakan dedak 6363 campur minyak pisang, dapat seekor lagi, lebih kecil daripada yang kedua. Dengan anggaran 3.5kg, ikan dilepaskan semula ke dalam air kerana di kolam ini hanya ikan di bawah 2kg sahaja boleh dibawa balik. Selepas enam jam memancing kami pun bersiap untuk pulang ke Serdang.
Monday, November 24, 2014
"What Did U Do Last Saturday?"
Pagi: ke pertandingan catur
Malam: ke Majlis Makan Malam Homecoming VIII (Alumni UPM)
DENGAN izin ya. Mengguna kan satu ayat Bahasa Inggeris dalam satu wacana Bahasa Melayu. Apa yang saya buat Sabtu lepas? Bukan Sabtu kelmarin. Sabtu kelmarin (22/11/14) saya mengunjungi MAHA 2014 di MAEPS, Mardi, Serdang. Bukan mudah melawat pelbagai pameran dan jualan dalam kawasan yang begitu luas dengan masa yang begitu sedikit. Saya sempat beli buah-buahan, iaitu rambai, tampoi, limau manis Serawak, dan limau bali. Di dewan makanan pula, saya sempat beli mi bandung Muar, Laksa Perlis, nasi Arab Maqlubah, dan kacang pool haji.
SABTU lepas (15/11/14) saya menyertai kejohana catur sempena Putra Canselor Karnival (14-16/11/14). Saya korbankan pusingan ke-4 kerana menghadiri majlis perkahwinan anak seorang sahabat. Selepas solat Zohor bergegas ke Kolej Canselor semula. Rupanya saya juga kalah W/O pusingan ke-5 kerana lambat 10 minit. Seterusnya saya menang 'game' ke-6 dan seri 'game' ke-7. Malamnya pula menghadiri Majlis Makan Malam Homecoming VIII - Sirih Pulang ke Gagang 2014 di Dewan Besar UPM anjuran Alumni.
Thursday, November 20, 2014
RON 97 Turun Harga 20 Sen
SEMALAM (19/11/14) harga minyak Petrol RON 97 turun 20 Sen. Turun daripada RM2.75 kepada RM2.55. Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penurunan harga ini kerana saya adalah antara pengguna RON 97. Ramai orang kata, orang kaya sahaja guna RON 97. Sebenarnya tidak begitu. Saya bukan orang kaya, malah kereta saya cuma sebuah itulah, iaitu Proton Saga Iswara yang saya beli pada tahun 1997. Makna kata saya telah menggunakan RON 97 sejak 17 tahun lalu. Hal ini demikian kerana sebagai seorang Pembantu Makmal, kemudian Penolong Pegawai Sains, saya memang terdidik melakukan sesuatu mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Mesti akurasi dalam istilah sains. Ini jelas jika dilihat pada penutup tangki minyak kereta yang tertera 97 + OKTANA (OCTANE). Saya tidak rasa rugi waima pada harga RM2.75 sebelum ini kerana merasakan hitungan batu lebih jauh, enjin kereta lebih tahan, dan kuasa pecutan lebih bertenaga.
Thursday, November 13, 2014
Hari Kitar Semula Kebangsaan
SEMPENA "National Recycling Day" atau Hari Kita Semula Kebangsaan yang berlangsung pada 11 Nov. 2014, saya berbasikal sebagai satu daripada acara kempen kesedaran yang diadakan selain pameran poster-poster, pengumpulan bahan-bahan kitar semula, kraftangan daripada bahan terpakai dan lain-lain lagi.
Wednesday, November 12, 2014
Hari Penghargaan dengan Kuntuman Mawar
SEMALAM saya dikejutkan dengan pemberian tiga kuntum Mawar. Sekuntum daripada sekumpulan pelajar dan dua lagi daripada individu. Satu daripadanya tercatat "Happy Appreciation Day" dan "Terima kasih banyak membantu kami". Turut diterima sebungkus coklat. Sesungguhnya saya hanya menjalankan tugas dengan sedikit tolak ansur apabila diperlukan serta tidak pernah mengharapkan penghargaan sedemikian rupa. Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada mereka yang bersusah-susah menghadiahkan kuntuman mawar tersebut.
Subscribe to:
Posts (Atom)















