Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, August 25, 2011

Berenang-renang ke Tepian




NOSTALGIA? Benarlah begitu apabila yang dibicarakan ini sudah sebulan setengah berlalu. Kursus Keselamatan di Tempat Kerja (Air) ini berlangsung selama tiga hari pada pertengahan Julai lalu. Banyak yang tidak boleh saya buat pada hari pertama. Antaranya mencecah lantai kolam, kerana saya akan sentiasa tersembul ke permukaan air. Menjelang hari akhir saya boleh lakukannya khususnya untuk bergambar sedemikian rupa, lain dari yang lainnya...

Tuesday, July 19, 2011

Amal Jariah



PEJABAT tempat saya bertugas mengadakan aktiviti menanam pokok pada 1 Julai 2011. Sebanyak 80 anak pelbagai pokok telah ditanam. Antaranya pokok limau kasturi, jambu air, mangga, kedondong dll. Pokok-pokok tersebut ditanam di sekeliling sebuah kolam/tasik. Minggu lepas saya mula berjogging sekeliling tasik itu. Masa itulah saya nampak ada satu lagi lubang tidak bertanam.


Minggu ini saya berkesempatan balik kampung. Berkesempatan pula membeli sebatang anak durian belanda. Harganya cuma RM2.00. Penjual tu kata boleh berbuah dalam setahun setengah lagi. Lalu saya membelinya khusus untuk ditanam di tepi tasik itu. Ketika menanamnya dua hari lepas, seorang rakan kata buat apa tanam di situ, belum tentu saya akan dapat hasilnya kerana tempat lalu-lalang orang awam. Saya pula kata, tak apalah... buat amal jariah.

Sunday, July 10, 2011

Antara Dua Kuning

LUMRAH alam. Ada tinggi ada rendah. Ada gemuk ada kurus. Ada kaya ada miskin. Putih lawannya hitam. Jadi, antara dua kuning, apa bezanya? Bezanya kuning yang ada gambar burung kenyalang pandai....

Friday, July 8, 2011

Akibat Sebuah Perhimpunan

CEH! Kalau tidak kerana perhimpunan yang tidak sepatutnya besok, tentu aku dan keluarga balik kampung yang jauhnya 250km dari KL untuk menjengok kedua ibu-bapa kami yang kian uzur. Kesian mereka. Bukan mudah untuk mendapat hari-hari yang lapang seperti besok dan lusa kerana hari-hari lain ada sahaja hambatan. Sudahlah lama tak dapat menjengok, bersalam, mencium tangan mereka, serta buat apa-apa yang patut di keliling rumah. Memang menyusahkan betul....

Wednesday, June 29, 2011

Sebuah Anugerah


SEPERTI bulan lepas, saya tiada bahan(baca masa) yang cukup untuk menulis dalam blog. Sepanjang minggu lepas saya terkurung dalam bilik mesyuarat Fakulti Perhutanan kerana menjadi juruaudit dalaman MS ISO 9001:2008. Sepanjang minggu sebelumnya saya membantu juruaudit dalaman di fakulti sendiri. Memenatkan juga tugas ini kerana saya seperti membaca novel, perlu menghayati semua watak dan perwatakannya serta konflik yang tercetus dalamnya. Dalam sistem pengurusan kualiti ini, sebagai auditor saya perlu menghayati segala keperluan dan kepatuhannya. Pengorbanan ini seperti terbalas(waima ia penilaian 2010) apabila semalam saya berpeluang menaiki pentas menerima anugerah khidmat cemerlang untuk kesekian kalinya.

Sunday, May 29, 2011

Nostalgia Taman Negara Pahang

Di mercu tanda Taman Negara Pahang



Pelajar-pelajar program Master Alam Sekitar

Di 'Canopy Walkway'

Dengan pelajar-pelajar luar negara peserta program ini


Sempatlah memancing di 'kawasan kelah' dengan lesen memancing RM10.00



KIRANYA sebulan saya tidak menulis dalam blog... alangkah sibuknya sepanjang Mei... dan Jun menanti dengan pelbagai tugas; Besok bermula Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-10 (3 hari), Kursus Kesejahteraan Persaraan (1 hari), Juruaudit dalam ISO di fakulti lain (4 hari), dan selebihnya membantu juruaudit dalam ISO di fakulti sendiri (4 hari). Catatan ini sekadar mengisi kekosongan Mei. Saya enggan terima hakikat satu entri pun tiada dalam bulan Mei. Justeru perjalanan ke Taman Negara Pahang (9-13 Mei 2011) menjadi benteng kekosongan itu.

Monday, April 25, 2011

Teringin Baca Muslimah?

"TERINGIN Baca Muslimah" adalah tajuk entri saya pada 17 Disember 2009. Ketika itu memang begitu sukar untuk mendapatkan Muslimah. Sekarang tidak lagi kerana beberapa buah kedai di taman perumahan tempat saya tinggal, masing-masing menjual antara 10-15 naskah al-Muslimah setiap bulan. Kenapa mesti baca Muslimah April 2011? Muslimah kali ini amat istemewa buat saya kerana menyiarkan cerpen "Beriani Gam". Sudah tentu juga untuk dikongsi dengan pembaca semua....

Thursday, March 31, 2011

Copa Cabana

Hari Pertama (29 Mac 2011): PETANG itu saya di Makmal Studio. Kira-kira tiga puluh orang pelajar sedang sibuk menghadap peta yang mereka lukis atas kertas bersaiz A1. Tugasan persis Rancangan Kawasan Khas (RKK) adalah sebahagian rangka kursus Studio Perancangan Alam Sekitar. Tiba-tiba Cik Z, rakan sepajabat muncul termengah-mengah. "Kenapa?" tanya kami spontan. "...siapkan laporan Copa Kabana itulah..." Saya sendiri tak pasti apa itu Copa. Mungkin adik beradik Academic Performance Audit (APA). Lalu saya pun bertanya lagi "APA itu COPPA?" waima tahu dia tengah stress tentang tesis masternya, kena mengajar lagi kursus tiga jam tiga hari seminggu dan kini kena buat laporan berkaitan COPPA pula. Hari Kedua (30 Mac 2011): TERGERAK di hati saya untuk menjengok blog rakan saya yang semalam. Saya jumpa entri bertarikh 28 Mac bertajuk "COPPA (kopa bunyinya) KEBANA". Isinya sebuah puisi yang indah dan penuh perlambangan yang saya sendiri tak dapat tafsirkan. Hari Ketiga (31 Mac 2011) (Hari inilah...) KETIKA saya membaca novel Saman karya Ayu Utami, saya temukan perenggan berikut di halaman 132: 'Lima belas menit kemudian teleponku berdering. "Aku sudah sampai Copa Cabana," suaranya berbisik. "Sihar lagi di kamar mandi. Nanti kutelepon lagi.' JADI, apa mesej dalam kisah ini? Saya sejak awal tak tahu apa makna copa kabana. Bunyinya agak sedap sebab berulang vokal, tapi aneh juga. Wah, nampaknya kenalah banyak membaca...

Saturday, March 26, 2011

Buku Klasik 6


MUNGKIN ini catatan terakhir dalam siri "buku klasik". Saya sememangnya ingin kongsikan buku yang ini, tetapi puas mencarinya namun tak menemu. Semalam sewaktu saya ingin susun sebuah buku catur dalam raknya, tiba-tiba buku ini 'terpacul dengan sendirinya' dari celah-celah sekumpulan buku catur.


Buku Faridah Hanum ini atau Setia Asyik Kepada Masyuknya atau Shafiq Afandi dengan Faridah Hanum ini dikarang oleh al-Marhum Syed Sheik bin Ahmad Al-Hadi. Dichetak dan diterbitkan oleh Qalam, Singapore. Tidak dichetak tahun terbitnya, bagaimanapun ada tandatangan bapa saudara saya dengan tarikh 5/52, bermakna dibeli pada tahun 1952. Buku ini pun sudah kekuningan dan dalam tulisan jawi. Buku setebal 100 halaman yang berharga $1.00 ini saya fikir bukanlah novel yang lengkap Faridah Hanum kerana tercatat "penggal yang pertama - Chetak yang ketiga". Di penghujung wacana buku ini juga tercatat (bersambung) (sambungan di dalam penggal yang kedua).

Friday, March 11, 2011

Buku Klasik 5


BUKU ini walaupun sudah lama dalam simpanan saya, tetapi tidak pernah membacanya. Kini apabila ingin dikongsikan tentangnya baharulah saya tersedar dan merasa rugi kerana tidak membacanya lama dahulu. Dan sebenarnya berlambak lagi buku yang menjadi koleksi tetapi belum 'menyentuhnya'. Chinta Pertama ada novel karangan pujangga agong Rusia, Ivan Turgenew diterjemahkan oleh Asraf dan diterbitkan oleh Kuala Lumpur: Oxford University Press 1961. Menurut pujangga Amerika Henry James, Turgenev ialah ahli novel bagi para ahli novel. Kejayaan Turgenev dalam penchiptaan novel-novelnya terletak pada penguasaan bahasa dan sastera sebagai seni, pada penyesuaian bentuk dengan isi, pada pandangan hidupnya yang puitis dan realistis. Chinta Pertama adalah antara novelnya yang paling mempersona dan cemerlang.

CHEPU KENCHANA pula adalah antoloji cherita2 pendek dunia yang menghimpunkan karya penulis-penulis agong, iaitu Honore De Balzac, Edgar Allen Poe, Leo Tolstoy, Guy De Maupassant, Anton P. Tchehov, O Henry, H. G. Wells, dan W. Somerset Maugham. Masing-masing karya diterjemahkan oleh Shahnon Ahmad, Zaihan Mahmud, Ali Haji Ahmad, Asraf, Asraf, Ghazali Yunus, Daud Baharum, dan Asraf. Chepu Kenchana ini cetakan kedua 1961 (kali pertama 1960). Kedua-dua buku ini termasuk dalam Seri Sastera Timur dan Barat.

Friday, March 4, 2011

Buku Klasik 4


ZAIN ZAWIYAH tulisan Haji Ahmad Murad ini menceritakan tentang "sa-orang laki2 yang kejam yang menyebabkan anak isteri-nya menderita dalam Peperangan Dunia II, dengan sebab 'ashekkan sa-orang perempuan durjana" Buku ini asal-nya di-chetak dengn huruf jawi, tetapi cetakan tahun 1963 ini dibuat dalam tulisan rumi. Haji Ahmad Murad bin Nasruddin, penulis buku ini adalah bekas pensyarah Bahasa Melayu, Maktab Perguruan Persekutuan Tanah Melayu, P. Pinang.

NAKHODA TENGGANG hasil pena Abdul Samad Ahmad ini tidak dinyatakan dengan jelas tahun terbit, tetapi di-chetak oleh The Khee Meng Press, Kuala Lumpur.

Wednesday, March 2, 2011

Dari Darjah Satu Sampai Tingkatan Lima

PETANG semalam kira-kira jam 7.20 saya sedang menjamah sukun goreng sebagai hidangan makan malam. Anak saya yang tingkatan dua ditanya oleh emaknya berapa markah dapat untuk bahasa Inggeris? Dia kata dapat D, tapi empat subjek lain dapat A! Lalu saya dijadikan tempat meluahkan keresahan dan kerisauan oleh emaknya. Katanya bahasa Inggeris itu penting kerana wajib lulus dalam PMR!. Kalau bahasa Inggeris tak lulus, bagaimana? Lalu saya pun berkata: "Kira okeylah tu dapat D, aku dari darjah satu sampai tingkatan lima dapat F!" Dan tidak sampai satu minit lepas itu saya dengar dialog "...dari darjah satu sampai tingkatan lima..." yang diungkapkan antara dua pelakon wanita dari drama "Begitukah Cinta" yang sedang disiarkan oleh TV3 dalam slot 7.00-8.00mlm!

Friday, February 25, 2011

Buku Klasik 3


(ADA pun cherita "NYAWA Di-HUJUNG PEDANG" ini telah mendapat hadiah yang pertama dalam peraduan mengarang cherita-cherita yang di-anjorkan oleh Jabatan Penerangan, Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1946 dahulu)

BEGITULAH catatan sebelum Pendahuluan novel Ahmad Murad bin Nasruddin ini. Buku chetakan yang keempat ini tertulis juga "Terchap Di-Khee Meng Press, 214 High Street, Kuala Lumpur 1957. Manakala dalam "Pendahuluan" novel ini dinyatakan buku ini mula di-chap dengan huruf Rumi, kemudian atas permintaan pembacha, di-keluarkan pula dengan huruf Jawi. Antara petikan yang menarik ialah pada halaman 54: Burung yang di-dalam sangkar dan harimau di-dalam penjara ada lebih peluang terlepas kelur dari kurungan-nya itu daripada orang-orang yang di-dalam kurongan M.P.
KISAH PELAYARAN ABDULLAH (ke-Kelantan dan ke-Judah) merupakan karya kedua penting Abdullah bin abdul Kadir Munshi selepas Hikayat Abdullah. Diterbitkan pada 1960 oleh Kuala Lumpur; Oxford University Press; Singapura; Malaya Publishing House Ltd. Tidak dapat nak diulas, bagaimanapun di bahagian belakang ada disertakan glosari, contohnya makna hatta, shahdan, arakian, chinchu, belibis, peluru tunang, laut kulzum dll.

Wednesday, February 23, 2011

Buku Klasik 2


KESAN Kesusasteraan Tua Di-Tanah Ayer

BUKU ini disusun oleh Abdullah bin Hj. Musa (Lubis) serta di-chitak dan di-terbitkan oleh QALAM, Singapore. Buku ini setebal 106 halaman. Dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu pangaroh sastera pada satu2 bangsa, pembahagian kesusasteraan, kesan kesusasteraan daripada Arab dan juga Farsi, sastera kebangsaan,dan puisi lama (puisi tua).



Panduan 'Akal

PANDUAN 'Akal adalah buku bachaan bagi darjah III di-keluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk Ministry of Educations Federation of Malaya. Ia adalah satu daripada The Malay School Series (No. 39). Buku chetakan baharu yang ke-empat (1959) ini mengandungi 40 pelajaran dalam bentuk cerita dan pantun. Antara cerita yang terkandung ialah Ayam Jantan dengan Musang, Abu Nawas Jadi Ayam Jantan, Kejadian Siang dan Malam, Pantun dn Mendaki Gunung Everest.

Thursday, February 17, 2011

Buku Klasik 1

KALI ini saya ingin berkongsi tentang buku-buku lama yang mungkin sekarang sudah dianggap klasik. Saya ada menyimpan beberapa buah buku peninggalan bapa saudara sebelah ibu. JALAN ke Kubor karya Khadijah Hashim ini diterbitkan pada 1969 oleh Penerbitan Pustaka Nasional Singapura. Lengkap dan masih boleh dibaca, tetapi tepi-tepi buku banyak kesan dimakan bubuk. Lorong Seribu Liku (1964) pula telah hilang kulitnya.

ORANG Tua Dengan Laut seolah-olah bacaan wajib bagi penulis-penulis lama yang tersohor. Buku cetakan kedua ini (1962) (Kali pertama 1961), diterbitkan oleh Oxford University Press dan masih elok lagi. Sementara Musafir yang merupakan Pemenang Pingat Perak Peraduan Novel DBP 1958 diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1959. Tiada gambar pada kulit luarnya mungkin kerana ia berkulit keras. Musafir karya Hasan bin Muhammad Ali ini telah saya baca pada pada 5-6/7/2005. Dua hari sahaja selesai mungkin kerana novel dulu-dulu tipis dan mudah, sebab itu dulu-dulu saya boleh baca sebuah buku dalam masa yang singkat berbanding sekarang.