siapalah saya...
Thursday, November 20, 2014
RON 97 Turun Harga 20 Sen
SEMALAM (19/11/14) harga minyak Petrol RON 97 turun 20 Sen. Turun daripada RM2.75 kepada RM2.55. Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penurunan harga ini kerana saya adalah antara pengguna RON 97. Ramai orang kata, orang kaya sahaja guna RON 97. Sebenarnya tidak begitu. Saya bukan orang kaya, malah kereta saya cuma sebuah itulah, iaitu Proton Saga Iswara yang saya beli pada tahun 1997. Makna kata saya telah menggunakan RON 97 sejak 17 tahun lalu. Hal ini demikian kerana sebagai seorang Pembantu Makmal, kemudian Penolong Pegawai Sains, saya memang terdidik melakukan sesuatu mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Mesti akurasi dalam istilah sains. Ini jelas jika dilihat pada penutup tangki minyak kereta yang tertera 97 + OKTANA (OCTANE). Saya tidak rasa rugi waima pada harga RM2.75 sebelum ini kerana merasakan hitungan batu lebih jauh, enjin kereta lebih tahan, dan kuasa pecutan lebih bertenaga.
Thursday, November 13, 2014
Hari Kitar Semula Kebangsaan
SEMPENA "National Recycling Day" atau Hari Kita Semula Kebangsaan yang berlangsung pada 11 Nov. 2014, saya berbasikal sebagai satu daripada acara kempen kesedaran yang diadakan selain pameran poster-poster, pengumpulan bahan-bahan kitar semula, kraftangan daripada bahan terpakai dan lain-lain lagi.
Wednesday, November 12, 2014
Hari Penghargaan dengan Kuntuman Mawar
SEMALAM saya dikejutkan dengan pemberian tiga kuntum Mawar. Sekuntum daripada sekumpulan pelajar dan dua lagi daripada individu. Satu daripadanya tercatat "Happy Appreciation Day" dan "Terima kasih banyak membantu kami". Turut diterima sebungkus coklat. Sesungguhnya saya hanya menjalankan tugas dengan sedikit tolak ansur apabila diperlukan serta tidak pernah mengharapkan penghargaan sedemikian rupa. Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada mereka yang bersusah-susah menghadiahkan kuntuman mawar tersebut.
Tuesday, November 4, 2014
Pokok Puding Hitam
Pokok Puding Hitam
Nasi putih berlauk rendang ayam puding hitam
TIDAK semua tempat di negara ini, atau dengan kata lain, bukan semua masakan rendang ayam atau rendang daging dicampur pucuk puding hitam dalam resepi mereka. Di tempat saya di Selatan tanah air memang tidak ditemui puding hitam dalam rendang. Hanya empat-lima tahun ini baru disedari bahawa puding hitam banyak diguna oleh orang Negeri Sembilan dalam masakan rendang mereka. Sejak itulah saya menanam banyak pokok puding hitam samada dalam pasu di rumah atau di tanah lapang berdekatan tempat kerja.
Monday, October 13, 2014
Tulisan Jawi
HARI Raya Kurban minggu lalu ramai orang berkunjung ke masjid dan surau atau tempat-tempat khas untuk penyembelihan kurban. Biasanya saya hanya ke surau berdekatan dan terlibat sebagai orang awam yang datang dengan sebilah parang yang telah diasah tajam, membantu melapah atau memotong, kemudian dapat sebahagian daging kurban. Kali ini, pada 5 Oktober 2014 lalu, saya di kampung, ditugaskan oleh ayah saya menguruskan kurban seekor lembu. Penyembelihan dilakukan di kandang lembu yang jaraknya lebih 25km dari kampung. Ayah saya menyerahkan senarai nama-nama arwah dengan niat kurban-imarah, mudah-mudahan pahalanya sampai kepada mereka. Apa yang menarik ialah dia menulis senarai itu dalam tulisan jawi. Kita pun sedia maklum bahawa tulisan jawi semakin terpinggir sekarang. Lembu pilihan ini hanya dapat disembelih pada jam 12.30 tengah hari kerana giliran ke 15 daripada 20 ekor. Dan saya yakin senarai inilah satu-satunya senarai dalam tulisan jawi.
Thursday, October 9, 2014
Kem Anak Alam 2014
Bergambar ramai sebelum pulang. Kredit gambar untuk En. Zamani.
Sunday, September 21, 2014
Serupa Tapi Tidak Sama II
Kamera A
Kamera B
PERSAMAAN dua kamera di atas ialah kedua-duanya kamera Canon, digital dan jenis kompak. Imej kamera A diambil daripada kamaera B dan begitulah sebaliknya. Kamera B, iaitu Canon SX600HS baru sahaja dibeli awal bulan ini bagi menggantikan kamera A, iaitu Canon IXUS115HS. Kenapa SX600 tidak yang lain? Memang ada model lain yang lebih berfungsi dan berharga, tetapi pilihan ini kerana bajed sekitar RM700, peningkatan MP drp 12 kepada 16; zoom drp 4X15 kepada 18X15, dan saiz lens yang besar sedikit. Cukuplah sekadar yang ini. Persoalan lain ialah kenapa tidak DSLR? jawapannya selain soal bajet, kamera ini mudah dibawa muat poket seluar. Juga bukan jurugambar profesional yang buat duit dengan kamera. Sekadar memenuhi hobi mengambil gambar terutamanya yang perlu dijadikan kenangan/nostalgia dan membantu mereka yang juga perlukan gambar-gambar kenangan.
Tuesday, September 16, 2014
Serupa Tapi Tidak Sama
DUA bilah gunting di atas kelihatan serupa. Bezanya ialah yang di atas berharga RM3.00 sementara yang bawah berharga RM13.00 sebelum tawar-menawar. Yang sebelah atas memang cukup tajam untuk memotong kertas, tapi tidak lut untuk memotong tali pancing yang diperbuat daripada benang (braided line). Kekadang kena belanja lebih sedikit untuk memenuhi spesifikasi....
Tuesday, August 26, 2014
Catur Penyumbang Pingat Kontigen
Bergambar ramai sebelum pertandingan. Dr. Adrian tukang ambil gambar
Ketika menerima hadiah pingat Gangsa
Bergambar ramai selepas menerima pingat
Pingat dimenangi sebagai kenangan
HARI ini 30 Syawal 1435H. Harap belum terlambat untuk memohon maaf zahir dan batin sempena bulan mulia ini. Begitu lama tidak menulis dan memancing rasanya. Hanya sempat memancing satu jam pada suatu petang Ramadan lalu. Hal ini demikian, antaranya kerana sibuk dengan pemilihan, latihan, dan pertandingan catur. Dipendekkan cerita saya terpilih mewakili UPM ke Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti di UTM Skudai, Johor (13-23 Ogos 2014). Misi kali ini ialah mendapat pingat (sebarang warna) kerana tahun lepas hanya tempat keempat. Alhamdulillah selepas menempoh pertandingan yang kadang-kala penuh dramatik, akhirnya pasukan catur lelaki mendapat tempat ketiga (pingat gangsa). Kami tumpang gembiran dengan kejayaan pasukan catur wanita yang mengungguli kejohanan ini (pingat emas) buat kali ketiga berturut-turut.
Buah Sentul
SEPANJANG kejohanan ini kami ditempatkan di Blok M25 Kolej Tun Dr. Ismail. Betul-betul di sebelah tempat penginapan kami terdapat sepohon Sentul yang sangat tinggi, rendang, dan lebat buahnya. Banyak buah sentul bertaburan di atas rumput. Sayangnya tiada galah untuk menjolok. Daripada segi makan tengah hari dan malam, boleh dikatakan makanan di sini sedap-sedap belaka. Samada dalam kampus mahupun di restoran sekitar Taman Universiti berhampiran. Beberapa kali kami menjamu selera di Restoran Mak Jah dalam kawasan Universiti, dan Restoran Agus di Taman Universiti. Sesungguhnya perjalanan kali ini memang memuaskan.
Tuesday, July 22, 2014
Kurma dan Ramadan
KURMA dan Ramadan memang tidak dapat dipisahkan. Walaupun kurma boleh didapati sepanjang tahun, tetapi ketika Ramadanlah kurma berada di mana-mana. Suatu waktu dulu saya pernah berhabis hampir RM100 dalam bulan Ramadan kerana membeli kurma. Berlainan kali ini, pagi tadi adalah kali keempat menerima sedekah kurma. Sebelum ini terima daripada Kelab Sosial dan Kebajikan FPAS, Persatuan Penolong Pegawai Sains, dan Alumni UPM. Pagi tadi terima daripada Kedai Buku Koperasi UPM. Maknanya kali ini satu sen pun belum dibelanja untuk membeli kurma bagi Ramadan kali ini.
Dan ketika hendak menulis catatan kali ini, tiba-tiba pintu bilik saya diketuk. Seseorang datang membawakan sedekah dalam bentuk sebalang biskut tat nanas. Allhamdulillah, syukur nikmat, rezeki begitu murah hari ini.
Thursday, July 10, 2014
Kembali ke Sukan Catur
KETIKA melibatkan diri dalam sukan ping pong sebelum ini, pasukan saya berjaya menjadi naib juara kumpulan dalam pusingan pertama. Bagaimanapun tersekat ke suku akhir pada pusingan kedua. Kini saya kembali kepada Catur. Dalam perlawanan pemilihan pemain pasukan untuk ke sukan SUKUM2014 di UTM pada bulan Ogos nanti saya seri dengan semua lawan dan Alhamdulillah akhirnya terpilih. Semoga kali ini semua ahli pasukan dapat bermain dengan cemerlang bagi mengulangi sejarah menjadi juara atau sekurang-kurangnya naib juara yang pernah diraih sebelum ini...
Friday, June 13, 2014
Beralih Arah ke Sukan Ping Pong
SATU daripada permainan yang saya suka ialah Ping-Pong atau 'table tenis'. Sekarang adalah musim sukan antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan ping-pong berlangsung mulai 9 Jun 2014. Dalam kejohanan ini setiap PTJ perlu hantar pemain perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu veteran lelaki, dan beregu campuran. Saya mewakili beregu lelaki veteran dan perlu menentang tiga pasukan untuk penentuan johan dan naib johan kumpulan. Setakat hari ini saya dah bermain dua kali. Alhamdulillah kali pertama menang 3-1 (kumpulan menang 4-1) dan kali kedua menang 3-0 (pasukan menang 3-2). Hari Isnin depan akan bermain sekali lagi. Dan perjalanan masih jauh. Ada pusingan kedua untuk naib johan kumpulan, suku akhir, separuh akhir, dan akhir.
Wednesday, June 11, 2014
Pabila Tidak Lagi Jadi Jurugambar
a
PROGRAM Seminar Projek Pelajar Tahun Akhir berlangsung setiap tahun. Sebelum ini sayalah yang selalu mengambil gambar mereka. Jurugambar memang selalunya tidak berada dalam gambar. Tetapi dalam seminar yang berlangsung pada 9 dan 10 Jun 2014 ini tugas saya menyediakan buku program dan menjaga masa/menekan loceng satu daripada sembilan sesi. justeru, pabila saya tidak lagi menjadi 'fotographer' saya dapat berdiri bersama pelajar di barisan paling belakang dalam sesi bergambar ramai kali ini.
PROGRAM Seminar Projek Pelajar Tahun Akhir berlangsung setiap tahun. Sebelum ini sayalah yang selalu mengambil gambar mereka. Jurugambar memang selalunya tidak berada dalam gambar. Tetapi dalam seminar yang berlangsung pada 9 dan 10 Jun 2014 ini tugas saya menyediakan buku program dan menjaga masa/menekan loceng satu daripada sembilan sesi. justeru, pabila saya tidak lagi menjadi 'fotographer' saya dapat berdiri bersama pelajar di barisan paling belakang dalam sesi bergambar ramai kali ini.
Thursday, May 15, 2014
Penemuan Visual
SEKADAR mengacu kamera ke arah objek kemudian Klik! Objek pula akan menarik jika kebetulan ada 'penemuan visual' dan kamera ada di tangan. Kerapnya 'penemuan visual' akan lenyap sekelip mata. Hal ini kerap berlaku sewaktu terlihat mentari merah bulat di ufuk Barat. Cantik bukan main, tetapi selepas mengambil kamera di rumah, mentari tadi sudah pun tengelam atau terlindung awan. Balik kepada fotografi di atas, mereka yang pandai menulis mungkin terilham untuk menulis puisi tentang seorang gadis yang merenung kejauhan merentasi tasik dan perbukitan. Atau ada tafsiran yang lebih seni dan dalam.
GAMBAR ini saya rakam menggunakan kamera Nikon D300 milik pejabat ketika membawa pelajar-pelajar kursus Studio Perancangan Alam Sekitar di lapangan pada 5/3/2012.
Thursday, May 8, 2014
Antara Menulis dengan Melukis 2
Sembilan daripada 19 buah lukisan yang telah disiapkan
JIKA sebelum ini saya ada menyiarkan lukisan yang diadaptasi daripada nukilan puisi/sajak, kali ini dipaparkan pula lukisan yang diadaptasi daripada cerpen. Pelajar diberi satu salinan tajuk cerpen daripada cerpen-cerpen tulisan saya sendiri yang pernah tersiar dalam majalah. Mereka dikehendaki memahami jalan cerita kemudian memindahkan ke dalam bentuk lukisan. Cuma kali ini setiap lukisan dilukis oleh sekumpulan dua orang bagi menekankan kerjasama. Lukisan dibuat atas satu keping 'Ilustratioan Board' bersaiz 508mm X 762mm.
Subscribe to:
Posts (Atom)






















