Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, July 28, 2016

Kamera Baru



MASA semakin suntuk.  Dengan kata lain "sisa-sisa waktu" seperti tajuk cerpen kanak-kanak yang pernah saya buat lama sangat dulu-dulu.  Maksud saya sekiranya sasaran saya sekurang-kurangnya satu entri sebulan maka sasaran saya akan tersasar jika tiada apa-apa tulisan bagi bulan Julai ini.  Oleh yang demikian, kali ini saya terpaksa berkongsi tentang kamera. Minat saya terhadap kamera sejak remaja.  Kali pertama beli kamera Nikon FM pada tahun 1983 (lebih kurang.). Selepas itu bermacam-macam kamera sudah dibeli terutama yang berharga sederhana ikut kemampuan dan menghasilkan gambar yang baik berkualiti kalau boleh.  Rasanya kamera lama menggunakan filem negatif terutama Kodak ASA100 lebih cantik gambarnya. Kamera Digital compac memang tidak boleh lawan kamera jenis DSLR.  Mengambil kira kos yang tinggi dan saiz kamera agak besar dan berat, akhirnya kini saya beralih kepada kamera 'mirrorless'.  Kali ini memang 'all-out' (dengan izin) kerana harga Canon M3 ini hampir 2.5k..Harapan saya dapat menghasilkan gambar yang cantik, jelas, tajam dan berseni untuk kepuasan hati dan mengembirakan rakan dan keluarga yang saya snap gambar mereka.

Friday, June 3, 2016

Sebelum dan Selepas


 Sebelum
Selepas

DENGAN bermodalkan RM1.40, iaitu membeli sebatang berus cat, dapat menyusun semula mug atau cawan daripada berterabur tidak tersusun menyemakkan mata.  Untuk membuat rak ini, apa yang diperlukan dan sudah ada ialah papan terbuang daripada kayu katil, gergaji untuk memotong, tape untuk mengukur, dan baki cat lama berwarna putih yg masih elok.  Cuma berus cat yang tidak ada.  Justeru, inilah hasilnya....

Friday, May 20, 2016

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016


 Kunjungan pertama

Kunjungan kedua

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur telah pun berlangsung pada 29/4/16 - 9/5/16 di MAEPS, Serdang.  Bermacam cerita, komen dan pandangan boleh dibaca dan didengar.  Bagi saya yang tinggal di Serdang, ibarang orang mengantuk disorong bantal.  Berpeluang berkunjung ke PBAKL ini dua kali.  Kalau di PWTC mungkin saya tidak sampai.   Jauh.  Juga masalah-masalah lain.  Justeru, bagi mereka yang dulu mudah sekarang sukar, saya faham.  Kunjungan pertama, saya singgah booth Dewan Bahasa dan Pustaka.  Berkesempatan jumpa rakan penulis, staf DBP, iaitu Azimin Daud dan menjadi ahli Rakan DBP.  Beli buku "Berbalas Pantun Mandala Sukma" tulisan Azimin Daud, buku "Rumpai Laut Malaysia" kerana ada kaitan dengan bidang tugas, dan "Penenun Cinta".  Kunjungan kedua singgah booth Utusan Publication beli buku "Kalau Kita Menjadi Kayu", "Di Bawah Kerdip Lampu Di Atas Pentas Itu" dan "Buku Kekasih".

Thursday, April 28, 2016

Juara Kampung Tersungkur di MMU


SEBAGAIMANA maksud entri sebelum ini, bahawa untuk menang dalam kejohanan besar memang payah.  Ramai cerdik-pandai berpengalaman menyertai kejohanan besar.  Oleh itu pabila "juara kampung" masuk bertanding di "Multimedia University Cyberjaya Open Chess Tournament 2016" pada 24 April 2016 baru-baru ini, maka tewaslah jawabnya.  Tapi tidak mengapa.  Itu kan pengalaman namanya... Dapat juga sijil penyertaan dan kenalan baru pemain catur.

Wednesday, April 13, 2016

Akhirnya Menjadi Juara Catur


MENANG hadiah kedua atau ketiga mungkin lebih bermakna jika menyertai kejohanan besar atau berprestige.  Bagaimanapun menjuarai kejohanan catur ini besar maknanya bagi diri saya kerana inilah kali pertama menjadi juara.  Lagipun Karnival Sukan FPAS 2016 ini dibuat secara rasmi pada 3 April 2016 di Stadium UPM, Serdang.  Sukan lain yang turut dijalankan ialah ping pong, dam haji, badminton, dan bola jaring.  Pendek kata, sangat meriahlah karnival yang bermula jam 7.30pg dan tamat jam 6.00 petang ini.  Oleh sebab semua sukan dijalankan serentak, maka saya terlepas peluang untuk beraksi dalam acara ping pong.

Wednesday, March 16, 2016

Ada Apa Dengan Diari


TIDAK ada apa sangat sebenarnya, cuma kebetulan hari ini saya nak baca dan menghayati sebuah cerpen.  Lama sudah tidak baca cerpen kerana sebab-sebab yang peribadi yang mustahak yang tidak dapat dielakkan.  Dan kebetulan juga, cerpen yang ada atas meja saya bertajuk "Diari" tulisan Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir.  Cerpen ini baru tersiar dua hari lepas dalam Sanggar Sastera Berita Minggu BH.  Kebetulan pula terdapat fakta yang menyamai diri ini seperti yang diwarnakan kuning dlm gambar di atas, iaitu "Dari rumahnya di Serdang." dan "membeli sebuah diari berwarna biru."

Friday, March 11, 2016

Penglibatan dalam Bidang Sukan


SEPERTI yang dinyatakan sebelum ini bahawa saya akan sertai apa sahaja bidang sukan jika berpeluang, maka pada 5 Mac 2016 baru-baru ini saya telah menyertai "Canselor Chess Tournament (Check or Checkmate) sempena Putra Canselor Carnival (5th PCC):Color Up Your Life pada 4-6 Mac 2016. Dipendekkan cerita, selepas enam pusingan, saya dapat 4 mata.  Ini menjadikan saya sudah berpuas hati lalu leka di zon selesa.  Sewaktu hampir menang di pusingan ketujuh atau terakhir, saya umpama pemain bola sepak tersepak bola ke gawang sendiri.  Istilah paling tepat dalam permaianan catur ialah 'Big blunder'. Lalu saya terlepas peluang menjuarai kategori veteran.  Bolehlah anggap ini sebagai satu tragedi bagi saya dalam permainan catur.

Monday, February 29, 2016

Antara Penglibatan dengan Kerjasama


SEMASA Kursus Kepimpinan dan Pembangunan Budaya Inovasi Kreatif 2011 di Gold Coast Resort, kami disoal oleh penceramah motivasi, mana yang lebih penting antara penglibatan dengan kerjasama? Lalu kami diterangkan bahawa penglibatanlah yang penting, bukan kerjasama.  Begitu juga dengan kejohanan bowling anjuran Kelab Sosial dan Kebajikan tempat kami bekerja.  Saya memilih untuk terlibat atas semangat kesukanan, jalinan ukhwah, dan tali silatturrahim.  Memang terlibat dalam sukan bukan keutamaan bertugas 8-5, tetapi terkandung makna tersirat disamping semangat ukhwah terzahir.  Secara peribadi, bowling adalah pembuka tirai 2016, penglibatan dalam bidang sukan.  Harap-harap dapat terlibat dalam kejohanan catur, ping-pong, dan bola tampar sepanjang tahun 2016 ini.

Friday, February 19, 2016

Antara Menulis dengan Membaca


SEORANG sahabat saya kata bahawa saya telah meninggalkan dunia penulisan. Saya terkedu dan terharu dengan kenyataan ini.  Memang sudah lama saya tidak menulis cerpen, tetapi sekurang-kurangnya saya masih menulis dalam blog ini.  Walaupun saya agak meninggalkan dunia penulisan, tetapi saya masih dengan dunia pembacaan. Buktinya dalam tempoh empat hari ini saya telah membeli semua buku-buku di atas. Tanggapan lain pula boleh dibuat, iaitu beli sahaja tapi tidak dibaca apa gunanya kan. Memang benar.  Dan saya tidak mahu lagi berbentengkan tanggapan...

Tuesday, January 19, 2016

Antara Sunan Cinta Nan Sakti dengan Bagaikan Puteri

"Bagaikan Puteri" terbit 2005 adalah sambungan kepada "Sunan Cinta Nan Sakti" terbit 2015

TULISAN kali ini saya tujukan kepada beberapa orang, iaitu rakan penulis; Zainal Abd Kadir, rakan catur; Omar Abd Hamid, dan penulis buku tersebut; Ramlee Awang Murshid.

ZAINAL Abd Kadir, buku "Bagaikan Puteri" saya beli pada tahun 2005 selepas membaca ulasan dalam blog saudara.  Saya tak begitu ingat, tetapi tulisan sdr menyatakan kehebatan buku ini dan kehebatan penulisnya yang mampu mengarang karya sedemikian rupa, justeru saya berusaha mencarinya di kedai buku.

OMAR Abd Hamid, saudara begitu berminat mengkaji kehidupan Laksamana Hang Tuah.  Antara pendapat sdr, Laksamana Tuah berasal dari Kelantan berdasarkan senjata kapak yang digunakannya semasa kecil.  Sejarah tak pernah bercerita tentang Laksamana Sunan.  Justeru, saya cadangkan sdr cuba baca "Bagaikan Puteri".

RAMLEE Awang Murshid, setelah membaca karya tuan yang terbaharu, iaitu "Sunan Cinta Nan Sakti", tuan sebenarnya telah memaksa saya membaca dan menghayati kembali "Bagaikan Puteri" walhal saya berazam taknak lagi baca karya tuan sebab banyak lagi kerja lain saya nak buat.  Saya terpaksa baca semula "Bagaikan Puteri" kerana ia adalah sambungan kepada "Sunan Cinta Nan Sakti" waima "Bagaikan Puteri" telah diterbitkan lama dulu...

Monday, January 4, 2016

Baca! Baca! Baca!


TAHUN 2016 menjelma sudah. Maknanya umur semakin singkat. Dengan kata lain umur semakin tinggal sedikit.  Sebaliknya buku yang belum dibaca semakin banyak. Justeru banyakkan membaca mesti berada dalam senarai aktiviti tahun 2016.  Al-Quran mesti berada paling atas dalam senarai bacaan tersebut sebagai persediaan..., tetapi mampukah? Bahan bacaan lain, mungkin yang berkaitan ilmu pengetahuan yang ada hubungannya dengan kehidupan peribadi bergantung kepada minat, kecenderungan, dan keperluan.

BUKU di atas adalah antara bacaan terkini yang baharu sahaja selesai dibaca. Buku Proses Penulisan Kreatif tulisan Mana Sikana amat menyeksa saya. Lebih kurang empat bulan diperlukan untuk menghayatinya. Akibatnya seperti orang dulu-dulu kata dapat hujung pangkal lesap. Antara ayat yang menarik tetapi mengelirukan ialah "...mementingkan makna bukan erti" (hal. 249) dan "...makna boleh berubah tetapi erti kekal." (hal. 250). Nah, berat tak?.  Sebaik selesai membacanya, saya beralih kepada novel.

BUKU Semangat Hutan karya Ramlee Awang Murshid saya baca daripada 22/12/2015 hingga 30/12/2015.  Makna kata sembilan hari diperlukan.  Seterusnya saya cuba beri tumpuan pada novel sambungannya, iaitu Tombiruo Terakhir.  Mungkin sempena cuti umum tahun baharu diikuti hari Sabtu dan Ahad, kali ini saya berjaya menghayatinya dalam tempoh empat hari sahaja, iaitu 31/12/15 hingga 3/1/16.

Tuesday, December 22, 2015

Buku Bahasa Inggeris Pertama


BAGI orang yang tidak mahir berbahasa Inggeris seperti saya boleh dikatakan mustahil boleh baca buku BI sepenuhnya daripada kulit depan hingga kulit belakang, waima ianya sebuah novel atau pun buku-buku teks semasa alam persekolahan.  Namun kali ini saya memaksa diri melakukannya walaupun ambil masa panjang dan bertemankan sebuah kamus.  Buku "The TAO of Chess" menjadi buku BI pertama yang saya baca dari mula sampai habis.  Hal ini demikian kerana saya ingin benar-benar mahir dalam permainan catur.  Ia terbukti berkesan apabila ketika baru membaca separuh buku ini saya telah menyertai Kejohanan Catur Terbuka DUN Bangi baru-baru ini, dan saya memperolehi 4.5 mata daripada 7 pusingan. Selain daripada itu, buku ini juga menjadi kenangan kerana saya membelinya di Times The Bookshop, Warisan Square Kota Kinabalu, Sabah pada 24/04/2007 semasa menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 di Universiti Malaysia Sabah pada 25-26 April 2007.  Selalunya jika saya berpeluang melancong atau mengembara atau kerja lapangan di sesuatu tempat yang jauh, saya akan beli sebuah buku untuk dicatatkan tarikh, tempat beli, dan maklumat lain yang berkaitan.

Friday, November 20, 2015

Antara Danau Dengan Pergau


SEJARAH ini perlu didokumentasikan demi sebuah NOSTALGIA.  Tanggal 11/11/2015 (Rabu) itu MEREKA bertolak ke Tasik PERGAU, Jeli, Kelantan.  Hari yang sama juga saya ke Kolam  DANAU Pinggiran, Putrajaya.  Saya telah isi borang cuti rehat awal kerana nama tidak tersenarai untuk kerja lapangan EMG4801 (11-15/11/2015) untuk kali kelima berturut-turut.  Alhamdulillah memancing selama dua setengah jam dapat hasil yang lumayan seperti di atas. Gambar itu diambil sebelum dapat sekor lagi kemudiannya. Tetapi Rohu dan Pacu ini masakan sama dengan Sebarau dan Toman yang mereka dapat melalui jala atau beli daripada orang di PERGAU sana...

Friday, November 13, 2015

Tahniah Dua Tokoh Anugerah Penghargaan Akademik


TAHNIAH diucapkan kepada Prof. Dr. Mohamed Mokhtar Abu Hassan dan Prof. Madya Dr. Noor Aina Dani atas penganugerahan tersebut (lihat Berita Harian, 11 November 2015)  DUA tokoh ini adalah antara idola saya dalam bidang bahasa dan sastera.  Dr. Noor Aina Dani pernah menjadi pensyarah saya bagi kursus "Pengantar Psikolinguistik" semasa menuntut di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM..  Selain minat dengan subjek ini, cara beliau mengajar yang berketerampilan, mesra, dan mudah senyum membolehkan saya mendapat 'A' dlm subjek ini.  Prof. Dr. Mohamed Mokhtar pula adalah pelopor Teori Konseptual Kata Kunci.  Semasa menghadiri Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 pada 4-6 Ogos 2006 di Hotel Le Paris @ Costa Rica, Port Dickson, Negeri Sembilan, saya telah membeli buku "Teori Konseptual Kata Kunci" tersebut daripada Nisah Hj. Haron (atau orang/meja di sebelahnya).  Kemudian kebetulan saya semeja dengan Prof. Dr. Mohamed Mokhtar Hassan semasa makan tengah hari.  Justeru, saya hulur buku tersebut untuk beliau tandatangani.  Tulisan Prof. pada buku itu berbunyi "Saudara Abdul Rahman, semoga mencintai dan meneruskan supaya menjadi sebuah teori yang mantap. Ikhlas daripada..t.t.".

Tuesday, November 3, 2015

Pabila Dirancang Tak Menjadi


KITA hanya merancang.... Pabila yang dirancang serba tak menjadi, mungkin ada hikmah di sebaliknya.  Seawal 15/10/15, iaitu dua minggu sebelum, saya telah disenaraikan sebagai pembantu pengawas ujian SKP2101 (Kenegaraan Malaysia) pada 1/11/2015 (Ahad).  Namun empat hari menjelang tarikh itu, saya dimaklumkan ia sebenarnya telah dibatalkan/ditangguhkan.  Justeru saya akan berpeluang menyertai Pancing Santai pada 1/11/2015 itu di Pesta Konvo UPM.  Malangnya sehari kemudian, saya dimaklumkan bahawa aktiviti memancing juga dibatalkan atas sebab teknikal.  Maka keputusan drastik dibuat, iaitu balik kampung sahajalah jengok ibu-bapa kami.  Alhamdulillah, waima buat keputusan saat akhir, malam Sabtu sampai juga ke Batu Pahat yang berjarak 260Km dari UPM.  Dipendekkan carita pagi Ahad balik semula ke Selangor kerana malamnya bertugas di pameran Konvokesyen.  Dalam Mingguan Malaysia kemudiannya saya difahamkan Utusan Malaysia sebenarnya tidak terlibat langsung dengan aktiviti memancing itu, walaupun tertera dalam poster.