siapalah saya...
Monday, February 29, 2016
Antara Penglibatan dengan Kerjasama
SEMASA Kursus Kepimpinan dan Pembangunan Budaya Inovasi Kreatif 2011 di Gold Coast Resort, kami disoal oleh penceramah motivasi, mana yang lebih penting antara penglibatan dengan kerjasama? Lalu kami diterangkan bahawa penglibatanlah yang penting, bukan kerjasama. Begitu juga dengan kejohanan bowling anjuran Kelab Sosial dan Kebajikan tempat kami bekerja. Saya memilih untuk terlibat atas semangat kesukanan, jalinan ukhwah, dan tali silatturrahim. Memang terlibat dalam sukan bukan keutamaan bertugas 8-5, tetapi terkandung makna tersirat disamping semangat ukhwah terzahir. Secara peribadi, bowling adalah pembuka tirai 2016, penglibatan dalam bidang sukan. Harap-harap dapat terlibat dalam kejohanan catur, ping-pong, dan bola tampar sepanjang tahun 2016 ini.
Friday, February 19, 2016
Antara Menulis dengan Membaca
SEORANG sahabat saya kata bahawa saya telah meninggalkan dunia penulisan. Saya terkedu dan terharu dengan kenyataan ini. Memang sudah lama saya tidak menulis cerpen, tetapi sekurang-kurangnya saya masih menulis dalam blog ini. Walaupun saya agak meninggalkan dunia penulisan, tetapi saya masih dengan dunia pembacaan. Buktinya dalam tempoh empat hari ini saya telah membeli semua buku-buku di atas. Tanggapan lain pula boleh dibuat, iaitu beli sahaja tapi tidak dibaca apa gunanya kan. Memang benar. Dan saya tidak mahu lagi berbentengkan tanggapan...
Tuesday, January 19, 2016
Antara Sunan Cinta Nan Sakti dengan Bagaikan Puteri
"Bagaikan Puteri" terbit 2005 adalah sambungan kepada "Sunan Cinta Nan Sakti" terbit 2015
TULISAN kali ini saya tujukan kepada beberapa orang, iaitu rakan penulis; Zainal Abd Kadir, rakan catur; Omar Abd Hamid, dan penulis buku tersebut; Ramlee Awang Murshid.
ZAINAL Abd Kadir, buku "Bagaikan Puteri" saya beli pada tahun 2005 selepas membaca ulasan dalam blog saudara. Saya tak begitu ingat, tetapi tulisan sdr menyatakan kehebatan buku ini dan kehebatan penulisnya yang mampu mengarang karya sedemikian rupa, justeru saya berusaha mencarinya di kedai buku.
OMAR Abd Hamid, saudara begitu berminat mengkaji kehidupan Laksamana Hang Tuah. Antara pendapat sdr, Laksamana Tuah berasal dari Kelantan berdasarkan senjata kapak yang digunakannya semasa kecil. Sejarah tak pernah bercerita tentang Laksamana Sunan. Justeru, saya cadangkan sdr cuba baca "Bagaikan Puteri".
RAMLEE Awang Murshid, setelah membaca karya tuan yang terbaharu, iaitu "Sunan Cinta Nan Sakti", tuan sebenarnya telah memaksa saya membaca dan menghayati kembali "Bagaikan Puteri" walhal saya berazam taknak lagi baca karya tuan sebab banyak lagi kerja lain saya nak buat. Saya terpaksa baca semula "Bagaikan Puteri" kerana ia adalah sambungan kepada "Sunan Cinta Nan Sakti" waima "Bagaikan Puteri" telah diterbitkan lama dulu...
Monday, January 4, 2016
Baca! Baca! Baca!
TAHUN 2016 menjelma sudah. Maknanya umur semakin singkat. Dengan kata lain umur semakin tinggal sedikit. Sebaliknya buku yang belum dibaca semakin banyak. Justeru banyakkan membaca mesti berada dalam senarai aktiviti tahun 2016. Al-Quran mesti berada paling atas dalam senarai bacaan tersebut sebagai persediaan..., tetapi mampukah? Bahan bacaan lain, mungkin yang berkaitan ilmu pengetahuan yang ada hubungannya dengan kehidupan peribadi bergantung kepada minat, kecenderungan, dan keperluan.
BUKU di atas adalah antara bacaan terkini yang baharu sahaja selesai dibaca. Buku Proses Penulisan Kreatif tulisan Mana Sikana amat menyeksa saya. Lebih kurang empat bulan diperlukan untuk menghayatinya. Akibatnya seperti orang dulu-dulu kata dapat hujung pangkal lesap. Antara ayat yang menarik tetapi mengelirukan ialah "...mementingkan makna bukan erti" (hal. 249) dan "...makna boleh berubah tetapi erti kekal." (hal. 250). Nah, berat tak?. Sebaik selesai membacanya, saya beralih kepada novel.
BUKU Semangat Hutan karya Ramlee Awang Murshid saya baca daripada 22/12/2015 hingga 30/12/2015. Makna kata sembilan hari diperlukan. Seterusnya saya cuba beri tumpuan pada novel sambungannya, iaitu Tombiruo Terakhir. Mungkin sempena cuti umum tahun baharu diikuti hari Sabtu dan Ahad, kali ini saya berjaya menghayatinya dalam tempoh empat hari sahaja, iaitu 31/12/15 hingga 3/1/16.
Tuesday, December 22, 2015
Buku Bahasa Inggeris Pertama
BAGI orang yang tidak mahir berbahasa Inggeris seperti saya boleh dikatakan mustahil boleh baca buku BI sepenuhnya daripada kulit depan hingga kulit belakang, waima ianya sebuah novel atau pun buku-buku teks semasa alam persekolahan. Namun kali ini saya memaksa diri melakukannya walaupun ambil masa panjang dan bertemankan sebuah kamus. Buku "The TAO of Chess" menjadi buku BI pertama yang saya baca dari mula sampai habis. Hal ini demikian kerana saya ingin benar-benar mahir dalam permainan catur. Ia terbukti berkesan apabila ketika baru membaca separuh buku ini saya telah menyertai Kejohanan Catur Terbuka DUN Bangi baru-baru ini, dan saya memperolehi 4.5 mata daripada 7 pusingan. Selain daripada itu, buku ini juga menjadi kenangan kerana saya membelinya di Times The Bookshop, Warisan Square Kota Kinabalu, Sabah pada 24/04/2007 semasa menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 di Universiti Malaysia Sabah pada 25-26 April 2007. Selalunya jika saya berpeluang melancong atau mengembara atau kerja lapangan di sesuatu tempat yang jauh, saya akan beli sebuah buku untuk dicatatkan tarikh, tempat beli, dan maklumat lain yang berkaitan.
Friday, November 20, 2015
Antara Danau Dengan Pergau
SEJARAH ini perlu didokumentasikan demi sebuah NOSTALGIA. Tanggal 11/11/2015 (Rabu) itu MEREKA bertolak ke Tasik PERGAU, Jeli, Kelantan. Hari yang sama juga saya ke Kolam DANAU Pinggiran, Putrajaya. Saya telah isi borang cuti rehat awal kerana nama tidak tersenarai untuk kerja lapangan EMG4801 (11-15/11/2015) untuk kali kelima berturut-turut. Alhamdulillah memancing selama dua setengah jam dapat hasil yang lumayan seperti di atas. Gambar itu diambil sebelum dapat sekor lagi kemudiannya. Tetapi Rohu dan Pacu ini masakan sama dengan Sebarau dan Toman yang mereka dapat melalui jala atau beli daripada orang di PERGAU sana...
Friday, November 13, 2015
Tahniah Dua Tokoh Anugerah Penghargaan Akademik
TAHNIAH diucapkan kepada Prof. Dr. Mohamed Mokhtar Abu Hassan dan Prof. Madya Dr. Noor Aina Dani atas penganugerahan tersebut (lihat Berita Harian, 11 November 2015) DUA tokoh ini adalah antara idola saya dalam bidang bahasa dan sastera. Dr. Noor Aina Dani pernah menjadi pensyarah saya bagi kursus "Pengantar Psikolinguistik" semasa menuntut di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.. Selain minat dengan subjek ini, cara beliau mengajar yang berketerampilan, mesra, dan mudah senyum membolehkan saya mendapat 'A' dlm subjek ini. Prof. Dr. Mohamed Mokhtar pula adalah pelopor Teori Konseptual Kata Kunci. Semasa menghadiri Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 pada 4-6 Ogos 2006 di Hotel Le Paris @ Costa Rica, Port Dickson, Negeri Sembilan, saya telah membeli buku "Teori Konseptual Kata Kunci" tersebut daripada Nisah Hj. Haron (atau orang/meja di sebelahnya). Kemudian kebetulan saya semeja dengan Prof. Dr. Mohamed Mokhtar Hassan semasa makan tengah hari. Justeru, saya hulur buku tersebut untuk beliau tandatangani. Tulisan Prof. pada buku itu berbunyi "Saudara Abdul Rahman, semoga mencintai dan meneruskan supaya menjadi sebuah teori yang mantap. Ikhlas daripada..t.t.".
Tuesday, November 3, 2015
Pabila Dirancang Tak Menjadi
KITA hanya merancang.... Pabila yang dirancang serba tak menjadi, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Seawal 15/10/15, iaitu dua minggu sebelum, saya telah disenaraikan sebagai pembantu pengawas ujian SKP2101 (Kenegaraan Malaysia) pada 1/11/2015 (Ahad). Namun empat hari menjelang tarikh itu, saya dimaklumkan ia sebenarnya telah dibatalkan/ditangguhkan. Justeru saya akan berpeluang menyertai Pancing Santai pada 1/11/2015 itu di Pesta Konvo UPM. Malangnya sehari kemudian, saya dimaklumkan bahawa aktiviti memancing juga dibatalkan atas sebab teknikal. Maka keputusan drastik dibuat, iaitu balik kampung sahajalah jengok ibu-bapa kami. Alhamdulillah, waima buat keputusan saat akhir, malam Sabtu sampai juga ke Batu Pahat yang berjarak 260Km dari UPM. Dipendekkan carita pagi Ahad balik semula ke Selangor kerana malamnya bertugas di pameran Konvokesyen. Dalam Mingguan Malaysia kemudiannya saya difahamkan Utusan Malaysia sebenarnya tidak terlibat langsung dengan aktiviti memancing itu, walaupun tertera dalam poster.
Monday, October 12, 2015
Pertandingan Catur Piala DUN Bangi
Matlamatnya ialah untuk menjadi pemain catur mewakili organisasi dalam kejohanan SUKUM tahun hadapan. Sudah dua tahun menjadi jurulatih kerana ketidakhadiran dalam pemilihan dan latihan akibat komitmen kepada keluarga. Sebagai anjakan, saya sertai satu kejohanan besar, iaitu Pertandingan Catur Piala DUN Bangi yang diadakan di Dewan Cempaka Kompleks PKNS Bangi pada 11 Oktober 2015. Kejohanan ini dianggap besar kerana disertai juga bekas Juara Kebangsaan, Natioanl Master (NM) Ahmad Kamal Abdullah ran rakan-rakannya, selain menghimpun lebih dua ratus pemain bagi kategori terbuka, bahawh 17, dan bawah 12 tahun. Sebelum kejohanan lagi saya sudah maklumkan kepada rakan-rakan bahawa keterlibatan ini bagi membuktikan kelayakan saya sebagai pemain, bukan jurulatih. Alhamdulillah, saya memperoleh 4.5 mata daripada 7 pusingan, sementara rakan-rakan lain mendapat 4 mata, 3.5 mata dan 3 mata. Saya telah buktikan. Kipidap!
Monday, September 14, 2015
Antara Memancing dengan Menulis
Tentang Zainal Rashid Ahmad dlm Nuansa Pengarang BH 6/9/15
Zainal Rashid Ahmad dengan Patin Mekong/Pelabuk
Saya dengan Patin Mekong di kolam Seksyen 24 tahun lepas
KENAPA saya memancing? Bila masanya saya menulis? Paling terbaharu saya memancing ialah pada 5/9/2015, iaitu baru seminggu lepas, di kolam Danau Pinggiran, Putrajaya. Hanya sehari besoknya (6/9/2015) tersiar dalam Berita Harian tulisan Latifah Arifin tentang Zainal Rashid Ahmad (ZRA). Latifah Arifin memetik ZRA sebagai berkata "Saya tidak ada komputer peribadi di rumah, bahkan untuk memikirkan idea ketika bersama keluarga juga agak mustahil kerana biasanya masa digunakan sepenuhnya untuk menonton televesyen dan melakukan aktiviti wajib, iaitu memancing". Nah, sama macam saya. ZRA suka memancing, saya juga suka memancing. Namun pencapaian dalam bidang penulisan tidak sama. ZRA telah memenangi deretan anugerah sastera (lihat Dewan Sastera, Ogos 2015). Sehingga kini ZRA telah menghasilkan tiga buah kumpulan cerpen. Saya sekadar eceran. Kenapa?
Wednesday, September 9, 2015
Kejohanan Ping Pong
Saya jauh di belakang sana sedang betulkan kaca mata
UMPAMA diari kehidupan, perlu dicatatkan di sini bahawa pada 1, 3, dan 4 September 2015, saya terlibat dalam kejohanan ping-pong antara Gabungan bertempat di Stadium UPM. G9 adalah gabungan iDEC, FSKTM dan FPAS. Berjaya masuk ke suku akhir, kemudian berjaya ke peringkat separuh akhir. Namun tersekat di separuh akhir apabila tewas kepada Gabungan Perpustakaan.
Friday, September 4, 2015
Hikayat Merong Mahawangsa
TARIKH beli: 2 September 2005*
Tarikh mula baca: 28 Ogos 2015
Tarikh selesai baca: 3 September 2015
*BELI di Kedai Buku Universiti Kebangsaan Malaysia.
Friday, August 28, 2015
Catur: SUKUM 2015
TAHUN ini berpeluang lagi menyertai pasukan Catur dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2015 yang berlangsung di UiTM Shah Alam pada 17-22 Ogos 2015. Alhamdulillah kali ini berjaya membawa balik empat pingat, iaitu satu emas dan tiga perak. Emas dimenangi dalam acara Blitz individu wanita dan satu perak juga daripada Blitz individu wanita. Sementara dua lagi perak melalui Rapid berpasukan lelaki dan Rapid berpasukan wanita.
Monday, August 17, 2015
Merah dan Merun Lagi
DUA hari lepas saya terima dua pasang baju lagi kerana menjadi wakil pasukan catur ke Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2015. Seperti yang dinyatakan sebelum ini kebanyakan baju percuma yang saya terima berwarna merah. Nampaknya kali ini pun dapat baju yang sepasang berwarna merah dan sepasang lagi warna merun.
Tuesday, August 11, 2015
Antara Warna Merah dengan Warna Merun
WARNA sering diperkatakan dalam pelbagai bidang. Warna amat penting apabila dikaitkan dengan lukisan, fotografi, fesyen pakaian, warna bangunan dan bermacam lagi. Warna juga menjadi fokus bidang psikologi apabila dikaitkan dengan keperibadian seseorang. Baju berwarna pink atau merah jambu contohnya dikatakan hanya dipakai oleh lelaki yang berani, kata pakar motivasi terkenal. Secara peribadi, saya tidak suka pakaian berwarna merah. Hal ini demikian antaranya kerana seorang penceramah agama kata Nabi tidak pernah pakai pakaian berwarna merah. Tidak tergerak pula nak tanya zaman itu ada tak warna biru dan hijau yang menjadi warna kegemaran.
Walaupun saya kurang suka pakaian berwarna merah, tetapi banyak pula koleksi pakaian saya yang berwarna merah. Hal ini demikian kerana semuanya baju percuma. Antara aktiviti yang menyebabkan dapat baju tersebut ialah 1). Kursus Pemantapan Kendiri; 2). Program Sambutan Alam Sekitar 2009 Peringkat Daerah Kinta (Cintai Sungai Kinta); 3).Baju T rasmi untuk staf di organisasi; 4).Baju T untuk pasukan Catur (tiga pasang) dalam sukan SUKUM tahun 2014 di UTM; 5). Baju T 'gift' kerana beli sehelai kemeja. Bagaimanapun saya terperangkap(tertipu?) apabila suatu hari di sebuah gedung membeli-belah, ketika membelek-belek kemeja T, Amoy yang menjaga bahagian pakaian, berkata "Ha, cantiklah warna baju itu." Saya kata "saya tidak suka warna merah." disambut oleh Amoy itu dengan "itu bukan warna merah, itu warna merun!". "Merun?" lantas aku berfikir bahawa warna merun bukan warna merah. Lalu aku pun sambarlah sepasang. Namun aku silap! Merun dengan merah adik beradik. Orang lebih suka sebut merah untuk warna merun. Malah lebih baik pakai baju berwarna merah berbanding merun. Sekarang jika nak beli baju, saya akan pilih warna biru atau hijau atau seangkatan dengannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)


















