Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Sunday, August 23, 2009

Ramadan tiba lagi

HARI ini (semalam) 22 Ogos 2009, Ramadan (1430) al-Mubarak tiba lagi. Alhamdulillah kerana Ramadan tahun lepas bukan yang terakhir. Saya mengucapkan selamat menyambut dan mengisi bulan yang barkat ini dengan pengisian yang bermakna.

Friday, August 21, 2009

Pabila Kesibukan Melanda

HARI ini (semalam) 20/8/09 adalah antara hari yang paling sibuk. Ianya adalah kebetulan tetapi selalu juga kebetulan (perkara seperti ini) berlaku dalam hidup saya. Jadual saya di tempat kerja hari ini ialah menghadiri perjumpaan dengan Naib Canselor jam 12.00tgh - 1.00ptg, gotong-royong membersihkan sekitar tasik di belakang pejabat jam 5.00-7.00ptg, dan mengawas ujian EMG3001 8.30-10.00mlm.

Sebaik habis perjumpaan, saya sertai jamuan makan nasi baryani hingga jam 1.00ptg. Sedangkan jam 1.00ptg itulah waktu anak saya yg tahun 6 habis kelas dan saya kena kena menjemputnya di sekolah. Jam 2.00ptg saya sudah berada di pejabat semula. Tapi kerana ‘silent’ kan telefon bimbit semasa perjumpaan dengan Naib Canselor tadi dan terlupa set semula, saya tak sedar anak saya yg kat U dah buat panggilan 13 kali!. Jam 3.00ptg dia muncul di pintu ofis dan tanya apa dah jadi dengan telefon bimbit? Ada es em es juga minta saya jemput dia jam 2.00ptg tadi di kolej. Maka saya pun hantar dia balik rumah kemudian terus balik ke pejabat semula. Rakan-rakan kata ‘cepatnya’ sebab dalam masa 10 minit saya dah ada di pejabat semula. Cepat kerana saya letak kereta di sebalik tembok berdekatan bangunan pejabat.

Jam 5.00 saya keluar semula ambil anak di rumah dan hantar ke fakulti Ekologi sebelum saya ke pejabat semula. Jarak rumah saya dengan tempat kerja ialah 3km jika ikut jalan biasa. Selepas solat Asar di pejabat, jam 5.30ptg saya balik ke rumah untuk hantar anak yang akan menduduki UPSR itu ke sekolah kerana ada majlis ilmu. Selepas hantar, saya terus ke pejabat dan menyusur ke belakang bangunan. Dengan berbekalkan kamera Nikon SLR 300D, saya berkeliling tasik mengambil gambar semua peserta yang terlibat dengan gotong-royong sempena program kesedaran alam sekitar (Prokas’09). Hampir 100 orang terlibat.

Jam 6.00 tugas saya selesai dan telefon bimbit saya pun berbunyi. Anak saya yang tingkatan empat beritahu dia dah sampai di sekolah. Dia baru pulang dari program motivasi kendiri menjana kecemerlangan pelajar MPV di 'Ayer Keroh Country Resourt', Melaka. Saya pun bergegas hidupkan engin kereta dan menjemputnya di sekolah. Selepas hantar ke rumah, saya ke pejabat semula. Sempatlah saya ‘download’ gambar-gambar tadi sebelum tutup semua lampu dan ‘air-cond’ di bilik dan makmal.

Jam 7.00 saya bergegas ke sekolah rendah untuk menjemput anak yang darjah 6 itu. Lambat 10 minit kerana dia kesukaran untuk keluar. Rakan-rakannya yang lain tunggu bapa masing-masing untuk majlis solat hajat sempena UPSR malam nanti. Saya tak dapat sertai kerana ada tugas malam ini. Balik ke rumah saya bersicepat untuk makan, mandi, dan solat Maghrib kerana perlu ada di dewan peperiksaan jam 8.00mlm.

Jam 8.00 malam saya sudah berada di Dewan Kuliah 6. Dengan bantuan Armi saya terpaksa susun semula kerusi meja supaya sesuai untuk tujuan ujian. Jam 10.00 malam ujian pun habis dan saya kembali ke pejabat. Leka pula berbual dengan Pegawai Tadbir yang belum balik lagi. Jam 11.00 malam pergi makan kerana mendapat tajaan daripada pensyarah yang mengadakan ujian tadi. Dipendekkan cerita, hari ini saya keluar jam 7.00pg dan pulang ke rumah jam 12.00mlm. Justeru, bila masa tesis nak siap? bila masa nak tulis cerpen? bila masa nak pergi mancing? Bila masa nak main catur?

Monday, August 10, 2009

Hadiah Penulisan Cerpen

HARI Rabu lepas (5 Ogos 2009), saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Berhampiran DBP sudah ada ‘fly-over’ (dengan izin) sedangkan kali terakhir saya ke situ, ia belum ada lagi. Ini menunjukkan bahawa sudah terlalu lama saya tidak berkunjung ke DBP sedangkan itulah distinasi saya yang paling kerap di Kuala Lumpur suatu masa dulu selain Masjid Negara.
Tujuan saya ke DBP pula adalah mengiringi anak ke majlis penyampaian hadiah peraduan menulis cerpen pelajar sekolah rendah/mengengah 2008. Alhamdulillah, anak saya menang hadiah pertama kategori 10-12 tahun. Dalam majlis yang penuh gilang-gemilang itu dia menerima hadiah berupa RM400.00, buku, dan sijil yang telah dibingkai dengan cantiknya. Saya teruja dengan peristiwa ini kerana saya sendiri sudah lama terlibat dengan penulisan cerpen pun tak pernah lagi memenangi hadiah pertama. Tidak pernah lagi diraikan dalam majlis sedemikian rupa....

Sunday, August 2, 2009

Berani Kerana Benar?

MEMANG betul, berani kerana benar. Masalahnya ada segelintir perasan mereka benar, lalu berkata dan bertindak tanpa mengira perasaan mereka yang lain.

Friday, July 31, 2009

Perasaan dan Perasan

Perasaan:

YANG paling sukar digambarkan dengan kata-kata ialah perasaan. Tetapi...

Petikan: Keris Mas. Perbincangan Gaya Bahasa Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1990:71

Perasan:

yang paling senang diucapkan dengan kata-kata ialah perasan. Tak ada tapi-tapi dah.

Petikan: (tiada).

Friday, July 17, 2009

Buku Catur

SEBELUM ini saya ada menyiarkan entri tentang buku catur pertama. Buku itu menjadi sumber pengetahuan tentang notasi pergerakan catur. Bermula dengan buku pertama, maka bertambah-tambahlah koleksi buku catur hinggakan akhirnya berjumlah 40 buah termasuk yang diphotostat kerana buku tersebut tiada lagi di pasaran. Daripada 40 buah itu terdapat beberapa buah yang agak penting untuk dinostalgiakan.

Pertama, buku yang bertajuk “Logical Chess, Move by Move” oleh Irving Chernev. Buku tahun 1957 terbitan Simon and Schuster, New York ini saya beli di Kompleks PKNS Shah Alam kira-kira pada tahun 1990 dengan harga RM27.00. Mungkin pada masa itu buku ini antara buku yang paling mahal saya beli. Oleh sebab buku ini dalam bahasa Inggeris, maka keraplah saya merujuk kamus pada peringkat awalnya. Buku ini bagus kerana memperlihatkan tujuan setiap pergerakan buah catur sama ada putih atau hitam dari awal hinggalah tamat permainan. Permainan yang dijadikan contoh pula sebanyak 33 permainan yang kebanyakannya berlaku pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Kedua, buku yang bertajuk “The Gruenfeld Defense” oleh Grandmaster Leonid Shamkovich dan Jan R. Cartier. Buku ini diterbitkan oleh Hays Publishing, Dalas pada tahun 1997. Buku ini saya beli terus melalui on-line di alamat http:www.chess.co.uk pada 19/5/2004 dan sampai ke tangan saya pada 2/6/2004. Bagaimanapun saya ditolong oleh pensyarah saya dengan menggunakan kad Visanya. Saya pernah terserempak seorang veteran catur di Kuala Lumpur menjualnya dengan harga RM65.00. Dan saya tersenyum kerana saya cuma belanja RM50.00 untuk buku itu.

Ketiga, buku yang bertajuk “The Tao of Chess” oleh Chess Master Peter Kurzdorfer. Buku terbitan Adams Media, an F+W Publications Company, U.S.A tahun 2004 ini saya beli di Times The Bookshop, di Warisan Square, Sabah pada 24 April 2007. Saya beli buku ini sebagai kenang-kenangan ke Sabah kerana menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 yang berlangsung pada 25-26 April 2007. Bagaimanapun saya di Sabah selama enam hari kerana pergi awal balik lewat. Buku ini antara yang seronok dibaca kerana berunsur falsafah.
Dan keempat, buku yang bertajuk “ Encyclopedia of Chess Wisdom” oleh Eric Schiller. Buku ini saya beli di Popular Book Co, di Batu Pahat Mall. Seperti buku ketiga di atas, untuk membeli buku ini saya berpusing-pusing dan berfikir banyak kali. Banyak kali saya fikir kerana harga yang tertera ialah RM97.70! Saya kena ada sepuluh sebab untuk membeli buku ini. Saya tekadkan dalam hati bahawa inilah buku catur yang terakhir saya beli dan akhirnya saya 'tutup mata' dan menghantarnya di kaunter. Selepas tolak diskaun, saya bayar RM87.93 untuk memilikinya dengan harapan saya akan menjadi pemain catur terbaik dalam kalangan pemain catur UPM!

Sunday, July 5, 2009

Kelah oh Kelah

Walaupun saya mempunyai peralatan memancing yang agak lengkap dan selalu keluar memancing dalam tahun 1990-an, saya bukanlah kaki pancing tegar. Sejak memasuki alaf baru, dalam setahun saya memancing dua tiga kali itu pun kalau ada peluang di hadapan mata. Walaupun saya pernah memancing ikan haruan, puyu, keli, tilapia, sebarau, lampam, jelawat, rohu, pacu, patin dan lekoh, saya anggap diri ini sebagai pemancing, tidak lengkap jika tidak dapat menaikkan kelah dan merasa keenakannya.

Dua hari lepas, saya berbual dengan seorang rakan yang turut sama ke Tasik Kenyir pada 12-14 Jun 2009 lalu. Saya mengimbau nostalgia naikkan ikan susur batang dan jelawat berumpankan sawit peram di sungai Terenggan, Tasik Kenyir. Dia kata, ikan yang saya naikkan itu sebenarnya bukan jelawat tetapi kelah. Saya terkejut yang amat sangat. Kenapalah saya mudah sangat percaya dengan seorang lagi rakan saya ketika itu yang mengklasifikasikan ikan itu sebagai ikan jelawat! Katanya lagi, masa saya naikkan ikan itu, dia ada cakap kelah, tetapi mungkin saya tidak mendengarnya. Dia meyakinkan saya lagi dengan ceritanya. Dia kata sewaktu menyiang ikan, semua ikan dibuang sisiknya kecuali ikan kelah itulah. Malangnya sewaktu bebudak perempuan mengorengnya, sisik ikan kelah itu turut dibuang. Akhirnya dia sendiri tidak tahu ikan kelah goreng itu yang mana satu. Aduh! Kelah menjadi idaman saya selama ini. Itulah satu-satunya kelah yang diperolehi oleh kumpulan kami. Tangan saya sendiri yang memancingnya tetapi saya terlepas peluang merasa keenakannya. Dan saya pasti peluang seperti ini tidak akan berulang lagi.

Ikan Kelah yang saya sangkakan Jelawat!


Berikut ialah foto-foto lain yang menjadi nostalgia saya ke Tasik Kenyir pada 12-14 Jun 2009.

Wednesday, June 17, 2009

Nostalgia Tasik Kenyir 2

PABILA saya dipelawa menyertai ekspedisi ke Tasik Kenyir pada 12-14 Jun 2009, tanpa berfikir panjang saya terus menyetujuinya. Saya pernah ke Tasik Kenyir hujung tahun 2007. Bagaimanapun masa itu hujan turun hampir sepanjang masa. Air Tasik Kenyir keruh. Kali ini saya merasakan perlu menjejakkan kaki ke sana untuk pengalaman sebenar. Untuk xpdc ini, anak-anak tidak seronok atas kepentingan masing-masing. Isteri tidak suka kerana kononnya akan perhabis pitih. Penyelia tentu simpati dengan saya sebab kalau berpergian, bila pula tesis nak siap? Tetapi kawan-kawan mengharapkan saya ikut kerana banyak sebab. Antara persiapan saya ialah mengadun umpan rahsia berasaskan tepung hong yang berharga hanya RM1.00 sekilogram.


Peserta ekspedisi Tasik Kenyir


Maka pada hari Khamis itu (11/6/09) jam 10.30 malam, bas yang saya naiki bertolaklah dari Serdang. Dipendekkan cerita, seawal jam 5.15pagi besoknya saya sampai di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang. Selepas solat Subuh bersama jemaah di situ, kami mencari tempat sarapan tak jauh dari situ. Selepas itu kami terus ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir. Tenaga Nasional Berhad. Di situ kami menunggu dari jam 8.00pg hingga 9.45pg sebelum dapat menaiki ‘boat house’. Empat setengah jam kamudian baru bot sampai ke distinasi, iaitu berhampiran Sg. Terenggan.


Menaikkan Lampam dua ekor sekaligus dengan umpan rahsia!


Dipendekkan cerita juga, selepas Mahgrib saya rasa macam nak demam. Badan rasa seram sejuk. Makan nasi satu sudu pun payah nak habis. Namun menjelang 10.00malam saya rasa dah pulih, malah dapat naikkan beberapa ekor ikan Lampam. Besok paginya saya masih tidak ada selera makan. Namun masih ada selera memancing. Saya cipta sejarah ekspedisi ini apabila dapat naikkan dua ekor Lampam yang agak besar sekaligus. Kiranya mujarab juga umpan rahsia yang saya sediakan.


Satu-satunya Jelawat yang dapat dinaikkan di Sg. Terenggan


Tidak lama lepas itu, kami semua menaiki bot kecil ke Sg. Terenggan. Kiranya sampailah juga saya ke sungai yang selalu diwar-warkan sebagai syurga pemancing dalam majalah dan rencana akhbar. Kami menyusur jeram untuk sampai agak ke hulu. Peserta perempuan mengutip pucuk paku. Ramai juga pemancing lain yang saya temui. Ikan yang dapat dinaikkan ialah ikan susur batang. Namun saya cipta sejarah ekspedisi sekali lagi apabila menjadi sesatunya berjaya naikkan ikan Jelawat dari lubuk Sg. Terenggan itu. Ikannya tak besar tapi tentangan yang diberikan memang hebat.


Pemandangan Bukit Bewah dan Gua Bewah dari jauh


Petang itu bot rumah bergerak ke Bukit Bewah. Kebanyakan kami ambil kesempatan melawat ke dalam gua. Ternyata guanya amat luas. Menyusur jauh ke dalam, lelangitnya memang tinggi. Sejuknya menyamankan. Malam itu kami akan bermalam berdekatan Gua Bewah itu. Sebelum itu, abang bot ajak saya pergi ‘casting’ toman. Menuruti kami seorang kawan saya lengkap dengan ‘safety jacket’. Saya baru perasan sewaktu bot laju dah bergerak beberapa meter. “Tak apa ke bang?” Tanya saya pada abang bot itu. “Tak apa.” Jawab abang bot itu. Tetapi saya mula risau. Kalau berlaku kemalangan, tentu saya akan lemas dalam tasik Kenyir. Kebimbangan itu menjadi kenyataan sewaktu balik semula ke bot besar. Bot laju terlanggar tunggul kayu dalam air. Kami bertiga tercampak ke hadapan. Tangan saya melecet dan agak bengkak juga. Mujur bot tak pecah dan engine dapat dihidupkan semula. Kalau tidak, tidak dapat saya nak bayangkan kerana saya tidaklah pandai berenang. Malam itu saya masih tak lalu makan sebab perut rasa kembung.


Pemandangan di Air Terjun S. Lasir. Teruja melihatnya.


Besok paginya seawal 7.15pagi bot rumah bergerak ke air terjun Lasir. Saya mengikuti rakan-rakan ‘track’ laluan ke air terjun tanpa persiapan. Cuma ingin ambil gambar dan tengok-tengok. Rupanya tempat itu cantik bukan main. Rakan-rakan semua masuk ke dalam air. Dengan segera saya ambil keputusan balik semula ke bot walaupun jauh dan memenatkan. Selepas bersalin, saya ke air terjun semula untuk mandi, menyelam atau berenang – berenang anjing - kata kawan-kawan. Paling tak sangka rakan saya yang pakai ‘life-jacket’ semalam telah lemas kali ini. Mujur terselamat. Saya sendiri pun, menyelam sambil berenang, tahu-tahu sudah di lubuk dalam. Bila berdiri dalam air paras dagu!. Mulalah kena gelak dengan kekawan.


Barangkali inilah penghujung Tasik Kenyir
kerana ada janaelektrik TNB dihujungnya


Ternyata pengalaman kali ini berbeza kerana sebelum ini kami mulakan dengan Pangkalan Gawi. Dan sebelum ini tidak memasuki kawasan Taman Negara. Akhir sekali, dalam perjalan balik, singgah di Kemaman. Di Kg. Geliga Besar beli sata dan keropok lekor untuk dibawa pulang. Dalam perjalan pulang singgah Mahgrib di masjid Kg. Ular, Kuantan. Jam 12.30pagi juga baru sampai ke Serdang. Itulah nostalgia yang mengilhamkan dua buah cerpen. Kejayaan cerpen itu bergantung kepada komitmen saya sendiri. Yang penting ideanya sudah ada.

Tuesday, June 9, 2009

Wacana

...Sejumlah ayat tertentu membawa hanya satu tumpuan makna. Tumpuan makna ini membentuk satu fokus pemikiran yang dalam tatabahasa disebut wacana. Dengan kata lain, wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan dan lengkap (Nik Safiah Karim et.al., 2008:523).
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn,Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mahmood. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008.

Tuesday, June 2, 2009

Onomatopeia

SESUATU kata atau sekumpulan kata yang terhasil daripada peniruan bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh haiwan, unggas dan manusia melalui sesuatu objek atau tindakan dan pergerakan dikenal sebagai onomatopeia(petikan).
Raja Masitah Raja Ariffin. "Onomatopeia dalam Bahasa Melayu" dalam Dewan Bahasa, Mei 2009:38-40.

Monday, June 1, 2009

Anak Kecil Lebih Memahami

ANAK perempuanku yang berumur 12 tahun berkata "Ayah, semalam ayah tak tak dapat buat apa-apa kan?. Apa kata kalau petang ini kita pergi ke pejabat ayah, bolehlah ayah tulis tesis!". Aku segera teringat aktiviti hari Sabtu. Dari pagi hingga larut malam, masa habis untuk rumah, isteri dan anak-anak. Di luar jangkaan, jam 10.30 malam terpaksa ke CIMB di UPM, kemudian ke stesen minyak, kemudian ke RHB di Seri Kembangan. Hari Ahad, kalau tak tulis langsung, maknanya aku di ambang kehancuran. Sisa-sisa waktu semakin kritikal. Petang Ahad itu, selepas paginya membasuh kasut sekolah anak-anak, basuh kereta, bersihkan sampah atas almari (dll) malah sempat menghormati jemputan kahwin, aku ke pejabat. Di pejabat beberapa orang turut hadir dengan urusan akademiknya. Alhamdulillah, selepas tiga jam, dapatlah tulis lebih kurang tiga halaman. Pulang ke rumah, sebelum Mahgrib aku sempat basuh bilik air. Orang selalu kata, untuk melihat sama ada sesebuah rumah itu bersih atau tidak, lihatlah bilik airnya. Itulah yang aku pegang selama ini. Malangnya Subuh ini "seseorang" berkata "aku pegang cakap isteri Ustaz Rahim. Dia kata kalau nak tengok rumah bersih atau tidak, tengoklah kipas angin kat rumahnya". Inilah konfliknya. Pabila fikiran telah diracuni, akibatnya ialah konflik. Sebagai penyelesaian konflik, selepas ini tak payahlah buat kerja lain, cuma perlu bersihkan kipas angin. Kalau itulah pegangannya.

Thursday, May 28, 2009

Sabar dan Syukur

NOSTALGIA ini menggamit memori minggu lepas ketika terdengar ceramah Ustazah Nur Bahyah di televesyen.
Masa itu saya berumur kira-kira 15 tahun. Tinggal di sebuah kampung sejak kecil. Suatu hari saya sedang menaiki basikal dari rumah menuju ke arah simpang tiga di jalan besar. Suatu ketika saya berselisih dengan seorang budak perempuan. Saya tak ingat sama ada dia naik basikal atau jalan kaki. Tiba-tiba dia berkata "SS". Saya terkejut dan amat tersentuh. Anak siapakah budak perempuan yang saya tidak kenali itu tergamak berkata begitu? Saya tak kata apa-apa pun, hanya berpapasan!. Adakah "SS" itu bermakna syok sendiri? Sejak hari itu saya bertekad tidak akan menegur atau "mengacau" bebudak perempuan. Saya takut dikata "SS". Akibatnya saya tidak akan ada rakan perempuan kalau tidak budak perempuan itu tegur saya dulu. Malah isteri saya sekarang pun dulu dialah yang "kacau" saya dulu. Itu pun saya respons selepas tiga tahun kemudian. Minggu lepas Ustazah Nur Bahyah kata "SS" itu adalah sabar dan syukur. Baharulah saya seronok mendengarnya. Kita harus bersabar dalam menempuh ujian daripada Allah Azzawajalla. Kita patut bersyukur dengan apa yang ada. Sekiranya jika... kita melihat orang tak lulus SRP pun boleh pakai Mesedes sedangkan kita ada ijazah kelas pertama pun tidak punya apa-apa lalu mengeluh, maka bermakna kita tidak bersyukurlah tu. Untuk rasa bersyukur janganlah tengok ke atas. Tengoklah pula ke bawah. Tengok kesusahan orang yang membongkar tong sampah untuk mencari rezeki. Tengok orang yang menderita terperangkap dalam kancah peperangan. Tengok orang yang sedang sakit tenat di hospital. Akhirnya selepas 30 tahun barulah saya tahu makna "SS", ialah "Sabar" dan "Syukur"!

Friday, May 22, 2009

Motivasi Yang Muncul

PABILA motivasi itu muncul, maka usaha dan semangat harus digembleng sama untuk mencapai sasaran. Misalnya motivasi saya untuk menang dalam pertandingan catur yang diminati. Saya ada pilihan untuk teruskan atau lupakan dulu jika ada komitmen lain yang lebih penting. Tetapi jika motivasi itu adalah sesuatu yang terpaksa diredah, lain naratifnya. Pabila saya sudah lengkapkan borang GS14a, bayar yuran tesis RM500.00, sediakan abstrak dan isi kandungan, serta hantar ke pejabat berkenaan, maka saya tidak ada pilihan lain lagi. Inilah masa yang paling kritikal. Tiga bulan ini seharusnya saya dikuarantinkan supaya di penghujungnya tesis itu sudah siap dijilid. Mampukah? Sedangkan sejak dua tahun lepas ia tidak siap-siap disebabkan sejuta hambatan yang membuat saya hampir putus asa! Mujurlah masih ada ibu-bapa, rakan-rakan, anak-anak, dan pensyarah yang mengajar terutamanya penyelia saya yang menjadi pendorong untuk saya teruskan.... Kali ini saya mesti redah! Tiga bulan lagi saya mesti hantar tesis! Selepas itu, kalau saya gagal juga maka saya redhalah. Kalau saya berjaya syukurlah. Itulah motivasi yang baru muncul.

Wednesday, May 13, 2009

Motivasi Yang Hilang

KHABARNYA sukan staf antara universiti awam akan diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada bulan Jun 2009 ini. Kalaulah saya berpeluang mewakili UPM dalam sukan catur, tentu saya dapat berkampung di sana satu minggu. Ketika perlawanan saya akan bertemu rakan-rakan catur dari UiTM, UTHO, UKM, UTM, dll. Pada waktu lain dapat berjalan-jalan sekitar Kuala Terengganu.
Tetapi untuk mewakili UPM perlulah berlawan sesama sendiri terlebih dahulu untuk memililh wakil terbaik. Atas motivasi inilah saya baca beberapa buah buku catur. Antaranya 'Encyclopedia of Chess Wisdom', 'The Gruenfeld Defence', 'The Batsford Guide to Chess Openings' dan 'Chess Skills'. Seminggu lebih saya mendalaminya guna untuk menjadi antara terbaik di UPM. Malangnya sewaktu saya telefon pengurus catur UPM untuk pastikan tarikh pemilihan, beliau memaklumkan bahawa UMT sebagai tuan rumah tidak mengadakan pertandingan catur kerana tiada pasukan (baca tiada keyakinan). Akhirnya saya tutup buku catur dan simpan semula di rak buku. Saya sudah kehilangan motivasi.

Sunday, May 10, 2009

Antara Penanda dan Petanda

SEBAGAI penulis, itulah yang saya fikirkan dan rasakan. Sebagai sebuah teks, itulah kod atau penandanya. Sebagai khalayak atau pembaca, anda tafsir, tanggap, atau buatlah intepretasi sendiri apa petandanya....