Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, July 31, 2009

Perasaan dan Perasan

Perasaan:

YANG paling sukar digambarkan dengan kata-kata ialah perasaan. Tetapi...

Petikan: Keris Mas. Perbincangan Gaya Bahasa Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1990:71

Perasan:

yang paling senang diucapkan dengan kata-kata ialah perasan. Tak ada tapi-tapi dah.

Petikan: (tiada).

Friday, July 17, 2009

Buku Catur

SEBELUM ini saya ada menyiarkan entri tentang buku catur pertama. Buku itu menjadi sumber pengetahuan tentang notasi pergerakan catur. Bermula dengan buku pertama, maka bertambah-tambahlah koleksi buku catur hinggakan akhirnya berjumlah 40 buah termasuk yang diphotostat kerana buku tersebut tiada lagi di pasaran. Daripada 40 buah itu terdapat beberapa buah yang agak penting untuk dinostalgiakan.

Pertama, buku yang bertajuk “Logical Chess, Move by Move” oleh Irving Chernev. Buku tahun 1957 terbitan Simon and Schuster, New York ini saya beli di Kompleks PKNS Shah Alam kira-kira pada tahun 1990 dengan harga RM27.00. Mungkin pada masa itu buku ini antara buku yang paling mahal saya beli. Oleh sebab buku ini dalam bahasa Inggeris, maka keraplah saya merujuk kamus pada peringkat awalnya. Buku ini bagus kerana memperlihatkan tujuan setiap pergerakan buah catur sama ada putih atau hitam dari awal hinggalah tamat permainan. Permainan yang dijadikan contoh pula sebanyak 33 permainan yang kebanyakannya berlaku pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Kedua, buku yang bertajuk “The Gruenfeld Defense” oleh Grandmaster Leonid Shamkovich dan Jan R. Cartier. Buku ini diterbitkan oleh Hays Publishing, Dalas pada tahun 1997. Buku ini saya beli terus melalui on-line di alamat http:www.chess.co.uk pada 19/5/2004 dan sampai ke tangan saya pada 2/6/2004. Bagaimanapun saya ditolong oleh pensyarah saya dengan menggunakan kad Visanya. Saya pernah terserempak seorang veteran catur di Kuala Lumpur menjualnya dengan harga RM65.00. Dan saya tersenyum kerana saya cuma belanja RM50.00 untuk buku itu.

Ketiga, buku yang bertajuk “The Tao of Chess” oleh Chess Master Peter Kurzdorfer. Buku terbitan Adams Media, an F+W Publications Company, U.S.A tahun 2004 ini saya beli di Times The Bookshop, di Warisan Square, Sabah pada 24 April 2007. Saya beli buku ini sebagai kenang-kenangan ke Sabah kerana menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 yang berlangsung pada 25-26 April 2007. Bagaimanapun saya di Sabah selama enam hari kerana pergi awal balik lewat. Buku ini antara yang seronok dibaca kerana berunsur falsafah.
Dan keempat, buku yang bertajuk “ Encyclopedia of Chess Wisdom” oleh Eric Schiller. Buku ini saya beli di Popular Book Co, di Batu Pahat Mall. Seperti buku ketiga di atas, untuk membeli buku ini saya berpusing-pusing dan berfikir banyak kali. Banyak kali saya fikir kerana harga yang tertera ialah RM97.70! Saya kena ada sepuluh sebab untuk membeli buku ini. Saya tekadkan dalam hati bahawa inilah buku catur yang terakhir saya beli dan akhirnya saya 'tutup mata' dan menghantarnya di kaunter. Selepas tolak diskaun, saya bayar RM87.93 untuk memilikinya dengan harapan saya akan menjadi pemain catur terbaik dalam kalangan pemain catur UPM!

Sunday, July 5, 2009

Kelah oh Kelah

Walaupun saya mempunyai peralatan memancing yang agak lengkap dan selalu keluar memancing dalam tahun 1990-an, saya bukanlah kaki pancing tegar. Sejak memasuki alaf baru, dalam setahun saya memancing dua tiga kali itu pun kalau ada peluang di hadapan mata. Walaupun saya pernah memancing ikan haruan, puyu, keli, tilapia, sebarau, lampam, jelawat, rohu, pacu, patin dan lekoh, saya anggap diri ini sebagai pemancing, tidak lengkap jika tidak dapat menaikkan kelah dan merasa keenakannya.

Dua hari lepas, saya berbual dengan seorang rakan yang turut sama ke Tasik Kenyir pada 12-14 Jun 2009 lalu. Saya mengimbau nostalgia naikkan ikan susur batang dan jelawat berumpankan sawit peram di sungai Terenggan, Tasik Kenyir. Dia kata, ikan yang saya naikkan itu sebenarnya bukan jelawat tetapi kelah. Saya terkejut yang amat sangat. Kenapalah saya mudah sangat percaya dengan seorang lagi rakan saya ketika itu yang mengklasifikasikan ikan itu sebagai ikan jelawat! Katanya lagi, masa saya naikkan ikan itu, dia ada cakap kelah, tetapi mungkin saya tidak mendengarnya. Dia meyakinkan saya lagi dengan ceritanya. Dia kata sewaktu menyiang ikan, semua ikan dibuang sisiknya kecuali ikan kelah itulah. Malangnya sewaktu bebudak perempuan mengorengnya, sisik ikan kelah itu turut dibuang. Akhirnya dia sendiri tidak tahu ikan kelah goreng itu yang mana satu. Aduh! Kelah menjadi idaman saya selama ini. Itulah satu-satunya kelah yang diperolehi oleh kumpulan kami. Tangan saya sendiri yang memancingnya tetapi saya terlepas peluang merasa keenakannya. Dan saya pasti peluang seperti ini tidak akan berulang lagi.

Ikan Kelah yang saya sangkakan Jelawat!


Berikut ialah foto-foto lain yang menjadi nostalgia saya ke Tasik Kenyir pada 12-14 Jun 2009.

Wednesday, June 17, 2009

Nostalgia Tasik Kenyir 2

PABILA saya dipelawa menyertai ekspedisi ke Tasik Kenyir pada 12-14 Jun 2009, tanpa berfikir panjang saya terus menyetujuinya. Saya pernah ke Tasik Kenyir hujung tahun 2007. Bagaimanapun masa itu hujan turun hampir sepanjang masa. Air Tasik Kenyir keruh. Kali ini saya merasakan perlu menjejakkan kaki ke sana untuk pengalaman sebenar. Untuk xpdc ini, anak-anak tidak seronok atas kepentingan masing-masing. Isteri tidak suka kerana kononnya akan perhabis pitih. Penyelia tentu simpati dengan saya sebab kalau berpergian, bila pula tesis nak siap? Tetapi kawan-kawan mengharapkan saya ikut kerana banyak sebab. Antara persiapan saya ialah mengadun umpan rahsia berasaskan tepung hong yang berharga hanya RM1.00 sekilogram.


Peserta ekspedisi Tasik Kenyir


Maka pada hari Khamis itu (11/6/09) jam 10.30 malam, bas yang saya naiki bertolaklah dari Serdang. Dipendekkan cerita, seawal jam 5.15pagi besoknya saya sampai di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang. Selepas solat Subuh bersama jemaah di situ, kami mencari tempat sarapan tak jauh dari situ. Selepas itu kami terus ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir. Tenaga Nasional Berhad. Di situ kami menunggu dari jam 8.00pg hingga 9.45pg sebelum dapat menaiki ‘boat house’. Empat setengah jam kamudian baru bot sampai ke distinasi, iaitu berhampiran Sg. Terenggan.


Menaikkan Lampam dua ekor sekaligus dengan umpan rahsia!


Dipendekkan cerita juga, selepas Mahgrib saya rasa macam nak demam. Badan rasa seram sejuk. Makan nasi satu sudu pun payah nak habis. Namun menjelang 10.00malam saya rasa dah pulih, malah dapat naikkan beberapa ekor ikan Lampam. Besok paginya saya masih tidak ada selera makan. Namun masih ada selera memancing. Saya cipta sejarah ekspedisi ini apabila dapat naikkan dua ekor Lampam yang agak besar sekaligus. Kiranya mujarab juga umpan rahsia yang saya sediakan.


Satu-satunya Jelawat yang dapat dinaikkan di Sg. Terenggan


Tidak lama lepas itu, kami semua menaiki bot kecil ke Sg. Terenggan. Kiranya sampailah juga saya ke sungai yang selalu diwar-warkan sebagai syurga pemancing dalam majalah dan rencana akhbar. Kami menyusur jeram untuk sampai agak ke hulu. Peserta perempuan mengutip pucuk paku. Ramai juga pemancing lain yang saya temui. Ikan yang dapat dinaikkan ialah ikan susur batang. Namun saya cipta sejarah ekspedisi sekali lagi apabila menjadi sesatunya berjaya naikkan ikan Jelawat dari lubuk Sg. Terenggan itu. Ikannya tak besar tapi tentangan yang diberikan memang hebat.


Pemandangan Bukit Bewah dan Gua Bewah dari jauh


Petang itu bot rumah bergerak ke Bukit Bewah. Kebanyakan kami ambil kesempatan melawat ke dalam gua. Ternyata guanya amat luas. Menyusur jauh ke dalam, lelangitnya memang tinggi. Sejuknya menyamankan. Malam itu kami akan bermalam berdekatan Gua Bewah itu. Sebelum itu, abang bot ajak saya pergi ‘casting’ toman. Menuruti kami seorang kawan saya lengkap dengan ‘safety jacket’. Saya baru perasan sewaktu bot laju dah bergerak beberapa meter. “Tak apa ke bang?” Tanya saya pada abang bot itu. “Tak apa.” Jawab abang bot itu. Tetapi saya mula risau. Kalau berlaku kemalangan, tentu saya akan lemas dalam tasik Kenyir. Kebimbangan itu menjadi kenyataan sewaktu balik semula ke bot besar. Bot laju terlanggar tunggul kayu dalam air. Kami bertiga tercampak ke hadapan. Tangan saya melecet dan agak bengkak juga. Mujur bot tak pecah dan engine dapat dihidupkan semula. Kalau tidak, tidak dapat saya nak bayangkan kerana saya tidaklah pandai berenang. Malam itu saya masih tak lalu makan sebab perut rasa kembung.


Pemandangan di Air Terjun S. Lasir. Teruja melihatnya.


Besok paginya seawal 7.15pagi bot rumah bergerak ke air terjun Lasir. Saya mengikuti rakan-rakan ‘track’ laluan ke air terjun tanpa persiapan. Cuma ingin ambil gambar dan tengok-tengok. Rupanya tempat itu cantik bukan main. Rakan-rakan semua masuk ke dalam air. Dengan segera saya ambil keputusan balik semula ke bot walaupun jauh dan memenatkan. Selepas bersalin, saya ke air terjun semula untuk mandi, menyelam atau berenang – berenang anjing - kata kawan-kawan. Paling tak sangka rakan saya yang pakai ‘life-jacket’ semalam telah lemas kali ini. Mujur terselamat. Saya sendiri pun, menyelam sambil berenang, tahu-tahu sudah di lubuk dalam. Bila berdiri dalam air paras dagu!. Mulalah kena gelak dengan kekawan.


Barangkali inilah penghujung Tasik Kenyir
kerana ada janaelektrik TNB dihujungnya


Ternyata pengalaman kali ini berbeza kerana sebelum ini kami mulakan dengan Pangkalan Gawi. Dan sebelum ini tidak memasuki kawasan Taman Negara. Akhir sekali, dalam perjalan balik, singgah di Kemaman. Di Kg. Geliga Besar beli sata dan keropok lekor untuk dibawa pulang. Dalam perjalan pulang singgah Mahgrib di masjid Kg. Ular, Kuantan. Jam 12.30pagi juga baru sampai ke Serdang. Itulah nostalgia yang mengilhamkan dua buah cerpen. Kejayaan cerpen itu bergantung kepada komitmen saya sendiri. Yang penting ideanya sudah ada.

Tuesday, June 9, 2009

Wacana

...Sejumlah ayat tertentu membawa hanya satu tumpuan makna. Tumpuan makna ini membentuk satu fokus pemikiran yang dalam tatabahasa disebut wacana. Dengan kata lain, wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan dan lengkap (Nik Safiah Karim et.al., 2008:523).
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn,Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mahmood. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008.

Tuesday, June 2, 2009

Onomatopeia

SESUATU kata atau sekumpulan kata yang terhasil daripada peniruan bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh haiwan, unggas dan manusia melalui sesuatu objek atau tindakan dan pergerakan dikenal sebagai onomatopeia(petikan).
Raja Masitah Raja Ariffin. "Onomatopeia dalam Bahasa Melayu" dalam Dewan Bahasa, Mei 2009:38-40.

Monday, June 1, 2009

Anak Kecil Lebih Memahami

ANAK perempuanku yang berumur 12 tahun berkata "Ayah, semalam ayah tak tak dapat buat apa-apa kan?. Apa kata kalau petang ini kita pergi ke pejabat ayah, bolehlah ayah tulis tesis!". Aku segera teringat aktiviti hari Sabtu. Dari pagi hingga larut malam, masa habis untuk rumah, isteri dan anak-anak. Di luar jangkaan, jam 10.30 malam terpaksa ke CIMB di UPM, kemudian ke stesen minyak, kemudian ke RHB di Seri Kembangan. Hari Ahad, kalau tak tulis langsung, maknanya aku di ambang kehancuran. Sisa-sisa waktu semakin kritikal. Petang Ahad itu, selepas paginya membasuh kasut sekolah anak-anak, basuh kereta, bersihkan sampah atas almari (dll) malah sempat menghormati jemputan kahwin, aku ke pejabat. Di pejabat beberapa orang turut hadir dengan urusan akademiknya. Alhamdulillah, selepas tiga jam, dapatlah tulis lebih kurang tiga halaman. Pulang ke rumah, sebelum Mahgrib aku sempat basuh bilik air. Orang selalu kata, untuk melihat sama ada sesebuah rumah itu bersih atau tidak, lihatlah bilik airnya. Itulah yang aku pegang selama ini. Malangnya Subuh ini "seseorang" berkata "aku pegang cakap isteri Ustaz Rahim. Dia kata kalau nak tengok rumah bersih atau tidak, tengoklah kipas angin kat rumahnya". Inilah konfliknya. Pabila fikiran telah diracuni, akibatnya ialah konflik. Sebagai penyelesaian konflik, selepas ini tak payahlah buat kerja lain, cuma perlu bersihkan kipas angin. Kalau itulah pegangannya.

Thursday, May 28, 2009

Sabar dan Syukur

NOSTALGIA ini menggamit memori minggu lepas ketika terdengar ceramah Ustazah Nur Bahyah di televesyen.
Masa itu saya berumur kira-kira 15 tahun. Tinggal di sebuah kampung sejak kecil. Suatu hari saya sedang menaiki basikal dari rumah menuju ke arah simpang tiga di jalan besar. Suatu ketika saya berselisih dengan seorang budak perempuan. Saya tak ingat sama ada dia naik basikal atau jalan kaki. Tiba-tiba dia berkata "SS". Saya terkejut dan amat tersentuh. Anak siapakah budak perempuan yang saya tidak kenali itu tergamak berkata begitu? Saya tak kata apa-apa pun, hanya berpapasan!. Adakah "SS" itu bermakna syok sendiri? Sejak hari itu saya bertekad tidak akan menegur atau "mengacau" bebudak perempuan. Saya takut dikata "SS". Akibatnya saya tidak akan ada rakan perempuan kalau tidak budak perempuan itu tegur saya dulu. Malah isteri saya sekarang pun dulu dialah yang "kacau" saya dulu. Itu pun saya respons selepas tiga tahun kemudian. Minggu lepas Ustazah Nur Bahyah kata "SS" itu adalah sabar dan syukur. Baharulah saya seronok mendengarnya. Kita harus bersabar dalam menempuh ujian daripada Allah Azzawajalla. Kita patut bersyukur dengan apa yang ada. Sekiranya jika... kita melihat orang tak lulus SRP pun boleh pakai Mesedes sedangkan kita ada ijazah kelas pertama pun tidak punya apa-apa lalu mengeluh, maka bermakna kita tidak bersyukurlah tu. Untuk rasa bersyukur janganlah tengok ke atas. Tengoklah pula ke bawah. Tengok kesusahan orang yang membongkar tong sampah untuk mencari rezeki. Tengok orang yang menderita terperangkap dalam kancah peperangan. Tengok orang yang sedang sakit tenat di hospital. Akhirnya selepas 30 tahun barulah saya tahu makna "SS", ialah "Sabar" dan "Syukur"!

Friday, May 22, 2009

Motivasi Yang Muncul

PABILA motivasi itu muncul, maka usaha dan semangat harus digembleng sama untuk mencapai sasaran. Misalnya motivasi saya untuk menang dalam pertandingan catur yang diminati. Saya ada pilihan untuk teruskan atau lupakan dulu jika ada komitmen lain yang lebih penting. Tetapi jika motivasi itu adalah sesuatu yang terpaksa diredah, lain naratifnya. Pabila saya sudah lengkapkan borang GS14a, bayar yuran tesis RM500.00, sediakan abstrak dan isi kandungan, serta hantar ke pejabat berkenaan, maka saya tidak ada pilihan lain lagi. Inilah masa yang paling kritikal. Tiga bulan ini seharusnya saya dikuarantinkan supaya di penghujungnya tesis itu sudah siap dijilid. Mampukah? Sedangkan sejak dua tahun lepas ia tidak siap-siap disebabkan sejuta hambatan yang membuat saya hampir putus asa! Mujurlah masih ada ibu-bapa, rakan-rakan, anak-anak, dan pensyarah yang mengajar terutamanya penyelia saya yang menjadi pendorong untuk saya teruskan.... Kali ini saya mesti redah! Tiga bulan lagi saya mesti hantar tesis! Selepas itu, kalau saya gagal juga maka saya redhalah. Kalau saya berjaya syukurlah. Itulah motivasi yang baru muncul.

Wednesday, May 13, 2009

Motivasi Yang Hilang

KHABARNYA sukan staf antara universiti awam akan diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada bulan Jun 2009 ini. Kalaulah saya berpeluang mewakili UPM dalam sukan catur, tentu saya dapat berkampung di sana satu minggu. Ketika perlawanan saya akan bertemu rakan-rakan catur dari UiTM, UTHO, UKM, UTM, dll. Pada waktu lain dapat berjalan-jalan sekitar Kuala Terengganu.
Tetapi untuk mewakili UPM perlulah berlawan sesama sendiri terlebih dahulu untuk memililh wakil terbaik. Atas motivasi inilah saya baca beberapa buah buku catur. Antaranya 'Encyclopedia of Chess Wisdom', 'The Gruenfeld Defence', 'The Batsford Guide to Chess Openings' dan 'Chess Skills'. Seminggu lebih saya mendalaminya guna untuk menjadi antara terbaik di UPM. Malangnya sewaktu saya telefon pengurus catur UPM untuk pastikan tarikh pemilihan, beliau memaklumkan bahawa UMT sebagai tuan rumah tidak mengadakan pertandingan catur kerana tiada pasukan (baca tiada keyakinan). Akhirnya saya tutup buku catur dan simpan semula di rak buku. Saya sudah kehilangan motivasi.

Sunday, May 10, 2009

Antara Penanda dan Petanda

SEBAGAI penulis, itulah yang saya fikirkan dan rasakan. Sebagai sebuah teks, itulah kod atau penandanya. Sebagai khalayak atau pembaca, anda tafsir, tanggap, atau buatlah intepretasi sendiri apa petandanya....

Saturday, May 9, 2009

Tiba-tiba Teringatkan Zoo

...terutama tika hiruk-pikuk dan haru-biru ini. Namun Zoo amat jauh....

Tuesday, April 28, 2009

Musim Sukan Telah Berakhir

Syukurlah kerana musim sukan sudah berakhir. Namun saya telah kerugian begitu banyak masa! Sisa-sisa waktu ini amat berharga dan sepatutnya saya tumpukan kepada penulisan tesis. Terutama apabila saya kini berada dalam waktu tambahan. Dan wisel penamat boleh ditiup pada bila-bila masa sahaja! Seperti yang dinyatakan sebelum ini, saya terlibat dalam tiga jenis permainan, iaitu darts, bola tampar, dan catur.


Hari Sabtu lepas, saya berada di gelanggang dart dari jam 8.00pg hingga 12.00 tengah hari semata-mata kerana pasukan saya (FPAS) bertemu pasukan Fakulti Pengajian Pendidikan. Itu pun tak habis. Saya terpaksa balik untuk menjemput anak dari sekolah sewaktu perlawanan tambahan dibuat untuk menentukan pasukan mana menang. Dari segi pemainan, perinsip saya buat yang terbaik. Setelah kalah 0-2, saya(beregu pertama) berjaya menjadi pemain pertama pasukan yang menang. Dalam perlawanan hari Khamis sebelum itu, pasukan saya kalah 0-5. apa pun, saya fikir tidak mahu lerlibat lagi dengan darts kerana masa. Catur jauh lebih baik kerana dalam masa satu jam setengah, satu perlawanan antara PTJ yang melibatkan lima papan boleh selesai. Malah hari Sabtu yang dulu, dalam masa satu hari sahaja, lima perlawanan dapat dijalankan secara sistem swiss dan menjelang petang sudah diketahui siapa pemenangnya!


Bola tampar pula, pasukan saya menang tiga perlawanan dalam kumpulan. Sebagai johan kumpulan, pasukan saya layak ke suku akhir. Bagaimanapun kecundang pada suku akhir itu sewaktu berdepan pasukan Bahagian Keselamatan.

Pasukan Catur saya - menang baju ajelah....


Catur membuat saya bermain tanpa persiapan kerana kesibukan yang amat sangat. Kali terakhir saya berlatih dan bermain catur ialah pada kejohan antara universiti di UniMAP, Perlis dua tahun dulu. Pasukan saya hanya dapat tempat ke '12' daripada 22 pasukan. Bagaimanapun saya puas hati kerana dapat mengalahkan pemain papan pertama Fakulti Kejuruteraan yang kemudian kemudiannya muncul Naib Johan. Saya tewas dua permainan daripada lima kepada dua 'pemain universiti'. Oleh itu saya rasa kekalahan itu wajar. Dan juara sudah dijangkakan kerana dalam pasukan itu terdapat tiga orang 'pemain universiti'.

Tuesday, April 21, 2009

Nostalgia Tanjung Bidara

Dua minggu lepas, iaitu pada pagi 4 April 2009 saya ke Tanjung Bidara, Melaka. Kali ini membawa sekumpulan pelajar EMG 3204 Studio Perancangan Alam Sekitar 1 dengan tajuk "Eco Pelancongan". Tempat pertama diselidik ialah Pengkalan Balak. Seperti biasa, dengan kamera Nikon SLR 300D saya klik mana-mana pemandangan yang difikirkan patut. Gambar pelajar-pelajar sudah semestinya terutama gambar pelajar-pelajar sedang menyoal-selidik pengunjung-pengunjung di sekitar pantai Pengkalan Balak. Pemandangan berupa sampah-sarap, peparitan yang tidak sempurna, apa-apa sahaja yang boleh dimasukkan dalam kertas kerja juga perlu diambil. Juga gambar sendiri sebagai kenang-kenangan.
Antara Staf yang turut serta
Antara pelajar yang menyertai kursus EMG 3204
Kira-kira jam 2.00petang, kami bertolak ke Tanjung Bidara. Selepas makan tengah hari di Tanjung Bidara Beach Resort, kami masuk ke chalet masing-masing (kumpulan). Pelajar-pelajar mula buat soal-selidik di sekitar pantai Tanjung Bidara pula. Petang itu sempatlah saya berenang di Tanjung Bidara sambil mencuba teknik yang betul setelah bertanya dengan bekas guru yang mengajar 'berenang anjing' dan melihat 'how to swim' dalam youtube. Nampaknya kali ini saya berjaya setelah gagal di Port Dickson.
Tanjung Bidara Beach Resort
chalet tempat kami menginap

Malam itu setelah para pelajar membuat pembentangan tentang apa yang mereka temui, dan cadangan-cadangan yang patut dibuat, kami semua menjamu selera dengan hidangan bbq. Selepas itu kami semua bertolak semula ke Pengkalan Balak. Macam-macam ada di situ pada waktu malam. Banyak gerai boleh dimasuki. Selepas klik beberapa keping gambar dekat pantai, saya dan beberapa orang staf dan pelajar minum dan makan otak-otak di Medan Selera Ikan Bakar Pengkalan Balak. Saya yang belanja tapi Dato' Che Musa yang bayar.

Medan Selera Ikan Bakar Pengkalan Balak
Sunyi waktu siang, meriah waktu malam

Besoknya, 5 April 2009 selepas sarapan di Tanjung Bidara Beach Resort, kami pun berkemas barang untuk 'check out'. Keluar bukan untuk balik ke Serdang kerana program belum tamat. Kami ke Kompleks Falak Al-Khawarizmi Negeri Melaka yang tidak jauh dari situ. Di situlah antara tempat melihat anak bulan bagi menentukan puasa dan hari raya. Bukan itu sahaja, tapi banyak pamiran untuk dihayati yang berkaitan ilmu angkasa. Sempat juga kami menonton tayangan 3D tentang angkasa di Planetarium. Tayangan dipancar ke kubah yang melengkung di siling. Maka sakit dan lengoh jugalah mendongak.


Di pintu masuk sebelah dalam
Kompleks Falak Al-Khawarizmi

Selepas melawat Kompleks Falak Al-Khawarizmi, kami pun bertolak ke Bandar Hilir. Dalam perjalanan, kami singgah di "Sawit Corner". Tempat makan ini terletak di celah-celah pokok-pokok kelapa sawit. Banyak benar kenderaan di kiri-kanan jalan sebagai 'indikator' bahawa tempat itu memang menjadi tumpuan. Setelah bertanya apa hidangan istemewa, maka kami semua (staf) memilih untuk mencuba nasi asam pedas ayam kampung seperti yang dicadangkan. Harganya RM6.50. Saya minta cendol sebab minuman lain mudah didapati di mana-mana pun. Ternyata hidangannya memuaskan dan patut diulang jika berpeluang. Sempat juga saya melihat-lihat beberapa ekor ikan Arapaima Gigas yang besar-besar di kolam konkrit yang terletak dalam kawasan gerai makan itu.
Set hidangan nasi asam pedas ayam kampung

Sudah kenyang, kami pun bertolak ke Bandar Hilir. Saya kehilangan jejak pelajar-pelajar yang telah pun bertaburan ke tempat-tempat bersejarah di sekitar situ. Saya habiskan masa di Kompleks Samudera yang terletak berhadapan Muzium Samudera. Dari situ dapat melihat 'Cruise' yang hilir-mudik kat Sungai Melaka. Dan saya cuma beli rantai kunci sebagai buah tangan untuk rakan-rakan yang tak dapat menyertai ekspedisi ini....

Bersama rakan staf yang lain
di Kompleks Samudera berlatar-belakangkan Muzium Samudera.

Friday, April 17, 2009

Musim Sukan Kembali Lagi

Semalam dan kelmarin saya terlilbat dengan perlawanan bola tampar. Alhamdulillah, semalam mengalahkan Fakulti Pertanian 2-0, dan kelmarin mengalahkan Bendahari 2-1. Musim sukan kali ini saya terlibat dalam tiga jenis sukan, iaitu bola tampar, catur, dan darts. Besok hari Sabtu saya akan bermain bola tampar dari pagi hingga petang. Lusa hari Ahad saya akan bermain catur sebanyak lima kali juga dari pagi hingga petang. Khamis depan saya akan mula bermain darts beberapa petang.
Pagi ini saya ditugaskan mengawas peperiksaan SKP 2204 Perhubungan Etnik. Petang berada di Tangkak, Muar menjemput anak yang tamat Matrikulasi. Dan malam ini perbarisan perasmian sukan gabungan PTJ di Stadium UPM. Kalaulah ada lebih masa? Memang tidak ada! Nampaknya proses penulisan tesis saya terganggu lagi!. Kalaulah penyelia saya tahu? Memang dia tak tahu! Kalau dia tahu, tentu saya kena 'sound' (dengan izin).
Untuk pertandingan catur, saya bertindak sebagai ketua pasukan merangkap pengurus dan pemain. Untuk bola tampar dan darts, saya sebagai pemain sahaja. Nah, sekarang saya perlu bergegas ke dewan peperiksaan. Nak tulis blog? Mana ada masa....!