Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, June 21, 2010

Antara Ayat-Ayat Cinta dan "Salam Maria"


DUA buah buku di atas adalah buku yang sedang dibaca. Novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El Shirazy dibaca di rumah. Buku Nyanyi Sunyi Salam Maria vs Sarjana Nasi Dingin, tulisan Fatimah Busu dibaca antara jam 7.00-8.00 pagi sebelum mula bertugas di pejabat dan antara Jam 5.00-7.00 petang sebelum pulang ke rumah. Kedua-duanya sudah sampai di penghujung. Kedua-duanya penuh dengan konflik. Konflik sering diterima secara negatif dan positif. Konflik dalam Ayat-Ayat Cinta mempunyai nilai-nilai estetika. Nilai estetika yang menurut Keris Mas, ialah nilai yang mengharukan dan membangkitkan perasaan. Justeru sudah dibaca Nyanyi Sunyi Salam Maria vs Sarjana Nasi Dingin, maka saya harus mendapatkan Salam Maria untuk dibaca, dihayati dan dipertimbangkan seadil mungkin.

Monday, June 14, 2010

Antara Petunjuk dan Hidayah

Dalam kalangan orang Melayu kita ada yang:
1. Beli nombor ekor.
2. Tengok gambar lucah
3. Mengata orang walaupun azan sedang berkumandang.
4. Main game dengan komputer pejabat dalam waktu pejabat.
5. Ponteng kerja dengan kerap dan sengaja.
6. Curi tulang asalkan pandai berkata tidak.
7. Menipu pelbagai perkara dengan pelbagai cara.
8. Hisap najis rokok (haruskan yang makruh atau makruhkan yang haram?)
9. Menyakiti hati jiran tetangga, rakan dan taulan.
10. Mementingkan diri sendiri (contohnya memotong barisan).
Ironinya merekalah yang berdegar-degar paling lantang mengutuk ulama' dan umara' seolah-olah mereka paling pandai. Seolah-olah mereka paling warak tiada dosa. Segala kebaikan umara' yang besar didiam-diam (disorok-sorokkan), kelemahan yang kecil dilaung-laungkan. Kerana taksub, keburukan idola mereka yang besar disorok-sorokkan (diam tidak berdecit sikit pun), kebaikan yang kecil diperbesar (dilaung-laungkan) agar satu Malaya dengar. 'Orang lain' terusan bertepuk tangan dan ketawa terbahak-bahak/berdekah-dekah melihat kebodohhan, perpecahan, dan kehancuran ini. Ya Allah berilah petunjuk dan hidayahMu kepada diriku (insan kerdil kepada Khaliqnya) dan mereka (yang menyangka mereka betul belaka) moga kami semua benar-benar melalui jalan yang lurus.

Monday, May 31, 2010

Karnival Sukan MASUM 2010 - Catur

Sarapan pada hari pertama (26 Mei 2010)

Perlawanan game pertama

Perlawanan catur hari kedua

Pasukan catur wanita

Sarapan pada hari terakhir (30 Mei 2010)



Perlawanan catur wanita hari terakhir (30 Mei 2010)

Bergambar ramai sebelum berpisah (30 Mei 2010)


Kejohanan catur yang besar seperti "Merdeka Open" dan berbagai "open" lagi, sering diadakan setiap minggu, bulan atau pun tahun, memang tidak disertai kerana "langkah pendek" dan "hambatan masa". Tidak juga ke Kompleks Wilayah atau Putrajaya yang sering disertai oleh rakan-rakan pemain catur. Namun saya berada di kelompok tersendiri apabila pernah menyertai kejohanan Catur Badan Berkanun, Karnival Catur Sukan Staf antara IPTA Malaysia, mewakili Selangor dalam Kejohanan Catur MAKSAK sewaktu diadakan di Melaka (1997), dan terbaharu mewakili UPM dalam Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa II yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada 23-30 Mei 2010. Yang terakhir ini diceritakan dalam foto di atas.

Sunday, May 16, 2010

Hari Keluarga: Antara Sejarah dan Keterlambatan







HARI ini hari Ahad. Justeru memikirkan hambatan-hambatan, teringat pula seruan yang sering didengar: kejarlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Antara perkara tersebut, masa lapangmu sebelum masa sempit. Dua minggu mendatang adalah masa sempit. Perlu siapkan laporan PTK2 untuk dihantar pada 24/5/10 dan dibentangkan pada 27/5/10; mulai 17/5/10 masuk latihan pusat untuk kejohanan catur pada hujung bulan ini; dikehendaki hadir latihan pemantapan audit dalaman, selama dua hari dalam tempoh kejohanan tersebut; dan perlu uruskan tesis pasca senat. Dalam hiruk-pikuk ini, teringat pula peristiwa hari keluarga yang pernah cuba dititipkan dalam blog ini sebaik majlis tersebut tamat, tetapi tak menjadi apabila semua sudah siap tapi setelah tekan butang publish post, komputer hang dan entri itu terbengkalai. Lalu entri tersebut disiarkan juga kali ini untuk tujuan dokumentasi. Dan foto di atas mungkin dapat memberi gambaran yang cukup jelas.

Thursday, April 29, 2010

Menjejak Novelis Bahagia Sesudah Derita


Begitulah tajuk wacana sastera dalam Mingguan Malaysia, 25/4/2010. Dalam wacana sastera tulisan Dr Talib Samat itu, selain menyentuh tentang novel Bahagia Sa-Sudah Derita ada juga disentuh tentang novel Ahad dan Saga. Kebetulan sekali saya memang ada menyimpan ketiga-tiga buah buku tersebut.

Bahagia Sa-Sudah Derita tulisan Md. Akhir bin Leman, milik saya adalah chetakan kedua (1963). Berharga $1.20. Buku itu asalnya kepunyaan bapa saudara saya yang dibeli pada 17 Dec. 1963 di Manaf Book Store, 17, Jalan Abdullah, Muar, Johor.

Ahad tulisan Zakaria bin Salleh pula adalah Chetakan yang pertama (1959) dan berkulit keras. Terdapat chop Sekolah Kebangsaan Langgar di dalamnya. Walaupun saya dilahir dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor, berdasarkan buku ini, menunjukkan ada salasilah keturunan emak saya di Kedah sana.

Sementara Saga tulisan Abdul Talib Mohd. Hassan adalah buku yang saya beli sendiri pada 6/8/1981, dua bulan selepas saya mula berkhidmat dengan Universiti Pertanian Malaysia. Buku ini adalah cetakan ketujuh (1981) yang cetakan pertamanya pada 1976. Makna kata, ketika saya beli, buku itu baru keluar dari kilang. Makna kata, buku itu antara buku yang mula-mula menjadi koleksi. Saga adalah antara buku yang paling saya minat ketika itu kerana plotnya. Setiap bab seperti saling bertaut.

Tuesday, April 20, 2010

Sukan oh sukan

Kenangan semasa perasmian sukan tahun dulu

Hendak dijadikan cerita (cerita benar), hari Jumaat lepas, saya bermain tiga jenis sukan. Sebelum solat Jumaat di masjid, bermain karom. Selepas Asar, jam 5.00 petang, main ping pong. Selepas solat Mahgrib pula, main bola tampar!
Hal ini jarang berlaku. Kebetulan seorang rakan yang sepatutnya bertemu dalam suku akhir pertandingan karom mengajak bermain pra-perlawanan. Kalah pun tak mengapa asal kan dapat pengajaran sebelum perlawanan sebenar. Antara kesilapan ialah kuku yang panjang dan tidak fokus.
Ping pong pula menyaksikan saya layan hingga tiga game, tiga set setiap game. Syukur kerana menang 3-0, 3-0, dan 2-1. Berpeluh sakan jugalah dibuatnya. Latihan ini bagi persiapan menghadapi kejohanan antara Pusat Tanggungjawab. Moga getah raket ping pong benilai RM90.00 sejak lima tahun dulu masih berprestasi tinggi. Getah ini penting kerana memberi daya pantulan yang tinggi di samping skil yang perlu ada pada setiap pemain.
Bola tampar memang diminati sejak kecil. Justeru apabila diminta datang pada saat akhir, tidak mampu menolaknya. Perlawanan lima set ini adalah persahabatan antara staf dan pelajar. Walaupun kalah 2-3, pengajaran daripada kekalahan itulah yang penting. Sebagai orang lama, minda terkongkong dengan prinsip main bola tampar adalah dengan tangan walaupun beberapa kali melihat pemain lain kadang-kadang menggunakan kaki. Bola dah nak cecah lantai pun saya masih berusaha mengangkatnya dengan tangan. Selepas ini perlu anjakan paradigma bahawa ketika yang sesuai, gunalah kaki. Ketika rakan sepasukan menyambut bola, kita perlulah hampir dengannya untuk membantu. Menghantar bola pula jangan ke lubuk sendiri tetapi lubuk lawan. Majulah sukan untuk kesihatan.

Tuesday, April 13, 2010

Perjalanan ke Kelantan

PERJALANAN kali ini bermula pada jam 9.30 malam 9 April 2010 apabila van yang dinaiki bergerak dari Serdang, Selangor. Singgah di Ampang sebentar untuk menjemput seorang lagi ahli menjadikan lima orang semuanya. Perjalanan diteruskan. Berhenti minum di Restoran Dapur Kita di Bentong dan sekali lagi di Gua Musang sebelum sampai di Kuala Krai jam 5.30 pagi.
Di hadapan Masjid Beijing, Rantau Panjang, Kelantan.
Selepas mandi dan sarapan, perjalanan diteruskan ke Utara Kelantan kira-kira jam 11.00 pagi. Destinasi seterusnya ialah Rantau Panjang. Tiga jam habis untuk membeli-belah dan makan tengah hari. Antara barang yang rakan-rakan beli ialah kuali dan kukus. Saya hanya beli tikar plastik. Dalam perjalanan ke Kota Bharu kemudiannya, kami singgah di Masjid Beijing dekat Rantau Panjang. Selain solat qasar dan jamak, saya berpeluang membeli sebuah beg sandang dengan harga yang murah. Kebetulan beg sandang "lamo meme dah repuk" dan perlu diganti.

Di pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.

Perjalan diteruskan lagi ke Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Jo yang menjaga gerai keropok melayan kami dengan baik. Setiap kami diberi sebotol air minuman dan menjamah dodol serta serunding daging. Keropok ikan dan keropok sira semestinya menjadi buah tangan untuk dibawa pulang. Untuk mandi dan solat Maghrib kami menumpang sebuah rumah di Pasir Hor setelah menelefon tuannya di Serdang. Malam itu kami membeli-belah di Wakaf Che Yeh pula. Kenderaan yang masuk dikenakan bayaran RM2.00. Saya sempat membeli tali pinggang kulit dan sepasang baju batik buatan Hungga daripada kain gobi. Ternyata pasar itu antara destinasi pelancongan di Kelantan. Menjelang 11.30 malam, kami sampai semula di Kuala Krai. Besok seawal jam 6.00 pagi akan bertolak ke Gua Musang.

Di Pusat Latihan Kesedar

Seawal jam 5.45 pagi kami sudah dikejutkan untuk bersiap. Dan seawal 6.15 pagi kenderaan yang dinaiki telah pun bergerak ke Gua Musang. Dipendekkan cerita kami ada janji temu dengan pihak KESEDAR pada jam 8.30 pagi selain akan ke Pejabat Tanah dan Jajahan dan Majlis Daerah atas tujuan meninjau lokasi sebelum datang lagi nanti pada 26/6/2001-1/7/2010 bersama 30 orang pelajar UPM.

Pokok Tongkat Ali yang berbuah

Di Pusat Latihan Kesedar, kami meninjau dan berbincang tentang beberapa perkara, iaitu berkaitan tempat penginapan pelajar, makan dan minum, serta aktiviti yang akan dijalankan.

Selepas makan tengah hari di Gua Musang, kami teruskan perjalanan ke Lojing di Barat Gua Musang. Hampir dengan Lojing, kami singgah dahulu di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, iaitu sebuah sekolah perkampungan orang asli. Guru Besar tiada maka bertemu Guru Penolong memaklumkan kedatangan rombongan kami pada 1 Julai nanti. Selepas singgah di Lojing kemudiannya, kami bertolak pulang melalui Cameron Highland. Secara peribadinya, kali terakhir saya menjejakkan kaki di Cameron Highland ialah 30 tahun dulu dengan mengikuti rombongan pemuda kampung semasa di Batu Pahat, Johor.

Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang.

Anak-anak orang Asli di asrama SK Pos Brooke

Pemandangan sebahagian Lojing yang menjadi ladang sayur-sayuran

Strawbery yang merah dan manis di Cameron Highland.

Akhirnya, kami turun ke Tapah. Berhenti di R & R Tapah dan bertolak balik selepas solat Maghrib. Kira-kira jam 10.00 malam kami selamat sampai di Serdang menjadikan perjalanan ini genap dua hari.

Wednesday, April 7, 2010

Surau oh surau

ALANGKAH bagusnya kalau setiap kali masuk waktu solat kita ramai-ramai ke surau. Solat berjemaah menjanjikan 27 kali ganda pahala. Solat mesti disegerakan. Tidak sempurna solat jika tidak bersegera apabila mendengar azan. Solat Isyak berjemaah seolah-olah beramal separuh malam dan apabila solat Subuh berjemaah besoknya seolah-olah beramal sepanjang malam. Dan banyak lagi fadilat solat berjemaah.

Beberapa bulan lepas, agaknya agak ramai juga yang tidak ke surau berdekatan itu, apabila waktu Subuh masuk menjelang 6.15 pagi kerana mereka harus bersegera pula untuk bergegas ke Kuala Lumpur supaya tidak terperangkap dengan kesesakan jalan raya atau sebab lainnya. Hal ini demikian kerana surau berdekatan itu, lambat memulakan solat fardu Subuh. Hal ini demikian kerana menunggu jemaah menunaikan solat sunat waima datang lambat. Hampir 15 minit kemudian baru solat fardu dimulakan. Memanglah berkorban masa besar ganjarannya.

Subuh ini, surau berdekatan itu, adalah destinasi sebaik azan dilaungkan jam 6.00 pagi. Harapan supaya situasi begitu tidak diulangi kerana kita juga ada kewajipan menanti. Sarapan harus dibeli. Anak-anak nak ke sekolah sekejap lagi. Kemudian bertaburan di muka bumi mencari rezeki. Ironinya hingga jam 6.15 pagi solat fardu tidak dimulakan lagi. Kelihatan Bilal menoleh ke belakang lagi. Seorang jemaah luar negeri masih berdiri solat sunat seorang diri. Seorang jemaah lain tiba-tiba bersuara tinggi: "Iqamatlah apa tunggu lagi?!" (begitulah lebih kurang bunyi). Sebaik salam diberi, kita pun minggatlah apa lagi. Itu pun dah jam 6.30 pagi....

Thursday, April 1, 2010

Buku oh buku

PABILA hambatan begitu banyak, memang sukar untuk meluangkan masa membaca buku terutama yang tergolong dalam kategori buku pilihan kerana keutamaan adalah kepada buku yang wajib dibaca, iaitu bersangkutan dengan peperiksaan, penyediaan assignment, kertas projek atau pun tesis. Justeru ada pengalaman dalam hal ini, ingin dikongsikan suatu nostalgia yang mungkin baik atau tidak baik untuk difikirkan sendiri.

Masa itu memang tengah sibuk dengan pelbagai komitmen, iaitu menyiapkan tesis, komitmen tempat kerja, komitmen keluarga dan pelbagai peristiwa di luar jangka. Oleh itu membaca novel adalah pillihan berbanding meneliti bahan bacaan akademik dan buku-buku agama. Novel pula semakin banyak dibeli terutama ketika menghadiri diskusi buku, seminar dan bengkel. Tak kan novel itu hanya disusun dalam gerobok untuk hiasan? Lalu novel Manikam Kalbu tulisan Faisal Tehrani dan Di Sebalik Mentari Jingga tulisan W.B. Rendra dicapai untuk dibaca dan dihayati. Bermula pada 11/11/2007 setiap novel dibaca bergiliran sebanyak sepuluh halaman sehari.
Novel Di Sebalik Mentari Jingga mengandungi 268 halaman. Sepatutnya dapat dibaca dalam tempoh 27 hari. Bagaimanapun atas urusan peperiksaan PTK, Dinner Masputra, dan ekspedesi ke Tasik Kenyir, lima hari tak dapat baca menyebabkan novel ini habis dibaca pada 13/12/2007, iaitu dalam tempoh 32 hari! Begitu juga dengan Manikam Kalbu. Manikam kalbu yang mengandungi 364 halaman dapat dihabiskan dalam tempoh 36 hari. Makna kata dua buah novel dapat dibaca dalam tempoh lebih kurang sebulan.

Sebagai catatan, kedua-dua buah novel ini terdapat tandatangan penulisnya dengan kata-kata hikmat. Manikam Kalbu diperolehi melalui Pn. Nisah Hj. Haron melalui pos pada 7/11/2007 sementara Di Sebalik Mentari Jingga diterima dari penulisnya sendiri juga melalui pos tetapi ditandatangani oleh penulisnya pada 7/11/2007. Pada masa ini, novel yang sedang dibaca ialah yang telah dibeli pada lima tahun lepas. Tidak mahu dinyatakan di sini kerana penulis terkenal itu mungkin akan rasa marah, kecil hati atau kecewa walaupun nanti terubat luka apabila novel itu akhirnya dihayati jua....

Tuesday, March 30, 2010

Pesta Buku Antarabangsa KL 2010

SEWAJARNYALAH peminat buku berpesta-pestaan dengan buku. Tahun lepas hambatan memaksa ketidak hadiran diri ini memeriahkan pesta buku antarabangsa KL. Mujur dan syukurlah kali ini berpeluang menyibuk antara ribuan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 pada hari Sabtu, 27 Mac 2010. Itu pun menumpang kereta seorang rakan penulis (dia penulis tersohor jugalah kiranya) sebelum menaiki LRT dari Sg. Besi ke PWTC. Mungkin kerana hambatan masa atau pun pengunjung yang terlalu berasak-asak, sempatlah mencapai lima buah buku di gerai Kreatif Enterprise sebagai kenang-kenangan ke Pesta Buku Antarabangsa 2010! Kepada adik-adik di pejabat sesiapa nak pinjam baca, bacalah. Banyak lagi buku yang dah terbeli tapi tidak terbaca dalam beberapa buah gerobok menanti giliran untuk dibaca. Sementara banyak juga yang dibeli dan dibaca sebelum disimpan.

Tuesday, March 16, 2010

Nostalgia Port Dickson IV

SELESAI sudah sesuatu yang sering merenggut masa senggang. Selesai apabila sudah menghantar pembetulan tesis, empat hari sebelum berakhirnya tempoh 60 hari yang diberikan. Kini sudah tiba masanya untuk kembali semula menulis catatan walaupun nostalgia itu sudah pun menjadi sejarah. Antara nostalgia itu, yang terbaru ialah catatan perjalanan ke Port Dickson pada 12-14 Mac 2010 yang baru sahaja berlalu. Khemah didirikan oleh para pelajar untuk penginapan malam nanti

Menunggu matahari merah bulat turun ke laut pada hari kedua.
malangnya hari kedua langit ditutup awan....

Petang Jumaat itu (12/3/10), kami sudah pun berada di tepi pantai Port Dickson, iaitu di Stesen Penyelidikan kepunyaan UPM. Ada empat buah rumah tamu di situ. Semua pelajar mula mendirikan khemah untuk penginapan mereka selama dua malam. Staf pula menginap di rumah tamu berbentuk semi-D yang setiap satu ada tiga bililk. Menjelang jam 7.00 tergerak untuk menelefon rumah di Serdang, Selangor untuk memastikan anak sudah pulang dari sekolah. Malangnya telefon bimbit tiada liputan. Lalu berjalan-jalan ke arah kawasan hujung satu lagi. Dalam berjalan pulang itulah ternampak bebola matahari yang merah bulat. Benar-benar bulat dan besar sedang turun ke laut. Amat indah apabila dilihat jelas antara dua rumpun pokok-pokok pantai. Lalu segera berlari anak ke rumah tamu untuk mengambil kamera digital SLR Nikon D300 untuk merakam keindahan alam itu. Malangnya pintu baru sahaja dikunci dan seorang rakan menghulur segugus anak kunci dengan kata "Nah kunci, pandai-pandailah pilih!". Ah, lima anak kunci sudah dicuba, sekali lagi cuba, lima anak kunci masih tak masuk. Ah, kenapalah grill pun dikunci sedangkan kunci pintu kayu pun mencukupi?! Apabila kamera dapat dicapai dan bergegas ke lokasi tadi semula, yang tinggal hanyalah satu garisan merah di kaki langit!. Betullah kata orang, peluang selalunya hanya datang sekali.

Membuat persampelan di pantai Port Dickson


Bot yang digunakan untuk ke sebuah pulau bagi persampelan algae
Sempat naik bot trip terakhir, tapi bot pusing balik kerana
arus air sangat laju dan ombak sangat tinggi di pulau persampelan algae.


Antara sampel algae yang ditemui


Bubu yang siapkan oleh seseorang dalam masa yang singkat.
Bubu ini akan diletak dalam laut selama seminggu sebelum dijengok semula


Seseorang sedang mencari pumpon, umpan memancing ikan

Bergambar ramai selepas turun dari "jungle tracking" di Tanjung Tuan.
Melihat burung singgah juga. Atau melihat orang ramai melihat burung

Saturday, February 27, 2010

Sebelum Februari Berakhir

KISAHNYA bermula pada 13 Januari 2010 apabila saya menduduki viva tesis master sastera. Seorang rakan calon PhD pun dah nasihatkan saya beberapa kali, jangan tangguh buat pembetulan walaupun diberi tempoh 60 hari. Dia dah ada pengalaman dalam hal ini. Tapi saya cuba luangkan masa untuk menulis novel kanak-kanak untuk menghantarnya ke DBP sebelum 31 Januari. Malangnya saya seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. Selepas sepuluh hari, saya mula merasakan novel kanak-kanak itu tidak boleh siap. Saya mula buat pembetulan tesis. Saya mula berlumba dengan masa. Garisan penamatnya 13 Mac 2010. Masa kulihat terus berlari lurus dengan lajunya. Sedangkan saya tersangkut-sangkut. Apabila ada urusan pejabat di Tg. Rambutan, Perak selama tiga hari, terpaksa pergi. Apabila adik ipar nak bertunang di kampung, di Batu Pahat, Johor, terpaksa balik kampung tiga hari. Apabila pejabat buat hari keluarga anjuran Kelab Sosial dan Kebajikan yang saya setiausahanya, terpaksa sertainya di Impian Rimba Resort, Pangsoon, Hulu Langat, Selangor. Lalu saya seperti semakin jauh ditinggal dek masa. Nak menulis dalam blog pun tak sempat. Apa yang tinggal sekarang hanyalah sisa-sisa masa. Aduh!

Thursday, February 4, 2010

Februari Pun Bermula

PLOTNYA tak dapat dizahirkan. Namun klimaknya nyata. Entah kenapa tiba-tiba aku terkepung oleh konflik ini. Duit mengalir macam air di daun penaga laut yang licin. Masa berterbangan macam debu kering ditiup angin panas. Tenaga diperah macam tebu yang diambil airnya lalu tinggal hampas. Namun perjuangan (ceh, bombastik pulak diksi ni!) perlu diteruskan. Agar ''kita temui kehidupan'' (tajuk cerpen saya dalam Putra Puteri April, 1994) walaupun yang tinggal hanya "sisa-sisa waktu" (tajuk cerpen [Inilah Kisahku] saya dalam Dewan Siswa Oktober, 1983).

Monday, January 25, 2010

Januari 2010

PAGI ini sebelum azan Subuh berkumandang aku sudah berada di hadapan komputer hanya untuk menulis sepatah dua kata agar... (berhenti sekejap apabila kedengaran azan dari surau berhampiran) ...kalian tidak tertanya-tanya hidupkah lagi insan seorang ini. Sebenarnya banyak benda, perkara, peristiwa atau kejadian yang ingin aku kongsikan. Bagaimanapun jika ada sepuluh, sembilan daripadanya adalah sesuatu yang menyedihkan, mengharukan, dan menjengkelkan. Itulah konfliknya. Namun semua itu bisa dikaburkan oleh iman dan kesabaran. Satu-satunya berita gembira sepanjang Januari ini yang dapat dikongsikan ialah pada 13 Januari 2010 aku telah pun melepasi peperiksaan akhir (viva) tesis master kesusasteraan setelah bertungkus-lumus sejak empat tahun ini. Alhamdulillah tesis itu diterima dengan pindaan kecil. Makna kata sebelah kaki telah melangkah ke alam sarjana. Namun tidak bermakna akan diikuti sebelah kaki lagi. Kita pun maklum tentang ungkapan berusaha seperti akan hidup seribu tahun lagi dan beramal seperti akan mati besok hari. Justeru, aku ambil kesempatan ini memohon kemaafan seandainya ada salah silap sama ada disedari atau tidak disedari. Segala konflik yang melanda diri biarlah kutanggung sendiri. Semoga Februari dan bulan-bulan seterusnya menjanjikan ceriabahagia buat kita semua. Wassalam.

Thursday, December 31, 2009

Darts oh Darts

TANGGAL 28 April 2009 dulu saya pernah tulis tentang penglibatan saya dalam permainan darts. Kira-kira sebulan sebelum itu adalah kali pertama saya melontar darts sepanjang hidup saya. Untuk habiskan satu game paling cepat setengah jam. Kadang-kadang tak habis pun sebab amat sukar untuk baling tepat pada mana-mana 'double'. Namun bak kata pepatah alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan hanya 10 minit diperlukan untuk tamatkan permainan apabila balingan kerap ke sasaran.

Lontaran saya pada 29 Disember 2009


Bagaimanapun kebelakangan ini saya mula terfikir kalau katakanlah saya bermain darts dari jam 5.00 hingga 6.00 petang setiap hari. Sudah berapa banyak masa terbuang? Jogging 20 minit mungkin lebih baik untuk kesihatan. Dan hakikatnya saya lebih suka bergelar pemain catur berbanding pemain darts. Saya pun dah puas menang hinggakan suatu hari bukti kemenangan saya untuk dua hari berturut-turut telah dibuang. Lalu saya pun terfikir lagi, inilah masanya untuk berundur dengan martabat tinggi. Lalu mulai 10 Disember lalu saya istiharkan kini saya pemain 'profesional'. Hanya RM2.00 diperlukan sebagai yuran jika ingin bermain dengan pemain 'profesional'. Jika saya kalah, wang mereka akan dikembalikan. Ramai yang kecewa kerana yuran sebelah pihak. Ramai juga yang inginkan pertaruhan yang adil kononnya. Saya bersikeras dengan prinsip, iaitu saya tidak main judi. Judi itu haram hukumnya. Penangannya memang dasyat. Tanpa saya, gelanggang darts kelihatan sepi sendiri... Sebagai pemain 'profesional' saya sesekali lontar juga beberapa darts untuk kekalkan perfomance....

Lontaran saya pada 30 Disember 2009!