Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, September 29, 2010

Sahabat

KATA orang; "bersahabat biar seribu..." Sekiranya dikira jumlah sahabat sejak kecil hinggalah ke usia setengah abad, memang jumlah sahabat mencecah seribu. Kiralah jumlah sahabat sekampung dan sepermainan. Jumlah sahabat sekelas dari darjah satu hinggalah ke tingkatan enam atas. Sahabat sekuliah di universiti. Sahabat di tempat kerja dan sebagainya. Secara peribadi, saya mempunyai sahabat dari kalangan pemain catur IPTA seluruh Malaysia, dari kalangan pemancing, dari kalangan penulis kreatif dll.
Bagaimanapun kita terpaksa menerima hakikat bahawa apabila masa terus berubah, kita akan kehilangan sahabat itu seorang demi seorang. Hilang dalam erti kata tidak menemu, namun hilang di hati tidak sesekali. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah ramai teruja apabila bertemu sahabat yang telah hilang sehingga 20 atau 30 tahun dahulu. Seperti kata salah seorang sahabat saya... walaupun masa terus berubah, persahabatan tidak pernah berubah. Wallahu a'lam.

Tuesday, September 28, 2010

Swee Tin Bersara dari UPM

BEGITULAH tajuk berita kecil, tetapi bergambar foto subjeknya, dalam kolum Nasional Berita Harian Sabtu 25 September hlm. 4. Saya agak terkilan kerana tidak sempat mengunjungi beliau di pejabatnya menjelang persaraan padahal beliau pernah memaklumkan hal ini beberapa kali sebelum ini. Manalah tahu kalau saya boleh geledah biliknya dan menemui beberapa buah buku lagi yang boleh dibawa pulang... Sebelum ini pun hampir setiap kali saya muncul di pintu bilik atau pejabatnya, pasti ada buku yang saya bawa balik, sama ada buku kritikan sastera atau pun novel atau kumpulan puisi. Sama ada buku tulisan beliau sendiri atau pun tulisan penulis lain. Oleh hal yang demikian, tidak kurang sepuluh buah buku tulisan beliau yang saya miliki mempunyai tandatangan penulisnya. Dr. Lim Swee Tin, penerima Anugerah Penulisan SEA 2000 ini, dalam penulisan sastera memanglah ibarat langit dan saya bumi, tetapi saya amat gembira kerana pernah menjadi muridnya dalam kursus BBK3309 Drama Melayu ketika program Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM awal tahun 2004. Lama sebelum itu, kali pertama saya berbual dengan beliau ialah sewaktu diperkenalkan oleh Aripin Said (Dato') dalam sebuah restoran di Taman Sri Serdang.

Monday, September 27, 2010

Dato' Aripin Said - Penulis Cerita Rakyat


SEBELUM jam 8.00 pagi Ahad semalam, saya sedang menelaah sebuah buku dalam bilik apabila saya terdengar suara Aripin Said dari televesyen di ruang tamu. Dengan bersicepat saya menghambur keluar dan sempat melihat caption "Lagu rakyat "Bawang Merah" Dato' Aripin Said". Maka saya lupakan yang lain untuk menghayati persembahan beliau. Sambil menghayati Dato' Aripin Said mendendangkan "Bawang Merah" sambil mengetuk rebananya itu saya teringat sejarah dan terkenang nostalgia lalu. Antaranya antologi cerpen kanak-kanak Sayang Tuk Aki terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1995) yang mengandungi 18 buah cerpen yang ditulis oleh Aripin Said, Nalida, dan saya sendiri. Agak panjang juga lagu rakyat itu waima liriknya berulang-ulang hinggakan saya resah bilakah lagu itu akan ditamatkan. Mungkin hanya beberapa saat lagi, tetapi terpotong kerana siaran Berita akan bermula. Selepas Berita, saya teruskan mendengar temu-bual pengacara TV1, iaitu Zaleha dan Adelynne Hani dengan Dato' Aripin Said dalam segmen Sembang Sosial - Dongeng & Cerita Rakyat itu. Buku Benawi dan Buluh Perindu Awang Selasar oleh Dato' Aripin Said di atas dibawa dan dibincangkan dalam segmen itu sementara buku Sayang Tuk Aki adalah antologi susunan Dato' Aripin Said yang empat buah cerpen saya terkandung di dalamnya.

Tuesday, September 21, 2010

Isu Tertangguh

SYUKURLAH kerana selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri di Batu Pahat, Johor dan muncul semula di pejabat sejak pagi semalam (Isnin) waima sambutan kali ini dirasakan agak kurang ceria atau meriah. Sebaik 'punch-in' kehadiran pagi semalam, saya dikejutkan dengan pesanan ringkas daripada abang saya yang berada di Kuala Lumpur; "Abah masuk wad 7 tkt. 2 bilik 15c HKL". Dengan 'seret meret' saya tak lalu nak tengok blog, facebook, dan e-mail Yahoo yang telah dua minggu tidak dijengok. Di kampung kiranya amat sukar melihat komputer lebih-lebih lagi yang ada sambungan internet. Kiranya ada juga 'broadband' yang tidak tercapai liputan internet sewaktu 'brand' lain mampu mencapainya di kawasan yang sama. Pada hari raya ke-enam saya sudah berada semula di taman perumahan tempat saya tinggal di Serdang, Selangor. Dan pada hari Sabtu lepas (Hari Raya ke-sembilan) saya juga dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa seorang jiran. Pagi itu sewaktu saya sedang mengemas rumah, seorang jiran muncul di pintu memberitahu tentang jiran saya itu jatuh dari pokok mangga dan meninggal dunia. Amat sukar untuk menerima hakikat jiran saya yang berumur 40-an itu pergi dengan asbab jatuh dari pokok mangga yang tidak begitu tinggi. Kewajarannya ialah dia jatuh kepala dahulu menyebabkan kecederaan parah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan kita yang tinggal semoga diberi petunjuk dan hidayah bagi menyediakan bekalan untuk menyusuli mereka yang telah pergi itu.

Saturday, September 4, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1431H

WALAUPUN hari raya Aidil Fitri akan menjelang enam hari lagi, khabarnya semalam lagi jalan sudah penuh dengan kenderaan. Saya sendiri sudah boleh pulang ke kampung halaman di Batu Pahat, Johor malam tadi atau pagi ini. Bagaimanapun, saya hanya akan bertolak balik besok pagi (Ahad) selepas solat Subuh. Hal ini demikian kerana ada lebih kurang 10 sebab peribadi yang amat mustahak yang tidak dapat dielakkan.
Justeru kesempatan ini diambil untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada kalian semua dan saya menghulur sepuluh jari memohon kemaafan seandainya ada salah dan silap serta termakan dan terminum jika ada. Semoga juga saya dan kalian semua selamat dalam perjalanan pergi dan balik. Semoga juga saya dan kalian semua diberi petunjuk dan hidayah dalam menempuh hari-hari yang mendatang.
Sekian adanya.

Thursday, August 26, 2010

Bersabarlah Sayang

Gambar hiasan

KETIKA semua orang sedang mencari dan memuat turun lagu-lagu raya ke dalam telefon bimbit menjelang Hari Raya Aidil Fitri ini, saya sebenarnya telah lama menggunakan lagu raya sebagai nada dering, iaitu lagu Sabarlah Sayang dendangan Sanisah Huri. Malah lagu ini saya gunakan sebagai nada dering sepanjang tahun. Jika saya telah gunakan sejak Bengkel Pembinaan Penulis (Cerpen) di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras pada tahun 2000 sebagai kayu pengukur, maknanya sudah lebih 10 tahun saya menggunakannya sebagai nada dering.




BERSABARLAH SAYANG



Semua insan sedang gembira
Di hari ini sayang
Hari yang mulia
Marilah bersama
Berhari raya
Hilangkan duka




Lupakan saja kisah yang lalu
Gantikan cerita baru
Agar hatimu waspada selalu
Jangan kaukesalkan
Jangan engkau tangiskan



(korus)


Pada mereka yang tak mengerti
Menuduh dirimu
Di jurang kesalahan sahaja
Tak sampai hati
Biarkan kau sendiri




Tetapi diriku dan juga temanmu
Yang tahu kisah derita
Dan luka di dada, hanya kuharapkan
Kau harus bersabar
Dan bertenang selalu



(korus)


Pada mereka yang tak mengerti
Menuduh dirimu
Di jurang kesalahan sahaja
Tak sampai hati
Biarkan kau sendiri

Tetapi diriku dan juga temanmu
Yang tahu kisah derita
Dan luka di dada, hanya kuharapkan
Kau harus bersabar
Dan bertenang selalu


Wednesday, August 11, 2010

Syukurlah bertemu Ramadan

DALAM kesempatan ini dipanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dengan lipahan rahmatNya jualah dapat bertemu lagi dengan Ramadan al-Mubarak tahun ini yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan semoga mendapat petunjuk dan hidayahNya bagi pengisian Ramadan al-Mubarak yang lebih bererti sehingga mendapat ganjaran malam lailatul Qadar, amin.
Syukur juga apabila surau berhampiran rumah kami kini begitu ceria dan bercahaya... Kini surau itu diterajui seorang pengerusi baharu. Kini solat fardu disegerakan. Kini ingin melupakan kelemahan dan kebiasaan yang menjengkelkan dulu, iaitu ketika lebih lima puluh jemaah telah lama duduk menunggu bilal iqamat tiba-tiba ada orang baharu hendak mulai solat sunat!? Janganlah kita menjadi penyebab (tanpa disedari) orang lain lebih suka solat Subuh di rumah lima minit daripada solat Subuh di surau setengah jam pun tak siap.
Sekali lagi di kesempatan ini, diucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut serta mengisi Ramadan al-Mubarak tahun ini. Wassalam.

Tuesday, July 27, 2010

Caramel Cinnamon Anise di Cordova

MINGGU lepas, beberapa hari lalu, tiba-tiba terdetik dalam hati: dah lama tidak lihat cerpen Ranofla Dianti Irwan dalam akhbar mingguan arus perdana. Kalau tak terlepas pandang, sejak Januari 2010, memang tak menemu. Dan minggu ini karya terbaharu beliau tersiar dalam Mingguan Malaysia 25 Julai 2010! Ah, ada ESPkah saya? (kalau tak silap, dalam drama "Ilusi" yang sedang ditayangkan oleh TV3 setiap Isnin-Khamis jam 6.30-7.30ptg., ESP bermaksud 'extra sense personaliti') cheewah!. Lalu terimbaulah kembali Bengkel Pembinaan Penulis II/2000 (Cerpen) yang dihadiri pada 19-22 Oktober 2000 di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur. Kerana di situlah penulis cerpen yang saya anggap hebat ini ditemui. Bergambar ramai bersama Sasterawan Negara; Allahyarham S Othman Kelantan di pinggir Tasik Permaisuri, Cheras. Antara penulis dalam foto ini ialah Azimin Daud, Norazah Ibrahim(Shah Alam), Norazah Ibrahim (Sungai Buluh), Shahrun Nizal Mohd. Nor, Zainal Abdul Kadir, Nordin Zainal Abidin, dan Ariff Mohamad. Tiada dalam gambar ini Zurina Shafie, Thock Ker Fong, Abdullah Shuib dll.
Selain Allahyarham S. Othman Kelantan, Pn. Khadijah Hashim bertindak sebagai pembimbing. Allahyarham Dr. Othman Puteh dan En. Azmi Ibrahim turut hadir sebagai penceramah. Dan seperti biasa, tidak semua pahit manis dapat diluahkan....

Thursday, July 22, 2010

Aku Bukan 'Fotographer' (Gua Musang 'Part 2')

KERJA LAPANGAN DI GUA MUSANG, KELANTAN (PART 2)

SATU daripada hobi aku memanglah fotografi. Malah kamera yang pernah dimiliki sejak 1983 bertukar ganti daripada SLR Nikon FM, kemudian Canon FX8, kemudian digital Canon Powershot Axxx, sebelum dipertanggungjawabkan ke atas kamera jabatan; Canon Ixus75 dan terakhir SLR Nikon D300 sebagai peralatan/kelengkapan makmal pengurusan alam sekitar. Selain merakam gambar sendiri untuk kenang-kenangan, juga ambil gambar pemandangan dan gambar eksperimen kononnya bernilai seni. Berbanding gambar seorang diri, bergambar ramai lebih memberi erti. Antaranya memperlihatkan majlis dihadiri, lokasi, dan mereka yang turut hadir. Untungnya memikul kamera kerana kita memang amat diperlukan sebagai perakam dokumentasi. Ruginya pula ialah imej kita tiada bersekali sedangkan jawatan kita bukan 'fotographer'. Kita cuma minat fotografi. Keadaan ini amat dideritai dan gambar-gambar aktiviti di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini menjadi bukti.
Bergambar ramai di hadapan Pejabat Majlis Daerah

Bergambar ramai di hadapan Pejabat KESEDAR

Bergambar ramai di Gunung Stong

Bergambar ramai di Kilang Papan yang dilawati

Bergambar ramai di kilang kelapa sawit FELDA

Bergambar ramai selepas pertandingan persembahan

Bergambar ramai sebelum menaiki rakit di Sungai Ketil

Bergambar ramai setelah selesai berakit di Sungai ketil.



Bergambar ramai di Sekolah kebangsaan Pos Brooke

Thursday, July 8, 2010

Kerja Lapangan di Gua Musang, Kelantan

GUA MUSANG, Kelantan dan sekitarnya adalah lokasi catatan perjalanan kali ini. Bermula 10.00 mlm. 29/6/10 hingga 10.00 mlm. 5/7/10 adalah tempohnya. Bagaimanapun sedikit cuma yang dapat dikongsi bersama. Dipendekkan cerita, jam 2.00 pagi kami yang menaiki van sudah sampai di pekan Merapoh. Selepas singgah minum, kami tunggu bas yang membawa pelajar di stesen minyak Shell, Gua Musang. Jam 5.30pagi kami semua sudah 'check-in' di penginapan Etnobotani milik KESEDAR bersebelahan Kem Latihan PLKN. Siangnya kami dengar taklimat perancangan bandar di Majlis Daerah Gua Musang. Petangnya kami buat kajian sosial di bandar lama dan baru Gua Musang.
HARI KEDUA (1/7/10), kami dengar taklimat perancangan pembangunan wilayah KESEDAR di Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang. Petangnya membuat kajian etnobotani. En. Majid, seorang staf Kesedar menerangkan semua tanaman herba yang terdapat di Etnobotani tersebut selain melihat burung kasawari yang besar dan rusa yang jinak. Selepas itu kami semua ke Kg. Pulai melihat warisan sejarah yang berupa tokong Cina dan gua batu kapur di seberang tasik. Malam itu buat kajian sisa pepejal di pasar malam Gua Musang, tapi hujan turun dengan lebatnya.

HARI KETIGA (2/7/10) kami meneruskan dengan mendaki Gunung Stong, Dabong. Kiranya kami diiring oleh 'guide' dengan melalui jalan sukar. Mungkin supaya pandangan lebih luas dan dapat bergambar di air terjun. Namun kesukaran itu meletihkan dan mencabar daya tahan. 'Jungle tracking' di Tanjung Tuan, Port Dickson dulu pun tidak seteruk ini. Rasa letih dan sesal hilang setelah sampai di puncak maka ramailah rakan-rakan bermandi manda dan ada yang mengelonsor di batu air terjun yang tinggi dan licin itu. Pabila turun kemudiannya di laluan lain, ternyata ada jalan lain yang lebih mudah untuk orang ramai ke puncak Gunung Stong!
HARI KEEMPAT (3/7/10) melawat tapak kilang pemprosesan kayu balak. Pelajar-pelajar mendapat ilmu antaranya tentang simbol atau tanda yang terdapat pada kayu balak. Antaranya panjang dan ukur lilit serta tag untuk sebatang pokok yang dikerat dua atau tiga tuas. Kami dilayan dengan baik dan saya sendiri secara peribadi dijamu nasi dagang dalam pejabat tokeh balak tersebut.

Petangnya kami melawat pula tapak kilang kelapa sawit Felda yang terletak 82km dari Gua Musang. Selepas itu melawat pula tapak kolam ikan air tawar. Malangnya tempat terakhir ini dilawati menjelang maghrib menyebabkan saya tidak nampak ikan Kelah dan tidak dapat masuk gua batu kapur berhampiran yang dikatakan indah di dalamnya. Walaupun penat, malamnya diadakan persembahan oleh tiga kumpulan pelajar. Setiap kumpulan buat dua persembahan dan hadiah berupa hamper disediakan.


HARI KELIMA (4/7/10), kami berakit di Sungai Ketil menggantikan lokasi asal, iaitu Sungai Nenggiri. Hal ini demikian kerana berakit di Sg. Nenggiri memerlukan kos yang tinggi walaupun sungainya lebih mencabar dan menerima sijil.

HARI KEENAM (5/7/10) adalah hari terakhir. Setelah 'check-out' (dengan izin), kami bergerak. pertama singgah di Tasik Gua Musang mengukur kualiti air di situ. Seterusnya bergerak ke Lojing. Di Lojing kami singgah di Sek. Keb. Pos Brooke. Sekumpulan pelajar anak orang asli dimesrai dan dirai sambil diberi taklimat oleh Guru Besar dan wakil rombongan kami. Seterusnya berjalan di belakang sekolah itu menuruni bukit, melintasi sungai yang merah airnya melalui jambatan gantung dan terus ke perkampungan orang asli.
Dalam perjalan pulang ke Serdang, Selangor seterusnya kami singgah membeli strawberi dan jagung manis ke Cameron Highland. Saya turut beli sejambak bunga ros dan beberapa pasu kaktus. Kemudian singgah pula di R&R Tapah sebelum singgah lagi di R&R Ulu Bernam.

Monday, June 21, 2010

Antara Ayat-Ayat Cinta dan "Salam Maria"


DUA buah buku di atas adalah buku yang sedang dibaca. Novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El Shirazy dibaca di rumah. Buku Nyanyi Sunyi Salam Maria vs Sarjana Nasi Dingin, tulisan Fatimah Busu dibaca antara jam 7.00-8.00 pagi sebelum mula bertugas di pejabat dan antara Jam 5.00-7.00 petang sebelum pulang ke rumah. Kedua-duanya sudah sampai di penghujung. Kedua-duanya penuh dengan konflik. Konflik sering diterima secara negatif dan positif. Konflik dalam Ayat-Ayat Cinta mempunyai nilai-nilai estetika. Nilai estetika yang menurut Keris Mas, ialah nilai yang mengharukan dan membangkitkan perasaan. Justeru sudah dibaca Nyanyi Sunyi Salam Maria vs Sarjana Nasi Dingin, maka saya harus mendapatkan Salam Maria untuk dibaca, dihayati dan dipertimbangkan seadil mungkin.

Monday, June 14, 2010

Antara Petunjuk dan Hidayah

Dalam kalangan orang Melayu kita ada yang:
1. Beli nombor ekor.
2. Tengok gambar lucah
3. Mengata orang walaupun azan sedang berkumandang.
4. Main game dengan komputer pejabat dalam waktu pejabat.
5. Ponteng kerja dengan kerap dan sengaja.
6. Curi tulang asalkan pandai berkata tidak.
7. Menipu pelbagai perkara dengan pelbagai cara.
8. Hisap najis rokok (haruskan yang makruh atau makruhkan yang haram?)
9. Menyakiti hati jiran tetangga, rakan dan taulan.
10. Mementingkan diri sendiri (contohnya memotong barisan).
Ironinya merekalah yang berdegar-degar paling lantang mengutuk ulama' dan umara' seolah-olah mereka paling pandai. Seolah-olah mereka paling warak tiada dosa. Segala kebaikan umara' yang besar didiam-diam (disorok-sorokkan), kelemahan yang kecil dilaung-laungkan. Kerana taksub, keburukan idola mereka yang besar disorok-sorokkan (diam tidak berdecit sikit pun), kebaikan yang kecil diperbesar (dilaung-laungkan) agar satu Malaya dengar. 'Orang lain' terusan bertepuk tangan dan ketawa terbahak-bahak/berdekah-dekah melihat kebodohhan, perpecahan, dan kehancuran ini. Ya Allah berilah petunjuk dan hidayahMu kepada diriku (insan kerdil kepada Khaliqnya) dan mereka (yang menyangka mereka betul belaka) moga kami semua benar-benar melalui jalan yang lurus.

Monday, May 31, 2010

Karnival Sukan MASUM 2010 - Catur

Sarapan pada hari pertama (26 Mei 2010)

Perlawanan game pertama

Perlawanan catur hari kedua

Pasukan catur wanita

Sarapan pada hari terakhir (30 Mei 2010)



Perlawanan catur wanita hari terakhir (30 Mei 2010)

Bergambar ramai sebelum berpisah (30 Mei 2010)


Kejohanan catur yang besar seperti "Merdeka Open" dan berbagai "open" lagi, sering diadakan setiap minggu, bulan atau pun tahun, memang tidak disertai kerana "langkah pendek" dan "hambatan masa". Tidak juga ke Kompleks Wilayah atau Putrajaya yang sering disertai oleh rakan-rakan pemain catur. Namun saya berada di kelompok tersendiri apabila pernah menyertai kejohanan Catur Badan Berkanun, Karnival Catur Sukan Staf antara IPTA Malaysia, mewakili Selangor dalam Kejohanan Catur MAKSAK sewaktu diadakan di Melaka (1997), dan terbaharu mewakili UPM dalam Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa II yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada 23-30 Mei 2010. Yang terakhir ini diceritakan dalam foto di atas.

Sunday, May 16, 2010

Hari Keluarga: Antara Sejarah dan Keterlambatan







HARI ini hari Ahad. Justeru memikirkan hambatan-hambatan, teringat pula seruan yang sering didengar: kejarlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Antara perkara tersebut, masa lapangmu sebelum masa sempit. Dua minggu mendatang adalah masa sempit. Perlu siapkan laporan PTK2 untuk dihantar pada 24/5/10 dan dibentangkan pada 27/5/10; mulai 17/5/10 masuk latihan pusat untuk kejohanan catur pada hujung bulan ini; dikehendaki hadir latihan pemantapan audit dalaman, selama dua hari dalam tempoh kejohanan tersebut; dan perlu uruskan tesis pasca senat. Dalam hiruk-pikuk ini, teringat pula peristiwa hari keluarga yang pernah cuba dititipkan dalam blog ini sebaik majlis tersebut tamat, tetapi tak menjadi apabila semua sudah siap tapi setelah tekan butang publish post, komputer hang dan entri itu terbengkalai. Lalu entri tersebut disiarkan juga kali ini untuk tujuan dokumentasi. Dan foto di atas mungkin dapat memberi gambaran yang cukup jelas.

Thursday, April 29, 2010

Menjejak Novelis Bahagia Sesudah Derita


Begitulah tajuk wacana sastera dalam Mingguan Malaysia, 25/4/2010. Dalam wacana sastera tulisan Dr Talib Samat itu, selain menyentuh tentang novel Bahagia Sa-Sudah Derita ada juga disentuh tentang novel Ahad dan Saga. Kebetulan sekali saya memang ada menyimpan ketiga-tiga buah buku tersebut.

Bahagia Sa-Sudah Derita tulisan Md. Akhir bin Leman, milik saya adalah chetakan kedua (1963). Berharga $1.20. Buku itu asalnya kepunyaan bapa saudara saya yang dibeli pada 17 Dec. 1963 di Manaf Book Store, 17, Jalan Abdullah, Muar, Johor.

Ahad tulisan Zakaria bin Salleh pula adalah Chetakan yang pertama (1959) dan berkulit keras. Terdapat chop Sekolah Kebangsaan Langgar di dalamnya. Walaupun saya dilahir dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor, berdasarkan buku ini, menunjukkan ada salasilah keturunan emak saya di Kedah sana.

Sementara Saga tulisan Abdul Talib Mohd. Hassan adalah buku yang saya beli sendiri pada 6/8/1981, dua bulan selepas saya mula berkhidmat dengan Universiti Pertanian Malaysia. Buku ini adalah cetakan ketujuh (1981) yang cetakan pertamanya pada 1976. Makna kata, ketika saya beli, buku itu baru keluar dari kilang. Makna kata, buku itu antara buku yang mula-mula menjadi koleksi. Saga adalah antara buku yang paling saya minat ketika itu kerana plotnya. Setiap bab seperti saling bertaut.